Feb 25, 2009

Takziah...

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Pengumuman:
Bapa kepada saudara Mohd Farhan Mohd Rozi (Paan Birm) telah kembali ke rahmatullah pada 25 Feb 2009, 9am waktu Msia akibat strok ... bersama-sama kita sedekahkan al-fatihah kepada ruh Allahyarham.
Berikut emel dari Bro Fahmi:

_______________________________________
Assalamualaikum warahmatullah

Ayah kepada saudara Mohd. Farhan Mohd. Rozi (Birmingham-Petronas-Chem Eng 2nd Yr) telah
meninggal dunia (25 Feb 2009, 9am waktu Msia). Pohon saudara-saudari, sahabat2 mendoakan semoga ruhnya ditempatkan bersama orang yg soleh.

...Ya tuhan kami,ampunilah kami dan saudara2 kami yg telah beriman
lebih dahulu dari kami dan janganlah engkau tanamkan kedengkian dlm
hati kami terhadap org2 yg beriman... (al-hasyr;10)

sesiapa yg ingin menghulurkan sumbangan,boleh berbuat demikian melalui
akaun berikut:

MR W A F WAN MOHAMAD
Sort Code:306261
Account no:25482760
Reference: FARHAN

jazakumullah khairan kathira

FAHMI
Birmingham
__________________________________________________

Sekian dimaklumkan.

Feb 21, 2009

Siapa Nikola Tesla?

Pertama-tamanya saya ingin memohon maaf kepada para pembaca sekalian kerana tidak dapat mengemaskini blog ini untuk jangka masa yang agak lama, disebabkan tuntutan 'tugasan-tugasan' untuk kursus saya di sini, dan tidak lupa 'tugasan-tugasan' dari-Nya yang perlu disiapkan sebelum 'dateline'. Apapun, untuk segmen sains dan teknologi pada kali ini, saya ingin mengajak para pembaca sekalian telusuri sejarah seorang saintis yang dikatakan merintis jalan kepada dunia keelektrikan kita dewasa ini, iaitu Encik Nikola Tesla. Dan tahukah anda unit SI bagi fluks magnet,Tesla mengambil sempena nama beliau?

Mengapa saya menulis rencana ini? Kerana saya mahu diri saya sendiri dan para pembaca sekalian tahu, kita boleh mencapai apa yang kita impikan, asalkan kita mampu bangkit dan belajar atas kesedaran bahawa kita masih jauh ketinggalan berbanding orang dan bangsa lain. Saya sering terbaca dan terdengar ada orang asyik membincangkan mengenai sejarah Yahudi dan mengapa mereka terlalu bijak, dan mengapa ramai di antara mereka adalah orang yang bijak2 ? Pada saya kebijaksanaan bukan genetik. Dan buat pengetahuan anda Nikola Tesla bukan seorang Yahudi! Dia hanyalah seorang rakyat Amerika yang berasal dari Serbia. Ya Serbia, ingatkah anda semua mengenai Perang Kosovo? Askar-askar Serbia telah membunuh kejam ramai rakyat Islam Kosovo atau etnik Albania yang tidak berdosa. Nikola Tesla berasal dari bangsa ini. Tetapi ingin saya jelaskan lagi sekali bahawa keganasan juga bukan genetik! Dan Nikola Tesla tidak membunuh orang , malah memberikan sumbangan kepada orang.

Pernahkah anda menonton filem animasi 'Meet The Robinsons'? Watak utama cerita kartun tersebut iaitu Cornelius Robinson a.k.a. Lewis mengingatkan saya mengenai sumbangan perekacipta ini. Nikola Tesla ini sezaman dengan Thomas Edison. Kalau Einstein terkenal dengan teori sainsnya, saintis ini terkenal dengan rekaciptanya. Pendek kata , beliau boleh dikatakan ahli praktikal berbanding teori.

