May 15, 2009

Mitos. ( sunting semula)

(Saya menulis ini sebagai suatu tazkirah sahaja buat diri sendiri. Saya tiada niat langsung mahu mengutuk sesiapa. Saya juga tidak paksa kamu terima pendapat saya bulat2. Bukankah di bawah ada ruangan komen? Tak faham,atau tak setuju, dipersilakan kritik saya.

Kalau kamu mahu manfaat, baca. Tak mahu, sudah. Ini sekadar tazkirah dari orang kerdil seperti saya. Kalau berkecil hati dan terasa, tolong ampunkan saya. Saya pun mahu masuk syurga seperti kamu.)


Apakah itu mitos? Kita selalu mendengar dan membaca tentang mitos, namun apakah itu mitos?

Mitos ialah cerita yang tidak diketahui asal-usul dan tidak diyakini kebenarannya. Mitos berlawanan dengan cerita yang benar.

Mitos- berlawanan dengan– cerita benar

Bagaimanakah kepercayaan kita kepada mitos berbanding kepercayaan kepada cerita benar?

Sudah tentu kita percaya kepada cerita benar. Jika cerita itu tidak benar dan hanya mitos, kita akan was-was dan ragu-ragu.

Sebagai contoh, katakanlah anda mendengar cerita dari kawan anda bahawa di asrama tempat anda tinggal itu sebenarnya juga dihuni oleh makhluk lain.

Jika anda percaya ia mitos, maka anda tidak akan sekali-kali mengendahkannya. Ini kerana anda tidak yakin dengan kebenaran cerita tersebut. Anda akan hidup seperti biasa, meskipun anda dikejutkan oleh ‘seseorang’ yang sedang bertenggek di atas almari baju anda di waktu malam. Anda akan buat tak tahu saja, kerana memikirkan bahawa itu ialah kawan anda yang cuba menyakat anda ketika tidur.

TETAPI,
Jika anda percaya ia cerita benar, maka anda akan sentiasa berhati-hati. Sehingga ke mana-mana pun anda melilau di dalam kawasan asrama, anda akan berwaspada dan sentiasa melihat belakang anda.

Kerana anda percaya ia cerita benar!
Maka cerita itu akan memberi kesan kepada pemikiran anda!

Dalam dunia ini, ramai orang percaya Allah itu Tuhan mereka. Tetapi sejauh manakah mereka mempercayainya? Adakah mereka percaya seperti mempercayai sebuah MITOS? Atau percaya seperti mempercayai sebuah KEBENARAN?

Sejauh manakah kita mempercayai Allah dan Rasulnya? Adakah sehingga mampu menjadikan kita sentiasa takut kepada-Nya, lalu berhati-hati dan berlaku ihsan dalam setiap perbuatan kita? Atau kita sekadar mempercayainya seperti mempercayai sebuah MITOS? Naudzubillahi minzalik.

Saya ambil satu CONTOH: Apabila dibuat satu cerapan pendapat tentang siapakah yang sudi mengorbankan jiwa raga mereka demi menyelamatkan saudara seIslam kita di Palestin, maka hampir seratus peratus mengangkat tangan bersetuju menyerahkan nyawa mereka.

Namun bila mereka tiba di sana (Palestin), tiba-tiba sahaja hati berubah. Tiba-tiba sahaja hati berubah ketika berada di dalam suasana yang sebenarnya. Bunyi dentuman , letupan bom di sana-sini, ledakan meriam, hujan peluru dari mesingan dapat didengari di mana-mana. Umat Islam yang bermandi darah berada betul-betul di hadapan mata kita pada saat itu. Di sini satu persoalan timbul:

Mampukah hati dan pegangan kita bertahan dalam persekitaran yang SEBENAR SEPERTI ITU?

MAMPUKAH?

Atau pegangan kita menjadi goyah, lalu…
Mendakwa apa yang dibawa oleh Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) dan apa yang dijanjikan oleh Allah (Maha Suci Dia dengan segala ketinggian) merupakan suatu MITOS??
Lalu kita tiba-tiba tidak yakin tentang janji-janji Allah? Lalu kita tidak yakin terus dengan perkhabaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad (selawat dan salam ke atas baginda) ? Naudzubillahi minzalik.

Apa yang ingin saya terangkan di sini ialah, mampukah kita berterusan (istiqamah) dalam mengekalkan iman kita? Bolehkah kita bertahan dalam suasana yang sebenar? Kalau semangat ingin membantu membuak-buak di sini, iman mencanak naik apabila menyertai demonstrasi, bolehkah ia terus membuak-buak di dalam situasi yang sebenar? Atau kita hanya akan dicop sebagai munafik kerana begitu mudah berubah hati?

Memanglah, kita tiada kuasa untuk menentukan segala-galanya yang berkaitan dengan perkara yang akan datang. Semuanya dalam genggaman Allah (Maha Suci Dia dengan segala ketinggian). Sebab kita tiada kuasalah maka kita perlu RISAU!!

Sebab kita tiada kuasalah MAKA KITA PERLU RISAU!
Risau kalau-kalau iman kita mencanak kurang bila-bila masa sahaja!!

Sebab itulah juga kita perlu buat amal berterusan bagi mengekalkan IMAN! Ini sunnatullah yang perlu dilaksanakan bagi mengekalkan iman, selebihnya biarlah Allah yang tentukan.

