Laporan oleh BUAH AKAL diteruskan...
Rabu, 1 April 2009
Selepas solat Subuh di Masjid Biru dan bersarapan pagi, kami bergerak keluar dari hostel kira-kira pukul 10:00 pagi dan terus ke Hagia Sophia.(Turkish-Ayasofia Muzesi) Setiap seorang peserta dikenakan bayaran 20 lira untuk masuk. Di bahagian dalam muzium ini dipamerkan poster-poster dan potret sejarah bangunan ini, serta bagaimana ia ditukarkan fungsinya dari sebuah gereja kepada sebuah masjid, dan akhirnya sebagai muzium.
Keseluruhan Hagia Sofia dari luar
Bangunan ini terdiri dari dua tingkat. Dataran solatnya (tingkat bawah) sangat luas. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana bangunan ini dijadikan sebagai sebuah masjid. Dalam sebuah potret digambarkan keindahan dan ketenangan Hagia Sophia dengan dataran solat dipenuhi dengan ulama-ulama berserban dan perkumpulan usrah. Keindahan dan ketenangan inilah yang telah menghancurkan kesesatan dan kegelapan Kristian di dalamnya. Keluasan dan ketinggian bangunan ini menggamit rasa tenang dan selesa dalam beribadat. Masih terdapat di dinding-dinding kesan lukisan-lukisan Kristian. Ketika Hagia Sophia berfungsi sebagai masjid, lukisan dan ukiran ini ditutup, namun ketika ia ditukar kepada muzium oleh Mustafa Kemal, ukiran dan lukisan ini diserlahkan semula. Hagia Sophia pernah berfungsi sebagai sebuah gereja selama kira-kira 1000 tahun sebelum ditukar fungsi sebagai sebuah masjid selama kira-kira 500 tahun.
Potret gambaran Hagia Sofia sebagai masjid.
Gambar perspektif (wah, teringat zaman belajar LK dulu)
Khat Usman R.A. di dinding dalam
Khat Abu Bakar R.A. di dinding dalam
Entahlah.
Tingkat atas.
Khat-khat dari bawah. Saya peminat khat.Jadi minta maaf jika banyak gambar khat.:P
Eh, ada lagi!
Kami berjalan kaki menuju Istana Topkapi pada pukul 11:00 pagi. Cuaca pada hari tersebut agak baik. Berjalan kaki ke Istana Topkapi memakan masa kira-kira 5 minit. Di bahu jalan berderet penjaja yang menjual pelbagai jenis kraftangan dan makanan. Makanan yang sering saya temui biasanya ialah jagung rebus, sejenis kacang panggang (tidak diketahui kacang apa) dan sejenis roti yang berbentuk seakan-akan kuih gelang (namun saiznya lebih besar, dan rasanya tawar dan tidak enak).Oh, terlupa pula mengambil gambar makanan-makanan tersebut. Tidak mengapa, saya tinggalkan ia sebagai 'surprise' untuk anda apabila melawat Turki. :P
Istana Topkapi dikelilingi oleh tembok-tembok yang tinggi. Kawasannya sangat luas. Kami masuk ke dalam kawasan istana melalui sebuah pintu gerbang yang dikawal rapi oleh dua orang pengawal bersenjata. Pada mulanya saya ingatkan pengawal-pengawal ini patung (kerana mereka berdiri tegak tanpa bergerak mahupun tersengih sedikitpun kepada pengunjung), namun rupa-rupanya setelah digeletek mereka ketawa terbahak-bahak (ini merupakan satu pembohongan). Namun rupa-rupanya mereka manusia setelah saya melihat mereka tersenyum tatkala kami mengambil foto bersamanya. (abaikan ayat ini, nampak kurang intelek kan?)
Kami menyusuri sebuah perkarangan yang dihiasi oleh pokok-pokok dan bungaan, menuju ke sebuah lagi pintu gerbang yang merupakan pintu masuk ke kompleks Muzium Topkapi. Setiap seorang yang ingin masuk ke muzium dikenakan bayaran sebanyak 20 lira. Saya tidak melepaskan peluang melawat muzium berkenaan.
Perkarangan istana.
Gerbang ke kompleks Istana Topkapi (Turkish- Topkapi Sarayi)
Mereka tidak melepaskan peluang men'skodeng' habis panorama Topkapi sarayi
Dalam muzium tersebut tersimpan pelbagai tinggalan sejarah dari para nabi dan rasul, serta para syuhada' yang telah syahid menegakkan kebenaran Islam. Antara yang menarik perhatian kami ialah tinggalan para nabi dan rasul seperti pedang, anggota badan (daripada nabi yang dibunuh oleh kaumnya yang khianat, namun tidak diketahui kesahihan anggota badan tersebut) , alatan seperti tongkat, dan periuk. Pedang Nabi Muhammad S.A.W. dan para sahabat turut tersimpan di dalam muzium tersebut. Terasa begitu dekat sekali hati dengan Nabi dan para sahabat tatkala merenung pedang-pedang tersebut di balik dinding kaca. Antara pedang-pedang tersebut, pedang Saidina Ali Karamallahu Wajhahu merupakan yang paling besar dan lebar. Di muzium itu juga tersimpan artifak-artifak penting khalifah Uthmaniyyah, seperti plat-plat konkrit yang bertuliskan khat, dan cap mohor, batu permata, alat-alat kebesaran, pakaian diraja, surau khalifah, dan sebagainya. Secara peribadinya, Muzium Topkapi adalah tempat yang paling bermanfaat dan bermakna buat saya dalam jaulah ini, walaupun saya sangat tidak suka dan sangat alah akan muzium. Namun siapa tahu, hati manusia penuh bolak-baliknya.
Khat yang tertulis nama-nama setiap khalifah yang memerintah
Batu bersurat?
