Suatu ketika di masa akan datang…
Di bawah dasar laut, beberapa buah kapal selam atau jentera robotik bawah laut ala-ala filem Titanic sedang melakukan kerja-kerja memutuskan jaringan kabel-kabel bawah laut. Orang-orang yang sedang mengawal kapal selam ini ialah jurutera kabel optik dan orang-orang yang pakar dalam urusan di bawah laut sana seperti polis marin dan sebagainya. Mereka sedang ‘bekerja’ untuk sebuah badan yang sedang merancang untuk menghancurkan tamadun teknologi yang telah dibina manusia.
Hasil dari itu, jaringan internet yang menghubungkan negara-negara di seluruh dunia akan terputus. Talian telefon antarabangsa juga akan terputus. Roket-roket dihantar ke angkasa untuk meletupkan satelit-satelit. Mereka juga melancarkan beberapa jenis peluru berpandu canggih ke ruang atmosfera. Mereka ingin memastikan tidak ada satu satelit pun yang akan terlepas dari menerima kemusnahan ini. Kemudian, mereka akan memusnahkan sendiri alat-alat pelancar peluru berpandu ini agar ia tidak dapat digunakan oleh sesiapa lagi.
Dalam masa yang sama, sekumpulan intelektual yang korup, yang telah dirasuah oleh badan pemusnah tersebut, sedang berada di kawasan-kawasan perindustrian dan bertungkus-lumus memusnahkan harta-harta intelek. ‘Blueprints’, peta-peta hakcipta litar bersepadu, dan segala macam peta-peta rekabentuk mikrocip untuk industri teknologi terkini seperti telefon bimbit, komputer dan televisyen dimusnahkan. Mereka menghantar objek-objek ‘emas’ ini kepada kilang-kilang inkubator. Mereka mahu melenyapkan kesemuanya menjadi abu. Persis orang-orang Mongol yang melenyapkan tamadun Abbasiyyah dengan membakar kitab-kitab ilmuwan sehingga menjadi abu yang tidak berupa, lalu dihanyutkan kesemuanya tanpa sekelumit belas ke dalam Sungai Tigris. Ilmu yang dikaji berabad-abad, lenyap begitu sahaja lantaran sikap manusia yang TIDAK SUKA MENGHAFAL.
Kedai-kedai buku dan perpustakaan di seluruh dunia diserang hebat oleh pengganas-pengganas yang bersekongkol dengan badan pemusnah dunia itu. Universiti-universiti diceroboh dan pelajar-pelajarnya diarahkan keluar kerana pengganas-pengganas ini mahu mengebom perpustakaan dan segala khazanah ilmuwan dan intelektual. Di mana-mana sahaja, orang-orang yang sedang berada di dalam perpustakaan diarahkan keluar oleh mereka. Para kiasu dan penghafal ensiklopedia terpaksa mengalah. Di kala ini, nyawa mereka terlalu berharga. Mereka yang selalu dikutuk kerana bersikap ulat buku inilah harta dunia yang paling berharga di saat dunia diserang oleh para pengganas ilmu ini. Dalam kepala ‘ulat-ulat buku’ ini tersimpan ilmu yang akan digunakan bagi membangunkan semula dunia. Mereka lari menyelamatkan diri kerana badan pemusnah ini tidak akan membunuh manusia. Mereka hanya mahu menghapuskan teknologi dan warisannya.
Kemudian pengganas-pengganas ini membuat satu pengumuman. Barangsiapa yang memiliki sebarang teknologi, tidak kira laptop, PC, telefon bimbit, mesin basuh, periuk nasi, televisyen, radio dan segala-gala peralatan elektrik yang tidak wujud pada zaman kuno, perlu menghantarnya ke kilang inkubator untuk dilupuskan. Sesiapa yang memilikinya akan dirampas dan dihukum dengan sekeras-keras hukuman.
Barang-barang yang tidak dapat dilupuskan dengan mudah, atau mungkin kilang inkubator terlebih muatan, maka ia akan dihantar ke sebuah kawasan gunung berapi. Di situ, barang-barang ini akan dihumbankan ke dalam kawah gunung berapi menggunakan helikopter pengganas ini atau kapal terbang, atau sebarang teknologi udara. Biarkan ia melebur di dalam perut bumi. Ketika itu baru manusia tahu akan betapa pentingnya ilmu.
