Apr 15, 2009

Ashabul Ukhdud.

Sebuah kisah kaum sebelum zaman Nabi Muhammad S.A.W. yang begitu teguh mempertahankan keimanan mereka kepada Allah S.W.T. .

Sumber: Sahih Muslim :: Buku 42 : Hadith 7148

(rujuk laman web untuk rujukan semula)

Suhaib R.A. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda : "Suatu masa dahulu tinggal seorang raja sebelum kamu dan dia mempunyai seorang ahli sihir. Ketika ahli sihir itu sudah tua dia berkata kepada raja tersebut: Aku sudah semakin tua, hantarkanlah kepadaku seorang pemuda supaya aku dapat mengajarkannya sihir. Raja tersebutpun menghantarkan kepadanya seorang pemuda supaya ahli sihir tersebut dapat melatihnya dengan sihir.

Dalam perjalanan pemuda tersebut berjumpa ahli sihir itu, dia bertemu seorang pendeta. Dia mendengarkan kata-kata pendeta itu dan merasa kagum dengannya. Dan akhirnya menjadi kebiasaan bagi pemuda tersebut dalam perjalanan berjumpa ahli sihir itu, dia akan singgah berjumpa dengan sang pendeta dan duduk di situ dan kemudian berjumpa dengan ahli sihir (lewat) untuk menuntut ilmu sihir. Ahli sihir itu memukulnya kerana lewat. Dia mengadukan hal tersebut kepada sang pendeta dan pendeta tersebut berkata: Apabila kamu berasa takut dengan ahli sihir itu, katakanlah: Ahli keluargaku menahanku. Dan apabila kamu berasa takut dengan keluargamu maka katakanlah: Ahli sihir menahanku.

Maka begitulah seterusnya sehinggalah pada suatu hari berlaku suatu peristiwa di mana seekor binatang buas yang besar (pemangsa) menyekat perjalanan sekumpulan orang, dan pemuda tersebut berkata : Aku akan ketahui pada hari ini siapakah yang benar, sama ada ahli sihir atau si pendeta. Dia mengambil seketul batu lalu berdoa: Wahai Allah, jika hal pendeta tersebut benar di sisi-Mu berbanding hal ahli sihir, maka Engkau sebabkanlah kematian binatang ini supaya orang-orang yang sedang tersekat dapat lalu-lalang dengan bebas. Dia pun melontarkan batu itu ke arah binatang itu dan membunuhnya dan orang-orang yang ada di situ dapat bergerak dengan bebas. Dia lalu datang kepada pendeta itu dan memberitahu hal tersebut dan pendeta tersebut berkata: Wahai anak, sekarang kamu lebih hebat dariku. Hal dirimu telah sampai ke satu tahap di mana pada firasatku, engkau akan diuji, dan jika engkau benar diuji, janganlah engkau memberitakan barang sedikitpun akan halku.

Kemudiannya, pemuda itu merawat orang buta dan orang yang berpenyakit kusta, dan dia mula merawat semua jenis penyakit. Dan apabila orang suruhan raja yang buta mendengarkan hal ini, dia datang kepada pemuda tersebut dengan hadiah yang banyak lalu berkata: Jika engkau dapat menyembuhkan aku, semua yang telah aku kumpulkan ini akan menjadi milikmu. Kata pemuda tersebut: Aku tidak menyembuhkan sesiapapun. Allah lah Yang Menyembuhkan dan jika engkau beriman kepada Allah, maka aku akan berdoa kepada Allah untuk menyembuhkanmu.

Orang itu lantas beriman kepada Allah dan Allah menyembuhkannya dan dia kembali kepada raja dan duduk di sebelahnya sepertimana kebiasaanya sebelum ini. Raja tersebut berkata kepadanya: Siapa yang menyembuhkan penglihatanmu? Orang suruhan itu berkata: Tuhanku. Kemudian raja bertanya: Ini bermakna Tuhanmu adalah yang selainku? Orang itu menjawab: Tuhanku dan Tuhanmu ialah Allah. Maka raja tersebut menangkapnya dan menyeksanya sehingga dia memberitahukan hal pemuda tersebut.

