May 12, 2009

Percaya.

Dalam dunia ini, tidak semua benda atau objek dapat dilihat dengan mata kasar atau dirasa dengan pancaindera yang lain seperti telinga,hidung, kulit dan lidah. Kalau mengikut apa yang dipelajari sewaktu sekolah dahulu, objek atau (English-nouns) atau kata nama terbahagi kepada dua. Satu konkrit dan satu lagi abstrak.

Objek konkrit ialah objek yang dapat dirasakan kewujudannya melalui pancaindera. Contohnya kereta, batu, pokok, kucing dan sebagainya.

Objek abstrak ialah objek yang tidak dapat dirasakan kewujudannya melalui pancaindera. Ia tidak dapat dipegang oleh tangan, tidak dapat didengari oleh telinga dan tidak dapat pula dilihat mata kasar. Contohnya akal, nafsu, mimpi, cita-cita, dan hati.

Tidak semua yang perlu kita percaya, dapat dikesan oleh pancaindera.

Tidak semua yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera, tidak boleh kita percaya.

Begitu juga dengan Tuhan. Kita tidak dapat mengesan zat-Nya dengan pancaindera kita, tetapi kita dapat merasakan bahawa Dia wujud dengan memerhatikan ciptaan-Nya.

Dalam dunia ini, ada yang nyata dan ada yang ghaib. Percaya pada yang ghaib merupakan salah satu syarat berimannya kita kepada Allah.

"Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa; (2) Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka." (Al-Baqarah:3)

Nabi Ibrahim (sejahtera ke atas baginda) merasakan kewujudan Tuhan sewaktu usianya masih muda mentah. Padanya, patung-patung berhala yang disembah kaumnya bukanlah pencipta dirinya. Tuhan tidak semestinya sesuatu yang boleh dilihat.

Tuhan tidak semestinya sesuatu yang boleh dilihat. Tidak semestinya patung-patung yang boleh dilihat itu layak dijadikan tuhan hanya kerana kita tidak mampu melihat-Nya.

Maka dalam perjalanan baginda mencari Tuhan yang sebenar, turun wahyu pertama dari Allah seraya melantik baginda sebagai salah seorang Rasul-Nya.

Kaum Bani Israil menyembah patung lembu betina selepas ditinggalkan Nabi Musa hanya kerana beralasan bahawa permintaan mereka untuk melihat Tuhan tidak dapat dipenuhi oleh Nabi Musa (sejahtera ke atas baginda).

Mereka percaya kepada Samiri kerana Samiri berjaya menunjukkan kepada mereka tuhan yang dapat mereka lihat dengan mata kepala mereka sendiri, iaitu patung lembu itu.

Zaman ini, masih ada penyembah-penyembah berhala. Mereka menyembah berbagai-bagai jenis dewa dan patung, dan roh nenek moyang mereka sendiri. Tidak perlu saya jelaskan agama apa. Anda sendiri sudah tahu.

Kebanyakan dari mereka berupaya memikirkan bahawa patung-patung yang disembah itu tidak mampu memberikan apa-apa kepada mereka DAN tidak layak menjadi tuhan yang patut disembah. Mereka sudah tahu. Mereka meletakkan limau dan makanan di hadapan patung-patung itu. Padahal patung-patung itu tidak pula menjamah walau sedikitpun.

Tetapi mereka berdegil. Kerana mereka terlalu sayangkan nenek moyang mereka. Nenek moyang mereka telah mati dalam agama yang mereka anuti. Lantas kerana sayangnya mereka terhadap nenek moyang yang telah mati, maka mereka tidak sanggup untuk meninggalkan agama tersebut meskipun agama itu terbukti salah.

Sayang mereka terhadap nenek moyang mengatasi kewarasan akal. Tahukah mereka bahawa nenek moyang mereka itu tidak ada apa-apa kepentingan buat mereka di akhirat kelak?

Ada pula antara mereka yang beralasan, mereka sebenarnya menyembah tuhan yang sebenar, tetapi berhala-berhala itu adalah sebagai perantara sahaja.

Mengapa kamu begitu sombong dengan Allah sehingga menggunakan perantara untuk berhubung dengan-Nya? Sungguh kamu hamba-Nya yang sombong! Adakah kamu khuatir Tuhan tidak akan mendengar kata-katamu? Kalau kamu mengharapkan berhala-berhala yang kamu sembah demi menyampaikan doa kamu kepada Tuhan, maka ingin sekali saya bertanyakan, adakah patung-patung itu dapat mendengar doa kamu?

Maka wahai orang-orang kafir, sembahlah Allah! Tuhan yang telah mencipta kamu dan orang-orang sebelum kamu!
"Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. "(Al-Baqarah:21)

Kadang-kadang, orang Islam sendiri menyembah berhala ‘secara tidak langsung’. Mereka memuja jin dan syaitan secara langsung, terutama dalam perubatan tradisional. Antara berhala-berhala lain ialah kubur orang-orang alim, tangkal, azimat, zodiak dan ramalan-ramalan mengikut tarikh lahir. Ada yang benar-benar percaya pada ramalan seorang ahli nujum Perancis berdarah Yahudi, Nostradamus. Meskipun ramalan dia terbukti benar, namun harus diingatkan di sini, persamaan yang berlaku hanyalah kebetulan.

