Sep 29, 2009

Kebaikan menggunakan emas sebagai wang.

a) Nilai emas tidak berubah.
Orang kaya akan dapat menikmati kekayaannya dengan adil dan setimpal dengan usahanya. Maka tidaklah berlaku penindasan di mana wangnya hanya dapat digunakan sedikit di negara-negara tertentu hanya kerana wangnya menjadi murah di negara tersebut. Katakan seorang ahli perniagaan telah memperolehi untung lumayan dalam perniagaannya. Dia berjaya memperolehi RM 1 juta ringgit untung bersih. Namun apabila dia membelanjakannya ke negara lain seperti UK, dia hanya dapat menggunakan satu per enam daripada untungnya itu. Ini kerana wangnya murah di UK. Dengan satu pound UK, wangnya dapat dibeli sebanyak enam ringgit. Jadi, jutawan di Malaysia tidak semestinya jutawan di negara lain. Perbuatan ini dikira suatu penindasan. Usahanya selama ini yang bertungkus lumus dalam perniagaan akhirnya menjadi sia-sia. Namun dengan menggunakan emas, nilainya tidak berubah. Ini kerana di mana-mana sahaja di dunia ini, semua jenis emas berciri dengan ciri yang sama dan pasaran emas adalah tetap dan tidak turun naik sebagaimana pasaran kewangan. Maka jutawan tadi dapat menggunakan kesemua untung yang diperolehi di mana-mana sahaja dan tidaklah hanya kaya di negeri sendiri namun fakir di negeri orang.

b) Mengelakkan riba.
Kelemahan sistem barter telah menyebabkan berlakunya riba. Ini kerana pertukaran sesama barang dagangan melibatkan perkara-perkara tentang barangan yang tidak dapat dipastikan secara nyata iaitu kualiti.

Dalam jual beli, barangan jualan dan belian tertakluk kepada dua aspek penentu, iaitu kualiti (mutu) dan kuantiti (bilangan). Kualiti melibatkan:
a) Jenis atau baka (bagi barangan hidup)
b) Tempoh bertahan (ada barang yang tahan lama dan ada barang yang tidak tahan lama).
c) Kadar manfaat kepada pengguna

Kualiti tidak dapat ditentukan dengan mudah sepertimana kuantiti kerana kualiti tidak berkeadaan zahir dan boleh diukur. (bersifat abstrak). Sebagai contoh, barangan antik mungkin berkualiti rendah pada kita (kita merasakan bahawa ia tidak diperlukan lagi atas kemunculan pelbagai teknologi moden- atau rendah mutu penggunaan), namun ia amat berguna kepada pembeli terutama pengumpul barangan antik (tinggi mutu hobi). Oleh itu, kualiti bersifat subjektif dan tidak tetap. Disebabkan itu, ada barangan ‘pasar malam’ yang mampu bertahan lebih lama berbanding barangan berjenama atau ‘branded’. Ini kerana penjenamaan digunakan bagi mengabui persepsi pembeli. Apabila persepsi pembeli dimanipulasikan, maka barang ‘branded’ tadi akan dikatakan berjenama dan tinggi kualitinya. Padahal, barangan ‘pasar malam’ tidak kurang baiknya malah lebih lama dapat dipakai.

Kuantiti pula dapat ditentukan dengan mudah kerana ia jelas dan boleh diukur (bersifat konkrit). Kuantiti melibatkan jisim dan berat barangan yang dijual. Kuantiti juga melibatkan bilangan barangan yang dijual (jika semua barangan yang dijual sama berat).

