Apr 7, 2009

Kejatuhan Uthmaniyyah. (Bahagian 3)

Dalam Perang Dunia Pertama, Negara-negara Arab berpakat dengan British dan Perancis menentang Daulah Islam Uthmaniah. Mereka kemudiannya dikhianati oleh Britain dan Perancis dan kemudiannya ditakluki.

Perbuatan mereka ini sangat bertepatan dengan firman Allah S.W.T. dalam al-Quran:

"Tidakkah engkau melihat dan merasa hairan (wahai Muhammad) terhadap sikap orang-orang munafik itu? Mereka tergamak berkata kepada saudara-saudara mereka yang kafir dari kalangan (kaum Yahudi) ahli Kitab: Sesungguhnya, kalau kamu dihalau keluar sudah tentu kami akan keluar bersama-sama kamu dan kami tidak akan tunduk taat kepada sesiapapun untuk menentang kamu selama-lamanya; dan kalau kamu diperangi, sudah tentu kami akan membela kamu! Padahal Allah mengetahui dan menyaksikan bahawa sebenarnya mereka adalah pendusta. (11) Demi sesungguhnya! Jika orang-orang (Yahudi) itu dihalau keluar (dari Madinah), mereka (yang munafik) ini tidak akan keluar bersama-samanya dan demi sesungguhnya, jika orang-orang (Yahudi) itu diperangi, mereka (yang munafik) ini tidak akan membelanya dan demi sesungguhnya, jika ditakdirkan mereka membelanya sekalipun, sudah tentu mereka (semuanya, Yahudi dan munafik) akan melarikan diri; kemudian mereka tidak akan mendapat pertolongan; (12) (Kerana) sesungguhnya kamu dalam hati mereka, sangat ditakuti lebih dari Allah; yang demikian itu, kerana mereka ialah kaum yang tidak mengerti (akan kekuasaan Allah dan kebesaranNya).(13)" (Al-Hasyr: 11-13)


Negara-negara Barat juga
meracuni pemikiran umat Islam supaya memberontak terhadap Khilafah dan menimbulkan keraguan tentang keupayaan (potensi) Islam dalam menangani berbagai masalah. Di antara pemikir-pemikir yang berjaya mereka racuni ialah Ziya Gokalp (1875-1924) iaitu seorang pemikir Turki. Bapa saudaranya banyak mendidik beliau dalam berbagai bahasa iaitu Turki, Arab dan Farsi disamping mengajarnya ilmu-ilmu yang lain. Di sepanjang kehidupan beliau, beliau cuba menanamkan di kalangan umat Islam tentang apa yang dianggap beliau kegagalan Islam dalam menyelesaikan masalah umat Islam dan beliau merasakan dengan meniru Barat sahajalah umat Islam dapat keluar dari masalah tersebut. Oleh kerana beliau dirasakan sebagai ancaman kepada umat Islam, beliau telah di ‘arraigned’ dalam tahun 1897 dan kemudian dibuang ke tempat asalnya di Diyarbakir.

Menjelang tahun 1908, beliau diiktiraf sebagai seorang penulis liberal yang pro-Barat dan menjadi pensyarah di kampungnya. Beliau menetap di Istanbul dari tahun 1912 hingga 1919. Ketika tempoh ini, beliau muncul sebagai seorang nasionalis yang memperjuangkan nasionaslime Turki yang menggunakan pendekatan Barat. Bapa sekular Turki, Mustafa Kamal kemudian melibatkan beliau dengan pergerakan nasionalisnya.

