Ilmu pengetahuan itu luas saujana mata memandang.
Kerana luasnya ilmu pengetahuan, manusia mengelaskan ilmu kepada subjek-subjek tertentu, agar pengkhususan dapat dilakukan.
Contohnya, ilmu falsafah semulajadi (English-natural philosophy) telah dibahagi dua; satu bidang bernama KIMIA dan satu lagi bidang bernama FIZIK.
Dengan pengkhususan, manusia dapat mengembangkan bakat yang dimiliki ke dalam bidang ilmu yang sesuai. Dengan pengkhususan, setiap bidang ilmu yang terpecah akan dibangunkan secara tersendiri dan pembangunannya menjadi lebih pantas. Ini kerana setiap bidang tersebut diberikan tumpuan penuh oleh sekumpulan manusia yang benar-benar memiliki bakat dan kebolehan di dalamnya. (rujuk artikel saya mengenai ‘skala kecil’ dan kesannya)
Sukatan pelajaran ialah salah satu bentuk pengkhususan ilmu pengetahuan.
Jika tiada sukatan pelajaran, maka proses pembelajaran dan pengajaran akan menjadi serabut. Pelajar tidak tahu apa yang patut dipelajari. Pelajar tidak tahu di mana bakatnya berada. Adakah di dalam bidang sukan, atau politik atau berbakat sebagai seorang jurutera dan saintis?
Sukatan pelajaran dibuat bagi menyelaraskan ilmu pengetahuan, agar proses pengajaran dan pembelajaran dipermudahkan. Ia juga bertujuan memudahkan pelajar meneroka di mana kebolehan dan bakatnya berada.
Namun, peranan sukatan pelajaran telah dihantui oleh desakan ibu bapa yang gemar mengatur masa depan anaknya. Kebanyakan ibu bapa berpendapat bahawa hanya dengan menjadi jurutera, doktor dan saintis sahaja maka anak mereka akan berjaya. Akhirnya, sukatan pelajaran gagal mencapai matlamatnya dalam memudahkan pelajar meneroka potensi diri.
Dari itu, terdapat dua jenis pelajar; yang pertama ialah pelajar yang mengikut sukatan pelajaran sehingga ke peringkat universiti, tetapi masih tidak tahu di mana bakatnya berada. Golongan inilah yang dikatakan sebagai 'penghabis sukatan' kerana mereka hanya menghabiskan sukatan, dan lulus peperiksaan semata-mata tanpa memikirkan kenapa mereka mesti belajar dan kenapa mereka mesti ke sekolah. Mereka hanya mahu mencapai satu perkara; iaitu kejayaan dalam hidup. Perbuatan sebegini adalah sia-sia kerana sebaik sahaja mereka sampai ke peringkat yang lebih tinggi setelah lulus berbagai-bagai jenis peperiksaan, mereka tidak tahu apa bidang yang patut mereka ceburi. Dalam masa yang singkat untuk memilih bidang, mereka terburu-buru mengenal diri sendiri. Akhirnya, mereka secara tidak sengaja memilih bidang yang mereka tidak minati dan hidup dalam kegelisahan, semuanya kerana tamakkan kejayaan dalam hidup sehingga tidak memikirkan minat dan kebolehan diri.
Yang kedua ialah pelajar yang mengikut sukatan pelajaran kerana dia sudah tahu di mana bakatnya berada, dan sukatan pelajaran tersebut adalah sebagai alat untuk dia membawa dirinya ke peringkat yang lebih tinggi. Golongan ini menyedari bahawa di negara yang mementingkan peperiksaan seperti Malaysia, tidak ada cara lain untuk ke peringkat yang lebih tinggi selain dari lulus dalam peperiksaan. Pada masa yang sama, mereka tidak mengabaikan minat mereka. Di luar kelas, mereka menghabiskan masa mengasah bakat dan kebolehan sedia ada. Jadi perbuatan mereka mengikut sukatan pelajaran adalah tidak sia-sia kerana sebaik sahaja mereka sampai ke peringkat yang lebih tinggi, mereka sudah tahu apa bidang yang patut dipilih dan apa yang patut dilakukan berdasarkan bakat dalam diri mereka.
Saya ialah dari jenis yang kedua. Saya mengikut sukatan, dan pada masa yang sama telah lama kenal potensi diri. Sukatan pelajaran hanyalah alat dan jalan untuk saya membawa diri ke peringkat yang lebih tinggi. Oleh itu sukatan pelajaran tidak pernah menjadi penjara yang mengurung saya dalam konflik diri.
Anda dari jenis pelajar yang mana? Soal diri anda sendiri.
“I think, therefore I am”- bermaksud dengan berfikir, kita akan kenal diri sendiri.
Salam.
ReplyDeleteblogwalking.
Setuju dengan penulis. Pengkhususan itu perlu.
pengenalpastian bakat juga perlu untuk itu.