Untuk catitan pada kali ini, saya ingin mengulas mengenai apa yang telah saya perolehi dari usrah mingguan yang telah dikendalikan oleh 'abang-abang Birmingham' a.k.a. 'Bro. Birm'. Usrah ini kelihatan lebih bernyala-nyala berbanding usrah yang lepas-lepas, dengan sumbangan bernas dari setiap ahli usrah yang turut bernyala-nyala semangat mereka, umpama telah terbit cahaya keimanan dari hati-hati yang malap (ceh).
Usrah dimulakan dengan pembukaan oleh seorang naqib yang dilantik secara tidak sengaja dan bukan dengan lafaz niat " sengaja aku melantik naqib usrah pada kali ini...". Naqib yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah saudara Sy***ul Birm, rakan sekursus penulis. Beliau merupakan pelajar tajaan Petr***s dan pernah menuntut ilmu di Kolej T***or.
Tidak lama selepas itu, muncul pula satu suara misteri menyuruh kami semua membaca surah as-saff. Ini kerana terdapat ayat penting yang bakal dibincangkan dalam segmen tafsir. Suara misteri itu telah menemui ayat tersebut secara tidak sengaja ketika membaca sebuah blog dan telah meminta agar dibincangkan pada usrah kali ini.
Selesai membaca surah tersebut, segmen perbincangan menyusul. Tahukah para pembaca apakah ayat yang telah dibincangkan pada kali ini? Perbincangan bermula dengan ayat kedua dan ketiga surah as-saff.
Apakah maksud ayat tersebut? Ini dia...
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan." (as-saff:2-3)
Sungguh besar tanggungjawab orang yang menyampaikan dakwah sebenarnya. Orang yang berdakwah mesti melakukan apa yang didakwahkannya. Tidak melakukan apa yang diperkatakan akan mengundang kebencian dan kemurkaan Allah S.W.T. . Pada zaman yang serba canggih ini, pelbagai medium dakwah digunakan bagi menyampaikan dakwah, umpamanya seperti saluran blog , media elektronik dan sebagainya. Maka, skop dakwah menjadi lebih luas. Jadi, penulis blog juga boleh menjadi pendakwah. Dan dia mestilah mengamalkan apa yang diseru dalam penulisannya. Bak kata sesiapa jua " tulis serupa bikin". Tetapi jangan pula menganggap ia beban kepada diri. Berusaha sedaya yang termampu, selebihnya berserah kepada-Nya. Berusahalah untuk berdakwah, walau siapa pun kita. Dakwah tidak dipandang pada orang yang menyampaikan, tetapi pada apa yang disampaikan . Jadi ambillah apa yang dituliskan oleh penulis ini. (bajet btul)
Perbincangan maksud ayat diteruskan lagi mengenai tawaran Allah kepada orang-orang beriman.
"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar." (As-Saff:10-12)
Allah telah menjanjikan kepada kita satu bentuk perdagangan di mana, kita selaku hamba-Nya, akan dibayar dengan pembalasan baik di hari kiamat sekiranya kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam perdagangan ini, untungnya nampak pada kita, dan jelas sekali bahawa syurga itulah keuntungan yang sebenar. Allah Yang Maha Kaya tidak perlukan sebarang keuntungan dari perdagangan ini, kerana keuntungan itu sendiri adalah milik-Nya.
Saudara Bro F**m* juga turut tidak terkecuali menyumbangkan buah akalnya tika kami semua sedang enak dibuai lena seolah-olah tiada lagi esok buat kami. Saudara ini menjelaskan mengenai ayat keempat.
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (as-saff:4)
Berhubung isu Palestin yang semakin hilang ditelan masa, teraturkah umat Islam pada masa kini dalam menghadapi musuh-musuhnya? Lihat sahaja negara-negara Arab. Bersatukah mereka? Bersatukah mereka dalam menghadapi serangan musuh-musuh Islam? Bagaimana mahu mendapat kasih sayang dari Allah tanpa persatuan umat Islam?
Saudara Bro F**M* turut menyediakan penutup untuk segmen tafsir pada kali ini. Segmen seterusnya ialah mengenai hadis. Hadis yang kami telah bincangkan pada kali ini ialah hadis pertama dalam himpunan 40 hadis sahih oleh Imam An-Nawawi. Berikut ialah hadis yang dimaksudkan-
Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."
(Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim
al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih)
(Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab hadis nombor 1908).
Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam lslam.
Niat adalah penting dalam memulakan sesuatu amalan dalam Islam. Niat membezakan antara adat dengan ibadat. Apabila melakukan sesuatu perkara kebaikan dengan niat kerana Allah, maka perkara itu dikira sebagai ibadat. Sebagai contoh, jika pergi membuang air besar atau kecil dengan niat untuk menyihatkan badan bagi membolehkan menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka perbuatan itu dikira ibadat dan insya-Allah akan mendapat pahala. Tetapi sekiranya perbuatan yang dilakukan itu merupakan perbuatan yang dilarang agama, umpamanya mencuri dan merompak, maka ia tidak dikira ibadat meskipun si pelakunya berniat kerana Allah kerana perbuatan seperti itu tidak akan memperoleh keredhaan Allah. Keredhaan Allah adalah salah satu kriteria yang penting dalam penerimaan sesuatu amalan.
Niat juga membezakan tingkatan sesuatu amalan. Sebagai contoh, solat dua rakaat boleh menjadi solat subuh, solat tahiyyatul masjid, atau solat sunat Aidilfitri. Cuma niatnya mesti betul.
Lafaz niat tidak wajib dalam Islam. Niat hanyalah perbuatan hati. Lafaz diharuskan bagi menghadirkan hati kita untuk memulakan sesuatu amalan. Bagi orang yang hatinya payah berniat, atau payah untuk hadir hati, maka digalakkan melafazkannya terlebih dahulu, tapi jangan pula sampai was-was menguasai diri. (rujuk buku ustaz Zaharuddin, " Panduan Khusyuk dalam Solat", aku bukan taksub dengan beliau, jangan tuduh aku bermazhab ustaz zaharuddin sudah, tapi cuba cari dalam buku tu, ada cerita sikit dan hadis pasal niat).
Bercakap mengenai was-was, was-was merupakan suatu rasa tidak yakin dengan amalan yang telah dilakukan. Was-was ini biasanya berlaku ketika berniat dan mengangkat takbiratul ihram ketika memulakan solat. Was-was juga berlaku dalam berwuduk, di mana si pengambil wuduk berasa tidak yakin wuduknya sah walaupun telah diambil semula berkali-kali sehingga basah lencun pakaian. Bukan itu sahaja, was-was juga berlaku ketika membicarakan soal halal haram makanan, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan minoriti muslim. Was-was ini merupakan rasa yang ditimbulkan oleh syaitan semata-mata. Syaitan akan cuba mempengaruhi manusia beriman ini melalui dua perkara; sama ada terlalu memandang ringan atau jahil atau tidak mahu ambil tahu sangat mengenai ilmu agama; atau melalui perbuatan melampau atau fanatik dalam beragama, atau apa yang disebutkan dalam istilah Arab sebagai 'ghulu'. Was-was ini merupakan jalan kedua atau jalan 'ghulu' atau melampau dalam beragama, yang digunakan oleh syaitan untuk mempengaruhi mereka yang dekat dengan Allah dan tidak meninggalkan amalan-amalan wajib. Lihat betapa liciknya syaitan dalam mempengaruhi manusia. Gagal strategi pertama, masih ada strategi simpanan atau plan B. Maka kita sebagai umat Islam mesti mengambil jalan pertengahan atau jalan 'wasadtiah'.
Akhirnya, usrah ditutup dengan bacaan tasbih kafarah dan Surah Al-Asr.
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-Asr: 1-3)
Semoga mendapat ilmu berguna dari pelayaran internet anda walaupun sedikit.
P/S- suara misteri yang dimaksudkan hanya diketahui oleh mereka yang hadir usrah tersebut. Jadi moralnya, janganlah ponteng usrah...
Salam dari Soton =)
ReplyDeleteTq atas perkongsian. Penjelasan yang jelas dan bermanfaat. Btw, ble nak mai Soton ni?
to hisham-
ReplyDeleteinsya-Allah penulis akan ke soton apabila assignment2 tidak lagi menyelubungi diri... :P