Usaha Sultan Abdul Hamid Dalam Pembangunan dan Kesatuan Umat

Sultan Abdul Hamid berpandangan bahawa “tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan dan kita mempunyai mutu dan kekuatan yang membolehkan kita mencapai pemulihan yang sepenuhnya. Kita tidak mempunyai ramai rakan tetapi negara ini mestilah menjadi negara yang terbaik kerana banyak negara yang ingin merebutnya dan menjalankan dasar yang semata-mata untuk memburukkan kita sehingga kita mudah menjadi mangsa mereka.” Beliau tekun menjalankan tugasnya sebagai pemimpin negara. Semua surat yang dikirim kepadanya dibacanya sendiri dan beliau menyusun sebarang dokumen dengan teratur hinggakan dikatakan beliau boleh mencari dokumen-dokumen tersebut dengan mudah walau pun dalam keadaan gelap. (h. 317, Constantinople)

Beliau memerintah dengan baik dan sering berbincang dengan berbagai lapisan masyarakat, sama ada birokrat, intelektual mahu pun rakyat jelata. (Shaw, 1977). Sikapnya yang prihatin terhadap umat Islam membuatkan beliau popular. Penggalangan kekuatan umat Islam dan ketaatan mereka kepada beliau berhasil mengurangkan tekanan Eropah terhadap Khilafah Islam (Majalah Inthilaq, No. 7, Th. 2, 16 Mei 94, Jakarta).

Ketua perkhidmatan Istana daripada tahun 1878 hingga kematiannya dalam tahun 1900 adalah Field Marshall Gazi Osman Pasha. Beliau adalah seorang yang kuat menentang negara-negara Barat dan juga merupakan seorang jaguh yang mempertahankan Khilafah ketika tentera Khilafah dikepung di Plevna. Dua orang anaknya telah mengahwini anak-anak perempuan Sultan Abdul Hamid.

Setiausaha pertama Sultan adalah Sureyya Pasha, berbangsa Turki dan digantikan dalam tahun 1894 oleh seorang lagi bangsa Turki bernama Tahsin Pasha yang tekun bertugas dan taat kepada Khalifah. Tahsin Pasha tidak pernah bercuti selama 12 tahun dan ketekunannya bekerja membuatkan hanya menyadari ketibaan musim panas hanya kerana buah-buah strawberi dibawa kepadanya untuk dimakan. Di bawah kepimpinan Tahsin, 12 orang setiausaha yang merupakan graduan-graduan dari sekolah pentadbiran awam bekerja keras siang dan malam. Pejabat-pejabat khas dalam istana mentadbir hal ehwal Albania, rantau Balkan dan bekerjasama dengan tentera dan perisik untuk mengawai sebarang musuh-musuh Negara Islam.

Kakitangan istana Yildiz adalah dari berbilang kaum seperti bangsa Turki, Greek, Armenia, Arab, Jerman, Poland dan Itali. Alexander Karatheodory Pasha adalah orang Greek paling penting dalam istana. Beliau dilahirkan dalam tahun 1833, anak kepada Stephane Karatheodory, doktor Sultan Abdul Majid. Beliau bertugas sebagai penterjemah pertama kepada Sultan Abdul Hamid. Sultan Abdul Hamid memberi kepercayaan kepadanya dan menggambarkan Alexander sebagai ‘seorang yang mempunyai bakat yang tinggi, bukan sahaja beliau seorang diplomat paling pintar dalam Khilafah tetapi yang paling pintar di Eropah’.

Alexander menetap dalam sebuah apartmen dalam istana Yildiz. Tuduhan yang mengatakan bahawa Khilafah Uthmaniyah hanya mengambil orang-orang Turki untuk memegang jawatan-jawatan dalam pemerintahan dan tentera adalah tidak tepat. Justin McCarth (h. 124) mengatakan, “ Beberapa tugas ketenteraan dikendalikan oleh askar-askara ‘freeborn’. Seluruh perkampungan bertindak sebagai pengawal-pengawal ‘derbend’. Tujuan mereka adalah untuk melindungi jalan-jalan utama, laluan-laluan pergunungan dan gudang-gudang perniagaan. Orang-orang kristian dan Islam memainkan peranan sebagai pengawal-pengawal ‘derbend’.”

