Jan 7, 2011

Intelektual Islam.

Siapakah intelektual Islam?
Dahulu penulis telah menghuraikan mengenai intelektual, siapakah mereka dan apa yang mereka lakukan sebagai seorang intelektual. Dari tulisan tersebut secara ringkasnya penulis telah menjelaskan bahawa intelektual menapis setiap maklumat yang diterima dan disebarkannya dari dan kepada orang ramai. Keintelektualan pemikiran seorang intelektual bergantung kepada sejauh mana kuatnya ‘penapis’ maklumat dalam dirinya, dan kecondongan pemikiran seorang intelektual bergantung kepada ‘kecondongan’ penapisnya dalam menapis maklumat.

Bagaimana pula dengan intelektual Islam?

Asas intelektual islam telahpun dijelaskan dalam al-Quran:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan."
(Hujurat: 6)

Dalam ayat di atas, dijelaskan kepada kita bahawa jika sampai suatu berita, maka hendaklah diperhatikan dahulu dari mana sumbernya. Ini adalah satu tindakan intelektual.

Intelektual Islam adalah subset atau sebahagian daripada kumpulan besar intelektual dalam dunia ini. Penapis intelektual Islam mesti condong kepada Islam. Seperti yang kita tahu sumber utama pemikiran Islam adalah al-Quran, as-sunnah dan ijmak ulama’. Oleh itu, penapis intelektual Islam mestilah condong kepada sumber-sumber ini.

Dari tu, seorang intelektual Islam akan menilai setiap maklumat yang diterimanya menggunakan penapis yang terdiri dari sumber-sumber tersebut. Sebagai contoh, jika seorang intelektual islam menerima suatu hadis dari seseorang atau dari sumber internet, beliau akan menapis hadis tersebut dengan merujuk kepada quran, sunnah dan ijmak para ulama’, dan beliau tidak mudah menerima hadis tersebut melainkan setelah ia terbukti bertepatan dengan sumber-sumber tersebut.

Begitu juga ketika seorang intelektual Islam mengeluarkan atau menyampaikan maklumat yang diketahuinya kepada umum. Sebagai contoh, jika seorang intelektual Islam mahu menyampaikan sepotong ayat Quran dan tafsirnya, beliau akan menapis ayat Quran dan tafsir tersebut agar ia bertepatan dengan ijmak ulama’ dan kandungan Quran yang asal, serta memikirkan kesan dari penyampaian maklumat tersebut kepada orang ramai.

Beza antara intelektual Islam dan intelektual Barat.
Intelektual Barat tidak menggunakan penapis yang sama sebagaimana yang digunakan oleh intelektual Islam.

Intelektual barat menggunakan penapis akal dan logik semata-mata. Oleh itu, pandangan seorang intelektual barat banyak bergantung kepada pandangan akal dan logik seperti falsafah dan sains.

Dari itu, sebelum berdebat dengan mereka intelektual Islam mesti menyedari bahawa lawan debat mereka ini iaitu intelektual barat tidak menggunakan penapis yang sama dengan mereka. Dari itu, cara mereka berfikir dan melihat suatu isu atau perkara juga berbeza dengan intelektual Islam.

Sebagai contoh, isu homoseksual. Intelektual barat akan mengemukakan pelbagai alasan-alasan saintifik dan psikologi yang berkaitan dengan isu ini serta menekankan hak asasi manusia yang mereka agung-agungkan, sedangkan pada intelektual Islam perkara ini sudah jelas ternyata bahawa homoseksual itu haram menurut penapis Quran dan As-Sunnah.

Dari itu, perdebatan bagi mencapai persetujuan yang sama antara intelektual islam dan barat tidak akan berhasil melainkan intelektual islam berdebat dengan penapis yang sama dengan barat atau sebaliknya.

Oleh itu, berdebat dengan penapis yang sama adalah lebih produktif berbanding berdebat menggunakan penapis yang berbeza yang tidak akan membawa kepada persetujuan bersama.

