Begitulah tema khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib pada solat Jumaat pada hari Jumaat yang lepas (22 Mei 2009). Ya, la taghdab atau dalam bahasa melayunya, “ jangan marah” (don’t be angry).
Menurut sang khatib, marah adalah perasaan yang paling sukar hendak dihindarkan dan dihilangkan. Marah sentiasa menguasai kehidupan manusia, dan seseorang tidak akan mampu mengelak meskipun dia telah mengatakan “ aku tidak pernah mengalaminya”.
Seseorang boleh menjadi marah dengan karenah isterinya, atau apabila anak-anak tidak mendengar kata, atau apabila sedang di tempat kerja, semasa bersama dengan rakan-rakan, atau semasa sedang belajar atau sedang menjawab peperiksaan. Perasaan marah boleh datang dalam jiwa manusia hanya untuk sekecil-kecil masalah. Contohnya masalah seperti tikar sejadah yang licin dalam dewan sembahyang yang menyebabkan seseorang itu hampir-hampir terjatuh ketika menunaikan solat.(dari kata-kata khatib)
Perasaan marah boleh terbit hanya dari masalah semudah itu.
Menurut khatib itu lagi, marah adalah kunci kepada dosa-dosa yang lain. Lihatlah berapa banyak kes-kes pembunuhan yang berlaku hanya berpunca dari perasaan marah. Apabila marah menguasai jiwa manusia, maka marah itu akan mengawal segala tingkah laku dan tutur katanya. Jika seseorang itu mampu menguasai perasaan marah yang datang, maka dialah yang akan mengawal tingkah laku dan pertuturannya dengan akal.
La taghdab!
Cara untuk mengatasi kemarahan ialah dengan membaca istighfar dan mengambil wudhuk. Selain itu, sabar adalah senjata utama dalam memadam api kemarahan. Terdapat juga cara lain. Oleh kerana marah ini merupakan api dalam hati, maka hati harus disucikan dahulu. Caranya? Tombo ati, iku limo perkarane...(menyanyi le pulak).
Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) juga pernah menasihatkan dalam sebuah hadisnya, bahawa jika kita marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah. Jika masih tidak hilang dengan duduk, maka berbaringlah.
Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) juga pernah bersabda bahawa orang yang paling kuat adalah orang yang dapat mengawal perasaan marahnya.
Selain itu Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) juga pernah bersabda bahawa kita perlu mencari seratus alasan untuk kita marah. Jika ada, cari lagi seratus alasan utk marah. (boleh tak kamu pembaca betulkan hadis ini jika terdapat sebarang kesalahan? Boleh tolong saya di ruangan komen, insyaAllah)
Seseorang telah berjumpa dengan Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) dan beliau telah meminta Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) menasihati beliau. Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) telah menasihati beliau agar menahan diri dari kemarahan. Kemudian sahabat tadi mengulangi soalan itu untuk kali kedua. Rasulullah memberikan jawapan yang sama iaitu ‘la taghdab’.
Menahan marah merupakan ‘husnul khuluq’ (akhlaq yang baik) yang menjadi teras kepada kemuliaan budi pekerti Islamiyyah seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda).
Namun marah bukanlah tidak dibolehkan langsung dalam Islam. Sebagai contoh, harus kita ada perasaan marah ketika melihat maksiat berlaku di hadapan mata kita, tatkala kita tidak mampu mencegahnya dengan tangan. Namun ia adalah selemah-lemah iman.
Teringat cerita Saidina Ali (dimuliakan Allah wajahnya) betapa kuatnya beliau menahan perasaan marahnya. Diriwayatkan dalam satu peperangan di mana dia hampir-hampir membunuh salah seorang musuhnya. Ketika musuhnya mencaci saidina Ali (dimuliakan Allah wajahnya), terus beliau menghentikan ayunan pedangnya. Musuhnya bertanya kepelikan 'mengapa engkau tidak membunuhku sahaja?'
Jawab saidina Ali (dimuliakan Allah wajahnya) 'jika aku membunuhmu semasa engkau sedang mencaciku, maka aku telah membunuhmu bukan kerana Allah (Maha Suci Dia dengan segala ketinggian), tetapi aku membunuhmu kerana perasaan marah'.
Sebuah ingatan terutama untuk diri ini yang mudah marah, ‘la taghdab!’.
Sekian.
Semoga mendapat ilmu berguna dan diamalkan pula , walaupun sedikit.
Sabar...
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...