Nikola Tesla

Nikola Tesla lahir pada 10 Julai 1856 di Smiljan, Lika, yang merupakan sebahagian dari Empayar Austro-Hungarian , di wilayah Croatia. Bapa dan ibunya masing-masing merupakan paderi Ortodoks Serbia dan perekacipta kelengkapan dapur. Tesla belajar di Realschule, Karlstadt dalam tahun 1873, Institut Politeknik di Graz, Austria dan seterusnya ke Universiti Prague. Pada mulanya , beliau berminat untuk mendalami fizik dan matematik, namun kemudian beralih minat kepada elektrik (khususiyah). Beliau memulakan kerjayanya sebagai jurutera elektrik dengan sebuah syarikat telefon di Budapest pada tahun 1881. Di situ , beliau mendapat ilham mengenai prinsip aruhan magnet dalam motor. Sebelum berhijrah ke Amerika, Tesla menyertai Continental Edison Company di Paris di mana beliau merekacipta dinamo. Semasa di Strassburg dalam tahun 1883, beliau secara sendirian telah mencipta prototaip untuk motor aruhan elektromagnet, dan ciptaan tersebut berjaya. Namun beliau tidak berjaya meyakinkan sesiapa pun di Eropah bagi mengeluarkan hasil rekaannya itu. Tidak lama kemudian, beliau mendapat tawaran untuk bekerja dengan Thomas Edison di New York. Impian kanak-kanaknya ialah ingin memanfaatkan tenaga dari air terjun Niagara.

Tesla berhijrah ke Amerika Syarikat pada 1884 . Beliau menghabiskan 59 tahun hidupnya di sana . Beliau bercadang memperbaharui ciptaan-ciptaan dinamo Edison semasa bekerja di makmal Edison di New Jersey. Di situlah bermulanya percanggahan pendapat antara beliau dengan Edison mengenai arus terus dan arus ulang alik. Perselisihan ini memuncak ketika Edison gagal mempertahankan pelaburannya dalam perniagaan kelengkapan dan kemudahan berasaskan arus terus.

Tesla membongkar ketidakberkesanan rumah kuasa berasaskan arus terus yang dicipta oleh Edison , yang telah dibina di kawasan pinggiran pantai menghadap Lautan Atlantik. Beliau memikirkan adalah lebih baik jika rumah kuasa tersebut dibina berasaskan arus ulang alik. Mengapa tidak dibina sebuah penjana yang boleh menghantar tenaga elektrik sepanjang laluan pengagihan, pertama satu arah, kemudiannya arah yang berlawanan mengikut prinsip polifasa?

Lampu ciptaan Edison lemah dan tidak berkesan apabila dibekalkan arus terus. Ia memiliki kelemahan di mana cahaya yang dihasilkan tidak dapat menjangkaui jarak lebih dari dua batu disebabkan ketidakbolehan mentol itu untuk bertahan pada voltan tinggi yang diperlukan untuk menghasilkan cahaya sekuat itu. Akibatnya, stesen kuasa arus terus diperlukan dalam lingkungan jarak dua batu bagi tujuan tersebut.

Arus terus mengalir berterusan dalam satu arah; arus ulang-alik mengubah arah pengaliran 50 hingga 60 kali sesaat dan boleh diinjak naik untuk meninggikan voltannya, mengurangkan kehilangan kuasa dalam jarak yang jauh. Masa depan kini beralih kepada arus ulang-alik.

Tesla juga membangunkan penjana, motor dan transformer sistem arus ulang-alik polifasa dan memegang 40 paten Amerika Syarikat untuk sistem tersebut. Edison pula tidak mahu kalah dengan industri arus terusnya, maka 'perang arus' berterusan. Namun kemenangan berpihak kepada Tesla kerana arus ulang alik merupakan teknologi yang menyeluruh dan paling sesuai dengan perkembangan industri semasa.

Dalam Februari 1882, Tesla menemui medan magnet yang berputar. Ia salah satu prinsip asas dalam fizik dan juga penciptaan kepada peralatan yang memerlukan arus terus untuk beroperasi.

Pada 1895, beliau merekacipta tapak kuasa hidroelektrik yang pertama di Air Terjun Niagara, kejayaan terakhir beliau dalam bidang arus ulang alik. Ini melayakkan beliau memenangi beberapa anugerah, umpamanya Order of Danilo daripada Raja Nikola dari Montenegro.

Tesla memperkenalkan motor dan sistem elektriknya dalam satu kertas kajian bertajuk " Sistem Terbaru; Motor dan Transformer Arus Ulang Alik" pada tahun 1888.

Pernahkah anda mendengar mengenai lingkaran Tesla (tesla coil)? Lingkaran Tesla merupakan salah satu ciptaan beliau yang termasyhur. Beliau mencipta lingkaran ini pada tahun 1891. Ciptaan ini digunakan secara meluas dalam radio dan televisyen, serta beberapa peralatan elektrik yang lain. Buat pengetahuan anda, Tesla juga menemui dan merekacipta alatan-alatan seperti lampu kalimantang, penghasil sinar laser, alat perhubungan tanpa wayar, penghantaran tenaga elektrik tanpa wayar, alat kawalan jauh, robotik (asas sahaja, kerana perintis robot humanoid sebenar ialah Jepun), turbin Tesla dan bebola plasma. Bebola plasma tercipta semasa beliau mengkaji kesan arus ulang-alik berfrekuensi tinggi ke atas campuran gas adi pada tekanan rendah.

