Jan 10, 2009

Unik.

Perkataan ‘unik’ dalam bahasa Melayu merupakan perkataan yang dipinjam dari bahasa Inggeris ‘unique’ yang membawa maksud ‘tersendiri’ atau ‘tidak sama dengan yang lain’. Konsep ‘unik’ ini secara sedar atau tidak sebenarnya telah banyak digunakan dalam bidang sains dan teknologi. Kewujudan struktur DNA, cap jari, bau badan, bentuk muka dan tangan manusia yang unik memberi peluang kepada ahli forensik mengesan penjenayah sebenar dalam kebanyakan kes jenayah, dan turut membantu dalam teknologi alat pengenalan individu seperti pengimbas muka, cap jari elektronik dan pengimbas bau badan bagi merekodkan data-data individu ke dalam pangkalan data (English-database). Dalam bidang pengeluaran, kod-kod bar serta nombor siri digunakan bagi melabelkan barang-barang yang dikeluarkan untuk mengelakkan peniruan jenama .

heliks ganda dua DNA

cap jari manusia yang unik telah mencetuskan satu revolusi dalam teknologi penyiasatan jenayah

struktur susun atur kod bar

Bidang kewangan turut tidak ketinggalan apabila turut menggunakan konsep unik ini dengan mencetak kod-kod nombor dan abjad (English-alphanumeric code) yang unik pada wang-wang kertas yang dicetak untuk mengelakkan penipuan dan pengeluaran wang-wang kertas palsu. Selain kod, hologram unik juga digunakan pada wang kertas jenis polimer. Dalam aktiviti perbankan, konsep unik sangat meluas penggunaannya. Kita sudah pasti memerlukan kata laluan untuk mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran automatik. Dalam bidang komunikasi, konsep unik digunakan dalam siaran radio dan televisyen. Setiap stesen hebahan radio mempunyai kumpulan frekuensinya yang tersendiri. Jadi, pendengar yang ingin mendengar siaran dari satu-satu stesen perlu melaraskan frekuensi ayunan pada radionya supaya sama dengan frekuensi stesen berkenaan. Dengan ini, resonans akan berlaku, dan gelombang pada radio akan bergetar sama dengan gelombang pemancar di stesen itu, lalu membolehkan pemindahan data bunyi dan gambar ( televisyen ) dilakukan.

kod-kod abjad-angka (alphanumeric codes) banyak digunakan dalam bidang elektronik

Keunikan wujud dalam dua bentuk:
a) maksud tersendiri objek atau simbol individu yang terlibat
b) susunan simbol atau objek dalam kumpulannya


a)Maksud tersendiri simbol atau objek yang terlibat
Di mana simbol atau objek memiliki maksud yang tersendiri. Contoh yang paling mudah bagi simbol ialah nombor-nombor asas sepuluh. Setiap satu daripadanya adalah berlainan antara satu sama lain. Keunikan setiap nombor-nombor ini amat penting kerana dengan cara ini kita dapat membezakan nilai-nilai dalam matematik, beza satu dan dua , tiga dan lima, dan sebagainya. Dan lagi contoh, huruf rumi 26 abjad. A tidak sama dengan B, C tidak sama dengan D , dan sebagainya. Oleh itu , pengiraan algebra dapat dijalankan dengan mudah, kerana perbezaan antara anu dapat ditentukan . Dalam dunia ini terdapat bahasa yang menggunakan satu atau sekumpulan simbol-simbol bagi menggambarkan sesuatu maksud, umpamanya bahasa Cina dan bahasa Jepun. Dalam bahasa Jepun, simbol-simbol ini disebut sebagai ’kanji’. Dan tulisan ini kebanyakannya dikongsi oleh orang-orang Cina di dalam bahasa mereka, dan sangat berguna dalam komunikasi perdagangan antara dua bangsa tersebut suatu ketika dahulu. Berikut ditunjukkan contoh-contoh kanji dan maksudnya.

病院 – hospital
電気 – elektrik
学生 – pelajar universiti

Maka, wujudlah beribu-ribu simbol dan tulisan dalam bahasa mereka. Kewujudan simbol yang banyak ini meningkatkan daya pengecaman mereka, ertinya mereka berupaya membezakan antara satu simbol dengan simbol yang lain dengan cekap dan pantas. Oleh itu tidak hairanlah mereka berupaya membezakan nombor-nombor asas sepuluh dengan begitu mudah, dan tidak hairan juga mengapa mereka amat jarang sekali melakukan kesilapan dalam pengiraan matematik.