Rasulullah SAW menegaskan bahawa penukaran barang bukan ribawi (bukan matawang dan bukan emas dan perak, seperti makanan dan pakaian) YANG SAMA JENIS mesti dibuat pada masa yang sama DAN sama timbangannya, tanpa mengambil kira kualiti kedua-dua barangan. Sebagai contoh, jika 2 kg tamar yang elok hendak ditukar dengan tamar yang kurang elok (di sini berlaku perbezaan kualiti buah tamar) ia mesti dilakukan pada masa yang sama tanpa bertangguh, dan berat tamar yang kurang elok MESTI SAMA iaitu 2 kg. Di sini kualiti tidak memberi kesan kepada jual beli. Ini kerana kualiti ialah suatu perkara yang tidak boleh ditentukan oleh si penjual mahupun si pembeli, melainkan dengan perantaraan emas dan perak oleh pihak ketiga yang adil.

“Apabila ditukar emas dengan emas (ditukar atau diniagakan), perak dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan garam mestilah sama timbangan dan sukatannya, dan ditukar secara terus (pada satu masa) dan sekiranya berlainan jenis, maka berjual belilah kamu sebagaimana yang disukai.” (riwayat Muslim nombor 4039 hadis 11/9)

Dari Abu Hurairah R.A. sesungguhnya Rasulullah S.A.W. mengupah seseorang semasa di Khaibar, maka dia datang sambil membawa tamar Janib, lalu Nabi bertanya: “Adakah semua tamar dari Khaibar sebegini?”. Jawab lelaki itu: “ Tidak. Sesungguhnya kami mengambil (menukar) satu sa’ (3 kg) dari tamar kami dengan mengambil 2 sa’ (6kg) tamar yang elok (tamar Janib), dan kami juga menukar2 sa’ (6kg) tamar ini dengan 3 sa’ (12 kg)”. Nabi bersabda: “Jangan kamu lakukan itu (kerana ia riba al-fadhl), dan juallah terlebih dahulu (tamar yang kamu miliki itu dan dapatkan dirham) dan kemudian (dengan dirham itu), belilah tamar Janib itu.” (riwayat al-Bukhari, no 4001, 4/1550)

Oleh itu, bagi mengelakkan kualiti yang tidak boleh diukur ini daripada sengaja diukur oleh hati dan nafsu para peniaga dan seterusnya menyebabkan berlaku riba’ dalam kuantiti barangan, Rasulullah SAW telah mencadangkan agar meletakkan ukuran kualiti barangan niaga kepada emas dengan cara menjual terlebih dahulu barang yang ingin ditukar dan dapatkan dahulu wang emas atau perak yang sepadan dengan kualitinya. Kemudian barulah menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan yang dikehendaki. Jika wang yang diperolehi tidak cukup , wang sendiri perlu ditambah. Maka dengan cara ini, riba dalam perniagaan dapat dielakkan.

Bagi urusniaga barangan bukan ribawi yang tidak sama jenis, Rasulullah SAW membenarkan barter dijalankan namun mesti DALAM MASA YANG SAMA atau URUSNIAGA SERENTAK. Ini kerana kualiti barangan yang tidak sama jenis tidak boleh dibandingkan. Oleh itu, harga atau kadar pertukaran diserahkan kepada budi bicara dan persetujuan kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli.

Sementara bagi urusniaga antara barangan bukan ribawi dengan barangan ribawi (sebagai contoh makanan ditukarkan dengan emas), urusniaga boleh dibuat secara bertangguh (hutang) dan kadar pertukaran boleh ditentukan oleh budi bicara dan persetujuan kedua-dua belah pihak penjual dan pembeli.

c) Mengekang sifat tamak bank.
Dengan menggunakan emas, sifat tamak bank dapat dikekang. Ini kerana emas tidak boleh dipalsukan dan tidak boleh dihasilkan sendiri sebagaimana wang kertas yang dapat dihasilkan sendiri oleh bank. Bank juga tidak dapat memberikan hutang sewenang-wenangnya selagi belum dapat membuktikan bahawa emas wujud di dalamnya. Dengan memberikan hutang dalam bentuk emas dan bukannya wang kertas, maka hutang tersebut adalah jelas nilainya dan bukannya berunsur penipuan sebagaimana kad kredit dan wang kertas.

