Nov 12, 2009

Meneliti kejadian bintang.



Dalam gambar di atas, terdapat jaluran-jaluran berkilau seperti kilat yang menyentuh dinding bebola kaca. Jaluran-jaluran cahaya ini adalah plasma atau ion gas. Bayangkan jaluran-jaluran ini merupakan lembaran-lembaran benang. Kemudian kita ambil lembaran-lembaran benang ini dan gumpalkan ia menjadi satu bebola benang. Bagaimana jika jaluran-jaluran plasma tadi digumpalkan dan dimampatkan menjadi satu bebola plasma sebagaimana benang-benang tersebut? Ini ialah hasilnya:


Hasilnya ialah sebuah bintang yang bersinar.

Bagaimana bintang terbentuk?
Di satu titik pusat tarikan graviti yang kuat, plasma-plasma ditarik ke arahnya. Titik ini menarik plasma-plasma secara memusar, atau seperti taufan puting beliung, di mana titik tersebut ialah pusat taufan itu. Semakin banyak plasma yang ditarik pada titik tunggal punca graviti ini sehingga pusat tarikan menjadi tumpat dan tebal dengan zarah-zarah plasma. Berikut adalah video tentang teori pembentukan bintang.



Dalam video tersebut digambarkan bahawa bintang-bintang lain turut terbentuk apabila bebola-bebola plasma berlanggar antara satu sama lain.

Fenomena pembentukan bintang lebih kurang sama dengan fenomena Kesan Weissenberg dalam video di bawah di mana cecair yang terkumpul pada rod kaca yang sedang berputar semakin bertambah. Semakin kuat daya putaran semakin banyak jisim cecair yang menumpu ke pusat putaran.



Akibat daya tarikan yang kuat, plasma-plasma sedia ada dimampatkan ke arah titik punca graviti. Mampatan demi mampatan menyebabkan plasma-plasma ini mengambil isipadu dengan luas permukaan paling minimum iaitu sfera bagi memanfaatkan setiap ruang kosong di antara zarah-zarah plasma. Maka sebuah sfera plasma terhasil. Mampatan yang kuat menekan teras bebola plasma, menyebabkan berlakunya tindak balas nuklear di situ. Tindak balas ini membebaskan plasma baru dan tenaga serta sinaran-sinaran yang berbahaya. Plasma baru bertindak dengan plasma-plasma sedia ada di bahagian yang lebih luar,menghasilkan tindak balas nuklear berantai. Hasilnya, tenaga serta sinaran terhasil, menjadikan bebola ini senantiasa bersinar dan mengeluarkan cahaya. Bebola ini dikenali sebagai bintang.

Bintang ialah bebola plasma gergasi yang sentiasa bersinar. Bintang terdekat dengan Bumi ialah Matahari. Terdapat berbilion-bilion bintang lain selain Matahari namun ia hanya tampak jelas pada waktu malam kerana pada waktu siang cahaya Matahari yang lebih terang akan menghalang cahaya dari bintang-bintang lain. Sebahagian besar daripada jisim bintang ialah hidrogen dan helium, yang bertindak sebagai bahan api dalam tindak balas nuklear di terasnya, dan membantu proses tindak balas berantai di permukaan luar.

Tindak balas nuklear di teras bintang berterusan menghasilkan tenaga. Oleh itu, tekanan ke atas teras juga berterusan bagi membolehkan tindak balas nuklear berlaku. Tekanan demi tekanan dan pada masa yang sama, atom hidrogen yang semakin berkurangan di teras (akibat tindak balas nuklear), membuktikan bahawa bintang juga akan mati. Apabila sebuah bintang hampir sampai ajalnya, maka hidrogen yang menyebabkan tindak balas nuklear akan habis. Tekanan ke atas teras menyebabkan tindak balas lain berlaku, di mana lahar-laharnya akan memancut keluar ke permukaan. Letupan yang kuat akan terhasil dan bintang tersebut akan musnah. Letupan ini dikenali sebagai letupan supernova. Selepas letupan supernova ini, yang tinggal adalah sama ada bintang kerdil neutron (English-neutron star) atau lohong hitam. Kedua-dua ini dikenali dengan satu nama umum iaitu sisa bintang (English-stellar remnant).

Di bawah ialah carta alir kelahiran dan kematian bintang:



[bersambung di bahagian kedua]

Sekian dahulu.

Nov 3, 2009

Doom merchant.

