Sambungan dari Bahagian 2...
Pada suatu ketika, Nabi Musa telah ditanya oleh Bani Israel siapakah yang lebih bijak dari kalangan mereka. Nabi Musa menjawab " aku". Lantas Allah menegur Nabi Musa dengan mewahyukan kepadanya bahawa terdapat orang yang lebih bijak darinya yang tinggal di tempat pertemuan dua laut. Bagi mengetahui di manakah tempat itu, maka Nabi Musa diwahyukan oleh Allah agar membawa ikan yang telah mati di dalam satu bekas air. Dan sekiranya ikan itu hidup kembali dengan izin Allah dan keluar melompat ke dalam laut, maka di situlah tempat orang yang lebih bijak dari Nabi Musa itu berdiam. Maka Nabi Musa pun berpergianlah dengan temannya sehingga apabila Nabi Musa bertanyakan mengenai ikan yang dibawanya kepada temannya itu, maka temannyapun berkata:
"Setelah mereka melampaui (tempat itu), berkatalah Nabi Musa kepada temannya: Bawalah makan tengah hari kita sebenarnya kita telah mengalami penat lelah dalam perjalanan kita ini. (62) Temannya berkata: Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan dan ikan itu telah menggelongsor menempuh jalannya di laut, dengan cara yang menakjubkan. (63)" (Al-kahfi:62-63)
Maka jawab Nabi Musa:
" Nabi Musa berkata: Itulah yang kita kehendaki; merekapun balik semula ke situ, dengan menurut jejak mereka. (64) Lalu mereka dapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah kami kurniakan kepadanya rahmat dari Kami dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu; dari sisi Kami. (65)" (Al-Kahfi: 64-65)
Maka merekapun berpatah balik ke tempat di mana ikan tersebut keluar dari bekas dan di situlah Nabi Musa bertemu dengan orang yang dicari-carinya itu dengan niat berguru dengannya, iaitu orang yang menurut persepakatan ulama dikenali sebagai Nabi Khidir. Nabi Musapun menyatakan hasratnya untuk berguru dengan orang itu, dan orang itu menyatakan bahawa Nabi Musa tidak akan sanggup bersabar dengannya. Nabi Musa berkeras mahu berguru, lalu orang itu membawa Nabi Musa melewati beberapa tempat.
Dipendekkan cerita, sebelum Nabi Khidir membawa Nabi Musa mengembara, Nabi Khidir berpesan agar Nabi Musa tidak bertanyakan apa-apa mengenai apa yang bakal dilakukannya sepanjang perjalanan. Maka terdapat tiga perbuatan Nabi Khidir yang betul-betul menguji kesabaran Nabi Musa dan betul-betul meruntun rasa ingin tahu dan rasa mahu bertanya Nabi Musa iaitu: (rujuk ayat 71-77)
" Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, dia membocorkannya. Nabi Musa berkata: Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar. (71) Dia menjawab: Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku? (72) Nabi Musa berkata: Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu) dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu). (73) Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya. Nabi Musa berkata Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar! (74) Dia menjawab: Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku? (75) Nabi Musa berkata: Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku. (76) Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya! (77)" (al-Kahfi-71:77)
Maka Nabi Khidir memberikan sebab musabab mengapa dia melakukannya:
" Dia menjawab: Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (78) Adapun perahu itu adalah ia dipunyai oleh orang-orang miskin yang bekerja di laut; oleh itu, aku bocorkan dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka nanti ada seorang raja yang merampas tiap-tiap sebuah perahu yang tidak cacat. (79) Adapun pemuda itu, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, maka kami bimbang bahawa dia akan mendesak mereka melakukan perbuatan yang zalim dan kufur. (80) Oleh itu, kami ingin dan berharap, supaya Tuhan mereka gantikan bagi mereka anak yang lebih baik daripadanya tentang kebersihan jiwa dan lebih mesra kasih sayangnya. (81) Adapun tembok itu pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu dan di bawahnya ada harta terpendam kepuyaan mereka dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka) dan (ingatlah) aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (82)" (al-Kahfi: 78- 82)
Apakah pengajaran yang dapat diperolehi dari cerita ini?