Penulis Dr. Mouaffaq Bany Al-Marjeh dalam bukunya “Kebangkitan Orang Sakit” (h. 32) mengatakan, “ Abdul Hamid mengambil orang-orang Arab sebagai anggota rombongannya, orang-orang Kurd sebagai penyokongnya dan orang-orang Chechenia sebagai para pengawalnya. Banyak pengkaji-pengkaji sejarah yang mengira terdapat beratus-ratus orang Arab dalam tentera Khilafah Uthmaniyah.”

Selepas 1895, Ahmed Izzet al-Abid dari Damsyiq, Syria, dinaikkan pangkat dan menjadi setiausaha kedua dalam istana Yildiz. Pemimpin Zionis, Theodor Herzl, menggambarkan Ahmed sebagai seorang yang pintar. Beliau juga mengetuai sebuah lembaga yang bertanggungjawab untuk memperbaiki perbendaharaan. Salah satu pencapaian Sultan dan Ahmed ialah pembinaan landasan keretapi untuk membawa jemaah-jemaah haji dari Damsyiq ke Makkah.

Dalam tahun 1872, pemerintah Belanda secara resmi telah mengarahkan konsulnya di Jedah di bawah Jabatan Luar Negeri supaya menghantar laporan perisikan ke Den Haag tentang jemaah haji dari Indonesia. Dari jabatan tersebut, laporan itu dikirimkan ke Jabatan Koloni yang selanjutnya melaporkannya ke Gabenor Jeneral. Tugas utama konsul ini, melalui informannya, ialah untuk mengawasi perkembangan di tanah jajahan ‘Jawa’ (istilah umum di dunia Arab untuk semua orang dari daerah yang sekarang meliputi Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand, yang bermukim di Makkah. Namun lembaga ini tidak berhasil. Pegawai-pegawai Khilafah tidak mahu menyerahkan kembali orang ke Indonesia yang dianggap pemberontak oleh Belanda malah kalau ada orang dari Indonesia yang lari dari daerah pemerintahan Belanda ke Makkah (daerah bebas kafir), mereka sering diterima sebagai pahlawan dan ada yang diberi tunjangan (bantuan) dari Khilafah. (Republika, 15/3/2000; Snouck Hurgrinje, 1959: 1446-1509)

Abdul Hameed tidak melupakan pembangunan di dalam negaranya, dia telah membina banyak institusi dan perkhidmatan kepada umum seperti pasar Hamedi, Istana Al-Azm di Damsyiq, Syria. Dia juga membina banyak masjid, tempat mandi umum, pasar-pasar dan hospital-hospital di Kaherah (Mesir) , Damsyiq, Sana (Yemen) , Baghdad (Iraq) dan bandaraya-bandaraya Islam yang lain. Khilafah Uthmaniah cuba untuk meniru sistem pendidikan Eropah tetapi gagal kecuali dalam dua bidang iaitu perubatan dan ketenteraan.

Tentera Uthmaniah tidak selemah seperti yang disangkakan oleh masyarakat sekarang. Pasukan meriam Uthmaniah adalah yang terkuat di dunia. Angkatan Laut Uthmaniah terurus dengan baik dan berada di tempat yang ketiga terkuat selepas Britain dan Perancis. Jerman terlibat dalam proses mengukuhkan tentera Khilafah. Voi Moltke, pemimpin tentera Jerman dalam perang Jerman melawan Perancis telah diberi tanggungjawab untuk menyusun semula tentera Khilafah dan mengukuhkan bahagian timur Daulah Islamiah untuk menghadapi sebarang pencerobohan Rusia. Abdul Hamid juga mewujudkan pasukan ‘gendarmarie’ di Macedonia. Banyak industri seperti pembuatan senjata, tenunan dan gula diwujudkan.