Tahukah anda apakah ia ‘doom merchant’? Dari segi bahasa, ‘doom’ bermaksud bencana, dan ‘merchant’ bermaksud penjaja atau pedagang. Jadi secara bahasanya, ‘doom merchant’ bermaksud penjaja bencana. Golongan yang menjaja bencana ini menggunakan daya intelektual yang dimiliki untuk menipu orang lain. Mereka menggunakan ketakutan orang ramai terhadap ‘worst case scenario’ (kesan terburuk) sebagai modal mereka. Mereka ini bukanlah orang-orang yang tidak berpelajaran, namun mereka terdiri dari kalangan ahli perniagaan, saintis, penulis dan wartawan, karyawan (umpamanya pengarah filem), bahkan ahli politik.

Seperti yang diketahui zaman berzaman, manusia sangat takut kepada bencana dan segala perkara yang menyusahkan. Namun dari satu sudut, perkara abstrak seperti ketakutan dan kesusahan ini dipandang oleh satu golongan lain sebagai aset atau modal yang boleh diniagakan. Ya, ketakutan dan kesusahan boleh diniagakan! Percaya atau tidak, dengan bermodalkan ketakutan, golongan ini mampu meraih berjuta-juta dolar keuntungan.

Bagi memudahfahamkan para pembaca, saya ambil satu contoh. Katakan seorang peniaga A membeli kesemua beras yang boleh didapati dalam satu pasaran kecil perniagaan. Akibatnya, harga beras meningkat kerana kekurangan beras akibat dibeli oleh peniaga A tadi. Peniaga A sedang bercadang untuk menjual semula beras tersebut dengan harga pasaran yang sedang mencanak naik. Namun muncul seorang peniaga B yang bermodalkan beras, terlebih dahulu menjual beras sehingga harga beras turun mendadak dan peniaga B meraih untung berkali ganda.

Kini harga beras turun mendadak sehingga kurang daripada harga ketika peniaga A membelinya dahulu. Kini peniaga A berasa sangat rugi kerana lambat bertindak. Peniaga B pada ketika ini sedia maklum bahawa peniaga A berada dalam keadaan takut. Mengapa? Kerana jika peniaga B melambakkan lagi beras dalam pasaran, maka harga beras akan turun lebih rendah dan rugi peniaga A semakin teruk. BERMODALKAN KETAKUTAN PENIAGA A ini, maka peniaga B mengumumkan bahawa beliau akan melambakkan lagi beras melalui rakan-rakan kongsinya. Ya, peniaga B HANYA MENGUMUMKAN, tetapi tidak melakukan apa yang diumumkannya itu. Pendek kata, peniaga B sedang menipu. Peniaga A yang takut mengalami kerugian yang lebih teruk, berfikir begini, “ lebih baik aku jual beras aku sekarang, kerana jika aku jual selepas si B melambakkan berasnya, maka rugi aku akan bertambah”.

Maka peniaga A pun menjual semula beras-berasnya. Perbuatan peniaga A ini telah menyebabkan harga beras menjunam sehingga ke pusat bumi. Maka peniaga B pun dengan senang lenangnya membeli beras-beras tersebut dengan harga yang terlalu murah berbanding dengan harga ketika beliau menjual beras tersebut sebelum ini. Peniaga B sangat bijak kerana beliau bukanlah seorang peniaga beras. Beliau ialah seorang peniaga berita bencana atau DOOM MERCHANT. Bencana yang dimaksudkan di sini ialah kerugian peniaga A. Dalam konteks ini, peniaga B adalah ‘doom merchant’ peringkat kecil. Terdapat ‘doom merchant’ lain yang ingin saya ceritakan.

Pernahkah anda mendengar ramalan-ramalan sebegini?
-Pada tahun 1999, UFO akan turun ke Malaysia (padahal tak turun pun)
-Pada tahun 2010, telaga petroleum akan kekeringan
-Pada tahun 2020, matahari akan mati seperti selayaknya bintang-bintang yang lain.

Dan banyak lagi…(anda bolehlah cari sendiri)

Kesemua ramalan-ramalan di atas dibuat oleh para saintis. Jika anda teliti betul-betul, kesemua ramalan-ramalan tersebut mirip sebuah berita sebagaimana yang dibuat oleh peniaga B dalam perenggan terdahulu tulisan ini. Dan berita-berita ini tidak lain mempunyai tujuan yang sama; iaitu untuk mempergunakan ketakutan orang ramai bagi mencapai motif tertentu, atau mungkin berbeza; mungkin ia benar dan menuntut penduduk dunia agar berwaspada dan berjaga-jaga. Adakah anda percaya ramalan-ramalan sebegini? Terpulanglah kepada anda untuk percaya atau tidak.