Pemuda tersebut ditangkap dan raja tersebut berkata: Wahai budak, telah dibagitahu kepadaku bahawa engkau menjadi sungguh mahir dalam sihirmu di mana engkau telah menyembuhkan orang buta dan berpenyakit sopak dan kamu melakukan hal-hal begitu dan begini. Pemuda tersebut menjawab: Aku tidak menyembuhkan sesiapapun, Allah lah Yang Menyembuhkan. Raja itu menangkapnya lalu menyeksa pemuda itu. Pemuda itu akhirnya memberitahu hal pendeta tersebut. Pendeta tersebut ditangkap dan dikatakan kepadanya: Kembalilah engkau kepada agama asalmu. Pendeta itu bagaimanapun enggan melakukannya. Raja itu mengarahkan agar diambilkan gergaji dan diletakkan di tengah-tengah kepala pendeta itu, dan digergajinya sehingga terbahagi dua dan salah satu bahagiannya jatuh. Kemudian orang suruhan raja itu tadi dibawa dan dikatakan kepadanya: Kembalilah engkau kepada agama asalmu. Dia juga enggan melakukannya, dan gergaji diletakkan di atas kepalanya dan digergajinya sehingga terbelah dua.

Kemudian pemuda tadi dibawa dan dikatakan kepadanya: Kembalilah kepada agama asalmu. Dia enggan melakukannya dan dia dihantar kepada sekumpulan orang-orang raja itu. Raja tersebut berkata: Bawa dia ke sebuah gunung, sehingga kamu sampai di puncaknya dan apabila kamu sampai di sana, suruh dia kembali kepada agama asalnya. Jika dia enggan, campakkan dia dari puncak gunung itu. Maka merekapun membawa pemuda tersebut ke sana. Pemuda tersebut berdoa: Wahai Allah, selamatkanlah aku dari mereka dengan apa jua cara yang Engkau kehendaki. Dan gunung tersebut mula bergoncang dan kesemua mereka jatuh dan pemuda tersebut berjalan kaki menemui raja tadi. Raja tersebut berkata: Apa yang telah berlaku kepada panglima-panglimaku yang mengiringimu? Pemuda itu menjawab: Allah telah selamatkan aku daripada mereka. Kemudian raja itu menghantar pemuda itu lagi kepada sekumpulan panglimanya dan berkata: Bawa dia dengan menaiki perahu, dan apabila kamu sampai ke tengah lautan, suruh dia kembali kepada agama asalnya dan sekiranya dia enggan, maka campakkan dia ke dalam lautan.

Maka mereka membawa pemuda itu dan pemuda tersebut berdoa: Wahai Allah, selamatkanlah aku daripada mereka dan dari apa yang mereka mahu lakukan terhadapku. Tidak lama selepas itu, perahu tersebut terbalik dan mereka semuanya lemas dan pemuda itu berjalan pulang menemui raja, dan sang raja kembali berkata kepadanya: Apa yang telah berlaku kepada panglima-panglimaku yang mengiringimu? Pemuda tersebut menjawab: Allah yang selamatkan aku daripada mereka, dan dia berkata kepada raja: Engkau tidak boleh membunuhku sehingga engkau lakukan apa yang aku suruh. Raja bertanya: Apakah yang perlu aku lakukan? Pemuda itu menjawab: Kau hendaklah mengumpulkan orang ramai di sebuah tanah lapang dan ikatkan aku pada sebatang pokok. Kemudian ambilkan anak panahku dan katakanlah: Dengan Nama Allah, Tuhan sekalian alam, dan kamu lontarkan ia kepadaku dan jika kamu lakukannya, nescaya kau akan dapat membunuhku.

