Mukadimah:
Atas nama berjaulah, maka ber’jauh lah’ kami buat sementara waktu dari ‘cengkerang’ masing-masing.
Isnin, 30 March 2009
Saya bersama-sama peserta dari Birmingham, Manchester dan Warwick bertolak dari stesen tren Selly Oak di Birmingham pada kira-kira pukul 9:30 malam ke stesen tren Victoria di London. Kami kemudian menyambung perjalanan dari stesen Victoria ke Lapangan Terbang Antarabangsa Gatwick dengan menaiki tube. Kami sampai di Gatwick kira-kira pukul 11:30 malam. Kami bertemu dengan beberapa orang peserta dari London dan bermalam di sana. Jumlah keseluruhan peserta Jaulah Istanbul 2009 anjuran MSM West Midlands (ikhwah Birmingham) ini ialah seramai 12 orang. Berikut ialah peserta-peserta berdasarkan mukim pengajian mereka:
Birmingham:5
Manchester:2
London dan Greenwich:3
Warwick:2
Selasa, 31 March 2009
Kami mendaftar masuk di kaunter daftar masuk pada pukul 4:00 pagi. Penerbangan kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken, Istanbul dijadualkan pada pukul 6:00 pagi dan dijangkakan tiba pada pukul 12:00 tengahari waktu Turki, dengan menaiki EasyJet. (tambah 2 jam dari waktu UK).
Proses daftar masuk berjalan lancar walaupun berlaku sedikit kesulitan di kaunter (tersilap nama pada pas berlepas, berlaku kepada dua orang peserta), namun alhamdulillah segalanya dapat diatasi dengan cekap. Kami bersolat Subuh di Gatwick sebelum menjejakkan kaki ke dalam pesawat.
Alhamdulillah, kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gocken, Istanbul pada kira-kira pukul 12:00 tengahari waktu Turki. Cuaca di lapangan terbang agak panas di kemuncak musim bunga ini. Proses daftar masuk melalui kastam juga berjalan lancar. Sementara menunggu van sewa sampai untuk membawa kami ke hostel, kami bersiar-siar meninjau kawasan sekeliling. Buat pengetahuan para pembaca, Istanbul terbahagi kepada dua bahagian, satu bahagian Eropah dan satu lagi bahagian Asia. Kedua-duanya dipisahkan oleh Selat Bhosphorus. Lapangan terbang ini terletak di bahagian Asia, walaubagaimanapun kebanyakan tempat-tempat yang akan kami lawati nanti terletak di bahagian Eropah.
Jet mudah
Perjalanan menaiki van sewa memakan masa kira-kira satu jam setengah. Kami mengambil kesempatan melihat kiri dan kanan bahu jalan, sementara bersembang-sembang dengan pemandu van. Di sini lebuhrayanya sama seperti Malaysia, kena bayar tol jika mahu lalu. Di kiri dan kanan bahu jalan dihiasi dengan warna-warni bunga-bunga. Cuaca pada hari tersebut agak panas suam-suam kuku.
Dalam van menuju hostel
Untuk ke hostel yang terletak di sebelah Eropah, kami melalui sebuah jambatan yang dikenali sebagai Jambatan Bhosphorus. Jambatan ini merentangi Selat Bhosphorus. Rupanya mirip Jambatan Pulau Pinang yang merentangi Selat Melaka di tanah air. Kami berpindah benua dari Asia ke Eropah dalam masa tidak sampai 10 minit.
Jalan yang berliku-liku, ditambah dengan kelajuan van, dan mabuk udara yang masih belum reda, menambahkan rasa loya di tekak. Kami akhirnya tiba di hostel pada kira-kira pukul 2:30 petang. Sesampainya di kaunter daftar masuk hostel (nama hostel kami ialah Istanbul Hostel), kami disambut dengan ramah oleh seorang pekerja hostel. Kami berehat sebentar di hostel sebelum keluar makan dan bersolat jamak Asar dan Zohor.
Dalam perjalanan mencari kedai makan, kami sempat mengambil beberapa keping foto. Hostel kami ini terletak berdekatan dengan Masjid Sultanahmet (Blue Mosque) dan Muzium Hagia Sophia. Pelbagai ragam manusia yang kami temui di sekitarnya. Penjaja-penjaja mengambil kesempatan menjual barangan cenderamata seperti poskad, rantai kunci, buku-buku dan kepingan khat di kawasan taman bunga berhadapan dengan Masjid Biru. Tidak kurang juga peminta sedekah yang berkeliaran di situ.
Hagia Sophia
Masjid Biru (Sultanahmet Camii)
Sedang kami mencari kedai makan yang bersesuaian, kami menerima promosi seorang pengusaha. Oleh kerana kami tidak mahu membuang masa kerana bercadang untuk ke Hagia Sofia selepas itu, maka kami pun bercadang makan di kedainya. Tambahan pula perut semakin galak berbunyi. Dalam kapal terbang tadi tidak disediakan makanan. Kalau ada pun, cuma minuman bergas, roti dan gula-gula yang perlu dibayar kerana tidak termasuk sekali dengan tiket kapal terbang.