d) Mengekang sindiket pemalsuan wang.
Wang emas mudah dipastikan kesahihannya. Ini kerana ia memiliki nilai ketumpatannya yang tersendiri dan berbeza dengan logam-logam yang lain. Oleh itu ia tidak dapat dipalsukan meskipun dengan cara menyadurkan emas pada wang daripada logam seperti gangsa dan tembaga. Jika berlaku, maka perbezaan ketumpatan wang tersebut dapat dikesan dengan mudah sekali. Wang kertas pula amat mudah dipalsukan dan memerlukan teknologi-teknologi yang canggih dan mahal untuk mengesahkannya. Ini kerana wang kertas diperbuat daripada bahan yang mudah diperolehi dan mudah ditiru akan cara pembuatannya.

e) Menghapuskan kelemahan sistem barter.
Antara kelemahan sistem barter ialah kemahuan serentak di mana seorang peniaga hanya dapat menjualkan barangannya apabila bertemu dengan peniaga yang menjual barangan yang dikehendakinya. Dengan penggunaan wang, maka masalah ini dapat diatasi. Para peniaga akhirnya memiliki kemahuan yang sama; iaitu mahukan wang.

Semoga mendapat ilmu berguna walaupun sedikit.

Wallahualam.

Sep 23, 2009

Emas; logam dengan nilai tersendiri.

Emas; logam dengan nilai tersendiri.

Emas dalam Jadual Berkala Unsur moden dikenali dengan nama Aurum yang merupakan nama Latin bagi emas. Logam ini wujud dalam keadaan bebas atau berada dalam keadaan unsur tulen dalam kerak bumi. Ini kerana ia sudah sedia stabil dan tidak perlu bergabung dengan mana-mana unsur lain untuk membentuk sebatian yang lebih stabil. Emas berwarna kuning berkilauan dan unsur paling berat dalam kerak bumi. Ia juga tidak terkakis oleh serangan bahan kimia luar seperti asid, alkali dan larutan garam. Oleh itu, bentuk, jisim, kandungan bendasing, dan mutu kilauannya kekal selagi belum dileburkan. Satu-satunya bahan kimia yang boleh melarutkan emas ialah aqua regia yang ditemui dan dirumuskan oleh Jabir Ibn Hayyan Bapa Kimia Moden (bukan Robert Boyle).

Oleh kerana sifatnya yang berat, cantik berkilau, kebolehaliran elektrik yang tinggi (sesuai pada zaman moden) dan tidak mudah terkakis dan rosak, dan sukar ditemui, maka ia menjadi amat bernilai dan nilainya kekal dan tidak berubah kerana fizikalnya tidak mudah berubah oleh faktor luaran. Oleh kerana nilainya yang kekal dan tersendiri inilah, maka harga atau nilai barang-barang jualan disandarkan kepada nilai emas. Barangan jualan seperti makanan, pakaian dan hasil kerja seni, berubah nilai mengikut keadaan semasa pasaran. Selain itu, faktor luaran juga memainkan peranan. Makanan akan rosak jika diserang serangga dan disimpan dalam masa yang lama, pakaian akan lusuh dan mungkin dirosakkan dan dikotorkan oleh serangga dan sudah tidak laku, maka nilainya berubah-ubah dan tidak sesuai disandarkan nilai kewangan padanya.

