Dalam bulan ini, terdapat tiga kumpulan rencana yang sempat ditulis iaitu sains teknologi, psikologi dan sejarah. Untuk sejarah, rencana mengenai kejatuhan Abbasiyyah dan sumbangan ilmuwan Islam berjaya disiarkan. Kedua-dua rencana ini saling berkaitan antara satu sama lain. Tamadun Abbasiyyah ialah masa di mana Islam berada pada zaman kemuncaknya dalam bidang sains dan teknologi serta menyumbang kepada pembangunan semula tamadun Eropah.
Rencana mengenai fungsi otak manusia dan rencana mengenai kesan bahan lucah kepada otak manusia terutama kanak-kanak, adalah saling berkaitan. Otak kanak-kanak yang masih berkembang terutama di bahagian ‘prefrontal cortex’ amat perlu dilindung dari sebarang anasir-anasir yang merosakkan. Bahan lucah bukan sahaja merosakkan pemikiran kanak-kanak, bahkan menyebabkan pembesaran bahagian otak kanak-kanak terbantut kerana ia menyekat penghasilan dopamina yang membantu tumbesaran otak. Rencana mengenai serat optik pula menerangkan mengenai faedah serat optik kepada kehidupan manusia.
Psikologi yang sejahtera ditambah peranan agama sebagai pemandu kehidupan manusia, akan membawa kepada pembinaan tamadun yang berasaskan pembangunan rohani, bukannya tamadun kota batu yang mana rakyatnya rosak dan hancur. Negara Barat seperti United Kingdom, meskipun maju dari segi teknologi, namun lemah dari segi rohani. Ia terbukti apabila negara ini mencatatkan kadar pengguguran janin luar nikah tertinggi dalam kalangan negara-negara Eropah. Begitu juga dengan kadar keganasan dan masalah sosial yang lain, terutamanya masalah-masalah yang dibawa oleh pengaruh alkohol.
Dalam melihat wawasan di hadapan, sekali-sekala kita perlu menoleh ke belakang namun bukanlah berjalan mengundur. Peristiwa-peristiwa silam yang berlaku kepada umat-umat yang telah pergi meninggalkan dunia ini, adalah sebagai guru kepada kita dalam mengatur langkah seterusnya dalam membangunkan negara. Mereka hancur bukanlah kerana mereka mundur dan tiada senjata canggih. Bahkan masyarakat sehebat Abbasiyyah boleh dikalahkan oleh semundur-mundur manusia pada zaman itu. Mereka hancur kerana rendah nilai kemanusiaan. Kerana lemahnya pemimpin yang mengetuai kerajaan yang pada masa yang sama, dipenuhi oleh orang-orang yang mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Manusia belajar dari kesilapannya. Seorang manusia yang bodoh ialah manusia yang tidak belajar dari kesilapan lalu, bahkan mengulanginya semula. Ketepikan serat optik, ketepikan pembangunan teknologi internet dan jalur lebar, jika teknologi itu masih menjadi barah kepada rakyat dan terus-menerus merosakkan pemikiran generasi muda yang otaknya sedang melalui proses tumbesaran dan masih mentah untuk memahami realiti dunia ini.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...