Dalam kalangan saintis yang mengeluarkan ramalan-ramalan ini, terdapat antara mereka yang merupakan penjaja berita bencana. Bagi saintis yang jujur mereka akan menyatakan kebenaran. Namun bagi yang sebaliknya, yang menyatakan perkara bohong bagi memanfaatkan ketakutan orang ramai, mereka inilah ‘doom merchant’ yang dimaksudkan. Dalam kalangan saintis ‘doom merchant’ ini, ada yang menerima rasuah dari ahli politik, dan ada yang memiliki kepentingan peribadi. Sebagai contoh, berita mengenai petroleum akan kehabisan mungkin dikeluarkan oleh ‘doom merchant’ yang dirasuah oleh ahli politik sebuah negara maju, dengan motif agar negara-negara yang ‘cuak’ menahan minyak mereka daripada dijual dan dengan itu menyebabkan harga minyak naik dan seterusnya menguntungkan negara maju tersebut yang merupakan pengeluar minyak utama.

Dari satu sudut, dapat dilihat bahawa orang-orang yang ‘rambang mata’ dengan jajaan ‘doom merchant’ ini tidak lain hanya takut kepada ramalan tersebut sahaja. Tidak ada ketakutan lain yang lebih besar berbanding ketakutan yang sedang mereka alami. Ini kerana dunia ini adalah segala-galanya bagi mereka. Padahal, mungkin mereka akan mati sebelum ramalan itu berlaku jika ajal telah sampai.

‘Doom merchant’ tidak lain hanyalah penyebar fitnah yang mencari keuntungan di sebalik berita yang disebarkan. Meskipun ada baiknya di sebalik ramalan-ramalan ngeri yang dinyatakan, misalnya dengan ramalan pemanasan global dan ramalan bumi akan banjir kerana kutub mencair, maka orang ramai akan berusaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida dari kenderaan, kilang, pembakaran sampah dan sebagainya, namun dari satu aspek lain, ia menyusahkan orang ramai seperti kenaikan harga minyak yang membebankan dan sebagainya. Selain itu, langkah-langkah yang disarankan kepada orang ramai untuk diambil tampak tidak realistik dan jelas menunjukkan motif sebenar si pengeluar berita. Misalnya , antara langkah-langkah yang diambil seperti mengitar semula sehelai kertas A4 dapat mengurangkan paras karbon dioksida dalam atmosfera sebanyak 2gram setahun (contohnya), adalah tidak realistik kerana semua hidupan di dunia juga mengeluarkan gas tersebut. Padahal motif sebenarnya hanyalah untuk menguntungkan kilang-kilang kitar semula. Banyak lagi saranan-saranan bertopengkan promosi barangan yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat perniagaan demi menguntungkan perniagaan mereka. Mungkin ada benarnya seloroh yang mengatakan:
“Jika anda bijak berbohong, maka jadilah seorang ahli perniagaan”

Jadi hanya ada satu sahaja cara bagaimana untuk melepaskan diri daripada godaan ‘doom merchant’ ini, iaitu dengan menjadi seorang yang berani dan memfokuskan ketakutan anda bukan kepada makhluk .

Akhirkata, saya ada satu ungkapan rekaan sendiri:
“Hanya orang Islam yang beriman sahaja dapat melepaskan diri daripada penipuan ‘doom merchant’”

Mengapa? Fikirkan sendiri.

Wallahualam.

Rencana saya yang terdahulu ada memaparkan situasi ‘worst case scenario’ yang diramalkan oleh ‘doom merchant’. Klik sini untuk baca.

Oct 25, 2009

Aplikasi luas permukaan dalam kehidupan.

**Oleh sebab sudah agak lama blog ini tidak dikemaskini, maka saya tulis dahulu rencana perbincangan ini sementara menyiapkan rencana seterusnya.

Dalam alam ini terdapat pelbagai aplikasi luas permukaan. Apakah yang dimaksudkan dengan aplikasi luas permukaan? Aplikasi luas permukaan ialah satu kaedah penggunaan luas permukaan oleh sama ada teknologi, atau benda hidup, dengan cara menambah atau mengurangkannya bertujuan meningkatkan kebolehupayaannya dalam menjalankan tugas. Contoh-contoh teknologi yang memanfaatkan penggunaan luas permukaan ialah seperti yang saya senaraikan di bawah.

Gula dan garam-terdapat gula dan garam jenis kasar, dan terdapat pula gula dan garam jenis halus. Halus dan kasarnya gula dan garam ini bergantung kepada tahap kehancurannya. Semakin hancur gula atau garam itu, maka semakin haluslah ia, dan semakin bertambah luas permukaannya yang bersentuhan dengan bahan pelarut seperti air. Maka garam atau gula jenis halus lebih cepat melarut berbanding dari jenis kasar.

