Bayangkan terdapat sebuah negara demokrasi yang diperintah oleh sebuah parti pemerintah yang sama sahaja selama berpuluh-puluh tahun, iaitu sejak dari tahun-tahun awal kemerdekaan negara tersebut lagi.
Sehingga pada suatu tahun, rakyatnya memilih untuk berpihak kepada parti pembangkang.
Tujuan di sebalik perubahan ini amat penting, kerana ia akan menentukan sama ada perkara yang sama berulang kembali atau sebaliknya.
Jika rakyat menukar parti pemerintah kerana ketaksuban terhadap parti tersebut, demokrasi akan gagal. Ini kerana, jika parti pembangkang yang dipilih ini melanggar prinsip dan membiarkan rasuah serta jenayah-jenayah lain berleluasa sebagaimana yang telah berlaku dalam parti pemerintah sebelumnya, maka kita akan berasa teragak-agak dan mungkin mengelak dari bangun melawan mereka.
Dari itu, nilai kita akan luput tanpa disedari. Kita akan dipesongkan dari kebenaran, dan akal fikiran kita akan dibentuk dan diacu agar menurut pemimpin yang korup sebagaimana yang telah berlaku sebelum mereka dipilih oleh kita suatu ketika dahulu.
Kitaran yang sama akan berulang.
Tetapi, jika rakyat memilih parti pembangkang kerana mahu menegakkan kebenaran dan menyingkirkan kebatilan dalam pemerintahan, maka demokrasi akan berkembang subur. Ini kerana, jika parti pembangkan yang dipilih ini melanggar prinsip dan membiarkan rasuah serta jenayah-jenayah lain berleluasa sebagaimana yang telah berlaku di dalam parti pemerintah sebelumnya, maka kita tidak akan teragak-agak untuk bangun menentang mereka.
Dari itu, nilai kita akan dilindungi dan pemimpin akan memerintah demi melindungi nilai, bukannya melindungi kuasa mereka. Kita tidak akan dipesongkan dari kebenaran, dan akal fikiran kita hanya akan dipandu oleh kebenaran dan kepercayaan kita, bukannya oleh media massa arus perdana.
Dan akhirnya, demokrasi akan berjaya mencapai objektifnya; untuk melindungi dan menjaga nilai kemanusiaan.
Mengapa nilai amat penting? Kerana ia mutlak; tidak ada sesiapapun yang boleh mengubahnya. Kenyataan ini adalah teras utama di sebalik prinsip raja berperlembagaan yang diperkenalkan oleh John Locke; iaitu tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi dari perlembagaan, yang dicipta oleh manusia berdasarkan nilai-nilai mereka. Seorang raja berperlembagaan akan memimpin berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan di dalam perlembagaan, bukannya menurut hawa nafsunya.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...