Namun, pengganas ini menyimpan sebahagian daripada apa yang mereka musnahkan itu, seperti ‘blueprints’, peta-peta litar bersepadu, dan beberapa jenis barangan elektrik, kenderaan udara dan laut, dan buku-buku demi kepentingan mereka. Mereka menyimpannya di dalam sebuah ruangan yang amat besar yang terletak di bawah tanah. Ketika ini merekalah kumpulan manusia paling berkuasa di muka bumi.
Maka lenyaplah tamadun teknologi tinggi dan manusia kembali ke zaman prasejarah…
Di suatu pangkalan lain yang sunyi daripada kelibat manusia umum, sekumpulan pengganas siber yang turut diupah oleh badan penuh konspirasi tersebut, sedang merancang untuk memusnahkan sebuah negara kuasa besar. Negara ini bolehlah digelar sebagai A. A ialah sebuah negara yang memiliki sistem pertahanan tercanggih di dunia, dan kesemuanya dikawal oleh komputer. Ketua pengganas ini ialah orang yang pernah merekabentuk program pertahanan negara A. Beliau telah dirasuah oleh badan pemusnah tersebut supaya mengumpulkan sejumlah intelektual sains komputer bagi memusnahkan negara A. Beliau juga sakit hati kerana kerajaan yang memerintah negara A tidak pernah ambil peduli akan beliau sesudah beliau menyumbangkan programnya. Kerajaan negara A menindas beliau dan rakyat yang lain dengan pemerintahan kuku besi.
Selain itu, negara A suka mengarah-arahkan negara lain mengikut telunjuknya dengan menyuruh berbuat itu dan ini, dan berlagak seolah-olah merekalah polis dunia. Oleh kerana negara A suka berlagak seperti polis dunia, maka ia merupakan halangan besar kepada badan pemusnah yang penuh konspirasi. Maka badan ini merancang untuk menghancurkan negara A yang menjadi penghalang utama mereka dalam menguasai dunia.
Kini telah tiba masanya untuk beliau membalas dendam. Beliau mahu menghancurkan negara A yang dikawal penuh oleh sistem komputer. Memandangkan beliau ialah orang yang pernah merekabentuk KESELURUHAN program komputer negara A, maka rancangan memusnahkannya semudah memakan kacang cap Ngan Yin yang dahulu biasa beliau makan sewaktu berkunjung ke sebuah negara kecil di Asia Tenggara bagi memberi ceramah tentang bahaya penggodam IT. Kini beliau benar-benar melakukan apa yang bertentangan dengan apa yang pernah diceramahkannya.
Untuk memusnahkan negara A, beliau melakukannya ‘step-by-step’. Pertama, lumpuhkan dahulu ekonominya dengan menyerang komputer-komputer di bursa saham. Kedua, memusnahkan infrastruktur awam seperti saluran gas, air dan elektrik serta kemudahan pengangkutan awam. Biarkan rakyat mereka dalam keadaan tersekat dan berada dalam keadaan ketakutan. Yang ketiga dan terakhir, menyerang komputer-komputer yang mengawal pertahanan mereka di sebuah kawasan bernama P, dan memindahkan ‘back-up files’ ke tangan beliau sendiri. Beliau merancang agar rakyat dan kerajaan negara A tunduk sujud kepadanya.
Katakanlah, segalanya berjalan lancar…
Maka seluruh dunia akhirnya jatuh ke tangan badan ini. Di saat semua manusia di seluruh dunia sedang berkurung di dalam rumah dan ketakutan, bersuara ketua tertinggi badan pemusnah tersebut kepada seluruh penduduk dunia melalui gajet-gajet kecil berupa seakan-akan bola pingpong yang dilepaskan bagai melepaskan tebuan dari sarangnya ke seluruh pelusuk dunia. Gajet ini terapung di udara dan terbang merata-rata, dan mampu menyampaikan mesej pemimpin tertinggi badan itu sama ada mesej suara mahupun wajahnya. Pemimpin tertinggi badan itu menyampaikan sebuah mesej yang akan diingat oleh generasi akan datang sampai bila-bila iaitu:
“Kami diutus oleh Tuhan kami sebagai bala di atas kelalaian kamu terhadap kepentingan menuntut ilmu dan mempusakainya”
Maka terngagalah penduduk dunia pada ketika itu…
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...