Mengubah penapis.
Mengubah penapis seorang intelektual boleh berlaku dan tidak mustahil.

Seorang intelektual barat boleh mengubah penapis intelektual muslim dan begitu juga intelektual muslim boleh mengubah penapis intelektual barat.

Penulis memilih untuk membincangkan penukaran penapis pemikiran intelektual barat kepada penapis islam.

Penukaran penapis intelektual barat kepada penapis islam tidak semestinya diperlukan jika ingin meneruskan perdebatan suatu isu kerana intelektual barat masih boleh berpenapis islam meskipun dia bukan muslim (contohnya intelektual barat yang memiliki ijazah dalam pengajian islam seperti kebanyakan orientalis yang menentang islam). Akan tetapi dengan mengubah penapis, proses debat menjadi lebih lancar kerana intelektual bukan sekadar tahu sumber yang digunakan oleh intelektual islam( Quran+ Sunnah+ijmak ulama’) malah dia akan lebih faham kerana mengamalkan pengetahuan tersebut.

Untuk mengubah penapis intelektual barat kepada penapis islam, ia juga masih memerlukan kepada perdebatan.

Di sinilah intelektual Islam memiliki kelebihan tersendiri kerana akidah Islam memiliki banyak hujah yang bertepatan dengan kajian saintifik dan logik akal, umpamanya mengenai kewujudan Tuhan dan keesaan-Nya.

Maka sekiranya intelektual Islam berdebat dengan intelektual barat menggunakan penapis logik mereka, sudah tentu intelektual Islam memiliki potensi besar untuk menang. Namun menang tidak menjamin perubahan penapis mereka,akan tetapi ia meningkatkan kebarangkalian mereka untuk menukar penapis mereka dan menerima Islam.

Jika mereka memilih penapis islam dan menerima islam hasil perdebatan tersebut, maka perdebatan-perdebatan berkaitan isu-isu lain (yang bergantung kepada persamaan penapis intelektual) akan menjadi lebih mudah dan mungkin perdebatan tersebut tidak lagi relevan kerana kedua-dua golongan intelektual telah berada di bawah satu penapis pemikiran yang sama iaitu penapis pemikiran Islam yang berlandaskan alquran dan assunnah.

Kesimpulan
Setakat ini dapat disimpulkan bahawa perdebatan antara agama (English-comparative religion debate) atau perdebatan ‘yang bermatlamat menukar penapis’ memiliki kesan yang lebih utama dan besar berbanding perdebatan tentang suatu isu antara intelektual islam dengan intelektual barat. Ini kerana perdebatan comparative religion memiliki potensi besar dalam mengubah penapis seorang intelektual dari penapis materialistik kepada penapis islam,atau sebaliknya.

Jan 4, 2011

Nilai.

Bayangkan terdapat sebuah negara demokrasi yang diperintah oleh sebuah parti pemerintah yang sama sahaja selama berpuluh-puluh tahun, iaitu sejak dari tahun-tahun awal kemerdekaan negara tersebut lagi.

Sehingga pada suatu tahun, rakyatnya memilih untuk berpihak kepada parti pembangkang.

Tujuan di sebalik perubahan ini amat penting, kerana ia akan menentukan sama ada perkara yang sama berulang kembali atau sebaliknya.

Jika rakyat menukar parti pemerintah kerana ketaksuban terhadap parti tersebut, demokrasi akan gagal. Ini kerana, jika parti pembangkang yang dipilih ini melanggar prinsip dan membiarkan rasuah serta jenayah-jenayah lain berleluasa sebagaimana yang telah berlaku dalam parti pemerintah sebelumnya, maka kita akan berasa teragak-agak dan mungkin mengelak dari bangun melawan mereka.

Dari itu, nilai kita akan luput tanpa disedari. Kita akan dipesongkan dari kebenaran, dan akal fikiran kita akan dibentuk dan diacu agar menurut pemimpin yang korup sebagaimana yang telah berlaku sebelum mereka dipilih oleh kita suatu ketika dahulu.