Lalu raja itu pun memanggil orang ramai di sebuah tanah lapang dan mengikat pemuda itu pada sebatang pokok, dan dia mengambil anak panah pemuda itu dan meletakkannya pada busur lalu berkata: Dengan Nama Allah Tuhan pemuda ini, dan dia pun melepaskan anak panah itu lalu mengenai pelipis pemuda itu. Pemuda itu meletakkan tangannya pada pelipis di mana anak panah itu tertusuk lalu diapun terus mati. Orang ramai berkata: kami beriman kepada Tuhan budak ini, kami beriman kepada Tuhan budak ini, kami beriman kepada Tuhan budak ini.

Panglima-panglima raja datang kepada raja lalu berkata: Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah benar-benar melakukan apa yang engkau takuti selama ini? Mereka telah mengakui keimanan mereka kepada Allah. Raja itu memerintahkan agar digali parit di laluan-laluan penting di kawasan tersebut. Setelah parit-parit tersebut digali, dan api dinyalakan di dalamnya, maka dikatakan kepada orang ramai: Sesiapa yang tidak meninggalkan agama pemuda itu akan dicampakkan ke dalam api , atau dikatakan kepada mereka supaya terjun ke dalamnya. Seluruh rakyat memilih mati dan tidak menukarkan pegangan mereka hinggalah seorang wanita datang bersama bayinya dan dia berasa serba salah untuk terjun dan berkatalah bayi itu kepada ibunya:Wahai ibuku, bersabarlah sesungguhnya kita di pihak yang benar."


Dalam al-Quran, Allah telah melaknat raja dan kaum yang menggali parit itu dalam Surah Al-Buruj. (Qutila ashabul ukhdud- celakalah kaum yang menggali parit)

ashabul ukhdud - ahli parit, merujuk kepada raja dan kaum yang zalim yang menggali parit itu.

Al-Burooj

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Demi langit yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang; (1)

Dan hari (pembalasan) yang dijanjikan; (2)

Dan makhluk-makhluk yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan yang disaksikan; (3)

Celakalah kaum yang menggali parit, (4)

(Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (5)

(Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, (6)

Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman. (7)

Dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji! (8)

Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. (9)

Sesungguhnya orang-orang yang menimpakan bencana untuk memesongkan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab Neraka Jahanam (kerana perbuatan buruk itu) dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat). (10)

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka akan beroleh Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; yang demikian itu ialah kemenangan yang besar. (11)

Sesungguhnya azab Tuhanmu (terhadap orang-orang yang kufur ingkar) amatlah berat. (12)

Sesungguhnya Dialah yang menciptakan (sekalian makhluk) pada mulanya dan yang mengembalikannya (hidup semula sesudah mati). (13)

Dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Pengasih. (14)

Tuhan yang mempunyai Arasy yang tinggi kemuliaannya, (15)

Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya. (16)

Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal (kebinasaan yang telah menimpa) kaum-kaum yang menentang (Rasul-rasul yang diutuskan kepada mereka)? (17)

(Mereka itu ialah kaum) Firaun dan Thamud (kaum Nabi Soleh). (18)

(Kaummu wahai Muhammad, bukan sahaja menolak ajaranmu), bahkan orang-orang yang kafir itu terus tenggelam dalam keadaan mendustakan kebenaran; (19)

Sedang Allah, dari belakang mereka, melingkungi mereka (dengan kekuasaanNya)! (20)

(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir), bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (21)

(Lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz.(22)

Semoga mendapat pengajaran berguna dari kisah ini. Wallahualam.

2 comments:

  1. Laa..baru nak cite dlm usrah minggu ni..xpe2, sbb ko dah sedia,haa..siaplaa..hehe.. (FAHMI)

    ReplyDelete
  2. wah, anda penulis maklumbalas tanpanama yang pertama di blog ini...

    tq kerana sudi melawat...:p

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...