Nov 30, 2009

Skala dan kesan akibat daripada perubahannya.

Perhatikan gambar di bawah:



Gambar di atas menunjukkan sebuah galaksi yang penuh dengan bintang-bintang. Jika dilihat dari pandangan sebegini, kita beranggapan bahawa semua planet akan mendapat haba yang cukup dan bersuhu panas. Ini kerana, dari pandangan ini, kita menyangkakan dengan berjuta bahkan berbilion bintang yang ada dalam galaksi tersebut, tidak ada planet yang ‘kesejukan’ atau ‘planet ais’ kerana di mana-mana sahaja ada bintang yang membekalkan haba. Pernyataan ini seolah-olah benar. Namun jika kita memandang dari sudut sebuah planet seperti Bumi yang hanya sebesar kuman dalam galaksi tersebut, didapati pernyataan tersebut tidak semestinya benar. Bahkan di Bumi sendiri, ada kawasan yang sejuk sehingga 45 darjah Celsius di bawah paras beku (Rusia). Tambahan, wujud berjuta-juta planet ais. Dalam sistem suria kita sendiri yang merupakan salah satu sistem mengelilingi Matahari (sebuah bintang) dari berjuta bintang, terdapat beberapa planet ais seperti Pluto dan Neptun. Oleh itu pernyataan awal tadi adalah bercanggah apabila pandangan dari skala yang lebih khusus atau kecil digunakan.

Mengapa bercanggah dan bagaimana ia berlaku? Ini kerana jarak antara bintang ke bintang atau antara dua buah bintang pun sudah bertahun-tahun cahaya. Maka haba dari sebuah bintang akan tercapah selama melalui jarak yang sangat jauh ini untuk sampai ke sebuah sasaran planet atau jasad samawi.

Oleh yang demikian, untuk skala besar, kita dapat menyimpulkan bahawa haba terbebas secara cukup dari semua bintang untuk memanaskan seluruh galaksi. Namun untuk skala kecil, haba tidak semestinya sampai ke planet-planet tertentu. Jadi pernyataan ‘semua planet panas’ tidak semestinya benar apabila kita bergerak ke skala yang lebih khusus.

Satu lagi contoh ialah ketika mencampurkan kordial dengan air sejuk. Kita sangat yakin bahawa kordial tersebut telah bercampur sebati dengan air sejuk, pada skala pukal atau skala besar. Namun pernyataan ini tidak semestinya benar apabila kita pergi ke skala yang lebih kecil atau skala molekul. Pada skala molekul, kordial tidak bergabung dengan molekul air. Jadi kordial hanya bercampur secara fizik sahaja dengan air dan tidak pada skala kecil.

Dalam bidang kejuruteraan kimia, jurutera merekabentuk menara penyulingan untuk menyuling bendalir hasil tindak balas. Dalam rekabentuk menara penyulingan, dulang digunakan bagi memaksimumkan hasil sulingan yang dikehendaki. Untuk mendapatkan hasil sulingan, maka ‘equilibrium condition’ perlu dicapai oleh bendalir dalam menara penyulingan. Apakah tujuan dulang-dulang ini dipasang? Dulang-dulang ini adalah bagi membolehkan ‘equilibrium condition’ dilakukan pada skala bendalir yang lebih kecil. Jika dulang-dulang ini tidak dipasang, maka ‘equilibrium’ hanya berlaku secara pukal dalam seluruh bahagian menara, menyebabkan hanya sedikit sahaja hasil yang dimahukan berjaya diekstrak. Dengan mengkhususkan bendalir dalam menara penyulingan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil dan banyak, maka ‘equilibrium condition’ dapat dicapai pada skala yang paling minimum dan banyak, seterusnya memaksimumkan hasil. Di sini terdapat satu maklumat yang amat penting kepada jurutera dan saintis iaitu:
“Untuk memaksimumkan manfaat dari sesuatu perkara, usaha perlu dilakukan ke atas bahagiannya yang paling kecil dan khusus”
Pelbagai usaha telah dilakukan oleh para saintis bertujuan memanfaatkan skala kecil sesuatu teknologi. Contoh paling terkini ialah NANOTEKNOLOGI. Namun usaha sebegini sebenarnya telah lama dilakukan oleh saintis seperti Kolmogoroff, seorang saintis Russia yang mengkaji pencampuran bendalir pada peringkat molekul.