Dalam tahun 1886, kilang sutera yang didirikan oleh bapa Sultan Abdul Hamid telah membuka kedainya sendiri di Grande Rue de Pera (h. 313, Constantinople). Pembukaan kedai itu juga menandakan terdapatnya pembaikpulihan (recovery) dalam pengilangan yang juga turut berlaku dalam industri-industri lain. Dalam tahun 1893, sebuah kilang ‘china’ dibina di Istanbul. Di kilang itu, pakar-pakar dari Switzerland dan Perancis mengajar rakyat Khilafah tentang teknik-teknik untuk membuat dan melukis ‘porcelain’. Di Istana Yildiz terdapat makmal fotografi, perpustakaan dan bengkel pertukangan yang sering digunakan oleh Sultan Abdul Hamid di masa lapangnya. Beliau merupakan seorang tukang yang mahir dan telah mereka kerusi-kerusi untuk anak-anak perempuannya dan mencipta kayu-kayu untuk membolehkan askar-askar yang cedera berjalan. Dalam Istana Yildiz juga terdapat empat buah hospital, sebuah ‘observatory’, sebuah makmal farmasi, sebuah kilang percetakan, sebuah bengkel ‘embroidery’ dan sebuah zoo. (h. 314, Constantinople). Menjelang tahun 1891, di Istanbul terdapat beberapa kilang membuat tekstil, fez, ‘gunpowder’, sutera, batu-bata, ‘tile’, kaca dan dua buah kilang gas.(h. 329, Constantinople)

Rakyat berbilang kaum hidup dalam keadaan aman dan makmur di bawah pemerintahannya. Ini digambarkan oleh seorang pakar arkaelogi Barat, Karl Grafen Lanckoronski yang menjalankan penyelidikan di Antalya, Turki. Ulasannya tentang kunjungannya ke Antalya dalam tahun 1885 adalah seperti berikut: “Di Adalia, 25,000 hingga 26,000 penghuni mendiami lebih kurang 4,500 buah rumah. Dari keseluruhan penduduk di situ, 7,000 terdiri dari bangsa Greek, 50 Armenia, 250 Yahudi dan majoriti selebihnya adalah orang-orang Islam bangsa Turki. Di kalangan orang-orang Islam terdapat juga bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain. Terdapat 10 buah masjid, 8 gereja Kristian, 1 gereja Armenia, 1414 kedai, 13 rumah tumpangan dan 13 tempat mandi umum yang dikenali sebagai ‘Turkish baths’. Masjid-masjid itu juga berfungsi sebagai sekolah dan di masjid-masjid itu 1,500 orang pelajar lelaki menerima pendidikan. Disamping itu, terdapat sebuah sekolah untuk 120 orang pelajar dan 6 buah institusi pengajian tinggi yang menampung 300 orang pelajar. Masyarakat Greek mempunyai sebuah institusi pengajian tinggi dan 2 buah sekolah untuk pelajar-pelajar lelaki, sebuah sekolah untuk pelajar perempuan dan sebuah lagi untuk kanak-kanak. Di kesemua sekolah ini, 450 orang pelajar lelaki dan 300 orang pelajar perempuan mendapat pendidikan. Bandar itu juga mempunyai sebuah hospital Turki dan sebuah hospital Greek.” (Risalah pelancongan mengenai Antalya, Turki, yang dikeluarkan oleh Antalya
Golden Orange Art & Cultural Foundation, 1997).

Sejak abad ke 16, ramai tenaga pengajar, penyair dan saudagar-saudagar bangsa Arab lebih gemar berada di Istanbul dari berada di Baghdad dan Kaherah (Mesir) (h. 322, Constantinople).

Pengawal-pengawal Istana Yildiz juga terdiri dari berbilang bangsa yaitu Arab, Turki dan Albania yang ditempatkan dalam ‘barrack’ di sekitar istana. Pengawal dalaman istana terdiri dari bangsa Albania yang tingginya mencapai enam kaki. Komander pengawal , Tahir Pasha, adalah berbangsa Albania. (h. 315, Constantinople). Abdul Hamid juga melantik pegawai-pegawai politik dari kalangan orang Arab. Beliau melantik seorang ulamak , Abul Huda, dari Aleppo, Syria, sebagai pengajar aqidah di istana Yildiz dan sebagai ‘Rumeli kadiasker’ (ketua hakim untuk wilayah Eropah). Abul Huda menulis sejumlah 212 buah buku dan nasyrah (risalah) Islam. Syeikh Zafir al-Madani dari Tripolitania dipertanggungjawabkan dengan tugas penyebaran dan penyatuan umat Islam khasnya di utara Afrika. (h. 322, Constantinople)