Tesla telah mendaftar lebih 700 paten di seluruh dunia. Wawasan beliau termasuk meneroka tenaga suria dan kuasa lautan. Beliau memandang ke hadapan mengenai penciptaan teknologi perhubungan dan satelit.

Tesla juga menyumbang dalam bidang sinar-X. Majalah Electrical Review pada 1896 menerbitkan gambar salinan sinar -X tubuh seseorang , yang dihasilkan dari tiub sinar-X yang dicipta sendiri oleh Tesla. Dan pada masa yang sama saintis British Wilhelm Roentgen mengumumkan yang beliau baru menemui sinar-X. (buat pengetahuan anda, nama 'sinar-X' itu sendiri diberikan oleh saintis British ini).

Tesla mematenkan sistem asas bagi radio pada 1896. Beliau menerbitkan gambar rajah skematik yang menerangkan alatan2 dan komponen2 penting untuk pemancar radio, yang kemudiannya digunakan oleh Guglielmo Marconi( pencipta teknologi 'tanpa wayar' (English-wireless) selepas Tesla). Tesla tidak berhenti setakat itu sahaja, beliau mencipta pula alatan penerima gelombang radio pada tahun yang sama.

Berikut dirumuskan beberapa ciptaan Tesla seumur hidupnya (korang translate lah sendiri):

Tesla coil
Tesla turbine
Teleforce
Tesla's oscillator
Tesla electric car
Tesla principle
Tesla's Egg of Columbus
Alternating current
Induction motor
Rotating magnetic field
Wireless technology
Particle beam weapon
Death ray
Terrestrial stationary waves
Bifilar coil
Telegeodynamics
Electrogravitics

Akhirkata, pembaca boleh meneruskan membaca rencana mengenai Nikola Tesla ini dari laman web asalnya (klik di sini), kerana saya hanya mengambil apa yang penting sahaja dari rencana tersebut. Ini kerana pada pandangan saya secara keseluruhannya rencana tersebut pro-Amerika dan terlalu mengagung-agungkan Tesla berbanding para perekacipta2 yang lain. Tambahan pula, tiada bukti yang ditulis bagi menerangkan bahawa penemuan2 Tesla adalah tulen dan tidak dipengaruhi oleh perekacipta2 sebelumnya. Pada pandangan saya, Tesla mungkin tidak dapat meneruskan barang sedikitpun dari penemuan2 anehnya itu, jika tiada usaha dari saintis2 terdahulu, seperti Isaac Newton dan Michael Faraday (abad ke-17-18), dan yang paling penting, usaha terbesar dari saintis-saintis Islam terkemuka Al-Farabi dan Al-Jaziri (fizik), Ibnu Sina , Ar-Razi, dan Ibnu Hayyan Jabir( kimia dan biokimia), dan Bapa Matematik Dunia Abu Jaafar Al-Khawarizmi, yang kajian mereka datang dari ilham setelah mendalami ilmu wahyu dan al-Quran, yang datangnya bukan dari pemikiran manusia, tapi dari secebis dari selautan ilmu Allah Yang Maha Bijaksana.

Wassalam.

Semoga mendapat dapatan berguna dari pelayaran internet anda walaupun sedikit.

Feb 15, 2009

Plasma.

Apakah plasma?
Plasma ialah molekul-molekul gas tanpa elektron, atau tidak cukup elektron, dan dikenali juga sebagai ion. Plasma terbentuk dari molekul gas yang menerima tenaga yang tinggi. Plasma dikenali sebagai 'keadaan keempat jirim', selain dari pepejal, gas dan cecair.

Bagaimanakah plasma boleh terbentuk dari gas?
Apabila molekul gas menerima tenaga yang tinggi (haba, gelombang elektromagnet, hentaman dari zarah subpartikel), molekul itu akan berpecah kepada unsur-unsur juzuknya. Seperti yang kita tahu, zarah gas terdiri daripada proton, neutron dan elektron. Apabila nukleus berpecah, neutron terpecah dari proton , dan ini ialah tindak balas nuklear.

Dalam plasma, hanya elektron yang berpecah dari nukleus molekul gas itu. Ia berpecah apabila menerima tenaga tinggi seperti yang diberitahu tadi.

