**untuk sifat-sifat Allah bahagian pertama, klik sini.
Akidah Islamiyyah yang sebenar hanya boleh dijelaskan dari sumber Al-Quran dan As-sunnah, bukannya dari cakap-cakap kosong yang tidak berasas atau dari pemikiran falsafah-falsafah yang sesat, tidak kira dari orang Barat mahupun dari orang Islam sendiri. Imam Muslim telah meriwayatkan satu hadis bahawa malaikat Jibril telah bertanya kepada Nabi Muhammad beberapa perkara supaya baginda menjawab dan dapat diketahui oleh para sahabat. Antaranya ialah tentang keimanan, lalu baginda menjawab:
الإيمان أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر وتؤمن بالقدر خيره وشره
Maknanya: Iman adalah beriman dengan Allah, para malaikat, kitab-kitab-Nya, para rasul-Nya, hari akhirat dan beriman dengan qadar baik dan buruknya.
Hadis tersebut menjadi asas kepada rukun iman iaitu:
a) Percaya kepada Allah
b) Percaya kepada malaikat
c) Percaya kepada Rasul
d) Percaya kepada kitab
e) Percaya kepada hari Kiamat
f) Percaya kepada qadar baik dan buruk.
Di sini saya akan memberi penerangan khusus kepada perkara pertama dalam rukun iman tersebut iaitu beriman kepada Allah SWT. Ini kerana tunjang utama akidah Islam ialah memahami siapa Tuhan yang kita sembah ini. Dengan memahami siapakah Dia tanpa membicarakan secara melampau-lampau akan dzat-Nya, maka ia akan mengukuhkan kita di atas jalan akidah yang lurus dan dengan itu, insyaAllah (atau ringkasnya iA), kita tidak akan mudah dipesongkan oleh falsafah-falsafah teologi yang menyesatkan yang dibawa oleh Barat dan gerombolan orientalisnya.
Beriman dengan Allah ialah meyakini bahawa Dia ada/wujud dan kewujudan-Nya tiada permulaan dan pengakhiran, firman-Nya yang berbunyi:
هو الأول والآخر
Maknanya: Dia Yang Awal (Yang tiada permulaan) dan Yang Akhir(tiada pengakhiran) (Hadid:3)
Allah S.W.T. adalah Maha Awal dan awal-Nya Dia tidak sama dengan awal makhluk yang memiliki tarikh dan tempat kelahiran. Allah S.W.T. tidak dilahirkan mahupun dicipta dan Dia sedia ada. (qidam). Allah S.W.T. juga tidak akan binasa dan kekal abadi buat selama-lamanya
Dan kita juga wajib meyakini bahawa Allah Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, firman-Nya yang berbunyi:
وإلهكم إله واحد
Maknanya: Dan Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Esa.(al Baqarah:26)
Makna keesaan Allah bukan sahaja terletak kepada dzat-Nya, bahkan juga kepada kepercayaan dan prinsip panduan hidup kita. Sebagai Muslim, kita wajib mempertuhankan Allah bukan sahaja pada dzat-Nya dengan melakukan ibadat solat, tetapi kita wajib mengangkat syariat-Nya di tempat yang paling tinggi dalam urusan seharian kita. Tidak kira sama ada urusan itu melibatkan bidang siasah (politik), ekonomi dan sosial. Dalam politik, kita wajib mengangkat sistem pemerintahan Islam dan menyakini bahawa sistem pemerintahan Islam adalah yang terbaik. Kita tidak boleh sekali-kali menganggap bahawa sistem-sistem ciptaan manusia seperti demokrasi, komunisme sebagai sistem pemerintahan yang terbaik. Kita tidak boleh sekali-kali mempertuhankan sistem-sistem ciptaan manusia dalam kehidupan kita. Dalam bidang ekonomi, sistem ekonomi Islam wajib diangkat sebagai sistem ekonomi terbaik. Kita wajib menyakini bahawa sistem ekonomi ciptaan manusia seperti kapitalisme dan komunisme bukanlah sistem terbaik. Sistem-sistem ciptaan manusia sebegini telah banyak membawa kesan buruk dalam kehidupan manusia hari ini. Penindasan sesama manusia telah mengembalikan manusia ke zaman sebelum Islam. Manusia menjadi hamba kepada manusia yang lain. Islam datang dengan satu tujuan, mengajak manusia kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah dan menghapuskan perhambaan sesama manusia ini.