Beliau juga mengambil berat terhadap bidang pendidikan. Kolej-kolej yang sudah sedia wujud seperti Akademi Tentera (Harbiye), Kolej Ilmu Politik (Mulkiye) dan kolej perubatan (Taibiyye) diperbaiki sedemikian rupa hingga berjaya membentuk struktur yang kekal. Salah sebuah kolej termasyhur ialah Sekolah Perubatan Tentera Haydar Pasha yang telah direka oleh arkitek dari Itali bernama Raimondon d’Aroncon yang telah disiapkan dalam tahun 1895 di Istanbul. Bilangan pelajar bertambah dengan drastik. Selain dari kolej-kolej yang telah sedia wujud, 18 buah kolej telah dibina lagi dan universiti yang pertama di Turki telah dibina di Istanbul. Sekolah-sekolah rendah (Rutiye) telah dibina di setiap wilayah dan pendidikan peringkat sekolah menengah selama 7 tahun yang dikenali sebagai Idadi telah disediakan di pusat-pusat wilayah yang besar. Bilangan Kolej Latihan Guru-guru telah ditambah dari sebuah menjadi 31 buah. Graduan-graduan terbaik dari sekolah pentadbiran awam bertugas sebagai kakitangan di Istana Yildiz membantu menguruskan hal ehwal rakyat. Sebuah sekolah untuk kaum-kaum yang menetap di pedalaman telah didirikan di Dolmabahce dalam tahun 1892. Ia bertujuan untuk membolehkan mereka menikmati kemakmuran dan perkembangan dalam ilmu dan peradaban serta mengukuhkan aqidah dan kefahaman mereka terhadap Khilafah Islamiyah. Selepas lima tahun belajar di Istanbul, mereka akan pulang ke tempat asal mereka sebagai guru atau pegawai. Anak-anak muda dari wilayah yang jauh seperti kepulauan Jawa, Maghrib, Iran dan Bulgaria telah diberi pendidikan dengan dibiayai sepenuhnya oleh Khilafah. (h. 323, Constantinople)

Suatu lagi usaha penting yang dilakukan ialah dalam bidang akhbar dan penerbitan. Ketika pemerintahan Sultan Mahmud hanya 11 buah buku diterbitkan setiap tahun. Angka ini meningkat sehingga 285 di bawah pemerintahan Sultan Abdul Hamid. Bilangan kilang-kilang percetakan meningkat daripada 59 menjadi 99 buah di bawah pemerintahannya. Penerbitan Ykdam dan Sabah mencapai angka 15,000 dan 12,000 masing-masing iaitu angka yang agak tinggi pada ketika itu. Banyak akhbar diwujudkan dan sebelum Perang Dunia Pertama; Mesir, Iraq dan Syria mempunyai lebih 1300 akhbar dan majalah.

Abdul Hamid menggalakkan pembangunan komunikasi. Rangkaian landasan keretapi yang meliputi hanya beberapa ratus kilometer sahaja ketika dia baru dilantik menjadi Sultan telah ditambah menjadi 6,000 kilometer di akhir pemerintahan. Beberapa landasan menghubungi Istanbul dengan Eropah dalam satu arah dan dengan Hijaz dalam arah lain yang disiapkan oleh jurutera-jurutera dan pekerja-pekerja Muslim. Rangkaian telegraf telah dipertingkatkan hingga mencapai kawasan-kawasan pedalaman. Sistem jalan raya diperbaharui dan pelabuhan diperbesarkan. Landasan keretapi yang menghubungkan Damsyiq dengan Makkah untuk membawa para jamaah haji dibiayai oleh umat Islam seluruh dunia dan walau pun terdapat masalah untuk membinanya merentasi padang pasir, umat Islam berjaya menyiapkannya malah menjelang tahun 1908 landasan itu sudah menjangkau sehingga Madinah.