Pertama, pentingnya dalam sebuah keluarga itu memiliki ibu dan bapa yang soleh. Ibu dan bapa yang soleh akan sentiasa dipelihara oleh Allah. Sebagai contoh, dalam cerita di atas, Allah telah memelihara pasangan yang soleh dari anak yang mungkin akan membawa mereka kepada kekufuran. Selain itu, Allah turut memelihara zuriat pasangan yang soleh apabila mereka meninggal kelak , sebagai contoh dari cerita di atas, Allah memelihara harta yang ditinggalkan oleh ibu dan bapa yang soleh untuk manfaat anak yang ditinggalkannya. Kedua ialah adab berguru. Berguru menuntut kesabaran yang tinggi. Seseorang yang berguru mestilah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh gurunya. Ini sebagai tanda kita taat kepada guru dan menghormatinya. Jika kita mahu bertanya, maka tanyalah dengan niat untuk memahami apa yang diajarkan, bukannya dengan niat memperbodohkan guru atau sengaja mahu menguji pengetahuannya. Teringat satu hadis nabi:
" Janganlah kamu menuntut ilmu sekadar untuk bersaing dengan orang cerdik pandai, atau sekadar untuk berbahas dengan orang jahil, atau sekadar mahu meraih perhatian dalam perkumpulan, maka barangsiapa melakukan yang demikian, Neraka! Neraka! " (hadis sahih yang dikumpulkan oleh Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi, diriwayatkan dari Jabir R.A.)
Perbincangan cerita dalam surah al-Kahfi diteruskan dengan kisah Dzulqarnain oleh Bro F*hm* .(rujuk rencana saya mengenai Raja Dzulqarnain)
Maka usrah akhirnya ditamatkan dengan perbincangan mengenai sebuah ayat yang boleh direnungkan bersama maksudnya, juga dari surah al-Kahfi iaitu:
" Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan." (al-Kahfi:109).
Secara keseluruhannya, usrah ini menyimpulkan satu mesej. Apa yang ada di sisi manusia sebenarnya terlalu sedikit bahkan tidak langsung sebanding dengan apa yang ada di sisi Allah. Kebun dan harta, pengikut yang ramai, dan segala macam kesenangan dan perbendaharaan duniawi tidak langsung setara dan sebanding dengan kekayaan dan perbendaharaan-Nya. Kebijaksanaan Nabi Musa sebenarnya bukanlah apa-apa. Malah Allah memberikan pengajaran besar kepada Nabi Musa melalui pertemuannya dengan Khidir. Ashabul Kahfi tidak tahu yang mereka sebenarnya telah tertidur dalam gua selama 309 tahun, sedang mereka menyangka bahawa mereka hanya tertidur selama satu atau setengah hari. Allah Maha Berkuasa dan kita tidak tahu apa-apa sebenarnya. Ilmu Allah itu terlalu luas dan lihat sahajalah perumpamaan dalam ayat 109 surah al-kahfi di atas. Bahkan gunung yang gah berdiri terpecah belah kerana takutkan Allah dan tingginya martabat Al-Quran itu sendiri yang merupakan kalam yang mengandungi sedikit dari ilmu Allah.
Maka sewajarnyalah kita bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan-Nya. Dan sewajarnyalah kita mengucapkan alhamdulillah dan masya-Allah kerana dengan kehendak Allah sahajalah maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini.
Sekian, semoga mendapat ilmu berguna dari pelayaran internet anda walaupun sedikit.
Usrah menangguhkan persidangannya pada hari ini ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. Wallahualam. Kita tutup majlis kita pada malam ini dengan tasbih kafarah dan surah al-Asr.
P/S- Untuk usrah kali ini, nampaknya Bro S*f**n dilaporkan begitu banyak sekali menyumbangkan buah akal beliau. Bagus untuk perkongsian bersama. Diharapkan Bro S*f**n dapat menyertai usrah2 yang seterusnya untuk perkongsian yang lebih dinamik dan mantap. Harap-harapnya. :P
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...