Sengaja saya letakkan rencana khas yang mempromosikan ' Pameran Kegemilangan Sains dan Teknologi dalam Tamadun Islam ' pada tahun 2007 lepas di KLCC dan Pusat Sains Negara.
Semoga para pembaca sekalian dapat manfaat dengan membaca rencana 'promo' ini. Rencana ini juga saya jadikan mukadimah untuk rencana seterusnya mengenai Jabir Ibnu Hayyan. Kepada yang 'sudah terlalu pandai' berbahasa Inggeris, anda tidak perlulah bersusah payah baca blog ini dan bersusah payah pula 'menterjemahkannya' ke dalam bahasa Inggeris. Carilah mana2 rencana lain yang lebih sesuai dengan jiwa anda yang kononnya sudah pandai berbahasa Inggeris, mentang-mentanglah anda berada di negara berbahasa Inggeris. Saya tulis rencana2 di blog ini pun khas buat pembaca2 saya di Malaysia yang nampak semakin berminat dengan rencana2 berbahasa melayu dan mahu tambahkan ilmu sains mereka, dan mereka ini tidak pula bodoh sombong untuk belajar. Kalau mereka malas nak melanggan Estidotmy, baca blog saya pun jadilah.
Agama dan Sains; Dua Sisi Berbeza Pada Syiling Yang Sama
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekian makhluk. Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu yang Maha Pemurah; yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq: 1- 5)
Dimulakan dengan wahyu pertama daripada Al-Quran itu, dunia Jahiliyyah yang menggambarkan kemunduran tamadun manusia dari segi sains, teknologi dan intelektual sekitar zaman Rasulullah SAW terus dipacu menuju ke puncak pencapaian.
Berdasarkan teori dan asas pengetahuan pelbagai bidang yang termaktub dalam al-Quran, kajian demi kajian dipelopori umat Islam mewujudkan satu tamadun gemilang dari sudut ilmu, khususnya sains dan teknologi.
Ketika al-Quran diturunkan, pelbagai fakta di dalamnya jelas masih asing di kalangan manusia ketika itu.
Tiada siapa mengetahui hakikat kehidupan seperti tertera dalam al-Quran antaranya cakerawala bergerak secara terapung (Yaasiin:40), Bumi bergerak (An-Naml:88), pokok menghasilkan bahan bakar (Yaasiin:80), atom adalah benda terkecil (Yunus:61) dan semakin tinggi semakin sukar bernafas (Al-An'aam:125)
Berbekalkan maklumat daripada kalam Allah itu, umat Islam mula meneroka ilmu sains dan kegemilangannya memuncak pada abad ketujuh apabila umat Islam menunjukkan kecenderungan dan minat mengkaji serta mempelajari pelbagai pengetahuan.
Menjelang pertengahan abad kesembilan, ilmu pengetahuan yang semakin berkembang membuktikan fakta sains dibawa al-Quran dalah benar dan ilmu dalam kitab itu mendahului zaman ia diturunkan.
Ia sekali gus membuktikan kitab itu sememangnya diturunkan Allah SWT dan menafikan dakwaan ia ciptaan manusia.
Kebenaran fakta al-Quran semakin meyakinkan dan pelbagai rahsia kitab suci itu terus digali sehingga kegemilangan sains terus disingkap dalam tamadun Islam menerusi perkembangan ilmu dan penciptaan teknologi.
Muncullah nama-nama besar ilmuwan dan saintis Islam seperti Ibnu Haitham (sains optik), Ibnu Yunus (penciptaan jam) dan Ibnu Nafis (sistem lengkap peredaran darah), Ibnu Sina (sains perubatan), al-Biruni (astronomi) dan al-Khawarizmi (matematik) dan Ibnu Rusyd (falsafah).
Malah ramai tidak mengetahui ilmuwan Islam mendahului saintis Barat dalam penemuan pelbagai teori, seperti penerokaan awal Ibnu Haitham mengenai hakikat graviti jauh lebih awal sebelum ia dijadikan teori oleh Isaac Newton.
