May 21, 2009

Peperangan Ain Jalut. (Bahagian 4)

Kemenangan di Gaza
Pada 26 Julai 1260 M, Baibras sudah berjaya melepasi sempadan Mesir - Palestin. Dia berjaya melepasi Rafah, Khan Yunus dan Dir Balah. Kini dia berada terlalu hampir dengan bandar Gaza.

Perisikan Tatar berjaya mengesan kemaraan tentera Baibras. Mereka menyangka bahawa pasukan itu adalah keseluruhan tentera Islam tanpa mengetahui tentang kewujudan pasukan kedua tentera Islam yang berada jauh dari Gaza. Berita tersebut sampai kepada tentera Tatar. Ketika itu tentera utama Tatar di bawah pimpinan Katabgha masih lagi jauh dari Gaza. Mereka berada di bumi Lubnan, 300 kilometer dari Gaza. Dengan itu mereka menghantar satu pasukan yang tidak begitu besar untuk menghadapi tentera Islam.

Berlakulah pertembungan di antara dua pasukan tersebut. Kali pertama setelah puluhan tahun, tentera Islam menang di dalam pertembungan melawan Tatar. Terbunuh di dalam peperangan tersebut sebahagian tentera Tatar. Tentera yang terselamat melarikan diri menyampaikan berita tersebut kepada Katabgha.

Marah bercampur terkejut. Itulah reaksi Katabgha dan tentera Tatar ketika mendengar berita kekalahan mereka. Sebelum ini mereka sudah terbiasa membunuh orang Islam tanpa mendapat tentangan sengit. Mereka juga sudah terbiasa dengan beberapa Raja Islam yang menghinakan diri memohon perdamaian dari mereka. Di luar jangkaan mereka, masih ada lagi tentera Islam yang berani melawan mereka dan mampu mengalahkan mereka. Ini adalah pengalaman baru bagi Tatar.

Di pihak tentera Islam, kemenangan itu menaikkan semangat mereka untuk terus berjihad. Mereka tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya mereka akan terus ke hadapan sehingga ke kehancuran Tatar.

Pemilihan Lokasi Peperangan: Ain Jalut
Tentera Islam terus bergerak dari Gaza melepasi Asqalan dan Yafa. Dari situ mereka singgah sebentar di Akka dan berjumpa dengan pimpinan tentera Salib di Akka untuk memastikan perjanjian masih lagi dipatuhi oleh mereka.

Seterusnya Qutuz dan tentera Islam bergerak meninggalkan Akka menuju ke Ain Jalut. Di manakah Ain Jalut?

Ain Jalut terletak tidak jauh dari perkhemahan Janin sekarang ini. Ia terletak di antara bandar Bisan dan Nablus. Ia terletak 65 kilometer dari Hittin, medan peperangan Hittin yang berlaku pada tahun 583 H. Ia terletak 6o kilometer dari Yarmuk, medan peperangan Yarmuk yang berlaku enam kurun sebelumnya. Kedudukannya banyak mengembalikan memori tentera Islam kepada kemenangan tentera Islam sebelum itu.

Ia dipilih kerana ia adalah kawasan lapang yang luas dan dikelilingi oleh bukit kecuali di bahagian utaranya. Bukit-bukit tersebut dipenuhi pokok-pokok yang memudahkan tentera Islam untuk bersembunyi. Satu pasukan kecil di bawah pimpinan Baibras diletakkan di bahagian utara sementara tentera yang lain bersembunyi di sebalik pokok.

Semua berada dalam keadaan bersedia menanti kedatangan Katabgha dan tentera Tatar.

24 Ramadhan 658 H
Ketika Qutuz dan tentera Islam sudah pun berada di bumi Ain Jalut, datang sejumlah sukarelawan dari Palestin. Sebelum ini mereka menyembunyikan diri dari medan peperangan. Kesungguhan Qutuz dan qudwah yang ditunjukkan oleh beliau telah menghilangkan ketakutan mereka.

Di samping itu, medan Ain Jalut juga mula dipenuhi dengan petani-petani, kanak-kanak dan wanita. Sebahagiannya ada yang telah tua dan uzur. Kesemuanya keluar untuk memberikan bantuan dalam bentuk yang mereka mampu. Qutuz benar-benar berjaya menggerakkan umat Islam kembali ke medan jihad.

Di hari yang sama, datang seorang utusan kepada tentera Islam dan memohon untuk bertemu dengan Qutuz. Dia memperkenalkan dirinya sebagai wakil Sorimuddin Aibak, seorang muslim yang dijadikan tawanan Tatar dan dipaksa berkhidmat untuk tentera Tatar. Wakil tersebut berkata bahawa dia membawa beberapa pesanan dari Sorimuddin Aibak untuk disampaikan kepada Qutuz.