Yang berkuasa ke atas segala sesuatu, termasuk ruang dan masa, yang ghaib dan nyata hanyalah Allah.
" Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani." (A-Hasyr:22)

Siapakah Allah?

Dia ialah zat (English-essence) Yang Maha Agung, yang tidak dapat dikesan oleh pancaindera manusia yang lemah. Dia tidak menyerupai apa-apa pun yang baharu (Tiada langsung sesuatu yang setara dengan-Nya). Dia tidak dirangkumkan oleh ruang dan tidak dibatasi oleh masa. Dia tidak disempadani oleh enam penjuru arah (kiri,kanan,atas, bawah,depan,belakang) dan dia adalah Esa dan Satu, tidak ada satu pun yang sekutu dengannya.

(untuk lebih faham, dalil naqli boleh dilihat di sini. Nasihat saya, blog tersebut agak kontroversial sedikit cara dakwahnya,kerana si penulisnya banyak mengutuk golongan wahhabi, (saya pun tak faham pasal wahhabi ni, no comment) namun kita ambil apa yang baik sahajalah.)

Kita mengenal Allah melalui 99 namanya yang baik-baik. 99 nama-nama yang baik-baik ini tidak boleh difahami secara terlalu terperinci kerana boleh membawa kepada kekufuran akidah seperti yang telah ditegah oleh Imam Malik ( rahmat Allah ke atasnya) dan Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah. Cukup sekadar kita percaya. Misalnya, al-Basir yang bermaksud Yang Maha Melihat. Penglihatan Allah tidak berhajat kepada mata. Penglihatan Allah tidak seperti manusia dan semua makhluk di dunia ini, termasuk jin dan syaitan serta malaikat. Allah melihat dengan cara yang layak bagi-Nya sahaja.

Sememangnya Tuhan itu tidak boleh dibayangi dan difikirkan zat-Nya secara terperinci. Logiknya, jika Tuhan itu dapat difikirkan zat-Nya secara logik sehingga sedalam-dalam mungkin, maka akal manusia yang dicipta-Nya ini menjadi lebih berkuasa dari zat Penciptanya sendiri. Logiklah akal manusia lebih lemah dari Penciptanya, maka logiklah juga akal manusia tidak mampu memikirkan zat Penciptanya dengan terlalu terperinci.

Ibnu Taimiyyah menggariskan tiga tahap keyakinan dalam Islam:
a) Ilman al-yaqin ( percaya dengan keyakinan ilmu)
b) Ain al-yaqin (percaya dengan keyakinan pancaindera)
c) Haqqu al-yaqin (percaya dengan keyakinan yang benar)

Ilman al-yaqin- kita meyakini sesuatu perkara setelah memiliki ilmu mengenainya. Sebagai contoh, kita mengetahui bahawa magnet dengan kutub yang berlawanan apabila didekatkan akan saling menarik. Kita tidak pernah melihat magnet tetapi kita terus percaya setelah mengetahui perkara itu. Inilah ilman al-yaqin. Percaya setelah yakin dengan ilmu sahaja.

Tahap kedua, ain al-yaqin- kita meyakini sesuatu perkara setelah melihat dengan pancaindera apa yang telah diketahui melalui ilmu. Sebagai contoh, kita melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana magnet dengan kutub yang berlawanan apabila didekatkan akan saling menarik. Kemudian kita percaya. Inilah yang dikatakan percaya setelah yakin melalui pancaindera.

Tahap ketiga, haqq al-yaqin- kita meyakini sesuatu perkara setelah hati kita merasakan kebenaran tentang apa yang diketahui dan dilihat. Sebagai contoh, setelah kita meyakini kebenaran fenomena magnet yang berlawanan kutub akan saling menarik, maka kita percaya. Inilah haqq al-yaqin. Ada orang yang hanya percaya setakat mengetahui dan melihat tetapi tidak sampai ke tahap ini (haqq al-yaqin) kerana mereka berpendapat bahawa fenomena itu hanyalah silap mata. Pada mereka, kejadian magnet yang saling menarik antara kutub berlawanan hanyalah sebuah silap mata. Hati mereka tidak dapat mempercayainya.

