Rencana pertama pada bulan ini berkisar tentang pentingnya penghayatan ilmu dalam bahasa ibunda. Bahasa ibunda lebih dekat di hati meskipun kita sudah bertahun-tahun belajar dalam bahasa asing. Biarpun berbagai alasan diberikan , sebagai contoh bahasa Inggeris lebih spesifik dan khusus dalam menerangkan suatu perkara, dan kosa katanya dikatakan lebih banyak berbanding bahasa Melayu, tetapi untuk memahamkan perkara yang spesifik dan khusus itu memerlukan pemahaman melalui bahasa ibunda sendiri. Tanpa pemahaman kita akan kekal berada dalam kegelapan dan jauh dari terangnya cahaya ilmu. Jangan dinafikan usaha2 penterjemahan ilmu, kerana orang2 Eropah yang suatu ketika dahulu lembap menyelak jendela Renaissance mereka dengan menterjemahkan karya bahasa Arab ke dalam bahasa Latin terlebih dahulu. Sedangkan untuk memahamkan isi kandungan al-Quran pun perlukan terjemahan dalam bahasa ibunda sendiri.
Penulis meneruskan catitan rencana dengan mengulas mengenai polifenol yang sebenarnya hanyalah 'ubat' kepada manusia, bukannya bahan yang memudaratkan tubuh badan. Penerokaan ilmu membawa kepada kesejahteraan hidup. Orang yang tidak mahu menyelidik, maka hiduplah berterusan dalam kesusahan yang berpunca dari kejahilan. Puisi 'tidak terbanding' pula mengajak penulis dan para pembaca sekalian bersyukur di atas nikmat yang diberikan-Nya. Penulis juga menjelaskan mengenai 'pluralisme' dan bahayanya fitnah pluralisme ini kepada masyarakat Islam khususnya di Malaysia.
Pada bulan ini juga penulis melanjutkan perbincangan mengenai plasma dan bebola plasma. Penulis sedia maklum bahawa sebahagian dari para pembaca semakin bosan dengan isi kandungan saintifik seperti ini kerana sains itu memang musuh orang-orang yang jumud dan hanya tahu bahawa agama itu hanya solat dan duduk dalam masjid sahaja. Maka terbitlah ilham untuk menulis puisi 'Sakit' sebagai mengutarakan rasa sakit penulis. Alah biasa tegal biasa. Alah sakit sedikit sekejap cuma. Penulis kembali menyambung rencana dengan usaha istiqamah walaupun dihimpit bebanan tugasan yang bertali arus, dengan mengambil iktibar dari usaha Nikola Tesla yang tidak pernah berputus asa dalam kajian dan penyelidikannya, dan juga ayat-ayat al-Quran seperti yang disisipkan bersama-sama dengan puisi berjudul ' Taman Ilmu'. Buat si penulis dan mungkin orang-orang tertentu, hancur leburkan rasa malas yang bersarang di hati, bingkaslah bangun mendengar syarahan dari Encik Tsoligkas!( pensyarah Phase Diagram)
Akhirkata, penulis ingin mengucapkan takziah kepada Saudara Farhan di atas kematian arwah bapanya dalam bulan Februari ini. Farhan sedang berada di Malaysia pada ketika ini dan sedang mengambil cuti seminggu sebelum kembali semula ke UK pada hari Sabtu ini. InsyaAllah, sama-sama kita doakan agar Saudara Farhan selamat kembali dan sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada ruh Allahyarham bapanya. Al-Fatihah...
Sekian dahulu rumusan bulan Februari. Bulan Mac telah tiba dengan rimbunan mekar bunga-bunga menghiasi hari .Selamat hari lahir bunga-bunga.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...