Tuala-fabrik tuala yang berbulu menambahkan luas permukaan seratnya, dan membolehkan ia menyerap lebih banyak air berbanding kain yang tidak berbulu. Bulu tersebut menambahkan luas permukaan tuala yang boleh menyerap air.

Salur pada penyedut hampagas- Pada salur penyedut hampagas, terdapat sirip-sirip kecil berbentuk bulatan di sepanjangnya. Sirip-sirip ini bertujuan menambahkan luas permukaan bahagian luar salur, agar apabila salur ini dibengkokkan, ia tidak terlipat lalu menghalang proses penyedutan habuk dan seterusnya merosakkan alat penyedut hampagas. Sama seperti anda membengkokkan spring. Spring tidak mudah terlipat apabila dibengkokkan, berbanding dawai besi biasa. Ini kerana luas permukaan spring yang menerima daya adalah lebih besar dan daya yang dikenakan tidak tertumpu pada mana-mana titik pada bahagian badan spring, sebagaimana yang berlaku kepada dawai.

Sirip pada enjin pembakaran dalaman- Di sini, sirip dipasang pada bahagian luar enjin pembakaran dalaman. Tujuannya ialah untuk membebaskan haba dengan kadar yang lebih cepat berbanding cara biasa. Dengan menambah sirip, luas permukaan bahagian luar enjin yang bersentuhan dengan udara luar bertambah, seterusnya haba dapat dipindah keluar ke persekitaran melalui konduksi dari pelbagai arah enjin.

Salah satu hidupan yang mengaplikasikan luas permukaan ialah CICAK RUMAH.

Di bawah tapak kaki cicak, terdapat berjuta-juta bulu-bulu mikroskopik. Ini adalah rahsia mengapa cicak mampu melekap pada dinding kaca yang licin . Apabila cicak memanjat dinding kaca yang licin, bahagian hujung bulu-bulu mikro ini mengembang dan menekup pada satah kaca. Hasilnya, bahagian bawah kaki cicak (atau bahagian bawah bulu mikro) menjadi separa hampagas dan tekanan atmosfera yang lebih tinggi menekan dan melekapkan kaki cicak pada dinding. Oleh kerana bulu-bulu tadi wujud dalam kuantiti yang banyak, maka luas permukaan tapak kaki cicak yang bersentuhan dengan dinding menjadi besar, dan seterusnya melekapkan tubuh cicak dengan kuat pada dinding kaca yang licin.

Prinsip luas permukaan seperti tapak kaki cicak ini dimanfaatkan oleh syarikat-syarikat selipar untuk mencipta selipar yang lebih cengkam. Selipar banyak digunakan dalam kawasan basah seperti tandas dan bilik air. Oleh itu, bagi mengelakkan pemakai daripada tergelincir ketika memakai selipar, maka luas permukaan selipar diluaskan dengan membungakan tapaknya, DAN bunga-bunga ini diperbuat daripada bahan kenyal seperti getah atau polimer. Tujuan bahan kenyal digunakan ialah supaya bunga-bunga ini dapat mengembang dengan mudah sebagaimana hujung bulu mikroskopik pada tapak kaki cicak dan seterusnya menseparavakumkan bahagian bawah tapak selipar supaya tekanan atmosfera dapat membantu proses cengkaman.

Selain itu, luas permukaan pada kaki cicak basilisk membolehkannya menghasilkan lompang yang besar pada permukaan air dan dari lompang yang besar itu, daya tujah ke hadapan yang cukup untuk menolak tubuhnya dapat dihasilkan. Bentuk kaki dengan luas permukaan yang besar juga memberikan manfaat kepada itik dan swan dalam membantunya berenang.

Pada dinding dalam usus terdapat unjuran-unjuran kecil yang dikenali sebagai vilus. Vilus berperanan menambah luas permukaan pada bahagian dalam usus, seterusnya meningkatkan kebolehannya menyerap makanan terproses dan air.

Manfaat luas permukaan bukan sahaja dapat dilihat dengan menambahkannya malah mengurangkannya juga. Untuk menghasilkan termometer dengan kepekaan tinggi, maka luas permukaan bahagian dalamnya perlu dikecilkan. Dengan mengecilkannya, tindakan kapilari yang berpunca dari daya lekatan antara cecair termometer dan dinding kaca termometer dapat ditumpukan hanya kepada kuantiti cecair termometer yang lebih kecil. Dengan penumpuan ini, maka perubahan kecil pada paras cecair termometer dapat dikesan dengan mudah, seterusnya meningkatkan keupayaan termometer.

Sekian dahulu untuk kali ini. Semoga mendapat ilmu berguna walaupun sedikit.