Sekali lagi saya tegaskan, menyertai demonstrasi membela Palestin juga merupakan amal untuk mengekalkan iman kita JIKA dibuat dengan niat kerana ALLAH atas nama persaudaraan. SAYA TIDAK SEKALI-KALI MEMANDANG REMEH USAHA INI!! TIDAK SEKALi-KALI!!
Apa yang saya ingin terangkan di sini ialah (baca baik-baik!):jika kita berdemonstrasi, buatlah bersungguh-sungguh kerana Allah, seolah-olah kita sedang berada dalam situasi sebenar di Palestin, dengan penuh rasa risau takut iman kita berkurang jika betul-betul berada di sana. Inilah maksud saya.

Ya, usaha ini tampak kecil. Kerana ini sahaja yang kita termampu. Mungkin kecil di mata kita, namun besar di 'mata' Allah.

Teringat cerita sahabat Nabi (selawat dan salam ke atas baginda), iaitu Handzalah (redha Allah ke atasnya). Betapa beliau takut ada sifat munafik dalam dirinya. Alkisahnya, pada suatu hari, Handzalah (redha Allah ke atasnya) telah mendengar kisah hari akhirat,syurga dan neraka daripada Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda). Kemudian beliau pulang ke rumah. Di rumah, beliau seperti biasa melayan isteri dan anak-anaknya serta bergurau dengan mereka. Tiba-tiba beliau tersedar lalu berkata dalam hatinya lebih kurang begini “mengapa aku mengingati Allah ketika berada bersama Nabi sahaja, sedangkan ketika bersama keluargaku aku terus melupakannya. Aku memang seorang munafik”

Lalu beliaupun keluar dari rumah untuk bertemu Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda), sambil mengulang-ulang ayat “aku seorang munafik”. Dalam perjalanan, beliau berjumpa Abu Bakar (redha Allah ke atasnya) dan terus berkata “ Handzalah seorang munafik”

“Subhanallah!” terkejut Abu Bakar (redha Allah ke atasnya) mendengarkannya.

“Ketika bersama Rasulullah aku sentiasa mengingati Allah, tetapi tidak ketika bersama keluargaku”, terang Handzalah (redha Allah ke atasnya)

Abu Bakar berkata bahawa dia juga mengalami keadaan sedemikian. Lantaran mereka begitu takut dicop sebagai orang munafik, mereka terus berjalan bersama-sama untuk menemui Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda). Setibanya di tempat Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda), mereka pun menceritakan hal tersebut. Lebih kurang begini sabda baginda (selawat dan salam ke atas baginda):

“ Sekiranya kamu boleh melakukannya (mengingati Allah sepanjang masa) maka malaikat-malaikat akan memujimu. Tetapi amat jarang sekali berlaku. Amat jarang! ”

Kisah tersebut dipetik dari kitab Fadhail Amal.

Dari kisah tersebut telah nampak kepada kita, betapa sahabat sangat bimbang mereka dicop sebagai munafik.

Di sini nampak usaha Handzalah mengekalkan iman beliau, kerana risau takut-takut iman beliau berkurang bila-bila masa, lalu dicop sebagai munafik.

Kesimpulannya:
Hati boleh berubah bila-bila masa sahaja, dari percaya tahap KEBENARAN boleh berubah kepada percaya tahap MITOS. Dari percaya tahap haqq al-yaqin, boleh berubah kepada percaya tahap ilman al-yaqin. Maka usaha mengekalkan iman perlulah dilakukan berterusan, dengan penuh rasa risau takut ia berkurang.

Sekian, anda faham? Tak faham, tanya. Dah faham, tak semestinya terima. Anda fikir secara matanglah. Ruangan komen di bawah ada. Coretkanlah segalanya.

p/s- memang betullah sesetengah orang kata pada saya, menjelaskan secara lisan lebih mudah berbanding menjelaskan secara tulisan.

Semoga mendapat ilmu berguna dari catitan ini walaupun sedikit.

3 comments:

  1. salam..

    saya pula lebih suka menulis..
    kalau bercakap, lidah jadi berbelit2..=(

    apa yg kita lihat benar itu tak bermakna itu yang sebenarnya..hmm

    pandangan mata, selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu..pandangan hati itu yang hakiki..kalau hati itu bersih...(nasyid dr kump hijjaz..^_^)

    ReplyDelete
  2. salam..
    banyakkan berdoa..moga Allah berikan kita kekuatan..
    org yg bersemangat pada mulanya, ttp lemah di medan sebenar, lebih baik dari org yg tiada langsung terdetik utk berjuang utk Allah..
    sama-sama kita muhasabah diri, agar tidak hanya hebat di medan kata, tapi longlai di medan amal..
    bukan tidak boleh berkata-kata, tapi perlu seiring dan sederas amalan..solat jemaah jgn tinggal, solat sunat diperbanyakkan, puasa sunat diamalkan, infaq diperbanyak, ukhuwah dijalinkan..ibadah sunat juga penting, bukan hanya ibadah wajib spt solat lima waktu...kita lakukan amal bukan kerana kita suka, ada masa, ada kelapangan, ada tenaga..ttp kerana itu tuntutan agama..kita sama2 mahukan syurga kan, jadi mari banyakkan amalan..
    pesanan utk diri ini jua, doalah moga kita semua dikekalkan dalam iman..
    moga laknat Allah tidak jetuh kpd org yg berkata2 ini..(surah saff)..
    sekian..

    ReplyDelete
  3. to asniza- mungkin ini yang dikatakan
    " lain orang lain cara"
    betul tak?
    tq komen. :)

    to anonymous- tq...ckp mesti serupa bkin betul tak? T_T

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...