Jika seseorang ahli cendekiawan mengeluarkan pernyataan atau ‘quotation’, sebelum beliau mengeluarkannya, beliau perlu mengambil kira kesahihan pernyataan tersebut pada skala kecil atau khusus. Ini kerana semua ‘quotation’ mesti bersifat umum. Jika terdapat salah satu kes khusus yang menyahsahihkannya, maka secara automatiknya ‘quotation’ itu diiktiraf tidak sahih dan tidak boleh dijadikan hujah dalam perbahasan. Corak pemikiran sebegini dinamakan sebagai pemikiran deduksi dalam penaakulan mantik. Oleh itu seseorang yang mahu mengeluarkan kata-kata hikmah atau falsafah mestilah seseorang yang benar-benar berilmu dan memiliki pengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang yang diceburinya. Jika pernyataan yang dikeluarkan bercanggah dengan kes-kes khusus, beliau boleh dituduh menyesatkan pemikiran orang ramai.

Politik yang mantap ialah politik tanpa rasuah. Bagi memaksimumkan integriti atau ketelusan dan meningkatkan keberkesanan kepimpinan, maka rasuah perlu dibanteras hingga ke akar umbi atau SKALA KECIL dan bukannya hanya melibatkan skala besar atau GOLONGAN ORANG BESAR-BESAR sahaja.

Pendek kata, aplikasi perubahan skala ini wujud dalam pelbagai bidang. Saya petik semula kesimpulan saintis yang telah dinyatakan dalam perenggan sebelum ini
“Untuk memaksimumkan manfaat dari sesuatu perkara, usaha perlu dilakukan ke atas bahagiannya yang paling kecil dan khusus”. Kesimpulan ini memberitahu bahawa kajian mendalam perlu dalam meningkatkan kualiti. Inilah yang menyebabkan saintis Barat kerapkali muncul dengan keputusan kajian yang pelik-pelik kerana tujuan mereka ialah untuk meningkatkan kualiti hidup melalui kajian mendalam. Namun kita harus kritikal dalam menerima hasil kajian mereka kerana kadangkala dalam kalangan mereka terdapat satu golongan yang disebut sebagai 'doom merchant'.

Wallahualam.

3 comments:

  1. tanpa menara itu, tiada lah peluang untuk menarik pelabur besar....jd boleh dikaitkan pelaburan mewah untuk hasil yang mewah....

    bendera...tiada apa hakikat...warna juga begitu...tapi yang pasti...hakikat alam..yang berkuasa akan diatas.....
    yang bijak akan mengubahnya...agar semua dapat sama rata..........

    ReplyDelete
  2. tapi pada aku, kalau setakat nak membangunkan ekonomi,buat jaringan tren pun bleh, rakyat pun selamat. Setakat nak bermegah2 dngn menara baik tak payah. Ekonomi membangun, tapi kadar kemalangan meningkat dari tahun ke tahun.

    ReplyDelete
  3. lupa nak tambah...
    mahathir mungkin memiliki perancangan beliau sendiri yang kita orang kecil yang tak tahu apa2 ni tak layak perkecilkannya. Lagipun kaliber beliau memang diakui di seluruh dunia dan kepimpinan beliau dah terbukti kewibawaannya.

    yelah, banyak possibility mengapa keretapi elektrik tak diperkenalkan di Malaysia pada waktu tu. mungkin kosnya masih tinggi pada masa itu kerana keretapi letrik kan baru sahaja dikembangkan ke skala komersial. Mungkin membina menara lebih sesuai pada masa tersebut atau kosnya lebih rendah pada masa itu berbanding membina jaringan keretapi elektrik.

    Nampaknya aku kena betulkan sikit artikel ni. Betul gak kata-kata ni
    "don't say things before u have thought it thru"

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...