Kitaran yang sama akan berulang.

Tetapi, jika rakyat memilih parti pembangkang kerana mahu menegakkan kebenaran dan menyingkirkan kebatilan dalam pemerintahan, maka demokrasi akan berkembang subur. Ini kerana, jika parti pembangkan yang dipilih ini melanggar prinsip dan membiarkan rasuah serta jenayah-jenayah lain berleluasa sebagaimana yang telah berlaku di dalam parti pemerintah sebelumnya, maka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun menentang mereka.

Dari itu, nilai kita akan dilindungi dan pemimpin akan memerintah demi melindungi nilai, bukannya melindungi kuasa mereka. Kita tidak akan dipesongkan dari kebenaran, dan akal fikiran kita hanya akan dipandu oleh kebenaran dan kepercayaan kita, bukannya oleh media massa arus perdana.

Dan akhirnya, demokrasi akan berjaya mencapai objektifnya; untuk melindungi dan menjaga nilai kemanusiaan.

Mengapa nilai amat penting? Kerana ia mutlak; tidak ada sesiapapun yang boleh mengubahnya. Kenyataan ini adalah teras utama di sebalik prinsip raja berperlembagaan yang diperkenalkan oleh John Locke; iaitu tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi dari perlembagaan, yang dicipta oleh manusia berdasarkan nilai-nilai mereka. Seorang raja berperlembagaan akan memimpin berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan di dalam perlembagaan, bukannya menurut hawa nafsunya.

Jan 3, 2011

Puisi untuk kaum kapitalis.

Puisi untuk kerajaan kapitalis yang tak habis-habis merobek alam, merampas tanah milik orang ramai.

**********************************************************************************
Surat dari masyarakat burung kepada datuk bandar- Usman Awang

Tuan Datuk Bandar,
kami masyarakat burung telah mengadakan mesyuarat agung
pada suatu pagi yang manis dan ranum
di atas bangunan parlimen yang kosong

seluruh kaum burung telah diwakili
oleh para cerdik pandai, kecuali
perwakilan burung gagak yang sibuk dengan urusan kematian
penembakan, bangkai hanyut di sungai kelang.

sidang ini dihadiri juga oleh pemerhati undangan
kupu-kupu yang ada kepentingan
dengan persoalan yang kami bincangkan

Tuan Datuk Bandar,
meski kami tidak pernah mengangkat tuan sebagai datuk kami
kerana perbezaan fahaman taraf ‘Datuk’ dan ‘cucu’
kerana kelainan pendapat antara rambut dan bulu
(tuan-tuan telah mempermaniskan gelaran
menyebut rambut pada diri tuan-tuan, sedangkan
untuk kami tuan namakan perkataan ‘bulu’)
kami tetap menghormati tuan yang pernah menjanjikan untuk
MENGHIJAUKAN SELURUH WILAYAH

Tapi manusia kota ini telah membunuh KEHIJAUAN ALAM
semata-mata untuk mengejar KEHIJAUAN ringgit
sejak lumpur kota ini menjadi batu-batu
kami masyarakat burung menjadi mangsa yang bisu

mendiang burung belatuk menjadi korban punggur rebah
burung merbuk telah ditipu dengan nama padang merbuk
sedang mereka dipenjarakan di tempat yang tuan namakan sangkar.

perwakilan burung pipit telah mengemukakan protes
kerana menuduhnya sebagai
“pipit pekak makan berhujan”
ia disokong kuat oleh perwakilan burung punai
bahawa tuan telah menghina kaum jenis mereka
datuk menamakan benda-benda rahsia di tempat rahsia tubuh datuk
dengan nama ‘pipit’ dan ‘punai’, sedangkan kami tahu
‘pipit’ dan ‘punai’ datuk tak pandai terbang.