Menyandarkan nilai kewangan kepada emas juga dapat menghindarkan riba daripada berlaku dalam urusniaga perniagaan. Katakanlah seorang peniaga A ingin menjualkan baju besinya berjenama M kepada peniaga B, dengan peniaga B menyerahkan baju besinya berjenama N kepada peniaga A. Mutu baju besi yang ditukar sesama mereka ini mungkin sudah tidak sama seperti 10 tahun yang lalu. Nilai mereka mungkin berbeza kerana nilai pasaran sentiasa berubah-ubah. Kalau 10 tahun yang lalu, raja mereka mungkin menjalankan kempen perang, maka permintaan terhadap baju besi meningkat dan harganya meningkat di pasaran. Namun kini, harganya sudah tidak menentu, kadangkala naik dan kadangkala turun. Mungkin sehari sebelum urusniaga tersebut dijalankan, harga pasaran bagi baju besi M bersamaan dengan 2 dinar emas, manakala harga baju besi N bersamaan dengan 2 dinar emas juga. Mungkin ketika saat urusniaga dijalankan, harga baju besi M berubah kepada 3 dinar mengikut pasaran, manakala harga baju besi N kekal 2 dinar. Maka berlakulah riba di sini kerana berlaku perubahan nilai pada harga baju-baju besi ini. Oleh itu menurut Islam, peniaga A mestilah menjualkan baju besi jenama Mnya terlebih dahulu dan dapatkan duit dinar, kemudian menggunakan duit dinar yang diperolehinya untuk membeli baju besi jenama N daripada peniaga B. Dengan ini riba dapat dihindarkan, kerana nilai baju emas disandarkan kepada nilai emas yang tidak berubah-ubah dalam pasaran.

Oleh itu apakah wang kertas yang berleluasa digunakan dalam zaman moden ini? Wang kertas hanyalah kertas-kertas yang disandarkan kepadanya nilai sebagaimana sewaktu ketika dahulu kita menyandarkan nilai kepada emas. Wang kertas asalnya daripada bank. Seperti yang diketahui, emas adalah berat dan tidak sesuai dibawa ke mana-mana dalam kuantiti yang banyak. Ia juga terdedah kepada kehilangan dan serangan perompak. Maka emas disimpan di bank oleh para pemiliknya. Bank pula mengeluarkan penyata kertas kepada setiap penyimpan emas, yang menyatakan kuantiti emas yang disimpan oleh setiap pemilik. Bagi setiap 1 dinar (katakan), maka penyimpan akan mendapat 1 keping kertas bagi mewakilinya. Jika kertas ini hilang, maka penyimpan dapat menebus kembali emasnya di bank.

Oleh kerana bank ingin mencipta keuntungan segera, maka pihak bank telah mencetak penyata-penyata kertas yang palsu dan mengatakan kepada orang ramai bahawa ia penyata kertas yang sah. Maka ramailah orang berpusu-pusu datang ke bank untuk meminjam wang. Dan ramai pula orang ramai yang menggunakan kad kredit (salah satu kaedah berhutang kepada bank). Bank juga mengenakan faedah kepada sesiapa yang lewat menjelaskan pinjaman mereka dalam tempoh yang ditetapkan. Akhirnya, kertas-kertas yang dicetak melebihi jumlah emas dalam bank. Sehingga ke satu tahap, tiada langsung emas dalam bank dan bank hanya mengeluarkan kertas-kertas kosong yang nilainya tidak disandarkan kepada emas lagi. Orang ramai yang masih meyakini bahawa kertas-kertas tersebut bernilai, terus menerus meminjam daripada bank. Hasilnya lahirnya matawang kertas yang berasaskan keyakinan orang ramai kepada nilai pada kertas. Matawang ini dikenali dengan nama ‘fiat money’ atau wang kosong. (fiat-Latin yang membawa maksud ‘biarkan ia diperlakukan’ atau ‘let it be done’).

Keadaan bank yang kekosongan emas, ditambah hutang orang ramai terhadap bank yang semakin bertambah hasil faedah dan penggunaan kad kredit, memberikan bencana kepada bank apabila pemilik-pemilik emas datang menuntut emas simpanan mereka. Dalam keadaan panik, pihak bank mula menghentikan pemberian hutang kepada pengguna kad kredit. Maka berlakulah apa yang kita kenali sekarang ini sebagai ‘kuncupan kredit’ atau ‘credit crunch’ , di mana pemegang kad kredit tidak dapat menggunakan kad mereka secara tiba-tiba kerana disekat oleh pihak bank.