Selesai makan, kami bergerak ke Hagia Sophia. Hagia Sophia ialah sebuah gereja yang dibina semasa zaman Maharaja Byzantine, kemudian ditukar kepada masjid semasa pembukaan Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fatih. Namun kini peranan masjid dilenyapkan dan Hagia Sophia kini hanya berfungsi sebagai sebuah muzium oleh Mustafa Kemal Ataturk. Cerita mengenai Hagia Sophia bakal saya kongsikan pada bahagian kedua laporan ini.
Hajat kami untuk menziarahi muzium tersebut terbantut kerana ia ditutup pada pukul 5:00 petang. Lantas kami menukar rancangan dengan melawat Masjid Biru sahaja. Masjid Biru terletak bersetentang dengan Hagia Sophia. Masjid Biru dibina oleh Sultan Ahmad I , khalifah ke-16 dalam siri khalifah kerajaan Uthmaniyyah untuk menandingi Hagia Sophia. Masjid ini merupakan salah satu tarikan senibina di Istanbul dan merupakan lambang ketinggian ilmu senibina umat Islam. Kami mengambil kesempatan untuk bersolat Asar dan Zohor secara jamak di masjid tersebut.
Pintu masuk Masjid Biru
dataran dalam Masjid Biru
Tempat mengambil wuduk
Bahagian dalam
Selesai bersolat, kami berkumpul di dalam satu bulatan. Saudara F**hm* selaku pengerusi jaulah telah memberikan kata-kata ucapan dan mengingatkan kami tentang tujuan sebenar jaulah ini dianjurkan. Pada petang itu juga, di dalam masjid yang mulia itu kami dipertemukan oleh-Nya dengan tiga orang hamba-Nya yang sedang menjalankan usaha-usaha dakwah Islamiyyah di Turki, iaitu Encik Ibrahim Sivinc dari Islamic Cultural Centre serta dua orang kanannya. Mereka seraya menemubual kami serta memperkenalkan diri mereka setelah melihat kami sedang sibuk mendengar butir-butir dari Saudara F**hm*. Mereka begitu berminat mengetahui mengenai kami dan di mana kami belajar. Pertuturan mereka dalam bahasa Arab. Oleh kerana Saudara F**hm* memiliki sedikit asas dalam bahasa Al-Quran itu, maka dilayanlah perbualan mereka dengan agak baik. Mereka menjalankan kerja-kerja dakwah dengan mendirikan sekolah-sekolah di serata Turki. Menurut Saudara F**hm*, setakat ini mereka telah mendirikan 300 buah madrasah yang menekankan pengajian Al-Quran dan sains. Pada petang itu juga di akhir perbualan yang agak panjang, Encik Ibrahim Sivinc, seorang Muslim Turki yang fasih berbahasa Arab, dengan ikhlas menjemput kami untuk satu majlis makan malam. Pada mulanya, Saudara F**hm* dilihat agak keberatan untuk menerima jemputan tersebut memandangkan aturcara jaulah agak padat. Lagipun kami baru sahaja berkenalan dengan mereka. Akhirnya kami bersetuju menghadiri jemputan tersebut, kerana nampaknya orang-orang itu baik-baik belaka, baik dari segi pakaian mahupun percakapan. Tidak nampak seperti selayaknya seorang penculik.
Kami sempat bersiar-siar di tepi Selat Bhosphorus pada petang tersebut. Bayu Bhosphorus yang menghembus begitu sejuk mencengkam sehingga ke tulang hitam. Kami berjalan menyusuri benteng perairan tersebut. Tembok Constantine masih berdiri kukuh di belakangnya. Terdapat kesan-kesan runtuhan dan sedikit kesan bedilan pada tembok-tembok tersebut. Tembok-tembok ini merupakan tembok yang mengelilingi kota Constantinople dan sebagai kubu pertahanan tenteranya. Kesan-kesan bedilan ialah kesan serangan tentera Al-Fatih ketika membuka Constantinople dan membebaskan rakyatnya dari kekejaman Maharaja Byzantine.
Tembok yang dimaksudkan
Berjalan di tepi Selat Bhosphorus
Pada sebelah malam, kami mengambil kesempatan melawat Hippodrome, sejenis monumen berbentuk seakan-akan prisma dengan ketinggian kira-kira 50 meter, berdiri tegah di tengah-tengah sebuah taman. Hippodrome ini ialah monumen yang dihadiahkan oleh kerajaan Mesir kepada kerajaan Turki.
Hippodrome
Sekian dahulu laporan tidak rasmi dari BUAH AKAL.
Wassalam.
Alhamdulillah..akhirnye tersiar jugak post ni..hehe..JZKK syafiq 4 this sharing..nak mintak izin utk disebar-sebarkan ye? (dah kembang kuncup hidung tu!hehe..) Moga ukhwah yg terjalin dan pengajaran yg ditimba sentiasa kekal di sanubari da'ie yg mengikuti Jualah Istanbul KITA! wallahua'lam..
ReplyDeletetq dan insyaAllah..
ReplyDeleteT_T
Extremely enjoyable and a good read, I can tell you have
ReplyDeletea significant interest unlike a lot of other blogs I see.
my web page; Thomson.co.uk voucher codes
You have a very cool style of writing! If you want
ReplyDeleteto do guests posts for me on my web log, please contact me.
Thanks for your insight
Feel free to visit my webpage: holidaydeals2013.beep.com