Tuan Datuk Bandar,
surat ini merayu kebijaksanaan tuan,
PELIHARALAH tiap pucuk dan akar tumbuh-tumbuhan
tiap helai daun, tiap kelopak bunga, tiap kerimbunan
itulah rumah kami, kediaman kami turun temurun
malah demi kesejahteraan manusia
kesihatannya, kebahagiannya, kedamaiannya
alam semula jadi seribu keindahan mekar
di bawah matahari bersinar 

Jan 2, 2011

Antara pandangan Dr Asri dan pandangan Astora.

Penulis pernah membaca tulisan-tulisan Astora jabat di utusan Malaysia, dan penulis fikir penulis faham akan apa yang cuba diutarakannya, lebih-lebih lagi selepas menonton video perdebatan.

Link bahagian pertama:
http://www.youtube.com/watch?v=XBqJUmshsaM

Link bahagian lain boleh dicari di Youtube.com. Jika link di atas telah mati, taip sahaja ‘dr asri debat astora’ di Youtube.com.

Astora meraikan perbezaan pendapat, demikian juga Dr Asri. Namun kaedah Astora dalam meraikan perbezaan pendapat berbeza dari Dr Asri.

Astora mengumpulkan pelbagai pandangan yang berbeza-beza tentang suatu isu, iaitu dari sudut pro dan kontra. Kemudian beliau akan mengemukakan kedua-dua pandangan dari sudut pro dan kontra ini ke dalam artikel-artikel yang ditulisnya di akhbar utusan Malaysia dan majalah al-islam, tanpa menyatakan yang mana satukah antara pro dan kontra ini yang lebih kuat hujahnya, dan menyerahkan sepenuhnya penilaian dilakukan sendiri oleh pembaca dengan beranggapan seolah-olah kononnya pembaca semuanya sudah matang dengan kaedah pemikiran Islam.

Sedangkan Dr Asri, beliau juga mengumpulkan pandangan-pandangan tentang suatu isu dari sudut pro dan kontra, namun beliau berusaha membuktikan bahawa salah satu dari PRO dan KONTRA itu mempunyai himpunan hujah dan pandangan yang LEBIH KUAT, agar tanggungjawab penerimaan dan penilaian terhadapnya TIDAK DISERAHKAN BULAT-BULAT KEPADA ORANG AWAM (PEMBACA) yang rata-rata ilmunya bukanlah berada di tahap yang tinggi.

Apa yang dilakukan oleh Dr Asri ini ialah bagi mengelakkan berlakunya fitnah dan pertelagahan dalam masyarakat apabila tanggungjawab menilai pandangan-pandangan tentang suatu isu diserahkan bulat-bulat kepada masyarakat yang rata-rata tidak tahu bagaimana mengikut susur galur kaedah pemikiran Islam yang digunakan oleh para ulama’.

Penulis memahami visi Astora, iaitu ingin melihat masyarakat melihat suatu isu dalam agama dari sudut pandang yang pelbagai. Apakah motif di sebaliknya?

Astora mungkin terlalu ghairah ingin melihat masyarakat agar berfikir dari pelbagai sudut tentang suatu isu dalam agama kerana mungkin beliau telah melihat berlakunya perbezaan pendapat dalam masyarakat luar negara di mana beliau menuntut ilmu dahulu,lalu beliau mahu agar masyarakat turut mempunyai pemikiran seperti beliau, akan tetapi kaedah yang digunakan beliau agak tergesa-gesa dan tidak memikirkan kesannya. Beliau mungkin juga berniat baik di mana mahu masyarakat dibiasakan dengan pendapat para ulama’ yang berbagai-bagai.

Atau mungkin juga, Astora tidak menginginkan sepertimana yang diutarakan di atas. Astora mungkin telah menerima tekanan dari pemerintah ketika menulis artikelnya agar dengan itu, artikelnya mampu memenuhi kehendak pemerintah tersebut yang mungkin mempunyai motif politik. Ini cuma anggapan penulis.

