May 29, 2009

Jaulah Turki 2009 (Bahagian terakhir)

Jumaat, 3 April 2009
Hari ini merupakan hari terakhir kami di sini. Memandangkan setiap dari kami masih belum membeli apa-apa sebagai cenderamata, maka kami bersepakat membelinya pada hari ini. Kami juga bercadang untuk melawat makam salah seorang sahabat Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) yang terkenal, iaitu makam Abu Ayyub Al-Ansari (redha Allah ke atasnya). Kami menaiki sebuah bas dari stesen bas Eminonu menuju Eyup.

Kami berjalan-jalan di kawasan luar makam tersebut sambil mengambil foto kenangan. Terdapat juga makam-makam ulama-ulama yang bersemadi di kawasan makam Abu Ayyub (redha Allah ke atasnya) ini. Di sebelah makam ini berdiri sebuah masjid yang diberi nama Masjid Eyup Sultan.


Masjid Eyup Sultan


Kubur ulama. Batu nisan mereka besar-besar. Apakah motifnya?

Kami bergerak masuk ke dalam kompleks permakaman Abu Ayyub Al-Ansari (redha Allah ke atasnya) dan mendapati sebahagian dari pengunjung yang sedang melakukan tawasul. (berdoa dengan perantaraan orang soleh di atas kemuliaannya, sebagai contoh dengan menggunakan ayat berikut sebagai mengiringi doa yang dibacakan: (Ya Allah dengan kemuliaan sahabat Rasulullah(selawat dan salam ke atasnya) ini, maka... . ) Akidah Ahlussunnah Wal Jamaah tidak berpegang kepada fahaman ini, kerana dalam berdoa, tidak ada hijab antara Allah dengan hamba-Nya. Setiap orang bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya. Jika seseorang melakukan amalan baik, maka dia bertanggungjawab ke atasnya, dan jika seseorang melakukan amalan jahat, maka dia bertanggungjawab ke atasnya juga.


Gejala tawasul semakin berleluasa dewasa ini. Ingatan buat diri dan para pembaca: syirik bermula dalam masyarakat terdahulu angkara perbuatan ini. Kaum Arab Quraisy yang dulu menganut agama Ibrahim beralih arah sedikit demi sedikit angkara taksub dengan perbuatan mendewa-dewakan ulama mereka, seperti Habal, Latta dan U'zza.


Makam Abu Ayyub Al-Ansari (redha Allah bersamanya)

Inilah kali pertama saya melawat makam sahabat Rasulullah(selawat dan salam ke atasnya). Terlintas di fikiran satu petikan jawapan Abu Ayyub (redha Allah ke atasnya) yang saya baca, tatkala ditanya mengapa beliau mahu makamnya didirikan di situ. Jawabnya:

"aku ingin mendengar derapan tapak kaki raja dan tentera yang terbaik yang akan menakluk kota Constantinople ini"

Begitu teguhnya percaya seorang sahabat Nabi terhadap janji Rasulullah (selawat dan salam ke atasnya) itu.





Kemudian kami mengambil kesempatan melakukan solat sunat tahiyyatul masjid di Masjid Eyup Sultan. Selesai solat, kami meneruskan lawatan ke Masjid Al-Fatih dengan menaiki bas. Masjid Al-Fatih ini terletak di atas bukit dan bersebelahan dengan makam Sultan Muhammad Al-Fatih. Kami sekali lagi mengambil kesempatan bersolat sunat tahiyyatul masjid sebelum melawat makam Al-Fatih.


Masjid Fatih. Batang-batang besi yang dipasang adalah untuk proses pulihara masjid ini.


Bahagian dalam Masjid Fatih yang penuh dengan batang-batang besi.

Di makam inilah bersemadikan jasad seorang manusia yang telah dijanjikan oleh Allah (Maha Suci Dia dengan segala ketinggian) dalam sebuah hadis Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) yang akan menakluk kota Constantinople. Sebaik-baik raja ini telah memimpin sebaik-baik tentera menggunakan teknologi dan strategi peperangan terbaik pada zaman itu bagi menundukkan seorang maharaja yang angkuh dan menindas rakyatnya di bawah cengkaman kuku besi dan tembok keras yang mengelilinginya. Sekali lagi kami bertemu dengan pengunjung-pengunjung yang bertawasul di makam.




Makam al-Fatih

Menurut sebuah rencana ringkas yang diletakkan di luar makam tersebut, terdapat 13 (lebih kurang) cubaan bunuh ke atasnya oleh para pemberontaknya, namun dengan bijaknya baginda berjaya meloloskan diri (kerana ajal belum tiba), sehinggalah baginda mangkat diracun oleh seorang doktor Yahudi yang menyamar sebagai Muslim.

Kami bercadang untuk solat Jumaat di Masjid Suleymaniye (wah, masjid lagi!).Mengapa banyak sangat masjid di Turki ini ya? Mungkin inilah sebabnya Istanbul digelar 'Bandar Seribu Masjid'. Kalau suatu bandar itu banyak ikan patin, maka dinamakan 'Bandar Ikan Patin', iaitu Temerloh. :) Tapi kalau banyak masjid yang tidak dimakmurkan ,tidak ada apa yang perlu dibanggakan, malah ia salah satu tanda-tanda kiamat, apabila banyak masjid didirikan tetapi tidak dimakmurkan. It's better quality than quantity!


