Beruntunglah aku.
September lalu
masih segar di hati
mendaratnya aku
di bumi sebelah sini
bersama aku mendarat
adalah daun-daun kering
jauh meninggalkan dahan dan ranting
padahal sudah terlalu lama
sejak kau baru berputik lagi
bercita benar ingin kau menjejak bumi
sedang selama ini ranting itulah
yang setia kau jadikan rumah
tempat mengadu sakit dan lelah
tempat berlindung panas dan hujan
riang bersama rimbunan dedaunan
namun bila takdir-Nya tiba
tiada masa lagi untuk kau berlengah
bergegaslah kau meninggalkannya
merempuh onak dan duri dunia
bila kau menggigil
kerana musim beralih dingin
tatkala itu baru kau rasa
betapa sukarnya hidup sendiri
tiada ranting untuk berpaut
bercerita panjang mengadu sejuk
tiada lagi dedaun lain
untuk dijadikan selimut
buat menutup tubuhmu yang menggigil
maka merenunglah kau ke atas
melihat ranting dan dahan
sedang kau tidak mampu pulang ke sana
mungkin sekali-sekala mendengar suara
laungan rindu dan tangisan hiba
seakan-akan ingin sahaja
kau terbang ke atas berjumpa mereka
namun apakan daya
kerana angin musim luruh
seakan malu-malu untuk meniupkan kau
terbang pulang meninggalkan bumi
maka bersemadilah engkau di situ
sebelum sempat kau merasa
akan panasnya renungan mentari
beruntunglah aku menjadi manusia
kerana masih dapat merasa
akan indahnya nikmat rindu
kerana di dalamnya ada mimpi
tentang hari-hari kepulangan
yang mungkin terjadi atau sebaliknya
sedang bagimu rindu adalah rasa
yang akan kau kuburkan bersama
kerana andai gugur kau ke bumi
tiada harapan lagi untuk kembali
sesekali aku merenung pohon itu
dan tatkala rantingnya
kembali memutikkan daun dan bunga
dan terus mekar menghiasi hari
tatkala itu
rindu semakin mekar di hati
Ini bukan Birmingham.
This comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeletetq atas maklumbalas yang diberikan ...truskan menyokong penulis...
ReplyDeleteterlalu..tersirat...ambil masa nak faham...ingat story pasal daun je...tapi hakikat...hidup berdikari di tempat asing...
ReplyDeletewah2...makin hebat tu....gambate...