Nov 30, 2008

Malaysia Boleh!!

Kagum dengan daya intelektual anak tempatan. Penjelasan lanjut dalam artikel Utusan Malaysia di bawah.


Terowong Smart keajaiban kejuruteraan moden

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN

APABILA kita mula-mula diperkenalkan dengan terowong Smart atau nama penuhnya Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. lebih setahun lalu, ramai yang agak sinis dengannya.

Kebetulan seminggu selepas Terowong Smart dibuka untuk laluan kenderaan, Kuala Lumpur dilanda dengan banjir yang besar dan banyak kawasan di sekitar bandar raya ditenggelami air.

Ketika itu ramai yang ragu-ragu dengan dwi fungsi Terowong Smart iaitu sebagai laluan alternatif bagi air dan kenderaan.

Tetapi sebenarnya ketika itu, Smart yang merupakan singkatan daripada Stormwater Management and Road Tunnel hanya dibuka bagi laluan kenderaan dan bukannya untuk laluan air yang bertambah kerana hujan lebat.

Tetapi selepas setahun dibuka kepada orang ramai, Smart telah melakukan segala tugasannya dengan begitu sempurna.

Setiap kali hujan lebat, kawasan sekitar Kuala Lumpur tidak lagi dilanda dengan banjir kilat yang melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit.

Smart kini boleh berbangga kerana ia bukan saja diterima di dalam negara tetapi juga menerima pengiktirafan dari luar negara.

Teknologi Smart telah dianugerahkan Anugerah Antarabangsa bagi British Construction Industry Awards (BCIA) 2008 yang berlangsung di London pada Ogos, baru-baru ini.

Pengurus Besar Operasi Smart, Mohd. Fuad Kamal Ariffin berkata, Smart dipilih bagi kategori antarabangsa kerana projek yang luar biasa dan unik bagi menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas pada masa yang sama.

“Projek di bawah kerajaan persekutuan dan dilaksanakan menerusi usahasama antara MMC Corp. Bhd. dan Gamuda Berhad dengan Jabatan Perairan dan Saliran dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) sebagai mewakili agensi kerajaan,” katanya.

Menyentuh mengenai anugerah yang diterima, Mohd. Fuad berkata, pihaknya dengan rakan kongsi dan konsultan Sepakat Setia Perunding-Mott MacDonald telah menghantar penyertaan kepada pihak penganjur.

BCIA merupakan anugerah yang berprestij dalam industri pembinaan sama dengan anugerah Oscar yang dihormati dan mendapat pengiktirafan bukan saja di United Kingdom tetapi di seluruh dunia.

“Ketika itu Smart perlu bersaing dengan 183 buah projek dari pelbagai negara maju lain seluruh dunia,” katanya.

Konsep dua fungsi Smart iaitu sebagai terowong kenderaan dan banjir adalah pertama dibina di dunia bagi menyelesaikan masalah banjir dan kesesakan lalu lintas.

Bagaimanapun Mohd. Fuad menambah pihaknya perlu menepati kriteria ketat yang ditetapkan oleh para hakim.

“Mereka menghakimi menerusi kepuasan pelanggan atau pengguna Smart dari segi nilai untuk wang, pelaksanaan, pemerolehan, kualiti reka bentuk dan pembinaan, keselamatan dan aplikasi pengurusan kualiti.

“Selain itu tiga elemen diambil kira iaitu konsep, reka bentuk dan pembinaan,” katanya.

Konsep dari segi tujuan, ketulenan, aplikasi penemuan penyelidikan, faedah kepada komuniti dan kos.

Sementara dalam reka bentuk pula dalam penggunaan bahan dan tenaga kerja secara cekap, penjimatan tenaga dan mesra alam, penglibatan sub-kontraktor dan inovasi.

Pembinaan pula melibatkan kerja berkumpulan, ekonomi, aplikasi penemuan R&D.

“Smart amat bertuah apabila berjaya disenarai pendek dalam kategori Antarabangsa berdasarkan bahan hanya kepada bahan yang dihantar.

“Apabila disenarai pendek, kami perlu memberikan memberikan taklimat mengenai projek Smart kepada kepada ahli panel antarabangsa di London termasuk temu bual,” katanya.

Pada Julai lalu, panel hakim melawat Smart dan telah diberikan penerangan mengenai terowong dwi fungsi bagi memenuhi kriteria mereka.

Mohd. Fuad berkata dalam memenangi anugerah BCIA, Smart bersaing dengan projek-projek besar dunia seperti Stesen Arena Bijlmer, Amsterdam, Lapangan Kriket Kensington Oval di Barbados, Menara Shin-Marunouchi di Jepun dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing T3 di China.

“Bagaimanapun kami rasa amat bertuah apabila jemaah hakim kagum dengan reka bentuk dan pembinaan projek berkenaan.

“Mereka juga bertemu dan menemubual pihak pengurusan dan mengadakan lawatan ke tapak Smart sebagai sebahagian penghakiman,” katanya.

Projek Smart, jelasnya menunjukkan kewibawaan tenaga kerja tempatan yang tidak berkompromi dengan kualiti keselamatan, kualiti dan menunjukkan mutu kerja berpasukan bagi menepati tarikh selesai projek.

Selain itu pihak Smart juga telah melaksanakan kerjasama yang baik dengan kedua-dua pelanggan mereka iaitu Jabatan Parit dan Saliran dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Smart juga mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada pelbagai pihak termasuk media antarabangsa seperti Discovery Channel dan National Geographic Channel,” katanya.

Mohd. Fuad menambah, SMART menunjukkan semangat Malaysia Boleh! dan membuktikan pakar tempatan masih boleh membina, mereka cipta dan menguruskan projek Malaysia yang bertaraf antarabangsa.

1 comment:

  1. Bila baca blog blog ni
    ..macam manalah ko boleh tulis karya karya macamni dalam masa study...yuet ke syiria..ko unik begini..eput normal cam aku.

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...