Apr 24, 2009

Teori graviti .

Kenalkah anda dengan Newton? Ya, Newton, saintis yang suka termenung selain dari termenung di dalam jamban. Termenung beliau bukan termenung kosong, tetapi bak kata orang-orang melayu ‘ diam-diam ubi berisi’ atau dalam bahasa Manglish ‘ silent-silent , actually there is a potato in’.

Alkisahnya, maka tersebutlah kisah di mana dia duduk di bawah sepohon pokok epal dan termenung selepas penat membaiki mesin. Pokok ini merupakan pokok yang bersejarah dalam sejarah Inggeris. Mujur sahaja orang-orang Inggeris tidak memiliki kepercayaan keramat dan khurafat, maka tiadalah orang-orang Inggeris yang menyembah pokok epal sebegini. Tetapi orang-orang Melayu pula, selepas berjanji di bawah sepohon pokok di Perak, mereka mengupah pula orang membuat plak peringatan di bawah pokok itu. Aduh!

silent-silent, actually potato was in

Dan tidak semena-mena, buah epal yang masak ranum telah bedebuk jatuh menghentam kepala si Newton yang penuh dengan rambut yang serabai dan serabut seserabut pemikirannya. “ Op*c*t…. ! blab la bla” latah si Newton. (Newton mungkin tidak melatah agaknya). Dan apa yang si Newton ini fikirkan? Ya, sama seperti ilmuwan Islam yang beratus-ratus tahun sebelumnya, iaitu kewujudan suatu daya tarikan Bumi yang menarik setiap objek ke arahnya. Semua objek bergerak ke pusat Bumi dengan pecutan yang sama.

Ini bukan pokok epal Newton

Sebenarnya saya bukanlah mahu cerita dengan lanjut tentang penemuan beliau ini, kerana anda semua sudah sedia maklum bahawa perbincangannya akan membawa kepada penyakit kisaran otak dan kepeningan tahap moksya di mana anda akan tenggelam jauh ke dalam dunia dy/dx bla, bla, bla dan sebagainya, dan anda serta saya mungkin akan terpaksa dimasukkan ke wad Tanjung Rambutan dan yang sejenis dengannya.

Sebenarnya, Newton hanya membuat penemuan fizikal, tetapi beliau mungkin terlupa sesuatu. Ya, selain memiliki daya tarikan graviti, Newton tidak menyedari bahawa Bumi ini sebenarnya mempunyai satu lagi daya tarikan.

Bahawa Bumi ini sebenarnya mempunyai satu lagi daya tarikan.

Apakah yang dimaksudkan Bumi ini mempunyai satu lagi daya tarikan?

Tarikan ini dinamakan sebagai daya tarikan ‘al-wahnu’.

Tarikan ‘al-wahnu’ menarik rohani manusia ke Bumi, malah sehingga ke perut Bumi.
Sedang tarikan graviti hanya menarik jasmani manusia ke Bumi.

Kerana tarikan ‘wahnu’ maka manusia lupa pada Tuhannya, terlalu cintakan dunia yang binasa dan akhirnya takut mati.

Nabi pernah bersabda bahawa anak Adam itu jika diberikan dua lembah emas dan perak, tidak akan didatanginya melainkan juga bersama lembah yang ketiga dan dia tidak akan puas selagi tidak disumbatkan tanah ke dalam mulutnya. (ditanam dalam kubur selepas mati)- maksud hadis (au kama qaal- lebih kurang begitu)

Nabi juga pernah bersabda bahawa umat Islam amat ramai pada akhir zaman tetapi mereka seperti makanan yang dikerumuni atau seperti buih-buih di lautan. Ini kerana Allah akan mencabut kegerunan musuh-musuh Islam dan mencampakkan penyakit cintakan dunia dan takutkan mati dalam hati umat Islam. (maksud hadis-au kama qaal)

Begitu hebatnya penangan tarikan ‘wahnu’ berbanding tarikan graviti.

Bagaimana menangani daya tarikan ‘ al-wahnu’ ini?

Iaitu dengan berpegang teguh pada ‘tali’ Allah.

Kadangkala semasa bergayut, kita akan diuji. Tangan terasa penat dan melelas. Kita rasa untuk turutkan juga daya tarikan ‘al-wahnu’.

Kalau hari ini kita beriman, siapa tahu mungkin esok lusa kita akan penat diuji dan mungkin akan menjauhkan diri dari Tuhan. (naudzubillahiminzalik). Siapa tahu. Kerana hati ini penuh bolak-baliknya.

Bagaimanakah untuk mengukuhkan pegangan pada tali-Nya dan mengurangkan kelelasan tangan kita yang sedang bergayut?

Sudah tentulah dengan menambahkan daya tujah ke atas!

Sepertimana roket menghasilkan daya tujah yang membatalkan daya tarikan graviti.

Seperti itu juga kita menghasilkan daya tujah ke atas yang dapat mengurangkan lelas tangan, dan mengalihkan hati kita dari menerima tawaran daya 'al-wahnu' untuk menyelamatkan kita.

Caranya ada lima; ‘tombo ati’:
a) Membaca al-Quran dan maknanya
b) Perbanyakkan puasa
c) Solat malam
d) Berkumpul dengan orang-orang soleh
e) Perbanyakkan zikrullah.



Insya-Allah daya tujah yang besar akan terhasil jika dilakukan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah.

Wassalam.

‘Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’ (Al-Baqarah:256)

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...