May 28, 2009

Jaulah Turki 2009 (Bahagian 3)

Khamis, 2 April 2009
Kami memulakan aktiviti pada hari ini dengan berjalan kaki dari hostel menuju Pelabuhan Feri Eminonu. Cuaca pada pagi ini agak sejuk berbanding hari semalam, ditambah dengan tiupan bayu laut dari Perairan Tanjung Emas yang menambah gigil. Kami sempat mengambil gambar kenangan di situ sebelum menaiki feri pada pukul 10:30 pagi. Setiap seorang dikenakan bayaran 17.50 lira untuk tambang menaiki feri. Kami bercadang untuk berhenti di stesen terakhir feri tersebut, iaitu di Anadolu Kavagi, sebuah stesen feri yang terletak di seberang Asia.

Feri ini menyusur keluar dari Perairan Tanjung Emas, kemudian memasuki Selat Bhosphorus dan menyusur sepanjang selat tersebut. Di sepanjang perjalanan menaiki feri ini juga kami berpeluang melihat dari jauh kubu Rumeli Hissari yang dibina oleh Sultan Muhammad II (Al-Fatih) ketika membuka kota Constantinople. Kubu ini tampak sangat luas dan besar. Ia didirikan di sebelah tebing Eropah, menghadap sebuah lagi kubu di tebing sebelah Asia, iaitu kubu Anadolu Hissari yang dibina oleh Sultan Beyazid. Sayang, kami tidak berpeluang mengunjunginya meskipun telah diatur dalam jadual kembara oleh kerana kesuntukkan masa. Namun, peluang menyaksikannya sahaja dari Selat Bhosphorus sudah mampu mengubat kempunan di hati. Mungkin Saudara pengerusi boleh mengatur satu lagi lawatan ke Turki semata-mata untuk ke Rumeli Hissari. :P


Istana Dolmabache dari Perairan Tanjung Emas


Kubu Rumeli (Turkish-Rumeli Hissari) dari Selat Bhosphorus

Tiga jam perjalanan menaiki feri berakhir di Anadolu Kavagi. Stesen ini terletak berhampiran dengan sebuah kubu tentera Byzantine. Kami tidak melepaskan peluang ke kubu tersebut. Setelah turun dari feri, kami mendaki sebuah bukit yang agak curam. Kawasan bukit ini dipenuhi dengan tumbuhan-tumbuhan liar dan belukar tebal. Teringat pengalaman sewaktu menyertai kem DOE dahulu. Kalau DOE dihiasi dengan tumbuhan berekonomi seperti pokok kelapa sawit yang sangat menguntungkan, tetapi di Turki saya tidak pula menemui walau sebatang pun pokok kelapa sawit.

Di kiri dan kanan jalan juga tidak kurang anjing-anjing liar yang mengikuti kami. Akhirnya kami berjaya sampai dengan selamat ke kawasan puing-puing kubu Byzantine itu. Kubu ini tidaklah sebesar mana saiznya jika hendak dibandingkan dengan kubu Rumeli Hissari.


Kubu dari pandangan hadapan

Pemandangan dari atas bukit sungguh indah. Kami dapat melihat dengan jelas Selat Bhosphorus, Laut Marmara dan Laut Hitam yang saling berhubung, ditambah dengan kehijauan flora dan fauna yang menghiasi kawasan perbukitan itu. Maha Suci Allah yang menciptakannya. Kami menghabiskan masa sebanyak mungkin di sini untuk merakam foto kenangan sebelum kembali turun dari kawasan perbukitan itu untuk solat jamak Zohor dan Asar.


Cuaca yang mendung

Selesai solat, kami mengambil keputusan makan tengahari. Sasaran kami sudah tentulah kedai-kedai makanan laut yang banyak terdapat di pinggiran jeti Anadolu Kavagi. Kami perlu bergerak pulang dari sini pada pukul 3.00 petang kerana ada pertemuan penting yang telah diaturkan dengan pihak Islamic Cultural Centre.

Apabila kami mula mencari kedai makan yang bersesuaian dengan harga dan selera, maka proses mempromosikan gerai makan masing-masing oleh para pengusaha berjalan dengan rancaknya. Ada yang mengeluarkan bakat-bakat terpendam bertutur dalam bahasa Melayu untuk menarik perhatian kami mengunjungi gerai mereka.

