Mar 26, 2009

Ulasan usrah: Perbendaharaan Allah itu terlalu luas berbanding perbendaharaan manusia.(Bahagian 1)

Usrah pada kali ini masih lagi dijalankan di sebuah rumah yang tidak asing lagi di bumi Selly Oak yang indah permai ini, iaitu rumah berpenunggu 130 Hubert Rd.(nampaknya rumah usrah masih tidak berubah setakat ini). Usrah ini, walaupun dijangkakan sebagai liqa', namun terpaksa ditarik balik gelaran 'liqa' ', (mungkin gelaran 'lingkup' lebih sesuai), atas sebab sebahagian daripada ahli-ahli usrah'nya masih tidak mampu untuk memperuntukkan masa bagi bersama-sama menghadirkan diri kerana masih tidak mampu untuk mencetuskan rasa tahu yang mampu memujuk mahu dalam diri (ceh!) (mungkin mereka sibuk yang tidak mempersempatkan mereka, kita mana tahu kan! husnuzzhon...). Maka berjalanlah juga usrah yang dinanti-nantikan oleh para ahli rumah 130 ini dengan peserta yang agak memberangsangkan dan menggetarkan bulu roma iaitu hanya seramai tujuh orang (wah, agak sama dengan bilangan ashabul kahfi; :p).

Usrah dimulakan oleh seorang naqib yang perasan bagus dan telah melantik dirinya sendiri sebagai naqib, iaitu , hehe... saudara penulis.( sambil menggaru-garu kepala kononnya merendah diri). Maka pada kali ini kami semua dipaksa (wah) oleh sang naqib membaca surah Al-Hasyr (pengusiran). Maka bermulalah pembacaan surah tersebut. Dan setelah habis membaca, sang naqib telah mengajak jemaah usrah berbincang mengenai ayat-ayat tertentu dalam surah tersebut. Maka saudara Bro S*f*an, dengan nada menyampuk, telah menjelaskan ayat kedua dari surah tersebut:

" Dialah yang telah mengeluarkan orang-orang kafir di antara Ahli Kitab dari kampung halaman mereka pada julung-julung kali mereka berhimpun hendak memerangi Rasulullah. Kamu (wahai umat Islam) tidak menyangka bahawa mereka akan keluar (disebabkan bilangannya yang ramai dan pertahanannya yang kuat) dan mereka pula menyangka bahawa benteng-benteng mereka akan dapat menahan serta memberi perlindungan kepada mereka (dari azab) Allah. Maka Allah menimpakan (azabNya) kepada mereka dari arah yang tidak terlintas dalam fikiran mereka, serta dilemparkanNya perasaan cemas takut ke dalam hati mereka, (lalu) mereka membinasakan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri (dari dalam) sambil tangan orang-orang yang beriman (yang mengepung mereka berbuat demikian dari luar). Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya." (Al-Hasyr:2)

(Sila rujuk kitab-kitab agama dan para ulama untuk penjelasan lebih lanjut, kerana cerita ini hanya ringkasan semata-mata)-Ayat di atas adalah mengenai cerita peperangan antara Rasulullah dengan orang-orang Yahudi. Orang-orang Yahudi yang kafir telah mengkhianati Piagam Madinah, maka Rasulullah dan orang-orang yang beriman telah mengepung perkampungan mereka. Orang-orang Yahudi ini merasakan bahawa mereka selamat kerana struktur geografi perkampungan mereka yang berbukit bukau, kelengkapan persenjataan yang maju, serta bilangan mereka yang ramai mungkin dapat menghalang orang-orang beriman dari menyerang atau mengancam mereka. Namun dengan pertolongan dan izin dari Allah, maka orang-orang beriman tetap dapat mengepung perkampungan mereka. Allah telah mencampakkan rasa takut dalam hati-hati mereka, lantas mereka bertindak melarikan diri dari perkampungan tersebut yang sedang dikepung. Rasulullah dan orang-orang beriman bertindak merampas harta-harta mereka (sebagai harta fai'). Demi tidak mahu orang-orang beriman menduduki rumah-rumah mereka kelak, maka sebelum mereka melarikan diri, mereka memusnahkan rumah-rumah mereka sendiri. Sikap mereka yang memusnahkan rumah mereka sebelum melarikan diri dari penempatan menggambarkan sikap tamak mereka.