Setelah elektron terpecah dari molekul tadi, molekul tersebut akan menjadi ion bercas positif, manakala elektron bercas negatif.

Elektron yang bergerak laju (akibat tertarik kepada ion-ion positif), akan melanggar atom-atom dan ion-ion yang lain. Perlanggaran ini membebaskan tenaga yang tinggi (rujuk gambar untuk tahu bagaimana ia berlaku). Tenaga yang tinggi ini akan keluar dalam bentuk cahaya, bunyi atau haba.



Apakah contoh plasma?
Contoh plasma semulajadi ialah lonjakan gas di matahari, kilat, dan aurora. Plasma bertenaga tinggi. Oleh itu saintis berusaha memanfaatkannya dalam sains dan teknologi.

Apakah aplikasi plasma dalam sains dan teknologi?
Plasma digunakan dalam alat pemotong besi plasma, dan sebagai hiasan iaitu bola plasma. Aplikasi plasma juga dapat ditemui pada paparan plasma dalam set televisyen paparan plasma. (English-plasma screen TV)

Penjelasan mengenai bebola plasma.

Ini ialah bola plasma;



Bagaimana bola plasma bekerja?
Gas-gas dalam bebola plasma mengalami proses perubahan keadaan jirim daripada gas kepada plasma, kerana arus elektrik berVOLTAN TINGGI dialirkan melaluinya. (proses seperti yang diterangkan tadi)

Bebola plasma boleh diumpamakan sebagai sebuah pemuat (English-capacitor). Gas dalam bebola kaca adalah sama fungsinya dengan plat pemuat. Dinding bebola kaca yang menutup dan udara sekeliling ialah penebat (English-dielectric). Manakala plat 'pemuat' yang satu lagi tertanam di bawah tapak bebola plasma dan dibumikan. Ini bererti litar yang dibentuk oleh bebola plasma merupakan litar tergantung, di mana salah satu 'wayar' yang terlibat ialah bumi.

Penebat tidak mengalirkan arus elektrik, namun bagaimana bebola plasma ini berfungsi? Ia dapat berfungsi kerana ARUS ULANG-ALIK digunakan ke atasnya. Sebagaimana pemuat boleh mengalirkan arus ulang-alik, begitu juga bebola plasma.
Bagi membolehkan pergerakan cas 'merentas' gas dalam maka frekuensi dan voltan arus ditingkatkan.

Sebenarnya, arus ulang-alik tidak merentas melalui bola kaca yang menutup dan udara di luar. Ia hanya seolah-olah merentas. Bayangkan arus ulang-alik merentas pemuat. Ia dianggap merentas pemuat, padahal sebenarnya tidak. Ia hanya mengubah arah berpuluh kali dalam sesaat.

Alur-alur plasma yang terbentuk dalam bebola kaca ialah aliran elektron sepertimana aliran elektron dalam plat pada pemuat.

Bagaimana alur plasma berkumpul pada kawasan bola kaca yang disentuh jari?



Jari anda adalah sejenis bahan pengalir arus (English- conductor). Jika anda meletakkan sebarang bahan pengalir pada dinding bebola plasma, alur plasma akan menumpu kepadanya. Ini kerana medan elektromagnet yang dihasilkan telah diubah. Medan elektromagnet menumpu ke arah bahan pengalir dan menjadi kuat berbanding medan di kawasan lain. Oleh itu, plasma akan menumpu kepada bahagian medan yang kuat tersebut.

Selain itu, muncul bunyi bingit apabila bahan pengalir menyentuh bebola plasma. Bunyi ini terhasil daripada perubahan frekuensi arus, di mana frekuensinya berubah daripada frekuensi asalnya yang terletak di luar julat pendengaran manusia (infrasonik atau ultrasonik) kepada frekuensi yang terletak dalam julat pendengaran manusia.

Sekian dahulu.

Feb 12, 2009

Sekejaplah cuma.

Ini untuk Bro Pa*n.

Sekejaplah cuma.

sekejaplah duduk
berdiam diri
lupakan sekejap
dunia yang sekejap
bermuhasabah sekejap
lihat diri
berdiamlah sekejap
hidup yang sekejap

sekejaplah cuma
mengingat mati
lupakanlah sekejap
hutang dunia
ingatlah sekejap
hutang yang nanti
bermuhasabahlah sekejap
dapat pahala

sekejaplah cuma
lupakan dunia
moga yang sekejap ini
kan menjadi lama

sekejaplah duduk
mengenang dosa
sekejaplah duduk
menangguk pahala
di masjid mulia

Taman ilmu.

"Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman."(Ali-Imran:139)

"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".(Al-Baqarah:286)

Buat adik-adikku ( yang berjaya dan gagal, gagal sekali bukan gagal selamanya), buat sepupu-sepupuku, buat rakan-rakanku yang sedang dilanda rasa lemah semangat, dan jua diri sendiri ( yang turut rasa lemah) sesungguhnya manusia itu makhluk yang lemah.


Taman ilmu

berjalan meredah pagi
adalah berusaha tekadkan hati
menuju taman ilmu
mendengar celoteh dari guru
dengan azam mengaut
bukan sebesar tadahan tangan
bukan seluas ngangaan mulut
ketika menyuap makanan
tetapi seluas lapangnya hati
untuk menadah ilmu yang mencurah
seperti mudahnya menadah rezeki
yang jua mencurah setiap hari

bingkisan taman ilmu
tidak dapat diletakkan nilai
tidak dapat dikatakan membazir
walau berjuta ringgit berhabis
tidak dapat dikatakan sia-sia
walau nyawa dipertaruhkan untuknya
secebis kutipan taman ilmu
walaupun telah dituntut dahulu
tetapi tidak salah dikutip lagi
sekadar mengisi putaran hari
agar tidak menjadi sia-sia
oleh tabiat berfoya-foya

bangkitlah
kibarkan panji negara
kobarkan semangat membara
di taman ilmu itu.

Feb 10, 2009

Ulasan Usrah : Niat

Untuk catitan pada kali ini, saya ingin mengulas mengenai apa yang telah saya perolehi dari usrah mingguan yang telah dikendalikan oleh 'abang-abang Birmingham' a.k.a. 'Bro. Birm'. Usrah ini kelihatan lebih bernyala-nyala berbanding usrah yang lepas-lepas, dengan sumbangan bernas dari setiap ahli usrah yang turut bernyala-nyala semangat mereka, umpama telah terbit cahaya keimanan dari hati-hati yang malap (ceh).

Usrah dimulakan dengan pembukaan oleh seorang naqib yang dilantik secara tidak sengaja dan bukan dengan lafaz niat " sengaja aku melantik naqib usrah pada kali ini...". Naqib yang dimaksudkan itu tidak lain dan tidak bukan ialah saudara Sy***ul Birm, rakan sekursus penulis. Beliau merupakan pelajar tajaan Petr***s dan pernah menuntut ilmu di Kolej T***or.

Tidak lama selepas itu, muncul pula satu suara misteri menyuruh kami semua membaca surah as-saff. Ini kerana terdapat ayat penting yang bakal dibincangkan dalam segmen tafsir. Suara misteri itu telah menemui ayat tersebut secara tidak sengaja ketika membaca sebuah blog dan telah meminta agar dibincangkan pada usrah kali ini.

Selesai membaca surah tersebut, segmen perbincangan menyusul. Tahukah para pembaca apakah ayat yang telah dibincangkan pada kali ini? Perbincangan bermula dengan ayat kedua dan ketiga surah as-saff.
Apakah maksud ayat tersebut? Ini dia...

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah jika kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak lakukan." (as-saff:2-3)

Sungguh besar tanggungjawab orang yang menyampaikan dakwah sebenarnya. Orang yang berdakwah mesti melakukan apa yang didakwahkannya. Tidak melakukan apa yang diperkatakan akan mengundang kebencian dan kemurkaan Allah S.W.T. . Pada zaman yang serba canggih ini, pelbagai medium dakwah digunakan bagi menyampaikan dakwah, umpamanya seperti saluran blog , media elektronik dan sebagainya. Maka, skop dakwah menjadi lebih luas. Jadi, penulis blog juga boleh menjadi pendakwah. Dan dia mestilah mengamalkan apa yang diseru dalam penulisannya. Bak kata sesiapa jua " tulis serupa bikin". Tetapi jangan pula menganggap ia beban kepada diri. Berusaha sedaya yang termampu, selebihnya berserah kepada-Nya. Berusahalah untuk berdakwah, walau siapa pun kita. Dakwah tidak dipandang pada orang yang menyampaikan, tetapi pada apa yang disampaikan . Jadi ambillah apa yang dituliskan oleh penulis ini. (bajet btul)

Perbincangan maksud ayat diteruskan lagi mengenai tawaran Allah kepada orang-orang beriman.


