Apr 6, 2009

Rumusan: Mac 2009

Tirai Mac 2009 dibuka dengan sebuah rencana mengenai agama dan sains yang merupakan dua bidang berbeza yang saling menyokong antara satu sama lain. Bulan Mac juga menyingkap sejarah Jabir Ibn Hayyan, bapa kimia moden dan bukannya Robert Boyle seperti yang dicanang-canangkan oleh Barat yang perasan bagus. Sebagai blog yang merupakan ruangan perkongsian ilmu, saya tidak mensia-siakan peluang ini dengan berkongsi rencana yang saya perolehi secara tidak sengaja di bilik solat universiti, iaitu rencana mengenai bahaya berlaku syirik kepada Allah. Puisi-puisi seperti 'globalisasi', 'notis telah dikeluarkan' dan 'belum tentu' adalah puisi-puisi muhasabah untuk diri sendiri, tidak sekali-kali untuk mengutuk sesiapapun. Saya menulis puisi globalisasi dengan mesej bahawa untuk memperbaiki keadaan, kita perlu memperbaiki diri sendiri terlebih dahulu, bukannya memaksa keadaan agar terbaiki untuk memenuhi kemahuan diri sendiri. Pernah dengar cerita raja dengan kulit lembu? Begini, seorang raja berjalan di sebuah negeri. Kemudian dia terpijak duri. Lalu diarahkan agar seluruh negeri itu ditutup dengan kulit lembu. Namun seorang pemuda berotak geliga telah mencadangkan agar raja tersebut menutup kakinya sahaja (iaitu dengan memakai kasut) daripada membazir duit rakyat untuk menutup permukaan tanah keseluruhan negeri itu. Puisi 'notis telah dikeluarkan' ialah puisi menegah dari tidak melakukan apa yang kita perkatakan, manakala puisi 'belum tentu' secara keseluruhannya menyampaikan mesej bahawa hidayah itu milik Allah. Kita tidak punya hak untuk mengecap seseorang itu masuk syurga atau neraka kerana itu semua urusan Allah. Apa yang penting kita perlu berusaha ke arah mencapai redha-Nya. Insya-Allah. Saya juga menulis ulasan usrah pilihan pada bulan ini, iaitu "Perbendaharaan Allah itu terlalu luas berbanding perbendaharaan manusia."

Secara umumnya, bulan ini saya kurang menulis kerana kekurangan masa disebabkan tuntutan kerja kursus yang melambak. Namun saya akan cuba dari masa ke semasa untuk menyalin rencana-rencana yang saya perolehi itu di sini, agar blog ini tetap dikemaskini. Buat pengetahuan pembaca kebiasaannya saya akan membaca dahulu dan menapis bahan yang saya peroleh sebelum menulis dalam ayat saya sendiri, namun kadangkala akibat kekurangan masa maka saya hanya akan menyalinnya sahaja ke dalam blog. Maaf jika ada sebarang kekurangan dalam penulisan saya setakat ini.

Akhirkata, saya mengucapkan takziah kepada Saudari Dayang Nur Hadziah di atas pemergian Allahyarham bapanya dalam penghujung bulan ini akibat strok. Maaf di atas kelewatan pengumuman. Saudari Dayang mungkin tidak mengenali saya disebabkan 'kemisterian' saya, namun saya mengenali semua orang dalam 'batch' saya di KYUEM. Salam takziah sekali lagi dan banyakkan bersabar. Mungkin mudah untuk saya berkata demikian namun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Al-fatihah buat Allahyarham.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah. Bagi tiap-tiap umat ada ajal (yang ditetapkan); maka apabila tempohnya tiba, tidak dapat mereka melambatkannya sesaatpun dan tidak dapat mereka menyegerakannya." (Yunus:49)

4 comments:

  1. Assalamaualaikum. Salam persinggahan. Bagus entri yang kamu kongsikan di sini. Kamu belajar di mana, ya? Kamu menulis puisi? menarik. Boleh kongsikan? saya suka membaca puisi-puisi seperti tajuk2 yang kamus ebutkan itu. kalau tak keberatanlah.

    Salam perkenalan dari barukisu.
    Wassalam

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Terima kasih kerana melawat. Maaf sebab letak link phoenixrajawali kat blogroll tanpa izin, sebab aku cadang nak kumpul semua blog yang ada puisi best. Puisi-puisi saya yang telah disebutkan tu boleh dicari dalam kumpulan entri mac 2009. Terima kasih sekali lagi kerana melawat blog ini.

    ReplyDelete
  3. Saya sudah baca kesemua puisi kamu dlm ruangan puisi.... kamu memnag berbakat!! Tersukan menulis, ya! wassalam.

    ReplyDelete
  4. salam(peace!)

    waaaaaaaaaaaaaaa, syafiq :-)

    memang aku ni tak kenal ko walaupun dah sekelas 2 tahun n hari2 kacau ko sampai ke UK..

    maaf, lambat, prasan blog ni...

    -xclassmate maths/furthermaths

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...