Amerika Syarikat dikenali dunia sebagai negara yang paling berkuasa pada era ini. Buktinya dapat dilihat jelas pada penguasaannya dalam bidang ekonomi,sosial dan politik.
Biarpun ada yang mengatakan serangan 11 September 2001 membuktikan bahawa Amerika tidak sekuat mana, namun hakikatnya Amerika tetap sebuah negara yang paling berkuasa di dunia. Serangan tersebut bukanlah menggambarkan kelemahan mereka, tetapi boleh dikatakan hanya sebuah kesilapan yang menjadi lumrah manusia. Tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan kesilapan.
Maka begitulah juga rakyat yang mendukung sebuah negara bernama Amerika. Biar apa sekalipun manusia di seluruh dunia mengkritik mereka dengan mengatakan mereka pengecut kerana menamatkan Perang Dunia Kedua dengan bom atom, dan menyerang negara lemah seperti Iraq dan Afghanistan serta mengawal ekonomi dunia menggunakan wang kertas, hakikatnya Amerika sebuah negara kuat dan negara lain sedang menikus di hadapannya. Ini adalah realiti sedangkan kita masih menutupnya menggunakan kata-kata ilusi kita.
Dalam bidang ekonomi, Amerika memiliki syarikat-syarikat gergasi. Intel dan AMD tidak asing lagi dalam industri elektronik. Jika mikrocipnya dibuat di kebanyakan negara Asia, paten rekabentuk litarnya atau hakcipta harta inteleknya masih dipegang oleh Amerika Syarikat. Pengeluaran mikropemproses juga dikawal oleh Intel dan AMD, Oleh sebab hanya mereka sahaja yang mengeluarkannya, maka persaingan hanya berlaku di antara mereka sahaja.
Terdapat ratusan lagi syarikat gergasi dalam industri seperti makanan, pakaian, petroleum dan produk-produk lain. Pembaca sudah tentu biasa mendengar nama-nama syarikat seperti KFC, Starbuck Coffee, dan Pepsi Coca-cola. Terdapat ratusan lagi syarikat Amerika yang boleh dicari sendiri oleh pembaca menerusi Google.
Selain itu, Amerika Syarikat juga memperkenalkan penggunaan wang kertas dalam perdagangan dan setiap matawang diikat pada nilar dolarnya. Penggunaan wang kertas menyebabkan matawang menjadi komoditi yang boleh didagangkan sebagaimana barang dagangan yang lain seperti makanan dan sebagainya.
Disebabkan ekonomi mereka sudah sedia kukuh dari penghasilan produk-produk mereka sendiri, maka permintaan terhadap dolar menjadi tinggi. Hasilnya matawang mereka menjadi mahal jika dibandingkan dengan matawang negara-negara miskin yang ekonominya bukan berasaskan penghasilan produk.
Dominasi dalam bidang politik
Kemajuan mereka dalam bidang sains dan teknologi memang tidak dapat dinafikan lagi. Kemajuan sains dan teknologi yang dimiliki oleh Amerika Syarikat menjadi tunjang kepada kekuatan sistem pertahanannya dan menyebabkan ia digeruni oleh negara-negara lain. Oleh itu, Amerika Syarikat bebas berbuat apa sahaja demi memaksa negara lain mengikut ideologi kapitalis yang diasaskannya. Sekiranya sebuah negara itu bertentangan ideologi dan dasar politik dengannya, sebagai contoh negara komunis, atau negara yang membangunkan teknologi nuklear tanpa kebenarannya, atau negara yang mengamalkan undang-undang Islam, maka Amerika Syarikat akan menyekat ekonomi negara tersebut dan membiarkan mereka hidup terkontang-kanting. Jika tidak mampu menyekat maka Amerika akan menggunakan taktik dengan bekerjasama atau melobi dengan mereka, contohnya seperti negara-negara Arab.
Berdasarkan bukti-bukti di atas, jelas bahawa era ini (abad 20-21) merupakan era Amerika Syarikat. Jika dahulu umat Islam mampu berbangga dengan era mereka (abad ke 6 hingga kejatuhan Uthmaniyyah pada 1924), kini tiba giliran Amerika Syarikat mendominasi takhta kuasa besar dunia.
Tidak dapat dinafikan terdapat juga negara lain yang kuat seperti negara-negara komunis yang diketuai oleh Rusia. Namun Amerika juga memilki ekonomi yang lebih kukuh berbanding negara-negara komunis ini. Kedua-dua takhta ekonomi dunia dipegang oleh Amerika Syarikat dan sekutunya Jepun, selain Britain dan Australia. Kebanyakan negara komunis umpamanya Korea Utara dan Iran, bukanlah negara yang memiliki tahap ekonomi yang boleh dibanggakan.
