Feb 15, 2009

Plasma.

Apakah plasma?
Plasma ialah molekul-molekul gas tanpa elektron, atau tidak cukup elektron, dan dikenali juga sebagai ion. Plasma terbentuk dari molekul gas yang menerima tenaga yang tinggi. Plasma dikenali sebagai 'keadaan keempat jirim', selain dari pepejal, gas dan cecair.

Bagaimanakah plasma boleh terbentuk dari gas?
Apabila molekul gas menerima tenaga yang tinggi (haba, gelombang elektromagnet, hentaman dari zarah subpartikel), molekul itu akan berpecah kepada unsur-unsur juzuknya. Seperti yang kita tahu, zarah gas terdiri daripada proton, neutron dan elektron. Apabila nukleus berpecah, neutron terpecah dari proton , dan ini ialah tindak balas nuklear.

Dalam plasma, hanya elektron yang berpecah dari nukleus molekul gas itu. Ia berpecah apabila menerima tenaga tinggi seperti yang diberitahu tadi.

Setelah elektron terpecah dari molekul tadi, molekul tersebut akan menjadi ion bercas positif, manakala elektron bercas negatif.

Elektron yang bergerak laju (akibat tertarik kepada ion-ion positif), akan melanggar atom-atom dan ion-ion yang lain. Perlanggaran ini membebaskan tenaga yang tinggi (rujuk gambar untuk tahu bagaimana ia berlaku). Tenaga yang tinggi ini akan keluar dalam bentuk cahaya, bunyi atau haba.



Apakah contoh plasma?
Contoh plasma semulajadi ialah lonjakan gas di matahari, kilat, dan aurora. Plasma bertenaga tinggi. Oleh itu saintis berusaha memanfaatkannya dalam sains dan teknologi.

Apakah aplikasi plasma dalam sains dan teknologi?
Plasma digunakan dalam alat pemotong besi plasma, dan sebagai hiasan iaitu bola plasma. Aplikasi plasma juga dapat ditemui pada paparan plasma dalam set televisyen paparan plasma. (English-plasma screen TV)

Penjelasan mengenai bebola plasma.

Ini ialah bola plasma;



Bagaimana bola plasma bekerja?
Gas-gas dalam bebola plasma mengalami proses perubahan keadaan jirim daripada gas kepada plasma, kerana arus elektrik berVOLTAN TINGGI dialirkan melaluinya. (proses seperti yang diterangkan tadi)

Bebola plasma boleh diumpamakan sebagai sebuah pemuat (English-capacitor). Gas dalam bebola kaca adalah sama fungsinya dengan plat pemuat. Dinding bebola kaca yang menutup dan udara sekeliling ialah penebat (English-dielectric). Manakala plat 'pemuat' yang satu lagi tertanam di bawah tapak bebola plasma dan dibumikan. Ini bererti litar yang dibentuk oleh bebola plasma merupakan litar tergantung, di mana salah satu 'wayar' yang terlibat ialah bumi.

Penebat tidak mengalirkan arus elektrik, namun bagaimana bebola plasma ini berfungsi? Ia dapat berfungsi kerana ARUS ULANG-ALIK digunakan ke atasnya. Sebagaimana pemuat boleh mengalirkan arus ulang-alik, begitu juga bebola plasma.
Bagi membolehkan pergerakan cas 'merentas' gas dalam maka frekuensi dan voltan arus ditingkatkan.

Sebenarnya, arus ulang-alik tidak merentas melalui bola kaca yang menutup dan udara di luar. Ia hanya seolah-olah merentas. Bayangkan arus ulang-alik merentas pemuat. Ia dianggap merentas pemuat, padahal sebenarnya tidak. Ia hanya mengubah arah berpuluh kali dalam sesaat.

Alur-alur plasma yang terbentuk dalam bebola kaca ialah aliran elektron sepertimana aliran elektron dalam plat pada pemuat.

Bagaimana alur plasma berkumpul pada kawasan bola kaca yang disentuh jari?



Jari anda adalah sejenis bahan pengalir arus (English- conductor). Jika anda meletakkan sebarang bahan pengalir pada dinding bebola plasma, alur plasma akan menumpu kepadanya. Ini kerana medan elektromagnet yang dihasilkan telah diubah. Medan elektromagnet menumpu ke arah bahan pengalir dan menjadi kuat berbanding medan di kawasan lain. Oleh itu, plasma akan menumpu kepada bahagian medan yang kuat tersebut.

Selain itu, muncul bunyi bingit apabila bahan pengalir menyentuh bebola plasma. Bunyi ini terhasil daripada perubahan frekuensi arus, di mana frekuensinya berubah daripada frekuensi asalnya yang terletak di luar julat pendengaran manusia (infrasonik atau ultrasonik) kepada frekuensi yang terletak dalam julat pendengaran manusia.

Sekian dahulu.

2 comments:

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...