"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga " Adn ". Itulah kemenangan yang besar." (As-Saff:10-12)

Allah telah menjanjikan kepada kita satu bentuk perdagangan di mana, kita selaku hamba-Nya, akan dibayar dengan pembalasan baik di hari kiamat sekiranya kita beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dalam perdagangan ini, untungnya nampak pada kita, dan jelas sekali bahawa syurga itulah keuntungan yang sebenar. Allah Yang Maha Kaya tidak perlukan sebarang keuntungan dari perdagangan ini, kerana keuntungan itu sendiri adalah milik-Nya.

Saudara Bro F**m* juga turut tidak terkecuali menyumbangkan buah akalnya tika kami semua sedang enak dibuai lena seolah-olah tiada lagi esok buat kami. Saudara ini menjelaskan mengenai ayat keempat.

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." (as-saff:4)

Berhubung isu Palestin yang semakin hilang ditelan masa, teraturkah umat Islam pada masa kini dalam menghadapi musuh-musuhnya? Lihat sahaja negara-negara Arab. Bersatukah mereka? Bersatukah mereka dalam menghadapi serangan musuh-musuh Islam? Bagaimana mahu mendapat kasih sayang dari Allah tanpa persatuan umat Islam?

Saudara Bro F**M* turut menyediakan penutup untuk segmen tafsir pada kali ini. Segmen seterusnya ialah mengenai hadis. Hadis yang kami telah bincangkan pada kali ini ialah hadis pertama dalam himpunan 40 hadis sahih oleh Imam An-Nawawi. Berikut ialah hadis yang dimaksudkan-

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

(Hadis ini diriwayat oleh dua orang Imam Ahli Hadis; Abu Abdullah Muhammad ibn Ismail ibn Ibrahim ibn al-Mughirah ibn Barzirbah al-Bukhari dan Abu al-Husain Muslim ibn al-Hajjaj ibn Muslim
al-Qusyairie al-Naisaburi dalam kitab sahih mereka berdua yang merupakan antara kitab yang paling sahih)
(Al-Imam al-Bukhari meriwayatkannya pada bahagian awal kitab sahihnya, juga dalam Kitab Iman dan beberapa tempat lain dalam kitab sahihnya. Al-Imam Muslim meriwayatkannya dalam Kitab al-Imarah Bab hadis nombor 1908).

Hadis ini adalah salah satu hadis utama dalam lslam.

Niat adalah penting dalam memulakan sesuatu amalan dalam Islam. Niat membezakan antara adat dengan ibadat. Apabila melakukan sesuatu perkara kebaikan dengan niat kerana Allah, maka perkara itu dikira sebagai ibadat. Sebagai contoh, jika pergi membuang air besar atau kecil dengan niat untuk menyihatkan badan bagi membolehkan menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi, maka perbuatan itu dikira ibadat dan insya-Allah akan mendapat pahala. Tetapi sekiranya perbuatan yang dilakukan itu merupakan perbuatan yang dilarang agama, umpamanya mencuri dan merompak, maka ia tidak dikira ibadat meskipun si pelakunya berniat kerana Allah kerana perbuatan seperti itu tidak akan memperoleh keredhaan Allah. Keredhaan Allah adalah salah satu kriteria yang penting dalam penerimaan sesuatu amalan.

Niat juga membezakan tingkatan sesuatu amalan. Sebagai contoh, solat dua rakaat boleh menjadi solat subuh, solat tahiyyatul masjid, atau solat sunat Aidilfitri. Cuma niatnya mesti betul.

Lafaz niat tidak wajib dalam Islam. Niat hanyalah perbuatan hati. Lafaz diharuskan bagi menghadirkan hati kita untuk memulakan sesuatu amalan. Bagi orang yang hatinya payah berniat, atau payah untuk hadir hati, maka digalakkan melafazkannya terlebih dahulu, tapi jangan pula sampai was-was menguasai diri. (rujuk buku ustaz Zaharuddin, " Panduan Khusyuk dalam Solat", aku bukan taksub dengan beliau, jangan tuduh aku bermazhab ustaz zaharuddin sudah, tapi cuba cari dalam buku tu, ada cerita sikit dan hadis pasal niat).