“Islam itu adalah yang paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya” (maksud hadis)
Kita juga wajib meyakini bahawa Allah tidak berhajat pada yang lain dari makhluk-Nya. Dia yang mencipta semua makhluk dan juga mencipta arasy dan tidak berhajat kepadanya, bukan seperti akidah sesat lagi kufur golongan-golongan tertentu yang meyakini bahawa arasy itu adalah tempat bagi Allah.
Firman-Nya yang berbunyi:
فإن الله غني عن العالمين
Maknanya: Maka sesungguhnya Allah tidak berhajat pada sesuatu pun(al Imran: 97)
Dan wajib meyakini bahawa Allah tidak akan sekali-kali menyamai makhluk-Nya, tidak bertempat, berarah, tidak beranggota, tiada bagi-Nya mata, telinga, kaki dan selainnya dari anggota-anggota makhluk. Ini bercanggah dengan pegangan orang bukan Islam yang meyakini bahawa tuhan beranggota seperti makhluknya.
Firman Allah berbunyi:
ليس كمثله شيء
Maknanya: Tiada sesuatu pun yang menyerupai-Nya (al Syura:11)
Dan wajib meyakini bahawa Allah Maha Berkuasa (Qodir) ke atas setiap sesuatu, tidak ada sesuatu yang di langit dan di bumi dapat melemahkan dan menghalang-Nya.
Firman-Nya yang berbunyi:
وهو على كل شيء قــديــــر
Maknanya: Dan Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu (al Mulk: 1)
Dan wajib meyakini bahawa Allah melakukan apa yang dikehendaki oleh-Nya, firman-Nya yang berbunyi:
وما تشآؤن إلا أن يشآء الله
Maknanya: Kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu, kecuali apabila ia dikehendaki oleh Allah (al kautsar:29)
Dan Allah Maha mengetahui semua benda, ilmu-Nya meliputi semua benda, tiada sesuatu pun yang dapat lari dari pengetahuan Allah. Firman-Nya yang berbunyi:
وهو بكل شيء عليم
Maknanya: Dialah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu (Hadid:3)
Dan wajib meyakini bahawa Allah Maha Hidup dan tidak akan mati. Firman-Nya yang berbunyi:
وتوكل على الحي الذي لا يموت
Maknanya: Dan bertawakallah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, Yang tidak mati.(al Furqan: 58)
Dan meyakini bahawa Allah Maha Mendengar dan Maha melihat tanpa ada penyamaan dengan makhluk, firman Allah:
Dialah Yang Maha mendengar dan Maha Melihat(al syura:11)
Dan wajib meyakini bahawa Allah berkata-kata(kalam). Firman-Nya yang berbunyi:
وكلم لله موسى تكليماً
Maknanya: Allah berkata-kata kepada Musa dengan kata-kata. (al Nisa’:164)
Inilah diantara perkara-perkara yang berkaitan dengan Tuhan kita yang wajib kitab beriman dengannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, tidak diliputi oleh tempat dan tidak dilalui oleh masa, inilah ijmak para ilmuan Islam.