Pesanan tersebut adalah beberapa maklumat penting untuk tentera Islam:
a. Tentera Tatar tidak lagi sekuat sebelum ini. Holago telah membawa sebahagian tentera dan panglima perangnya ke Tibriz, Iran. Kekuatan mereka tidak lagi sekuat ketika mereka menakluk Syam.
b. Bahagian kanan tentera Tatar lebih kuat dari bahagian kiri mereka. Dengan itu tentera Islam hendaklah menguatkan bahagian kiri mereka untuk menghadapi bahagian kanan tersebut.
c. Asyraf al-Ayubi, Raja Hims yang sekarang ini bersama tentera Tatar ingin kembali ke pangkuan tentera Islam. Mereka akan melakukan tipu helah agar tentera Tatar yang bersama mereka dapat dikalahkan.

Maklumat ini diterima oleh Qutuz dengan penuh hati-hati, bimbang jika sekiranya ia adalah sebahagian dari taktik dan tipu daya Tatar.

Semua ini berlaku pada siang 24 Ramadhan 658 H di Ain Jalut.

Pada malamnya Qutuz dan tentera Islam melakukan tahajud dan memohon dari Allah kemenangan tentera Islam dalam pertempuran esok hari. Malam itu adalah malam 25 Ramadhan dan kemungkinan ia adalah malam Lailatul Qadar. Mereka menghabiskan malam mereka dengan tahajud dan doa serta menyerahkan diri kepada Allah. Moga-moga Allah menerima mereka sebagai hambaNya dan memberikan kemuliaan kemenangan atau syahid di medan pertempuran esok hari.

Moga-moga esok adalah hari di mana mereka boleh menebus semula kematian jutaan umat Islam di tangan Tatar.

25 Ramadhan 658 H
Fajar menyinsing tiba. Hari yang dinantikan oleh tentera Islam dan muslimin yang bersama dengan mereka sudah menjelma. Hari itu adalah hari Jumaat 25 Ramadhan 658 H.
Tentera Tatar di bawah pimpinan Katabgha tiba dari arah utara. Tentera Islam bersembunyi di sebalik pokok-pokok. Pasukan kecil di bawah Baibras yang pada asalnya berjaga di sebelah utara dan menzahirkan diri juga menyembunyikan diri mereka ketika tentera Tatar tiba.

Qutuz memberikan arahan agar tentera Islam keluar menzahirkan diri secara berperingkat, satu katibah demi satu katibah.Ketika katibah pertama turun dari bukit dan menghampiri tentera Tatar, Katabgha dan tentera Tatar menjerit ketakutan. Katibah ini turun dengan memakai pakaian berbelang putih dan merah. Keseluruhan peralatan senjata mereka dihias cantik. Mereka turun dalam keadaan tersusun. Pergerakan mereka sama dan seimbang.

Katabgha bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab: “Inilah katibah Sanqar ar-Rumi.”

Kemudian turun pula katibah kedua. Katibah ini memakai pakaian berwarna kuning dan membawa senjata yang berhias indah. Mereka juga turun dalam keadaan tersusun, pergerakan yang sama dan seimbang.

Katabgha bertanya kepada Sorimuddin Aibak: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin menjawab: “Inilah katibah Balban ar-Rasyidi.”

Kemudian turun pula katibah seterusnya dengan memakai pakaian berwarna lain. Setiap kali katibah baru turun, Katabgha akan bertanya kepada Sorimuddin: “Pasukan apakah ini?” Sorimuddin yang tidak mengetahui keseluruhan nama-nama katibah Mamalik mula mereka-reka nama tertentu untuk menambahkan ketakutan Katabgha.

Tentera Mamalik terpecah kepada banyak katibah. Setiap katibah akan memakai warna tertentu yang membezakannya dengan katibah lain. Kuda mereka akan dihias dengan warna yang sama. Begitu dengan senjata, khemah dan bahkan rumah-rumah mereka di Mesir. Semuanya akan diwarnakan dengan warna katibah masing-masing.Semua katibah ini adalah sebahagian tentera Islam yang dipimpin oleh Baibras. Baki tentera yang masih lagi ramai menyembunyikan diri bersama Qutuz.

Gendang mula dimainkan oleh pasukan gendang tentera Islam. Sudah menjadi kebiasaan tentera Mamalik, mereka akan meletakkan satu pasukan gendang di medan perang. Mereka memainkan rentak yang akan memberikan isyarat tertentu kepada tentera Mamalik.Isyarat tersebut hanya mampu difahami oleh tentera Mamalik. Setiap pergerakan tentera akan ditentukan oleh gendang tersebut.

Pasukan Baibras sudah berada hampir dengan tentera Katabgha. Peperangan sudah semakin hampir.

akan disambung lagi...

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...