Bank sebegini akhirnya diisytihar muflis akibat desakan pemilik emas supaya bank memberikan kembali emas kepada mereka. Contoh bank yang telah muflis akibat kuncupan kredit ialah Lehmann Brothers. Selain itu terdapat juga bank-bank lain di Amerika yang turut muflis.

Kini, wang kertas terus menerus digunakan. Nilai wang kertas berubah-ubah bergantung kepada pasarannya. Bagi menjelaskan bagaimana wang kertas diniagakan, saya ambil satu contoh. Katakan kita membeli baju daripada sebuah kedai. Maka peniaga baju sebenarnya membeli wang daripada kita dengan membayarkan baju kepada kita. Jika dalam sesebuah negara kadar pembelian wang daripada pengguna meningkat (atau dengan kata lain, pengguna hanya membeli barangan buatan negaranya dan kadar pembeliannya tinggi) maka nilai matawang mereka akan meningkat. Ini kerana matawang mereka menjadi ‘laku’, atau permintaan terhadap wang mereka tinggi. Maka nilai matawang menjadi tinggi. Selain itu, nilai matawang juga menjadi tinggi apabila pelabur-pelabur luar masuk dan membeli matawang kita. Bagaimana mereka membeli matawang kita,ialah dengan menukarkan matawang mereka dengan matawang kita. Ini kerana urusniaga dalam negara hanya boleh dijalankan dengan menggunakan matawang negara itu. Oleh itu, wang kita menjadi laku. Faktor-faktor seperti keamanan, kedudukan negara yang strategik boleh menjadi daya tarikan untuk pelabur luar datang melabur ke negara kita. Semakin ramai pelabur datang, semakin lakulah wang kita dan semakin tinggilah permintaan terhadapnya. Maka nilai matawang akan meningkat.

Nilai matawang sesebuah negara akan sentiasa berubah-ubah bergantung kepada faktor-faktor seperti yang dijelaskan tadi. Jika sesebuah negara yang rendah nilai matawangnya, kemudian bank negara itu terus menerus mencetak wang kertas, maka ia tidak akan meningkatkan nilai matawang mereka, malah menjunamkannya lagi. Jika sesebuah negara matawangnya ialah Rupiah dan satu ringgit bersamaan dengan 1000 rupiah, maka jika matawang rupiah dicetak dengan sebanyak-banyaknya, nilainya boleh turun sehingga satu ringgit bersamaan 1000 000 rupiah. Maka tidak ada cara lain untuk meningkatkan nilai matawang selain menarik pelabur asing datang dan menggalakkan rakyat membeli produk negaranya sendiri. Namun cara terbaik sudah tentulah dengan menggunakan dinar emas bagi menggantikan wang kertas yang nilainya sering berubah-ubah.

Salah satu sifat emas yang melayakkannya dijadikan wang berbanding wang kertas ialah ia sukar ditemui dan ia tidak boleh dihasilkan oleh kerja tangan manusia. Wang kertas pula ialah komoditi yang dihasilkan manusia, sama seperti barangan dagangan yang lain seperti makanan dan sebagainya. Oleh itu, pasarannya tertakluk kepada berapa banyak yang dihasilkan oleh pengeluar wang kertas dan berapa banyak permintaan terhadapnya. (tertakluk kepada hukum ‘supply and demand’). Berbeza dengan emas, ia tidak boleh dihasilkan dan hanya diperolehi daripada perut bumi. Maka bekalannya bergantung kepada kebolehdapatannya daripada perut bumi. Sementara permintaan terhadapnya sudah tentu tidak akan pernah berkurang, kerana emas seperti yang telah diberitahu sebelum ini, mempunyai ciri-ciri fizikal yang menjadikannya tidak mudah rosak dan amat bernilai, serta sukar ditemui. Jadi, nilai emas tidak jatuh dan sangat sesuai dijadikan matawang dan merupakan komoditi berharga yang dipersetujui oleh setiap manusia di seluruh dunia.