Namun kadangkala penulis berfikir, mengapa pihak pemerintah beriya-iya memilih Astora yang entah dari mana belajar agamanya, untuk mengisi ruangan kolum Utusan dan Majalah Al-Islam sedangkan terdapat ramai lagi ulama’-ulama’ bertauliah seperti Dr. Asri dan lain-lain yang mampu menulis dengan baik dan jelas tentang agama? Fikir-fikirkanlah.

Kesimpulannya, Astora mahu melihat orang ramai berfikiran terbuka dan mampu berfikir tentang suatu isu dari pelbagai sudut dan ia mungkin datang dari niat baik beliau atau sebaliknya seperti yg telah dinyatakan, namun Dr Asri melihat dengan lebih mendalam akan kesannya terhadap perpaduan umat Islam sendiri dan kesannya terhadap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam.

Penulis menghasilkan entri ini bagi menjelaskan keadaan dari pandangan penulis, bukanlah berniat melaga-lagakan sesiapa. Penulis bersetuju dengan saranan agar Astora berhenti daripada menulis mengenai agama selagi mana tulisan tersebut boleh membawa fitnah.

“…al Imam al Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah ibn mas’ud melarang kita memperkatakan sesuatu benda yang mengelirukan orang awam. Dan ini saya fikir, saya, saudara Astora, tuan-tuan, juga yang lain, kita bila nak jelaskan, biar jelas.”- Dr Asri ketika membalas hujah Astora.

Revolusi.

Revolusi tidak semestinya membawa kesan buruk. Kadangkala kita juga boleh mengatakan ‘revolusi, bukan evolusi’- kerana evolusi juga bersifat negatif; ia perlahan, lemah dan siput, tidak terlalu bertindak, senyap, dan berasa puas dengan usaha yang sedikit sambil mengatakan ‘oh, sesungguhnya aku telah membaiki masyarakat dengan berkempen dan melakukan usaha misionari’.

Apabila perubahan segera diperlukan dalam struktur politik dan sosial, maka revolusi diperlukan dan ia satu kemestian. Mengapa?

Revolusi tidak semestinya melibatkan pembunuhan besar-besaran, bermandi darah dan berperang.

Revolusi secara bahasanya bermaksud perubahan besar dalam jangka masa yang singkat. Kita boleh merubah sesuatu menggunakan demonstrasi, menghantar petisyen, mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya, berunding dan berbincang dan bersatu menjatuhkan kerajaan yang korup tanpa perlu kepada pertumpahan darah.

Sementara evolusi ialah perubahan besar dalam jangka masa yang lama. Evolusi berkait rapat dengan usaha merubah pemikiran manusia, melalui kempen, seminar dan dakwah. Evolusi tidak relevan apabila situasi mendesak untuk perubahan segera dilakukan muncul.

Salah satu contoh ialah jenayah rogol di Afrika Selatan. Afrika Selatan merupakan salah sebuah negara di dunia dengan kekerapan jenayah rogol tertinggi. Dalam situasi sebegini, kita tidak sepatutnya bergantung harap kepada evolusi, iaitu mengharapkan agar masyarakat berubah secara perlahan-lahan dengan cara menjalankan kempen dan usaha misionari umpamanya gerakan keagamaan bagi membaikpulih sikap masyarakat agar berhenti merogol. Dalam situasi ini, merawat menjadi lebih wajib dari mencegah dan perubahan segera iaitu revolusi lebih diperlukan dari perubahan beransur-ansur iaitu evolusi.

Disebabkan itu langkah seorang saintis Afrika Selatan mencipta kelongsong kondom bergigi adalah langkah yang dilihat wajar. Langkah ini adalah revolusi yang diperlukan bagi mengubah keadaan tersebut dalam kadar segera. (lihat sini untuk rujukan)

