Revolusi tidak semestinya membawa kesan buruk. Kadangkala kita juga boleh mengatakan ‘revolusi, bukan evolusi’- kerana evolusi juga bersifat negatif; ia perlahan, lemah dan siput, tidak terlalu bertindak, senyap, dan berasa puas dengan usaha yang sedikit sambil mengatakan ‘oh, sesungguhnya aku telah membaiki masyarakat dengan berkempen dan melakukan usaha misionari’.
Apabila perubahan segera diperlukan dalam struktur politik dan sosial, maka revolusi diperlukan dan ia satu kemestian. Mengapa?
Revolusi tidak semestinya melibatkan pembunuhan besar-besaran, bermandi darah dan berperang.
Revolusi secara bahasanya bermaksud perubahan besar dalam jangka masa yang singkat. Kita boleh merubah sesuatu menggunakan demonstrasi, menghantar petisyen, mengundi parti pembangkang dalam pilihanraya, berunding dan berbincang dan bersatu menjatuhkan kerajaan yang korup tanpa perlu kepada pertumpahan darah.
Sementara evolusi ialah perubahan besar dalam jangka masa yang lama. Evolusi berkait rapat dengan usaha merubah pemikiran manusia, melalui kempen, seminar dan dakwah. Evolusi tidak relevan apabila situasi mendesak untuk perubahan segera dilakukan muncul.
Salah satu contoh ialah jenayah rogol di Afrika Selatan. Afrika Selatan merupakan salah sebuah negara di dunia dengan kekerapan jenayah rogol tertinggi. Dalam situasi sebegini, kita tidak sepatutnya bergantung harap kepada evolusi, iaitu mengharapkan agar masyarakat berubah secara perlahan-lahan dengan cara menjalankan kempen dan usaha misionari umpamanya gerakan keagamaan bagi membaikpulih sikap masyarakat agar berhenti merogol. Dalam situasi ini, merawat menjadi lebih wajib dari mencegah dan perubahan segera iaitu revolusi lebih diperlukan dari perubahan beransur-ansur iaitu evolusi.
Disebabkan itu langkah seorang saintis Afrika Selatan mencipta kelongsong kondom bergigi adalah langkah yang dilihat wajar. Langkah ini adalah revolusi yang diperlukan bagi mengubah keadaan tersebut dalam kadar segera. (lihat sini untuk rujukan)
Dalam suasana dunia kapitalis di mana Malaysia mengalami kenaikan harga barangan KEPERLUAN (bukan barangan KEHENDAK dan MEWAH), golongan berpendapatan rendah menerima kesan yang paling ketara. Kesan dari itu ialah kadar jenayah meningkat. Semakin banyak berita-berita rompakan, pecah mesin ATM dan pembunuhan merebut laba tersiar di dada-dada akhbar, semakin banyak berita pengedaran dadah, semakin banyak skim-skim perniagaan bertingkat yang berasaskan ‘cepat kaya? Anda mahu duit banyak? Anda mahu cepat kaya tanpa bekerja’ muncul, semakin banyak berita menipu dalam skim jualan langsung seperti kes menjual gelang murah dengan mengatakan kononnya gelang tersebut berkuasa menyembuhkan penyakit, semakin banyak berita orang-orang miskin mencuri seperti kes di mana seorang penjual ikan dipenjara hanya kerana mencuri wang RM 10 dari rakannya.
Ini bukannya soal kekurangan iman dan kepercayaan dan memerlukan usaha perubahan secara perlahan-perlahan melalui kempen dan dakwah. Ini ialah kerosakan SISTEM sosial berpunca dari sistem PEMERINTAHAN yang ROSAK yang berkiblatkan wang. Manusia semakin terdesak untuk hidup. Kualiti hidup semakin menurun. Pendapatan yang diterima tidak berbaloi dengan jam kerja.
Manusia ini lemah dan tidak semua memiliki iman yang teguh. Bahkan ULAMA sekalipun belum tentu. Siapakah di antara kita yang mampu bertahan dengan perubahan secara perlahan-lahan? Evolusi tidak lagi relevan dalam keadaan yang mendesak ini. Kepercayaan dan iman tidak lagi relevan APABILA keperluan asas untuk hidup untuk mampu memegang iman dan kepercayaan itu sendiri menjadi semakin sukar untuk diperolehi.
Revolusi juga berperanan mengubah asas atau akar sesuatu permasalahan. Sebagai contoh, apakah sebab kemalangan jalan raya kerapkali berlaku di Malaysia? Puncanya bukan dari kecuaian pemandu, tetapi kerana keperluan mendesak untuk memandu sendiri akibat dari perkhidmatan pengangkutan awam yang lembab dan tidak sistematik. Mengapa pengangkutan awam tidak sistematik adalah berpunca dari kerajaan pembazir yang menghabiskan wang rakyat kepada perkara yang lebih menguntungkan kroni dengan membina menara 100 tingkat yang tidak berfaedah dan melebihkan ahli keluarga atas tiket ‘usaha kebajikan’ padahal wang tersebut terbang ke luar untuk program fesyen ‘Islamik’ yang tidak membina minda.
Jadi akar kepada masalah kadar kemalangan jalanraya yang tinggi ialah dasar kerajaan atau pemerintah! Evolusi seperti kempen-kempen keselamatan jalan raya bagi memberikan kesedaran kepada rakyat secara beransur-ansur tidak akan mengubah apa-apa. Evolusi tidak lagi relevan. Menunggu rakyat mendapat kesedaran ‘pandu cermat jiwa selamat’ tidak lagi relevan apabila jalan raya menjadi medan pertumpahan darah yang tidak berkesudahan walaupun telah ‘memandu cermat’ namun orang lain tidak . Revolusi diperlukan bagi MENGHAPUSKAN akar kepada masalah ini, iaitu dengan menyingkirkan sang pemerintah pembazir pada pilihanraya.
Terdapat pelbagai lagi contoh-contoh revolusi. Kemerdekaan sesebuah negara juga ialah revolusi, tidak kira melalui pertumpahan darah ataupun tidak. Perubahan sosioekonomi juga suatu revolusi, apabila masyarakat yang bergantung kepada kegiatan pertanian mula beralih arah kepada kegiatan perindustrian, keusahawanan dan bidang profesional seperti doktor dan jurutera. Semua ini terbukti telah memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat yang melaluinya.
Pesanan: Sesiapa yang tidak bersetuju, boleh berikan hujah anda mengapa anda menyokong evolusi berbanding revolusi di ruangan komen. Anda juga boleh mencaci dan menghentam penulis. Namun sebarang komen berbentuk serangan peribadi tidak akan dilayan. Sekian.
hei....ini bagus
ReplyDeletetulis tulis ini sangat bagus...aku amat suka
konsisten...aku mau baca lagi