Hukum 'supply and demand' untuk emas:
supply-sentiasa sedikit (diperoleh daripada perut bumi)
maka demand-sentiasa tinggi
maka emas sentiasa bernilai tinggi dan tidak jatuh seperti wang kertas.

Inilah hikmah mengapa Allah S.W.T. menciptakan emas dalam kuantiti yang sedikit dan sukar dijumpai, dan hanya dihasilkan daripada perut bumi. Jika emas begitu mudah dijumpai dan mudah pula dihasilkan maka nasibnya samalah seperti wang kertas, nilainya akan bergantung kepada permintaan orang ramai terhadapnya dan kadar pengeluaran oleh para pengeluar.

Sep 16, 2009

Sembilan jenis kebijaksanaan manusia.

Pada tahun 1983, seorang ahli psikologi Amerika bernama Howard Gardner telah memperkenalkan teori kepelbagaian kebijaksanaan. Menurut teori tersebut, kebijaksanaan manusia boleh dikelaskan kepada sembilan kumpulan. Kumpulan-kumpulan tersebut ialah:

1) Kebijaksanaan alam semulajadi (bijak hijau)
Kebolehan manusia untuk membezakan benda hidup (tumbuhan, binatang) dan juga kepekaan kepada ciri-ciri alam semulajadi. ( awan, susunan batu-batu dan luluhawa). Kebolehan ini amat bernilai pada masa lepas kerana manusia kebanyakkan bekerja sebagai pemburu, penternak dan petani. Kebolehan ini berterusan sebagai pusat kepada peranan ahli botani dan tukang masak. Juga dikatakan kebanyakan dari masyarakat pengguna memiliki kebolehan ini dalam memilih dan membezakan jenis-jenis kereta, alat solek, sneakers dan sebagainya.

2) Kebijaksanaan muzik.
Keupayaan mengecam kelangsingan, irama, dan tona. Kebijaksanaan ini membolehkan kita mengecam, membina, mengembangkan dan bertindak balas dengan muzik, seperti yang ditunjukkan oleh penggubah, konduktor, ahli muzik, penyanyi, dan pendengar peka. Biasanya wujud perkaitan antara muzik dengan perasaan. Kebijaksanaan matematik dan kebijaksanaan muzik berkongsi proses berfikir yang sama. Remaja dengan kebijaksanaan jenis ini biasanya minat menyanyi dan bergendang serta bermain dengan alat muzik. Mereka biasanya dapat mengesan bunyi yang tidak dapat dikesan orang lain.

3) Kebijaksanaan matematik ( bijak angka/ bijak keputusan)
Kebolehan mengira, menilai, membina cadangan dan hipotesis dan menjalankan operasi matematik yang lengkap. Ia juga membolehkan kita menaakul hubungan dan perkaitan dan menggunakan pemikiran bersimbol dan abstrak; kemahiran menyimpulkan jujukan dan janjangan algoritma; dan corak pemikiran aruhan dan deduksi (corak pemikiran aruhan dan deduksi terdapat dalam penaakulan mantik). Kebijaksanaan ini terdapat pada ahli matematik, ahli sains, dan penyiasat. Remaja dengan kebolehan ini berminat dengan corak, kumpulan, dan hubungan. Mereka tertarik dengan masalah aritmetik, permainan berstrategi, dan eksperimen.

4) Kebijaksanaan kewujudan (bijak rohani)
Kepekaan dan keupayaan untuk menyelesaikan persoalan mendalam mengenai kewujudan manusia, seperti makna hidup, mengapa berlaku kematian dan bagaimana kita ke sana.