Hal sama ditemui menerusi konsep penerbangan seperti diperjelaskan Ibnu Firnas dan kemudian diadaptasi Wibur Wright dan Orville Wright. Abbas ibn Firnas sahaja sudah meneroka kajian cakerawala kira-kira 600 tahun sebelum Leonardo da Vinci melakukannya.
Perkembangan ilmu menzahirkan pelbagai ciptaan teknologi dan inovasi. Cendekiawan Islam menghasilkan serbuk saltpetre sebagai ubat bedil (English-gunpowder), penggunaan angka sifar dalam matematik dan proses penyulingan untuk memisahkan bendasing dalam campuran cecair.
Balai cerap (English-observatory) untuk mengkaji bintang, peta, glob , kincir air dan angin, bangunan pengisar bijiran termasuk kereta perisai turut dihasilkan saintis Islam ketika itu.
Malangnya, pengembangan ilmu dan kegemilangan Tamadun Islam itu tidak dapat diteruskan , seolah-olah usaha itu seumpama api yang kehabisan minyak, semakin lama semakin malap bermula ketika berakhirnya kerajaan Abbasiyyah. Pelbagai maklumat dan penemuan penting juga dikatakan hilang ketika berlakunya Perang Salib.
Masyarakat Barat yang suatu ketika dahulu turut menggali ilmu hasil cernaan cendekiawan Islam sebaliknya mula mengambil alih peranan mengembangkan ilmu pengetahuan.
Malah , seolah-olah cuba menafikan kegemilangan cendekiawan Islam. Barat menukarkan nama saintis Muslim dengan pelbagai nama antaranya Ibnu Sina kepada Avicenna, Al-Biruni(Alberuni), Al-Battani( Albetagnius), Ibnu Haitham(Alhazen), Al-Kindi(Alkindus) dan Ibnu Rushd(Averroes). Sehingga kini, tidak dapat dinafikan kajian dan pengembangan ilmu pengetahuan tidak lagi didominasi umat Islam. Kegemilangan ilmu pada tamadun Islam kini sekadar mampu dikenang, ia sekadar mampu dibanggakan pencapainnya.
Dengan pengaruh besar dan strategi yang tidak dinafikan berkesan, manusia termasuk umat Islam kini lebih mengenali ilmuwan Barat dalam pelbagai bidang; Isaac Newton lebih dikenali daripada Ibnu Haitham dan Wright bersaudara lebih dikenali daripada Ibnu Firnas.
Bagaimanapun, kegemilangan Islam menguasai ilmu ingin terus diabadikan. Saintis Islam, Dr. Fuat Sezgin menjejak, mengumpul dan mengembalikan khazanah ilmu hasil Tamadun Islam yang 'hilang' menerusi penubuhan Institut Sejarah Sains Islam-Arab di Frankfurt di Johann Wolfgang Goethe Unievrsiti , Farnkfurt, Jerman pada 1982.
Sebahagian khazanah sains Islam yang dikumpul penyelidik itu akan dipamerkan menerusi ' Pamerann Sains Islam Mendahului Zaman' anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) mulai esok hingga 14 Januari 2007 ini.
Sebanyak 150 artifak dan hasil penemuan sains serta penerokaan umat Islam dalam bidang matematik, kesenian dan seni bina; penciptaan dan penemuan perubatan astronomi, pengembaraan dan geografi serta teknologi akan dipamerkan selama seminggu di KLCC dan dua bulan setengah di Pusat Sains Negara untuk dihayati bersama generasi hari ini.
Pameran julung kali bermatlamat mencetuskan kembali kesedaran pentingnya mengkaji dan meneroka sains dan teknoli seterusnya membangkitkan semangat generasi muda meneruskan kesinambungan ilmuwan Islam terdahulu.
Ia juga bertujuan menyedarkan semua pihak bahawa ilmu agama dan ilmu pengetahuan perlu diseimbangkan seperti diamalkan ilmuwan Islam terdahulu yang bukan sekadar mendalami agama , sains dan kesusasteraan, malah mencipta peralatan dengan fungsi melangkaui zaman.
Lebih penting, pencernaan ilmu pengetahuan akan mengembalikan kesedaran manusia kepada hakikat ciptaan alam seperti difirmankan Allah SWT : " (Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):' Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka,' " (ali-Imran:191)
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...