Dalam perjalanan, kami bertemu dengan satu binaan Byzantine yang agak menarik iaitu tali air (aqueduct). Saya hanya pernah terbaca mengenai aqueduct dalam buku teks sejarah tingkatan empat (Bab Tamadun Rom dan Yunani, cuba check balik), namun tidak menaruh sebarang minat pun terhadapnya. Tetapi pabila ia di depan mata mulalah sakan bergambar. Biasalah, hati manusia penuh bolak-baliknya. :)


Harap kami tidak mati dihempap patung kuda itu. (Tugu Peringatan al-Fatih)


Monumen tua di belakang itu ialah aqueduct yang dimaksudkan

Kami singgah makan tengahari di sebuah kedai makan.







Selesai makan, kami terus bergerak ke Masjid Suleymaniye. Masjid ini dibina pada zaman Sultan Sulaiman Al-Qanuni (Sultan Sulaiman The Magnificient-Sultan Sulaiman Penguatkuasa Perundangan). Kami bercadang solat Jumaat di situ sebelum ke Grand Bazaar dan Egyptian (Spice) Bazaar (Turkish-Misir Carsisi).


Masjid Suleymaniye


Dari tingkat atas

Untuk ke bazaar, kami mengambil jalan pintas melalui Universiti Istanbul. Undang-undang sekular yang diperkenalkan Mustafa Kamal masih berkuatkuasa di universiti ini. Pelajar Muslimah tidak dibenarkan memakai kain tudung kepala. Malah terdapat sebuah bilik tempat membuka dan memakai kembali kain tudung. Semoga Malaysia tidak menjadi seperti ini, naudzubillahi minzalik.

"Ya Allah, lindungilah negaraku dari pimpinan mereka yang menderhakai hukum-Mu"

Tidak banyak perkara bermanfaat yang dapat diceritakan mengenai lawatan di bazaar pada hari ini. Cuma beza antara Spice Bazaar dengan Grand Bazaar ialah, Spice Bazaar menjual pelbagai jenis makanan kudapan, manisan dan rempah ratus. (juga sedikit objek bukan makanan seperti rantai kunci dan khat). Sementara Grand Bazaar menjual barangan bukan makanan seperti kain tudung, khat, tasbih, dan berbagai lagi cenderamata lain (makanan pun ada dijual, cuma tidak secara pukal di Spice Bazaar). Pesan saya kepada sesiapa yang ingin membeli makanan, jangan beli di Grand Bazaar kerana ia lebih mahal berbanding di Spice Bazaar.







Sabtu, 4 April 2009
Kami berkemas-kemas untuk pulang. Penerbangan ke London Gatwick dijadualkan pada pukul 1.00 tengahari dan dijangka tiba pada pukul 5.00 petang waktu UK. Kami mengambil peluang yang mungkin terakhir untuk merakam foto kenangan di Istanbul.

Van yang pernah mengambil kami di Lapangan Terbang Sabiha Gocken akhirnya tiba di hostel penginapan kami untuk membawa kami semua ke lapangan terbang tersebut kembali.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang kami membincangkan rumusan jaulah ini serta apa yang kami telah perolehi. Kami sama-sama berkongsi ilmu dan pengalaman baru dalam mengisi masa yang terluang ini.

Terasa begitu sayu tatkala kenderaan kami menyusuri Jambatan Bhosphorus menuju ke seberang Asia negara Turki. Selamat tinggal Istanbul! Entah bila lagi kami akan ke sini. Mengimbas kembali kenangan ketika kami melalui jambatan ini lima hari lalu, terasa masa begitu sekejap berlalu. :(

Kami sampai di London Gatwick pada jam 5.00 petang waktu UK. Saya dan Saudara F***an telah mengambil tiket pulang ke Birmingham pada pukul 7.00 malam. Kami berdua bertolak dari stesen Victoria London pada jam tersebut dan sampai di Birmingham pada pukul 9.00 malam. Ada antara peserta terutamanya yang belajar di London telah pulang ke dewan kediaman dan rumah masing-masing, namun yang tinggal jauh seperti Warwick dan Manchester ada yang memilih untuk pulang ke rumah pada keesokan harinya.

Sekian dahulu laporan tidak rasmi jaulah Turki 2009 untuk kali ini, saya bagi pihak peserta mengucapkan terima kasih buat saudara pengerusi dan rakan-rakan seperjuangannya senior-senior yang telah bertungkus-lumus demi menjayakan jaulah ini. Diharapkan kita semua dapat mengambil ibrah dan pengajaran dari lawatan singkat ini. Janganlah pula sekadar mencipta puisi , mentang-mentanglah mengambil ibrah. :o

Terima kasih kerana membaca.

Disediakan oleh,
muhandisul kimya,
fi sabilillah.

5 comments:

  1. mcm dapat rasakan perasaan sedih dan syahdu bila meninggalkan bumi Istanbul yg sgt byk kaitan dgn diri kita as a muslim.
    Di mana bakal pengganti Sultan Muhammad Al-Fateh??

    *credit to buah akal kerana berjaya menulis laporan jaulah yg menarik yg sangaaat panjang:)

    ReplyDelete
  2. terima kasih kepada tanpa nama.
    semuanya dari Allah.

    :)

    ReplyDelete
  3. Sesungguhnya, saya amat-amat teringin sekali mahu ke Turki. Moga bekesempatan sebelum akhir pengajian saya... isk...

    ReplyDelete
  4. perkongsian yg sungguh mwnarik. teruskan menulis..

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...