Teka yang mana satukah penulis? :P
Selesai melawat, kami berjalan kaki menuju Eminonu. Kami bercadang ke Istana Dolmabache. Istana Dolmabache terletak di bahagian Eropah juga, namun di seberang Perairan Tanjung Emas. Kedua-dua tebing perairan ini dihubungkan oleh sebuah jambatan pendek yang dikenali sebagai Jambatan Galata . Di kawasan jambatan inilah dipercayai bahawa Maharaja Constantine telah meletakkan rantai gergasi bagi menghalang kapal-kapal perang Al-Fatih daripada melalui perairan tersebut.
Sesampainya kami di seberang, kami mengambil teksi ke Istana Dolmabache. Kami dikenakan bayaran 2.50 lira seorang. Perjalanan menaiki teksi memakan masa 10 minit.
Untuk masuk ke perkarangan istana, setiap seorang dikenakan bayaran sebanyak 1 lira. Bagi yang ingin membawa kamera untuk merakam foto, maka perlu membayar bayaran tambahan. Secara peribadi, perkarangan Istana Dolmabache agak cantik, namun tidak secantik Istana Topkapi. Istana Dolmabache ialah kediaman rasmi khalifah Uthmaniyyah selama pemerintahan enam orang khalifah terakhirnya. Namun kebanyakan daripada mereka tidak mahu mendiami istana ini disebabkan kemewahannya. Dolmabache didirikan bersebelahan dengan Perairan Tanjung Emas.
Di hadapan Istana Dolmabache
Perkarangan istana
Perpustakaan khalifah. Banyak buku kan?
Tandas yang pernah digunakan khalifah (termasuk Mustafa Kemal)
Aduhai, sinki pun penuh dengan ukiran!
Tingkat atas. Sebuah istana yang penuh kemewahan. Patutlah khalifah tidak mahu tinggal di sini!
Hari tersebut pengunjung ramai luar biasa...
Ruang tamu
Istana ini tampak mewah dengan peralatan-peralatan dan hiasan-hiasan moden dan berunsurkan Barat di bahagian dalamnya. Di sinilah Mustafa Kemal Ataturk menemui ajal. Kami dibawa melewati istana ini oleh seorang pemandu pelancong. Antara yang dapat kami lihat ialah bilik mandi, dapur, ruang tamu, bilik tidur, ruang solat dan dewan keraian yang pernah digunakan oleh khalifah moden. Malah kami beruntung pada hari tersebut kerana berpeluang melawat bahagian-bahagian yang dikenali sebagai Harem (bermaksud haram, iaitu kawasan larangan masuk). Kebanyakan orang ramai berpendapat bahawa Harem ini dilarang masuk oleh pekerja dan orang biasa (kecuali kepada kaum diraja sahaja) kerana khalifah dikatakan menyimpan wanita simpanannya dan pelacur di dalamnya. Namun sebenarnya, kawasan ini dilarang masuk oleh kerana ia merupakan kawasan yang dihuni oleh wanita-wanita muhrim (ibu) dan isteri kepada khalifah.
Kami singgah di Masjid Dolmabache untuk bersolat jamak Asar dan Zohor. Masjid Dolmabache ini terletak di sebelah Istana Dolmabache.
Kami berjalan kaki menaiki bukit yang agak curam untuk ke Taksim Square. Taksim Square ialah di mana berdirinya tugu peringatan Mustafa Kemal Ataturk. Kawasan ini merupakan kawasan paling sibuk di Istanbul. Ramai orang lalu lalang menguruskan hal masing-masing. Oleh kerana kami tidak mengambil makan tengahari, maka kami bercadang singgah di Burger King untuk mengalas perut sementara menunggu makan malam.
Tugu peringatan Mustafa Kamal Ataturk di Taksim Square
Taksim yang sibuk
Kami meneruskan perjalanan untuk pulang semula ke hostel. Di sepanjang perjalanan pulang, kami terserempak dengan Menara Galata. Kami singgah sebentar untuk mengambil foto kenangan. Kawasan tersebut dipenuhi lorong-lorong sempit. Di kiri dan kanannya penuh dengan kedai-kedai menjual pelbagai jenis cenderamata dan keperluan-keperluan runcit seperti daging mentah. Memang di sini merupakan kawasan pekan lama, dan kawasan pekan baru ialah berhampiran dengan Taksim Square tadi. Kami juga agak terkejut apabila terdapat banyak anjing-anjing berkeliaran di situ. Mujur sahaja anjing di Turki tidak 'secergas' anjing di Malaysia. Ini kerana sepanjang kami berada di sini, tidak pernah pula berlaku peristiwa kami dikejar anjing dan sebagainya. Mungkin kadar metabolisme anjing-anjing di negara sejuk seperti Turki agak tinggi, menyebabkan mereka sentiasa tidur dan malas menyergah para pelancong. Buat pengetahuan para pembaca, di Istanbul memang terdapat banyak anjing tidak bertuan yang berkeliaran di merata tempat. Jadi, berwaspadalah kalau tidak mahu tangan anda terjilat oleh lidah-lidah mereka.
Menara Galata. Saya tidak tahu apakah tujuan ia dibina. Mungkin sebagai menara cerap yang membantu al-Fatih dan tenteranya.
Sesampainya kami di Jambatan Galata, kami mengambil tram menuju ke Masjid Biru untuk solat Maghrib dan Isyak secara jamak. Perjalanan hari ini sungguh memenatkan namun kami berasa gembira kerana agak banyak tempat yang kami lawati pada hari ini, dan agak banyak juga ilmu yang kami perolehi, selain ukhwah yang semakin rapat. :P
Sekian dahulu laporan tidak rasmi dari BUAH AKAL. Akan menyusul ialah bahagian ketiga laporan ini.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...