Bercakap mengenai was-was, was-was merupakan suatu rasa tidak yakin dengan amalan yang telah dilakukan. Was-was ini biasanya berlaku ketika berniat dan mengangkat takbiratul ihram ketika memulakan solat. Was-was juga berlaku dalam berwuduk, di mana si pengambil wuduk berasa tidak yakin wuduknya sah walaupun telah diambil semula berkali-kali sehingga basah lencun pakaian. Bukan itu sahaja, was-was juga berlaku ketika membicarakan soal halal haram makanan, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan minoriti muslim. Was-was ini merupakan rasa yang ditimbulkan oleh syaitan semata-mata. Syaitan akan cuba mempengaruhi manusia beriman ini melalui dua perkara; sama ada terlalu memandang ringan atau jahil atau tidak mahu ambil tahu sangat mengenai ilmu agama; atau melalui perbuatan melampau atau fanatik dalam beragama, atau apa yang disebutkan dalam istilah Arab sebagai 'ghulu'. Was-was ini merupakan jalan kedua atau jalan 'ghulu' atau melampau dalam beragama, yang digunakan oleh syaitan untuk mempengaruhi mereka yang dekat dengan Allah dan tidak meninggalkan amalan-amalan wajib. Lihat betapa liciknya syaitan dalam mempengaruhi manusia. Gagal strategi pertama, masih ada strategi simpanan atau plan B. Maka kita sebagai umat Islam mesti mengambil jalan pertengahan atau jalan 'wasadtiah'.

Akhirnya, usrah ditutup dengan bacaan tasbih kafarah dan Surah Al-Asr.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-Asr: 1-3)

Semoga mendapat ilmu berguna dari pelayaran internet anda walaupun sedikit.

P/S- suara misteri yang dimaksudkan hanya diketahui oleh mereka yang hadir usrah tersebut. Jadi moralnya, janganlah ponteng usrah...

Feb 8, 2009

Sakit...

Sakit...

"bosan
dengan perbincangan yang kau keutarakan
muak aku dengan sains dan teknologi
muak aku dengan sajak-sajakmu
tolonglah, jangan tulis lagi"

ingin sekali aku bertanya
pernahkah aku
memaksamu bersengkang mata
mengadap apa yang aku tuliskan
atau pernahkah aku
mendesakmu menghadam
akan apa yang aku nukilkan
atau pernahkah aku
memaksamu ketawa
pada lawak yang aku buat-buatkan?

sakit
mendengar bicara yang sebenarnya tidak tahu apa-apa
sakit
mendengar bicara yang sebenarnya tidak faham apa-apa.

Feb 6, 2009

Pluralisme.

Sebelum rencana dimulakan, terlebih dahulu kita hayati maksud surah al-Kaafirun dan surah al-Ikhlas di bawah.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai orang-orang kafir! . Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah kepada apa yang aku sembah. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku".
(al-Kaafirun:1-6)

Katakanlah (wahai Muhammad): " Dialah Allah Yang Maha Esa. Allah Tempat meminta segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya". (al-Ikhlas: 1-4)


Dua surah di atas merupakan surah penegasan mengenai ciri-ciri ketuhanan dalam Islam. Sifat-sifat Tuhan dalam Islam tidak sekali-kali sama dengan sifat-sifat tuhan seperti dalam mana-mana kepercayaan dan agama di dunia ini. Tuhan dalam Islam hanyalah Allah Yang Maha Esa dan tidak ada satu pun yang sekutu dan setara dengan-Nya . (rujuk catitan mengenai Sifat Allah). Dalam kebanyakan agama, tuhan digambarkan sebagai lebih dari satu, atau sebagai perwakilan kepada tuhan-tuhan yang lain. Sebagai contoh, dalam agama Yahudi, tuhan 'Yahweh' dikatakan mempunyai anak iaitu Uzair. Manakala dalam agama Kristian, tuhan digambarkan memiliki tiga sifat atau tiga tuhan lain dalam satu , iaitu konsep triniti. (doktrin tri-tunggal). Tuhan-tuhan itu ialah tuhan roh, tuhan anak dan tuhan bapa. Manakala dalam agama Hindu pula, penganutnya percaya kepada tiga jenis dewa utama, iaitu Brahma, Vishnu dan Siva. Sesat, lagi menyesatkan!

Sebelum itu , saya akan beritahu terlebih dahulu apakah makna 'pluralisme'.

Pluralisme- menyamakan agama lain dengan agama Islam.

Baru-baru ini timbul satu isu pluralisme di mana segolongan orang-orang dari gereja mahu menggunakan perkataan 'Allah' dalam terjemahan Bible bahasa melayu mereka.

Alasan mereka, tidak ada lagi perkataan melayu yang boleh menggambarkan maksud perkataan inggeris 'god'. Seolah-olah masih tidak lengkap kosa kata bahasa melayu, sehinggakan tiada perkataan yang sesuai untuk memberi maksud kepada perkataan 'god'.