Dengan sifat tersendiri Allah S.W.T. ini, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat meninggikan dan merendahkan darjat-Nya yang Maha Tinggi. Di sini saya letakkan satu hadis daripada hadis 40 sebagai renungan bersama. Hadis ini ialah bukti kebenaran bahawa Allah S.W.T. bersifat ‘samseng’ dan hanya Dialah sahaja yang layak bersifat sedemikian. Manusia yang lemah dan hina ini tidak layak langsung bersifat samseng. Namun ada antara manusia-manusia yang berasa konon-kononnya merekalah yang paling kuat, telah sewenang-wenangnya memukul dan mencederakan insan-insan lain yang lemah. Contohnya dapat kita lihat seperti kes-kes buli di sekolah-sekolah, di mana senior membunuh junior, dan kes-kes dalam organisasi-organisasi kerajaan, di mana pihak atasan mengenakan pihak bawahan dengan mempermain-main dan memperlekehkan mereka. Sikap buli-membuli dan memperhambakan orang lain ini tidak ubah seperti sikap orang-orang pada zaman Jahiliyyah yang suka menindas orang lain yang lebih lemah. Ingat, hanya Allah SWT sahaja yang berhak bersikap samseng. Namun Dia tidak akan sekali-kali zalim terhadap hamba-hamba-Nya, kerana zalim adalah haram bagi-Nya. Malulah kita sebagai manusia yang kerdil tetapi bersikap dengan sikap samseng Tuhan dan pada masa yang sama bersikap zalim sedangkan Allah S.W.T. tidak bersikap sedemikian pun terhadap kita. Malulah wahai manusia!
Hadis riwayat al-lmam Muslim.
Daripada Abu Zar al-Ghifari r.a. daripada Rasulullah SAW berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Baginda daripada Allah SWT bahawa Dia berfirman:
"Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriKu kezaliman dan Aku jadikannya di kalangan kamu sebagai suatu perkara yang diharamkan, maka janganlah kamu saling zalim-menzalimi.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua sesat kecuali orang yang Aku hidayatkannya, maka hendaklah kamu meminta hidayat dariKu.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua lapar kecuali orang yang Aku beri makan, maka hendaklah kamu meminta makan daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu makan.
Wahai hamba-hambaKu! Kamu semua telanjang kecuali orang yang Aku berikannya pakaian, maka hendaklah kamu meminta pakaian daripadaKu nescaya Aku akan berikan kamu pakaian.
Wahai hamba-hambaKu! Sesungguhnya kamu bersalah siang dan malam dan Aku mengampunkan semua dosa, maka mintalah keampunan daripadaKu nescaya Aku akan ampunkan kamu.
Wahai hamba-hambaKu! Selama-lamanya kamu tidak akan mampu memudharatkan Aku sehingga kamu boleh memudharatkan Aku.
Wahai hamba-hambaKu! Dan selama-lamanya kamu tidak akan mampu memberi manfaat kepada Aku sehingga kamu boleh memberi manfaat kepada Aku.
Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati bertaqwa umpama hati orang yang
paling bertaqwa di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak menambahkan apa-apapun dalam kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua mempunyai hati jahat umpama hati orang yang paling jahat di kalangan kamu, nescaya hal itu tidak mengurang-cacatkan apa-apapun dalam kerajaanKu.
Wahai hamba-hambaKu! Sekiranya orang-orang yang terdahulu dan terkemudian dari kamu, manusia dan jin di kalangan kamu, sekiranya mereka semua berhimpun di suatu tempat, lalu mereka meminta daripadaKu (iaitu meminta sesuatu pemberian), lantas Aku kurniakan setiap orang dari kalangan mereka permintaannya, nescaya hal itu tidak mengurangkan sedikitpun apa-apa yang ada di sisiKu kecuali umpama berkurangnya air laut apabila dicelupkan sebatang jarum.
Wahai hamba-hambaKu! Bahawa sesungguhnya hanya amalan kamu yang Aku akan perhitungkannya bagi kamu, kemudian Aku sempurnakan pembalasannya. Maka barangsiapa yang mendapat kebaikan maka hendaklah dia memuji Allah dan barangsiapa yang mendapat selain kebaikan, maka janganlah dia mencela kecuali mencela dirinya sendiri."
Semoga mendapat ilmu berguna walaupun sedikit.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...