Akhirnya, kami malas berfikir panjang kerana kesuntukan masa, maka kami memilih sebuah kedai. Kesemua 12 orang peserta makan di kedai yang sama bagi memastikan tidak ada peserta yang tercicir atau hilang diculik, terutama sekali terhadap peserta yang sukar dikesan.


Lunch

Kami pulang semula ke Stesen Feri Eminonu dengan menaiki feri. Rata-rata peserta tertidur kepenatan natijah dari mendaki bukit yang curam tadi. Sampai di Eminonu, kami mengambil tram untuk ke Masjid Biru kerana telah berjanji dengan Encik Ibrahim Sivinc untuk menemuinya di sana. Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan kerana sejurus sampai, kami sudah bertemunya sekali lagi di dalam masjid itu. (Ibrahim Sivinc ialah lelaki yang kami temui pada hari pertama jaulah di masjid yang sama)

Kami dibawa berjalan jauh oleh lelaki ini dengan menaiki sebuah van. Menurut saudara pengerusi, kami akan ke majlis makan malam. Sedar-tak sedar, kami dahpun sampai di sebuah kawasan pekan.

Kami dibawa masuk ke dalam sebuah anjung (lobby). Bahagian dalamnya seakan-akan anjung hotel. Kami tertanya-tanya adakah kami akan dibawa makan-makan di hotel oleh lelaki tersebut? Ketika ini lelaki itu masih belum sampai kerana beliau menaiki kereta yang berasingan bersama orang kanannya. Jadi kami agak cemas pada ketika itu, bimbang ditipu, tambahan pula kami baru sahaja mengenalinya. Suasana cemas digamatkan lagi apabila kami dibawa melawat ke bahagian tingkat atas bangunan tersebut dan dibawa melihat sebuah bilik asrama.

”Takkanlah makan malam di atas katil asrama?” Kami menggaru-garu kepala kerisauan. Salah seorang ahli rombongan bersangka baik dengan menyatakan bahawa mungkin Encik Ibrahim Sivinc mahu kami menginap di asrama ini buat sementara waktu kerana terlihatkan kami seolah-olah musafir kehilangan arah tujuan hidup ketika bertemu di Masjid Biru, atau mungkin beliau menyangkakan bahawa kami ini kumpulan tarekat, dan kerana risaukan kami maka beliau mengambil langkah drastik menyelamatkan kami dari arus tarekat yang melemaskan.

Namun setelah bertanya kepada remaja-remaja yang lalu-lalang di situ, rupa-rupanya ini ialah sebuah madrasah. Bilik berkatil yang baru kami lawati tadi merupakan asrama mereka. Kami ditanyakan asal negara, dan sejurus menjawab kami dari Malaysia, mereka membawakan kepada kami salah seorang rakannya dari Indonesia. Patutlah, madrasah rupanya, getus hati kecil kami. Kami akhirnya dapatlah menyimpulkan bahawa kami sedang menyertai sebuah lawatan sambil belajar ke madrasah Islamic Cultural Centre of Turkey. Sebuah lawatan yang tidak disangka-sangka.

Tidak lama selepas itu, keluarlah beberapa orang pelajar madrasah terbabit menyambut kedatangan kami. Barangkali mereka ada kelas tadi, patutlah baru keluar. Gelagat mereka seolah-olah sudah lama mengenali kami. Baru sahaja bertemu, mereka kecoh-kecoh dan dengan bahasa Inggeris yang kurang lancar, mereka masih berusaha sedaya upaya bertanyakan hal kami. Suasana senyap dan saspens bertukar menjadi ceria. Mereka tanpa segan silu bergambar dengan kami.


Bersama pelajar madrasah ICC

Kami kemudiannya dibawa melawat ke seluruh bahagian madrasah itu. Madrasah ini lengkap dengan bilik komputer, perpustakaan, surau dan kafetaria. Boleh dikatakan KYUEM di dalam satu set bangunan. Bangunan yang bertingkat-tingkat dan di tingkat teratas terletaknya sebuah kafetaria. Kesemua pelajarnya lelaki. Mereka datang dari serata dunia, namun majoritinya merupakan rakyat Turki. Kami berborak kosong dengan mereka di kafetaria sambil menikmati teh yang dihidangkan sendiri oleh mereka. Pelajar-pelajar ini melayan kami dengan ramah meski jurang bahasa melebar di antara kami, namun itu bukanlah halangan. Hendak seribu daya, mahu seribu cara.