Berikut ialah ayat 8 surah tersebut:
" Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya." (Al-Hasyr:8)

Ayat berikut menerangkan mengenai pengorbanan orang-orang Ansar terhadap orang-orang Muhajirin. Orang-orang Muhajirin yang berhijrah ke Madinah datang dengan 'sehelai sepinggang' dan tidak dapat memulakan hidup baru. Maka orang-orang Ansar telah bergadai harta benda mereka demi membantu orang-orang Muhajirin memulakan hidup baru mereka, sehinggakan kepada suatu tahap di mana seorang Ansar sanggup menceraikan salah seorang isterinya untuk dijadikan isteri kepada seorang Muhajirin. Perngorbanan ini lahir dari ukhwah Islamiyyah yang telah dipupuk oleh Rasulullah sewaktu Perjanjian Aqabah sebelum hijrah dahulu. "Orang-orang mukmin itu bersaudara dan tidak sempurna iman seseorang itu melainkan dia mengasihi saudaranya lebih dari dirinya sendiri ".(maksud hadis-au kama qaal)
Dalam konteks pada masa kini, seorang junior yang baru tiba di UK dalam keadaan 'mamai' dan datang dengan 'sehelai sepinggang' (walaupun sebenarnya datang dengan sekotak kargo rempah ratus dan kari Brahim's), maka senior perlulah menolong junior2 yang baru tiba ini dengan semangat ukhwah yang membara, umpama Ansar menolong Muhajirin

Ayat 10 mengandungi doa untuk orang-orang mukmin:
"Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu." (Al-Hasyr:10)

Pada zaman sekarang, Al-Quran telah dihina dan sampai ke suatu tahap, al-Quran dipijak-pijak, malah dikencing dan dilempar najis oleh generasi UMAT ISLAM SENDIRI YANG TERDIRI DARI GOLONGAN REMAJA , dan ada yang lebih teruk,ada orang yang sanggup berzina di atas cebisan-cebisan al-Quran! Namun tahukah anda betapa tingginya martabat Al-Quran itu sehinggakan Allah mengumpamakannya seperti ayat di bawah!?

" Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (21)Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dialah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (22) Dialah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. (23) Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi dan Dialah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana. (24)" (al-Hasyr: 21-24)

Ulasan usrah mengenai surah Al-Hasyr ditamatkan.

Sesi seterusnya adalah berkenaan surah al-Kahfi. Surah al-Kahfi telahpun dibincangkan pada minggu lepas,dan pada minggu ini kami semua telah bercadang untuk mengadakan satu kuiz. Seperti yang diketahui, dalam surah al-Kahfi terdapat 4 cerita, iaitu:
a) cerita Ashabul Kahfi
b) cerita dua orang pemuda dengan kebun anggur
c) cerita Nabi Musa bertemu Nabi Khidir
d) cerita Dzulqarnain

Maka untuk setiap cerita, kami memperuntukkan seorang atau dua orang berdasarkan kemampuan.(atau ketidakrelaan??).

Kuiz ini bukanlah kuiz formal. Ia sebuah sesi menyediakan soalan2 untuk membincangkan cerita2 dalam surah tersebut, dalam usaha memahami serta mengorek sebanyak mungkin pengajaran berguna darinya. Sebagai contoh, Bro I*r*m telah menanyakan soalan mengenai Ashabul Kahfi. Antara soalan-soalan beliau yang menusuk minda dan mengisar otak ialah:
1) Berapakah bilangan sebenar Ashabul Kahfi?
2) Berapa lamakah Ashabul Kahfi tertidur di dalam gua tersebut?
3) Apakah yang dipesan oleh Ashabul Kahfi kepada salah seorang rakannya yang ingin membeli makanan sejurus bangkitnya mereka dari tidur?

Secara ringkasnya, Ashabul Kahfi ini menceritakan kisah mengenai pemuda-pemuda beriman yang melarikan diri dari seorang raja yang zalim (Raja Daqyanus) ke sebuah gua. Di dalam gua itu mereka ditidurkan oleh Allah selama 309 tahun qamariah.(al-Kahfi:25).Bilangan sebenar Ashabul Kahfi tidak diketahui, namun yang pastinya bilangan mereka sedikit.(al-Kahfi:22).

(ulasan usrah bersambung pada bahagian 2)

Sekian dahulu untuk kali ini

wassalam.

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...