Terdapat banyak lagi contoh yang boleh dikaitkan dengan simbol yang memiliki maksud tersendiri. Warna? Bentuk geometri? Cuneiform? Hieroglif ? Bintang lima? Terlalu banyak untuk disebutkan. Para pembaca bolehlah fikirkan sendiri.

cuneiform digunakan dalam tamadun Mesopotamia

Selain simbol, objek juga boleh wujud secara individu dengan maksud atau pengenalan tersendiri. Contohnya ialah komponen protein dalam rantai asid amino. Setiap komponen ini berbeza antara satu sama lain . Cystein berbeza dengan arginine, dan sebagainya. Selain itu, unsur-unsur dalam alam juga berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, setiap satu darinya mesti dibezakan dengan simbol-simbol yang unik. Maka disebabkan itulah Jadual Berkala Unsur dicipta oleh ahli kimia.

Fenomena kewujudan objek individu dengan pengenalan yang tersendiri ini juga berlaku kepada objek yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar, seperti gelombang radio. Gelombang pada suatu frekuensi adalah berbeza dengan gelombang pada frekuensi yang lain. Ini menjadi asas kepada resonans sepertimana yang telah saya jelaskan pada perenggan pertama tadi.

Terdapat banyak lagi contoh lain yang boleh difikirkan.


b) susunan simbol atau objek dalam kumpulannya

Kadangkala berlaku kekurangan simbol-simbol unik bagi menghasilkan keunikan. Sebagai contoh, sistem binari atau sistem nombor asas dua yang hanya terdiri daripada nombor 1 dan 0. Nombor ini hanya terhad untuk mewakili nilai satu dan sifar sahaja. Maka, untuk kali ini, kaedah penyusunan digunakan bagi menambahkan seberapa banyak mungkin keunikan bagi mewakili nilai-nilai lain seperti dua , tiga dan seterusnya.

Terdapat dua jenis susunan : 1) susunan sebaris 2) susunan bebas. Susunan sebaris merupakan susunan kod-kod unik individu dalam satu baris, manakala susunan bebas merupakan susunan kod-kod unik individu dalam bentuk yang bebas, seperti bulatan, segitiga, bentuk lencana dan sebagainya yang bukan menjajar atau tersusun seperti garis lurus.

Contoh susunan sebaris ialah nombor binari. Berikut ditunjukkan susunan-susunan nombor binari bagi nilai-nilai pernomboran.

nilai susunan binari
0 0
1 1
2 10
3 11
4 100
5 101
6 110
7 111
8 1000
9 1001
10 1010

Jika diperhatikan , semakin tinggi suatu nilai pernomboran,semakin
banyak nombor binari yang diperlukan dalam satu baris. Bagi mengurangkannya ,sistem nombor asas sepuluh digunakan. Dengan menggunakan nombor asas sepuluh, maka bilangan simbol unik yang digunakan akan bertambah dari dua (1,0) kepada sepuluh ( 0, 1,2,3,4,5,6,7,8,9). Oleh itu, susunan-susunan binari yang panjang dapat digantikan dengan susunan-susunan asas sepuluh yang lebih pendek.

nilai susunan asas sepuluh
0 0
1 1
2 2
3 3
4 4
5 5
6 6
7 7
8 8
9 9
10 10

Terdapat berbagai lagi penggunaan kaedah susunan dalam kehidupan kita, seperti susunan bes dalam rantaian DNA, kata laluan perbankan, kod bar barangan dan sebagainya. DNA hanya mempunyai 4 jenis bes unik, iaitu Adenine, Thymine, Guanine dan Cytosine. Oleh itu, pelbagai kaedah susunan digunakan bagi menambahkan bilangan keunikan yang boleh dihasilkan.

Susunan tidak semestinya wujud dalam bentuk susunan sebaris sebagaimana yang telah diterangkan. Susunan juga boleh terhasil dengan menyusun objek atau simbol secara bebas. Contohnya bendera. Semua bendera negara di dunia berbentuk segiempat tepat. Apa yang menyebabkan setiap daripadanya unik? Jawapannya ialah susunan warna dan bentuk geometri dalam segiempat tersebut. Di sini kaedah susunan bukan sebaris digunakan.

Susunan tidak sebaris juga berlaku pada wajah manusia. Kedudukan mata, telinga, hidung dan mulut, serta kecerahan kulit wajah setiap orang adalah berbeza-beza. Inilah yang menjadikan setiap wajah manusia di dunia ini tidak serupa dan unik antara satu sama lain. Terlalu banyak lagi contoh yang boleh para pembaca fikirkan. Tahukah anda, susunan juga berlaku dalam bentuk tiga matra (English-third dimension)?. Bagaimana dengan permukaan enzim? Atau struktur tetulang sebatian kimia? Terlalu banyak. Anda boleh menyumbang idea di ruangan komen jika mahu. Jika tidak mahu, apa saya peduli. Suka hati kau orang la yerr.

Semoga mendapat ilmu bermanfaat dari pelayaran internet anda.


Islam tidak pernah memusuhi sains dan teknologi


(al-fatihah buat rakyat Palestin yang gugur syahid dibunuh Zionis laknat...Amin...)

1 comment:

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...