Kutub Khannah atau perpustakaan

Kami sempat bertukar-tukar emel sebelum bergerak mengikut arahan Ibrahim Sivinc yang sedang berada entah di mana pada ketika itu. Tampak jelas di wajah mereka yang begitu berat sekali untuk berpisah dengan kami. Keramahan mereka juga sedikit sebanyak melupakan kerisauan kami yang sedang menantikan ’makan malam’ yang dijanjikan. :)

Kami dibawa pula melawat sebuah kompleks bangunan yang seakan-akan masjid kerana bahagian atapnya penuh dengan kubah-kubah kecil dan beberapa minaret yang didirikan mengelilinginya. Kami bergerak masuk ke dalam. Di sinilah kami bertemu semula dengan Encik Ibrahim Sivinc.Beliau memaklumkan kepada Saudara pengerusi dalam bahasa Arab (saudara Pengerusi telah dilantik secara terpaksa sebagai penterjemah tanpa gaji kerana kebolehan luar biasanya dalam bahasa Arab), kami akan makan malam bersama selepas solat Maghrib dan melawat bangunan tersebut.


Kubah-kubah kecil

Rupa-rupanya bangunan ini bukanlah sembarangan bangunan. Ia bukanlah masjid seperti sangkaan kami. Ia sebuah madrasah, sama seperti tadi. Juga dimiliki oleh Islamic Cultural Centre. Lengkap dengan bilik komputer, perpustakaan dan surau serta bilik-bilik kelas. Kami dibawa melawat kelas-kelas tersebut selesai solat Maghrib. Kelas masih beroperasi meskipun hari sudah malam. Kami diperkenalkan oleh seorang pentadbir kanan madrasah itu kepada pelajar-pelajar dalam kelas tersebut. Apalagi, riuh rendahlah dibuatnya. Masing-masing mahu bertanyakan soalan (terasa seperti artis pada ketika ini), namun apakan daya, mereka sedang menjalani kelas. Maka lawatan kami diringkaskan untuk beberapa minit sahaja.


Kelas malam

Kami makan malam di dewan makan madrasah itu. Kami dihidangkan dengan sejenis bubur dan roti sebagai mukadimah makan malam. Selesai menghabiskannya, kami dihidangkan pula dengan nasi yang seakan-akan nasi beriyani dan kuah kari daging. Segala puji bagi Allah.


Majlis makan malam



Selanjutnya merupakan sesi ramah mesra sambil minum teh bersama pelajar-pelajar madrasah terbabit. Tidak saya sangka bahawa orang Turki memang kaya dengan berbagai jenis teh. Manakan tidak, selepas habis teh biasa, dihidangkan pula teh lemon. Mahu kembung perut dibuatnya nanti.

Dalam sesi tersebut kami bertukar-tukar soalan dan menceritakan kisah masing-masing bersama-sama pelajar terbabit. Kami sempat bertanyakan kedudukan madrasah tersebut. Rupa-rupanya ia terletak hampir dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Ataturk. Barulah kami tahu kami sudah mengembara jauh dari tempat penginapan kami. Kedudukan madrasah tersebut juga terletak di tepi Laut Marmara.

Kami pulang pada kira-kira pukul 11.30 malam dengan menaiki kenderaan yang sama yang membawa kami ke situ. Sebelum pulang , mereka sempat menghadiahi setiap dari kami sebuah buku. Terima kasih atas layanan mesra kamu semua.

Sebuah hari yang panjang. Dari Tanjung Emas, menyusur Selat Bhosphorus dan menjelajah sehingga hampir Lapangan Terbang Ataturk!. Banyak pengalaman baru yang ditimba. Terima kasih Allah kerana mempertemukan kami dengan saudara-saudara seagama kami di sini.

Akan menyusul ialah bahagian terakhir laporan ini.

Sekian laporan dari BUAH AKAL.

Wassalam.

2 comments:

  1. salam..

    sangat menarik pengalaman jaulah kalian..memang teringin nak ke turki buat kedua kalinya..turki sangat unik, I must say..

    ReplyDelete
  2. akma pernah ke turki juga?
    buatlah laporan tidak rasmi... :P
    mungkin pengalaman akma lebih menarik berbanding kami..

    tq kerana memberi komen...nantikan bahagian keempat laporan ini... :)

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...