Dalam tahun 1894, Abdul Hameed menghadiahkan satu salinan kajian pembangunan Khilafah kepada Perpustakaan Kongres. Kajian itu melibatkan lebih dari 6 studio fotograf. Kajian itu dikendalikan oleh pakar-pakar fotograf Sultan yang terdiri daripada 3 adik beradik bangsa Armenia yang menubuhkan sebuah firma bernama Abdullah Ferres di Istanbul. Kajian itu kelihatannya dirancang oleh Abdul Hameed sebagai gambaran pembangunan Khilafah untuk Ekspo Columbia
Dunia dalam tahun 1893 tetapi akhirnya tidak dipamerkan. Kajian itu termasuklah gambar-gambar bersejarah tentang kejayaan dan pembangunan yang dilaksanakan semasa pemerintahannya seperti tentera yang disusun dan dilengkapi dengan sempurna, briged penyelamat dan bomba yang canggih, birokrasi kastam dan kehidupan di Istana. (Web page) Sultan Abdul Hamid juga telah mewujudkan sistem statistik paling tepat dalam sejarah Khilafah Uthmaniyah (h. 328, Constantinople)

Pembangunan tersebut seolah-olah menunjukkan dalam sedikit masa sahaja ia memperlihatkan seperti Orang Sakit Eropah akan bangkit akhirnya tetapi sekutu-sekutu Barat memastikan Kesatuan Islam hancur dengan apa cara jua sekali pun. Penduduk minoriti bukan Muslim dalam negara Uthmaniah digunakan oleh Barat untuk membuat kacau dan mewujudkan ketidakstabilan terutamanya warga Kristian. Negara-negara Barat sering campur tangan ke dalam dasar dalaman Khilafah Uthmaniah atas alasan "Melindungi minoriti Kristian".

Barat juga menyebarkan dakyah Kristian dalam dunia Islam dengan membina sekolah-sekolah Kristian dan gereja-gereja. Matlamatnya untuk memesongkan orang-orang Islam jauh dari Islam dan menyebarkan pemikiran-pemikiran dan tabiat sosial yang bercanggah dengan Islam. Banyak akhbar diterbitkan untuk tujuan yang sama, iaitu untuk meracuni pemikiran orang-orang Islam dan mengembangkan idea-idea yang rosak dan konsep-konsep yang salah dikalangan mereka. Barat juga mahu membuatkan negara Uthmaniah sibuk menguruskan pelbagai masalah dan oleh itu sekali lagi ia memperalatkan golongan minoriti.

Barat menggalakkan dan membiayai revolusi penentangan bangsa Armenia terhadap Khilafah Uthmaniah. England membantu kaum Druz dan Perancis membantu kaum kristian Maronit di Lubnan dan kedua-duanya terlibat dalam pertempuran yang besar dan ia diselesaikan dengan campurtangan tentera Uthmaniah. Semakin banyak masalah di antara orang-orang Islam dan Kristian berlaku dan pernah terjadi suatu ketika penduduk Islam di Damsyiq, Syria hampir menghapuskan penduduk Kristian di Bandaraya itu. Tentera Uthmaniah campurtangan pada saat-saat akhir dan mengelakkan pembunuhan beramai-ramai berlaku. Era ini adalah pertempuran antara konspirasi Barat dan pertahanan tentera Abdul Hameed bersama orang-orang Islam yang taat setia.