Revolusi saintifik
Sumber kepada kekuatan Amerika Syarikat ialah kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Kemajuan ini bermula ketika berlakunya revolusi saintifik pada awal abad ke-20, di mana Amerika menjadi tempat tumpuan penghijrahan saintis dan intelektual dari negara-negara Eropah.
Bilangan saintis yang berhijrah ke Amerika tidak terbilang ramainya. Mereka berhijrah dengan tujuan meneroka peluang baru, mencari pekerjaan, menyelamatkan diri dari perang, atau mengikuti keluarga berhijrah. Situasi lambakan intelektual dan para saintis di Amerika Syarikat ini dinamakan sebagai ‘brain drain’.
Menariknya, kebanyakan daripada mereka merupakan saintis yang paling menonjol dalam bidang masing-masing (pioneering scientist). Nikola Tesla sebagai contoh, merupakan warganegara Serbia. Dia berhijrah ke Amerika untuk meneroka peluang baru dalam bidang rekacipta. Alexander Graham Bell, pencipta telefon yang mengasaskan Bell Laboratories merupakan rakyat Scotland dan juga individu yang berhijrah ke Amerika dengan tujuan yang sama. John Von Neumann (Germany), Albert Einstein(Germany) dan Stanislaw Ulam(Poland) masing-masing adalah saintis migran dari Eropah era perang dunia pertama.
Hasil dari penghijrahan demi penghijrahan, Amerika Syarikat dilambakkan dengan para saintis yang tidak terbilang ramainya, dan sebahagian besarnya merupakan ‘pioneering scientist’. Maka yang masih berbaki di tanah Eropah adalah saintis-saintis yang hanya mampu meneruskan legasi para saintis terdahulu (iaitu saintis pada abad ke 18 dan 19 ketika berlangsung Revolusi Perindustrian di kebanyakan negara Eropah, seperti James Watt dan Michael Faraday)
Sepanjang pembacaan penulis, penulis telah menyenaraikan beberapa orang saintis yang telah memberikan lonjakan besar dalam perkembangan revolusi saintifik di Amerika Syarikat. Lonjakan besar yang dimaksudkan ialah sumbangan idea yang berupaya merintis penemuan-penemuan lain oleh saintis-saintis yang sezaman dengan mereka. Sebagai contoh, jika seorang saintis itu membangunkan idea bagaimana menghasilkan mikrocip, saintis-saintis lain mengembangkannya pada skala komersial dan mencari strategi baru bagi meningkatkan kualiti dan keberkesanannya. Saintis yang membangunkan idea atau ‘pioneering scientist’ ini ialah saintis yang dikatakan ‘memberikan lonjakan besar’ yang ‘menolak’ saintis lain untuk turut serta dalam penyelidikan idea tersebut.
Amerika memiliki bekalan ‘pioneering scientist’ yang lebih dari mencukupi untuk ia dibangunkan pada ketika itu sehingga ke tahap sebagaimana yang dapat kita lihat hasilnya pada hari ini.
Berikut adalah senarai ‘pioneering scientist’ di Amerika Syarikat MENURUT PENELITIAN PENULIS:
a) Nikola Tesla
(Artikel mengenai Nikola Tesla boleh dibaca di sini)
Sumbangan terbesar- bidang elekrik, electromagnet dan arus ulang alik. Beliau memegang ribuan paten rekacipta dan kebanyakan darinya dikembangkan pada skala komersial sehingga ke hari ini. Arus ulang alik membolehkan pemindahan tenaga elektrik dilakukan pada jarak jauh tanpa kehilangan tenaga akibat rintangan. Ini kerana voltannya boleh diinjak naik dan turun. Sumbangan beliau dan Alva Edison (lihat di bawah) membolehkan penyaluran bekalan elektrik dilakukan dari rumah ke rumah, dan lahirlah kabel-kabel elektrik seperti yang dapat dilihat pada hari ini.
b) John Von Neumann
Sumbangan terbesar-sistem komputer dan pengaturcaraan komputer. Sistem yang diasaskan oleh Von Neumann dan kumpulan jurutera di bawah arahannya menghasilkan sistem segah Pentagon seperti yang dapat dilihat pada hari ini. John Von Neumann tidak bekerja berseorangan, bahkan beliau dibantu oleh ahli matematik yang berbakat seperti Stanislaw Ulam terutama dalam pembinaan automata sel (English-cellular automata)
c) Albert Einstein
Sumbangan terbesar-teknologi nuklear dan teori relativiti. Penemuan teori relativiti mengubah pandangan saintis terhadap hukum fizik dan pembangunan teknologi nuklear dapat dibangunkan dalam jangka masa kurang seratus tahun. Ini kerana teori relativiti menjadi signifikan pada skala zarah dan pengetahuan mengenainya amat diperlukan dalam memahami bagaimana zarah bekerja.
