Dec 20, 2009

Intelektual.

Intelektual berasal dari perkataan Inggeris Intellectual dan berakar umbi dari kata akar Intellect. Menurut Kamus Cambridge Advanced Learner’s Dictionary, Intellect dan Intellectual membawa maksud:
Intellect-the ability to understand and to think in an intelligent way, or the ability to do these things to a high level
Intellectual-a very educated person whose interests are studying and other activities that involve CAREFUL THINKING AND MENTAL EFFORT

(Intelek-kebolehan memahami dan berfikir secara bijaksana, atau kebolehan melakukannya pada tahap yang tinggi
Intelektual-seorang yang mana minatnya adalah mengkaji dan meminati aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan PEMIKIRAN YANG BERHATI-HATI DAN USAHA AKAL)
Jika Intelek digunakan bagi merujuk kepada seseorang manusia, maka maksudnya sama dengan Intelektual.

Seorang manusia boleh diumpamakan sebagai pemproses. Pemproses menerima input (maklumat), kemudian memproses maklumat tersebut dan mengeluarkannya sebagai output (maklumat yang siap diproses). Sebelum diproses, input akan ditapis terlebih dahulu. Dan sebelum dikeluarkan, output juga akan ditapis terlebih dahulu. Apa yang menjadikan seorang manusia itu INTELEKTUAL ialah sejauh mana KUATNYA PENAPIS yang menapis input dan outputnya.



Bagaimana seorang intelektual menapis input? Iaitu dengan BERHATI-HATI dan BERFIKIR SEMAKSIMUM MUNGKIN, dengan tujuan memastikan bahawa input dan sumber input tersebut benar, sebelum menerimanya dan mempercayainya. Untuk berhati-hati dan berfikir dengan maksimum, seorang intelektual tidak hanya memerlukan akal yang baik, tetapi ILMU DAN PENGALAMAN. Pengalaman di sini ialah praktikal ilmu yang telah dimilikinya, di mana dengan pengalaman, beliau telah faham ilmu sedia ada.

Seorang manusia yang bias, taksub atau condong kepada sesetengah pihak, maka penapisnya juga akan condong kepada pihak yang disokongnya itu. Semua input yang datang dari pihak tersebut, maka semuanya akan dimalaikatkan. Penapis manusia sebegini telah lemah. Ini kerana penapisnya telah bocor, di mana perkara-perkara yang tidak benar dari pihak yang disokongnya telah dibenarkan oleh ketaksubannya sendiri. Maka manusia sebegini bukanlah seorang intelektual.

Demokrasi memerlukan rakyat yang intelektual. Jika rakyat sesebuah negara tidak intelektual, maka demokrasi akan gagal. Ini kerana rakyat yang tidak intelektual akan taksub kepada parti masing-masing, dan menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat.

Internet yang mengglobalisasikan dunia hari ini memerlukan penerima maklumat yang intelektual. Jika penerima maklumat hanya menerima maklumat dari internet tanpa usul periksa dan daya pemikiran yang tinggi, maka penapisnya dikira lemah. Penerima maklumat dengan penapis yang lemah ini bukanlah intelektual. Golongan sebegini mudah dimanfaatkan oleh golongan ‘doom merchant’ kerana mereka amat mudah ditipu oleh khabar angin dan keputusan-keputusan kajian yang tidak diketahui kesahihan sumbernya, yang disebarkan melalui internet.

Bagaimana pula seorang intelektual menapis output? Iaitu dengan BERHATI-HATI dan BERFIKIR SEMAKSIMUM MUNGKIN, sebelum menyebarkannya dan mempercayainya. Intelektual berkuasa penuh ke atas apa yang diketahuinya. Untuk berhati-hati dan berfikir dengan maksimum, seorang intelektual tidak hanya memerlukan akal yang baik, tetapi ILMU DAN PENGALAMAN. Pengalaman di sini ialah praktikal ilmu yang telah dimilikinya, di mana dengan pengalaman, beliau telah faham ilmu sedia ada. Seorang intelektual akan berfikir beberapa kali sebelum menyebarkan maklumat, berhati-hati terhadap kesannya, dan kadangkala mampu mencari kebaikan dengan menyembunyikan maklumat tersebut.

Seorang penulis yang intelektual mesti berhati-hati dengan apa yang ditulisnya (output). Ini kerana dengan satu kesilapan yang dilakukan, akan mengundang salah faham dan seterusnya persoalan-persoalan yang tidak dijangka dari pembacanya. Dengan satu kesilapan yang dilakukan, maksud yang ingin disampaikan boleh terpesong dari apa yang sebenarnya ingin disampaikan.

Seorang ustaz yang intelektual mesti berhati-hati dengan apa yang disampaikan kepada anak muridnya. Ini kerana dengan menyampaikan hadis dan ayat quran palsu boleh menyesatkan anak muridnya. Seorang ustaz yang intelektual perlu mengelak dan menahan diri dari menyampaikan ilmu yang diragui kesahihannya.

Intelektual bukan sahaja bersifat menerima dengan berhati-hati, malah bersifat menutup mulut. Era maklumat tanpa batasan amat memerlukan manusia yang berfikiran sebegini demi mengelakkan penyebaran fitnah atau perkara-perkara ‘bullshit’ atau sampah seperti yang telah dibincangkan oleh Scott Berkun dalam artikelnya bertajuk ‘BS detector’ (Bahasa Melayu-Pengesan Sampah).

Daya gerak pemikiran seorang intelektual adalah ilmu dan pengalaman. Maka, seorang intelektual mesti mengkaji (rujuk pengertian intelektual di atas) dan mempraktikkan hasil kajian bertujuan memahami ilmu yang diperoleh daripadanya. Seorang intelektual sentiasa bersemangat mencari ilmu.

Intelektual bukanlah gelaran kosong dan murahan yang boleh diberikan sesuka hati kepada orang atau saintis atau para pembincang bahan-bahan yang tidak diketahui umum dan ilmu tahap tinggi, atau gelaran mudah kepada penulis-penulis blog dalam kalangan mahasiswa. Ia adalah sebuah cita-cita atau ‘vision’ pemikiran setiap individu yang rajin berfikir dan memerhati.

Secara umumnya, dengan berhati-hati dalam berfikir, secara tidak langsung, seorang intelektual itu tidak mudah menghukum orang lain dan tidak mudah dipengaruhi emosinya.

Mari sama-sama jadi intelektual!

Sekian.
Wallahualam.

Appendiks.
http://www.scottberkun.com/essays/53-how-to-detect-bullshit/

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...