Dalam suasana dunia kapitalis di mana Malaysia mengalami kenaikan harga barangan KEPERLUAN (bukan barangan KEHENDAK dan MEWAH), golongan berpendapatan rendah menerima kesan yang paling ketara. Kesan dari itu ialah kadar jenayah meningkat. Semakin banyak berita-berita rompakan, pecah mesin ATM dan pembunuhan merebut laba tersiar di dada-dada akhbar, semakin banyak berita pengedaran dadah, semakin banyak skim-skim perniagaan bertingkat yang berasaskan ‘cepat kaya? Anda mahu duit banyak? Anda mahu cepat kaya tanpa bekerja’ muncul, semakin banyak berita menipu dalam skim jualan langsung seperti kes menjual gelang murah dengan mengatakan kononnya gelang tersebut berkuasa menyembuhkan penyakit, semakin banyak berita orang-orang miskin mencuri seperti kes di mana seorang penjual ikan dipenjara hanya kerana mencuri wang RM 10 dari rakannya.

Ini bukannya soal kekurangan iman dan kepercayaan dan memerlukan usaha perubahan secara perlahan-perlahan melalui kempen dan dakwah. Ini ialah kerosakan SISTEM sosial berpunca dari sistem PEMERINTAHAN yang ROSAK yang berkiblatkan wang. Manusia semakin terdesak untuk hidup. Kualiti hidup semakin menurun. Pendapatan yang diterima tidak berbaloi dengan jam kerja.

Manusia ini lemah dan tidak semua memiliki iman yang teguh. Bahkan ULAMA sekalipun belum tentu. Siapakah di antara kita yang mampu bertahan dengan perubahan secara perlahan-lahan? Evolusi tidak lagi relevan dalam keadaan yang mendesak ini. Kepercayaan dan iman tidak lagi relevan APABILA keperluan asas untuk hidup untuk mampu memegang iman dan kepercayaan itu sendiri menjadi semakin sukar untuk diperolehi.

Revolusi juga berperanan mengubah asas atau akar sesuatu permasalahan. Sebagai contoh, apakah sebab kemalangan jalan raya kerapkali berlaku di Malaysia? Puncanya bukan dari kecuaian pemandu, tetapi kerana keperluan mendesak untuk memandu sendiri akibat dari perkhidmatan pengangkutan awam yang lembab dan tidak sistematik. Mengapa pengangkutan awam tidak sistematik adalah berpunca dari kerajaan pembazir yang menghabiskan wang rakyat kepada perkara yang lebih menguntungkan kroni dengan membina menara 100 tingkat yang tidak berfaedah dan melebihkan ahli keluarga atas tiket ‘usaha kebajikan’ padahal wang tersebut terbang ke luar untuk program fesyen ‘Islamik’ yang tidak membina minda.

Jadi akar kepada masalah kadar kemalangan jalanraya yang tinggi ialah dasar kerajaan atau pemerintah! Evolusi seperti kempen-kempen keselamatan jalan raya bagi memberikan kesedaran kepada rakyat secara beransur-ansur tidak akan mengubah apa-apa. Evolusi tidak lagi relevan. Menunggu rakyat mendapat kesedaran ‘pandu cermat jiwa selamat’ tidak lagi relevan apabila jalan raya menjadi medan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan walaupun telah ‘memandu cermat’ namun orang lain tidak . Revolusi diperlukan bagi MENGHAPUSKAN akar kepada masalah ini, iaitu dengan menyingkirkan sang pemerintah pembazir pada pilihanraya.

Terdapat pelbagai lagi contoh-contoh revolusi. Kemerdekaan sesebuah negara juga ialah revolusi, tidak kira melalui pertumpahan darah ataupun tidak. Perubahan sosioekonomi juga suatu revolusi, apabila masyarakat yang bergantung kepada kegiatan pertanian mula beralih arah kepada kegiatan perindustrian, keusahawanan dan bidang profesional seperti doktor dan jurutera. Semua ini terbukti telah memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat yang melaluinya.

Pesanan: Sesiapa yang tidak bersetuju, boleh berikan hujah anda mengapa anda menyokong evolusi berbanding revolusi di ruangan komen. Anda juga boleh mencaci dan menghentam penulis. Namun sebarang komen berbentuk serangan peribadi tidak akan dilayan. Sekian.