d) Thomas Alva Edison-
Sumbangan terbesar-rekacipta, arus terus. Beliau juga mengasaskan makmal saintifik khas untuk tujuan pengkomersialan rekacipta. Makmal ini menjadi ikutan negara-negara yang ingin menghasilkan suatu produk rekacipta pada skala besar atau skala komersil sehingga ke hari ini.
e) Jack Kilby
Sumbangan terbesar-litar bersepadu. Kaedah pembuatan litar bersepadu ini melahirkan syarikat-syarikat gergasi mikrocip Amerika seperti Intel dan AMD. Robert Noyce dari Fairchild Semiconductor juga dikatakan sebagai pencipta litar bersepadu meskipun lewat beberapa bulan selepas Jack Kilby berjaya menghasilkan dan mematenkannya. Robert Noyce kemudiannya meninggalkan Fairchild dan mengasaskan Intel Corporation.
f) Vinton Gray Cerf
Sumbangan terbesar- internet. Vinton Gray Cerf memperkenalkan Lapisan Kawalan Pemindahan (maklumat) / Protokol Internet (English-Transport Control Protocol/ Internet Protocol a.k.a. TCP/IP) yang mana ia menjadi asas atau tulang belakang kepada pembinaan struktur internet itu sendiri.
Memiliki saintis yang berbakat sahaja tidak mencukupi untuk membangunkan sebuah negara. Apa yang dilakukan oleh Amerika Syarikat bagi menggembleng buah akal mereka ialah dengan menubuhkan institusi berasaskan penyelidikan seperti MIT (Massachusets Institute of Technology) dan Harvard University.
Institusi-institusi sebegini bukanlah institusi bagi para saintis menamatkan sukatan pelajaran dan menghadkan pemikiran mereka hanya dalam lingkungan tersebut, tetapi institusi ini memberikan ruang kepada mereka mencurahkan rasa ingin tahu atau daya inkuiri yang tinggi mereka dengan cara menceburkan diri dalam kerja-kerja penyelidikan yang dibiayai kerajaan. Oleh itu, mereka tidak tertakluk kepada silabus. Di sini menampakkan kesungguhan kerajaan Amerika Syarikat dengan memberi peluang kepada saintis mengembangkan bakat dan idea masing-masing.
Berbilllion-billion dollar juga telah dihabiskan oleh kerajaan Amerika Syarikat semata-mata untuk membiayai kos penyelidikan yang dijalankan di institusi-institusi sebegini. Ia satu pengorbanan wang yang besar untuk membayar kemajuan sains dan teknologi yang akan mereka kecapi nanti. Institusi seperti MIT juga dapat dilihat di negara-negara maju di sebelah timur, umpamanya University of Tohoku (Sendai, Japan) dan University of Tokyo (Tokyo, Japan) dan Korean Science Academy (KSA, South Korea) yang menempatkan pelajar-pelajar berbakat dan berpotensi.
Kesimpulan
Amerika Syarikat tidak menjadi maju dalam masa sehari dua. Berbillion dolar telah habis, dan tidak terhitung keringat dan masa yang telah dihabiskan demi membentuk sebuah negara yang kuat seperti yang dapat dilihat pada hari ini. Mereka juga tidak hidup dalam alam fantasi rekaan sendiri. Mereka adalah realiti dan sedar bahawa mereka hidup dalam dunia yang memerlukan daya pemikiran dan usaha, bukan berserah kepada nasib dan mengharapkan pertolongan dari langit semata-mata, iaitu budaya hidup merahib dan malas membaca.
‘Brain drain’ yang tampak menguntungkan mereka tidak akan membawa apa-apa makna tanpa sebarang usaha dari pemerintah. Ketika penubuhan Universiti Harvard, paderi seperti John Harvard dan tuan-tuan tanah serta orang-orang berada menyumbangkan bantuan kewangan demi membangunkan universiti ini.
Kita juga memiliki ‘brain drain’ dalaman, umpamanya kelahiran tokoh-tokoh genius seperti Sufiah Yusuf, Adi Putra Abd Ghani, Mohd Shukri Hadafi dan Yao Ban Chan. Namun sejauh mana keberkesanan genius-genius ini dalam menyumbangkan buah akal mereka kepada negara adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh pemerintah dan golongan berada. Jikalau pemerintah cuba mengambil teladan sebagaimana yang telah dilakukan oleh Amerika, kita mungkin boleh berdiri setaraf dengan mereka.
Benarlah kata-kata ini:
“Rome was not built in a day”.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...