Jika kita percaya kewujudan Allah dengan keyakinan tahap pertama (ilma-al-yaqin) maka kita percaya setelah mengetahui tentang-Nya. Tahap kepercayaan ini adalah paling rendah. Kita sedia maklum bahawa pancaindera kita tidak akan mampu mengesan kewujudan Allah. Maka bagaimanakah caranya kita yakin terhadap kewujudan Allah melalui pancaindera? Iaitu dengan merenung ciptaan-ciptaan-Nya di alam ini. Kemudian setelah merenung, berfikir. Jika setelah berfikir, hati mempercaya bahawa Allah itu wujud, maka anda percaya dengan tahap ketiga. (haqq al-yaqin).Jika setelah berfikir, hati merasakan bahawa alam ini tiada pencipta, alam ini wujud dengan sendiri, manusia berevolusi dari monyet, alam ini terjadi seperti sebuah silap mata, maka anda tiada haqq al-yaqin. Iman rosak jika tiada keyakinan tentang kewujudan Allah. Naudzubillahi minzalik.

Namun, haqq al-yaqin boleh rosak dengan begitu mudah sekali kerana hati boleh berubah arah dengan sekelip mata sahaja. (qalb- berbolak balik) Bayangkan kita berada dalam situasi di mana kita akan dibakar oleh seorang raja dalam sebuah parit, atau direbus dalam tempayan besar, atau disalib, atau disula dan dibakar, atau dipancung, hanya kerana kita percaya pada Allah. Di sini hati kita akan diuji sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Di sini juga, haqq al-yaqin sangat diperlukan bagi menyelamatkan iman. Di sinilah iman akan diuji dengan seberat-beratnya. Telah ramai para syuhada’ yang gugur kerana mempertahankan akidah mereka. Contoh-contoh mereka yang gugur dapat dilihat dalam cerita-cerita berikut:
a) Kisah ashab-al-ukhdud
b) Kisah masyitah tukang sikat rambut anak firaun.
c) Kisah Ibrahim (sejahtera ke atas baginda) dengan namrud
d) Kisah Sumaiyah dan keluarganya(redha Allah ke atasnya)

Mengapa kaum Bani Israil ketika zaman Nabi Musa (sejahtera ke atas baginda) begitu mudah menyembah patung lembu betina sedangkan mereka telahpun didakwah oleh Nabi Musa (sejahtera ke atas baginda) untuk satu jangka masa yang lama? Kerana mereka tiada haqq al-yaqin. Meskipun telah diberikan bermacam-macam nikmat oleh Allah, mereka ingkar. Apabila Nabi Musa (sejahtera ke atas baginda) menunjukkan mukjizatnya , mereka mengatakan bahawa itu ialah sihir atau silap mata yang nyata. Mereka tidak percaya dengan hati. Mereka melihat bermacam-macam pertolongan dari Allah, namun mereka tidak menggunakan akal untuk berfikir dan hati untuk memahaminya.

Wallahualam.

Semoga mendapat maklumat berguna dari rencana ini walaupun sedikit, insyaAllah.




-Selamat Ulangtahun Pertama BUAH AKAL dan selamat hari ibu buat ibuku...-

8 comments:

  1. masyaallah, penulisan yang sangat mantap..
    mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan hamba Allah yang bertakwa dan beriman..
    dan diberikan kekuatan untuk mengamalkan ilmu kita, tidak hanya pandai berkata-kata..kelak kita akan dipertanggungjawabkan atas semua kata-kata dan ilmu yang kita miliki, mengapa tidak diamalkan..
    medan cakap lebih luas dari medan amal, medan amal lebih luas dari medan mujahadah..
    kita lakukan amal bukan kerana kita suka lakukan, atau kerana kita ada masa terluang, tetapi kerana ia adalah tuntutan agama..
    ingatan utk diri ini jua..
    wallahualam..

    ReplyDelete
  2. salam..
    thanks for this entry, bnyk yg bole kte manfaatkan..
    sy mahu jadi mcm pemuda alkahfi, yg sanggup mempertahankan agama..
    sama2 kte berdoa..

    ReplyDelete
  3. tq kerana kongsi ilmu...betul2.. :)

    ReplyDelete
  4. believe..we, as a muslim trust 100% that jannah and narr are really2 exist, but why we are still not go for it?..we still think that dunia is everything, still strive for it until we forget about akhirat, dunia had blind us..Allah, please forgive us..=(

    ReplyDelete
  5. haih, kenapa semua anonymous dari birm ni? hmmm...

    ReplyDelete
  6. Assalamu'alaikum syafiq..mane tau Anonymous2 kat atas tu dr Birm?pandai2 je..name pon Anonymous..hehe..btw, kupasan Aqidah yg menarik, melambangkan kefahaman dan kesejahteraan pegangan insyaAllah..TAPI, seperti yg Anonymous 1 cakap, we have to walk our talk! Let's strive for it insyaAllah! AND, not to forget, Aqidah yg sejahtera juga menuntut kesejahteraan hubungan sesama manusia seperti yg dituntut-Nya..

    Wallahua'lam..

    -FAHMI-

    p/s: "Adakah ini hasil 'pertapaan'mu?" kata Jalalabad..hehe

    ReplyDelete
  7. terimalah kebanaran, walaupun ianya disampaikan oleh seorang pelacur/pencuri/pembunuh dll..

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...