'God', dalam bahasa melayu, maknanya 'tuhan'. Faham?

tuhan = god

Perkataan 'Allah' hanya layak digunakan untuk memanggil nama Tuhan yang diimani orang Islam. Agama lain tidak boleh sekali-kali menggunakan perkataan tersebut untuk menggambarkan tuhan mereka. Tidak boleh sekali-kali. Memang terdapat sesetengah agama di dunia percaya kepada satu tuhan, namun mereka tetap tidak boleh menggunakan perkataan 'Allah' bagi nama tuhan dalam agama mereka. Jika mereka mahu 'berTuhankan' Allah, mereka mesti memeluk agama Islam. Ini kerana agama lain tidak boleh sekali-kali sama dengan agama Islam.

"Bagiku agamaku dan bagimu agamamu" (al-Kaafirun:6)

Perbuatan menyamakan 'tuhan bapa' dalam agama Kristian dengan Allah Yang Maha Suci Tiada Sekutu Bagi-Nya, adalah perbuatan biadap dan golongan ini harus diperangi habis-habisan. Tiada kompromi lagi kerana mereka mempermainkan agama Islam yang suci.

Mereka juga cuba menyamakan Jesus Kristus dengan Nabi Isa A.S. Mari sini hamba beritahu lagi, Nabi Isa A.S. tidak pernah membawa ajaran Kristian pun sepanjang hidupnya. Baginda hanya membawa ajaran suci menyembah Allah Yang Maha Esa. Pengasas agama kamu bukan Nabi Isa, tapi Jesus Kristus! Faham? Jangan cuba menyamakan apa-apapun dari agama kamu dengan agama kami. Dan jangan sekali-kali cuba menyamakan kitab Bible kamu dengan Injil, kitab yang kami orang-orang Islam imani . Bible bible lah, Injil tetap kitab yang suci.Bible kitab yang terpesong , penuh dengan surat-surat entah apa-apa yang ditulis oleh lima orang 'ulama' yang entah datang dari bumi mana. Bagaimana mungkin surat-surat kepada Maharaja Rom itu boleh dijadikan panduan hidup?

Pada pandangan saya , motif golongan ini sebenarnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk menarik orang Melayu masuk ke dalam agama mereka. Itu sahaja. Mereka mahu orang Melayu memahami isi kandungan Bible yang berbelit-belit itu , sebab itu mereka begitu tekun sekali menterjemahkannya. Kemudian setelah difahami, barulah dihayati, dan diminati. Akhirnya masuk ke dalam perangkap, peluk agama Kristian. Nauzubillahiminzalik!


Sekian, semoga mendapat pengajaran.

( untuk penerangan lebih terperinci, sila baca di laman web ini )

Feb 2, 2009

...

FELDA telah berjaya menakluk UK...



...walaupun UK tetap dengan dasar memboikot minyak kelapa sawit...

Feb 1, 2009

Rumusan: Januari 2009

Tirai Januari 2009 dibuka dengan sebuah puisi khas buat para pejuang di Palestin yang sedang bermandi darah diserang Zionis celaka . Catitan masih diteruskan, dengan sebuah puisi berjudul Iktidal, sebagai perbandingan antara diri yang tidak mampu khusyuk dalam solat dengan mereka di Palestin yang masih mampu khusyuk meski berada dalam keadaan perang. Juga diselitkan beberapa catitan dan puisi menyeru kepada kembalinya kekuatan bangsa dan agama melalui sains dan teknologi, umpamanya, 'siapa umat Islam , siapa Yahudi', 'guru baru', 'malaysia diserang', dan catitan tiga siri mengenai letupan, dan tidak lupa catitan sains dan teknologi berjudul kemilauan dan aurora. Dalam bulan ini juga saya banyak membincangkan mengenai elektrik, plasma dan magnet. Kesemua ini merupakan pengetahuan paling asas bagi penciptaan teknologi pertahanan dan komputer, serta teknologi bagi meningkatkan taraf sosial masyarakat. Januari 2009 diakhiri dengan satu catitan mengenai pentingnya kita bersyukur kepada Allah Yang Maha Esa, meskipun dalam hal yang terlalu kecil, kerana kita masih dapat merasa nikmat keamanan.

Secara kesimpulannya, bulan ini saya namakan sebagai bulan cintakan negara kerana banyak catitan saya di sini berkisar tentang semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air.

"hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri"

Semoga mendapat ilmu berguna dari pelayaran internet anda.