5) Kebijaksanaan perhubungan (bijak orang)
Kebijaksanaan perhubungan adalah kebolehan untuk memahami dan bertindak balas secara berkesan (komunikasi berkesan-komunikasi yang difahami orang lain) dengan orang lain. Ia melibatkan perhubungan lisan dan bukan lisan (gerak badan, contohnya), kebolehan mengesan perbezaan pada setiap orang lain, kepekaan kepada angin dan baran seseorang , dan kebolehan memuaskan hati setiap orang yang memiliki pandangan yang pelbagai. Guru, pekerja sosial, pelakon, ahli politik kesemuanya menunjukkan kebijaksanaan perhubungan. Remaja dengan kebijaksanaan jenis ini adalah pemimpin dalam kalangan rakan sebayanya, dan bagus dalam berkomunikasi, dan memahami perasaan dan matlamat orang lain.

6) Kebijaksanaan gerakan jasad (bijak jasad)
Kebijaksanaan gerakan jasad ialah kebolehan menggunapakai objek dan melakukan pelbagai kemahiran fizikal. Kebijaksanaan jenis ini juga melibatkan deria pemasaan dan penyempurnaan kemahiran menerusi kesatuan minda-jasad (keselarasan antara otak dengan jasad, sebagai contoh ketika seseorang berusaha untuk belajar seni mempertahankan diri, dia sebenarnya sedang membina keselarasan antara gerakan badan dengan mindanya). Ahli sukan, penari, jurubedah, dan orang pertukangan menunjukkan kebijaksanaan gerakan jasad yang tinggi.

Nota: orang pertukangan seperti tukang kayu, tukang emas, tukang besi, pembuat kraftangan seperti alatan berasaskan rotan, dan tukang pembuat pasu dan barangan tanah liat perlu memilki kemahiran ini, kerana penyelarasan otak dengan gerakan tangan amat diperlukan bagi menghasilkan produk yang halus dan berseni.

7) Kebijaksanaan bahasa (bijak kata)
Kebijaksanaan bahasa ialah kebolehan berfikir dalam perkataan dan menggunakan bahasa untuk menyampaikan dan menghargai maksud-maksud tersirat. Kebijaksanaan bahasa membolehkan kita memahami turutan dan makna perkataan dan menggunakan kemahiran meta-linguistik bagi menggambarkan penggunaan bahasa. Kebijaksanaan bahasa ialah kebolehan manusia yang paling banyak dikongsi dan terdapat pada pemuisi, penulis novel, wartawan, dan pemberi ucapan yang berkesan. Remaja dengan kebijaksanaan jenis ini minat menulis, membaca, menyampaikan cerita atau menyelesaikan teka silang kata.

8) Kebijaksanaan hubungan kendiri. (bijak diri)
Kebijaksanaan hubungan kendiri ialah kebolehan memahami diri sendiri dan pemikiran serta perasaan orang lain, dan menggunakan pengetahuan tersebut dalam merancang dan mengarahkan kehidupan seseorang. Kebijaksanaan ini tidak hanya melibatkan penghargaan kepada diri sendiri, tetapi juga kepada keadaan manusia yang lain. Ia terdapat pada ahli psikologi, pakar motivasi, pemimpin kerohanian atau keagamaan, dan ahli falsafah. Remaja yang memiliki kebolehan ini biasanya seorang pemalu. Mereka amat menyedari perasaan mereka dan pandai menyesuaikan diri dengannya.

9) Kebijaksanaan gambar. (bijak gambar)
Kebijaksanaan gambar ialah kebolehan berfikir dalam ruang tiga matra. Kebolehan terasnya termasuklah bayangan minda, memutuskan suatu gambaran, penggunaan imej, berkemahiran grafik dan artistik, dan bayangan atau imaginasi yang baik. Kelasi, juruterbang, pengukir,pelukis, dan arkitek kesemuanya menunjukkan kebijaksanaan gambar. Remaja dengan kebolehan ini meminati mez atau jigsaw, dan menghabiskan masa lapang dengan melukis dan berangan.

Sumber:
http://en.wikipedia.org/wiki/Howard_Gardner
http://en.wikipedia.org/wiki/Theory_of_multiple_intelligences