Perkara penting yang perlu dinyatakan adalah hutang Khilafah Uthmaniah, semasa Abdul Hameed mula berkuasa adalah 2528 juta Lira emas. Semasa dia disingkirkan daripada berkuasa, hutang negara hanya tinggal 106 juta Lira emas. Ini bermakna, dia telah mengurangkan hutang kepada 1/20 daripada nilai asalnya. Golongan Turki Muda yang mengambilalih kuasa selepasnya menaikkan semula hutang hingga menjadi 1300%. Pencapaian Abdul Hameed seperti ini mungkin memberikan gambaran bahawa dia tidak boleh membelanjakan untuk pembangunan tetapi ia tidak benar. Abdul Hameed mewujudkan talian faks diantara Yaman, Hijaz, Syria, Iraq dan Turki. Dia kemudian menghubungkannya
dengan talian faks di Iran dan India. Dia berjaya mendapat pulangan modal projek hanya dalam masa dua tahun saja. Ini adalah disebabkan penggunaan secara meluas talian ini oleh mereka yang mengerjakan haji. Tenaga elektrik juga disalurkan ke beberapa buah kota seperti Izmir, Salonika dan Istanbul.

Abdul Hameed menyedari bahawa hanya satu-satunya harapan untuk orang-orang Islam ialah dengan membentuk Kesatuan Islam yang utuh. Abdul Hameed berpandangan Barat akan cuba memecahbelahkan negara Islam dan kemudian berurusan dengan setiap wilayah (negara bangsa) secara berasingan seperti yang berlaku pada hari ini di mana umat Islam telah berpecah belah menjadi 50 buah negara. Satu-satunya cara untuk mengelakkannya adalah melalui Kesatuan Islam. Abdul Hameed membuat keputusan untuk memperkenalkan kekhalifahan Uthmaniah sebagai pemimpin dunia Islam.

Rancangan Abdul Hameed telah memberi kesan kepada orang-orang Islam di India dan Pakistan dan dia menyebabkan banyak masalah kepada British di kawasan tersebut. Rancangan beliau juga dapat membangkitkan umat Islam di Rusia dan republik di selatan Rusia untuk bangkit menentang penjajahan Rusia. Abdul Hameed juga menggunakan orang-orang Islam untuk menekan Russia pada ketika itu, Abdul Hameed menyatakan dalam diarinya bahawa dia merasakan tembok sedang runtuh menimpanya dan dia berasa keseorangan dan dia tidak mampu untuk memerangi musuh-musuh negara Islam berseorangan. Dia kemudian memulakan pakatan dengan Jerman tetapi cara itu tidak mencukupi kerana Jerman juga mahukan sebahagian dari Daulah Uthmaniah.

Sultan Abdul Hameed merasakan pada masa itu, peperangan besar semakin hampir. Adalah jelas bahawa pihak-pihak yang bertelagah mahu merampas saki baki Daulah Uthmaniah. Abdul Hameed memerlukan sesuatu yang besar yang boleh menaikkan semangat Kesatuan Islam di dalam hati orang-orang Islam di seluruh dunia Islam. Abdul Hameed cuba mencari penyelesaian dan akhirnya membuat keputusan untuk mewujudkan landasan keretapi Hijaz (1900) yang menghubungkan Damshiq, Syria ke Madinah dan dari Aqabah ke Maan yang menjadi simbol Kesatuan Islam. Semua orang Islam yang pernah mengerjakan haji merasakan Abdul Hameed cuba untuk menyatukan mereka melalui sistem landasan keretapi yang baru dan salah satu sistem faks yang tercanggih pada ketika itu. Pembiayaan landasan keretapi dapat dilunaskan dalam masa beberapa tahun sahaja dan ia berfungsi sebagai alat yang utama untuk menghubungkan wilayah-wilayah dalam Daulah Islam. Ia juga digunakan sebagai laluan pantas untuk pengangkutan dan menempatkan unit ketenteraan. Abdul Hameed juga melancarkan kempen untuk menyebarkan idea kesatuan umat Islam dan membantu umat Islam di Selatan Russia, India, Pakistan dan Afrika. Dia mula menjemput banyak Ulama Islam dari Indonesia, Afrika, dan India ke Daulah Uthmaniah, dan dia mewujudkan program untuk membina masjid-masjid dan institusi-institusi Islam di seluruh dunia Islam.

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...