Dec 25, 2009

Imej tiga matra.

Imej dua matra (English-two-dimensional imej) ialah imej yang hanya melibatkan dua ruang ukuran suatu jasad, iaitu panjang dan lebar/tinggi. (English-length and width/ height). Contoh imej dua matra ialah imej pada kertas dan permukaan rata seperti lukisan, mural, dan layar hablur cecair komputer anda. Imej-imej ini tidak mempunyai satu lagi ruang ukuran, iaitu kedalamannya, yang merupakan ruang ukuran ketiga.

Imej tiga matra (English-three-dimensional image) melibatkan imej suatu jasad dengan tiga ruang ukuran iaitu panjang, lebar dan kedalaman. (English-length, width, depth).

Jika imej dua matra memiliki kedalaman, maka ia telah memiliki ruang ukuran ketiga, dan imej ini dikenali sebagai imej tiga matra seperti yang dijelaskan di atas.

Alam yang didiami ini wujud dalam bentuk tiga matra. Hampir semua objek memiliki panjang, lebar dan kedalaman.

Penglihatan monokular.
Jika anda melihat dengan hanya sebelah mata, anda hanya akan dapat melihat imej di hadapan anda dalam bentuk dua matra sahaja. Ini kerana hanya satu sahaja pandangan mata yang digunakan. Penglihatan ini dikenali dengan nama penglihatan monokular (English-monocular), atau penglihatan satu mata. Penglihatan ini terdapat pada haiwan yang mempunyai mata yang terpisah antara satu sama lain seperti ayam, burung, dan lembu.

Beberapa kaedah dapat digunakan bagi menganggar jarak menggunakan penglihatan monokular:
a) Saiz objek pada retina- Jika anda memiliki pengetahuan lepas mengenai objek yang dilihat, otak anda boleh menganggar jarak berdasarkan saiz objek tersebut pada retina.
b) Pergerakan paralaks- Apabila anda menggerakkan kepala dari satu sisi ke sisi lain, objek yang dekat dengan anda akan bergerak cepat, dan objek yang jauh akan bergerak perlahan atau sedikit. Dengan cara ini, otak anda boleh menganggar secara kasar berapa jauh objek tersebut dari anda.
c) Kecerahan- Kecerahan objek boleh digunakan bagi menentukan jarak. Objek yang dekat dengan mata lebih terang berbanding objek yang jauh.

Penglihatan binokular.
Jika anda melihat dengan kedua-dua belah mata, anda akan dapat melihat imej di hadapan anda dalam bentuk tiga matra. Ini kerana kedua-dua imej dari kedua-dua belah mata digunakan. Setiap satu mata manusia mempunyai pandangan tersendiri terhadap satu-satu objek yang dilihat. Ini terhasil akibat daripada jarak dan sudut setiap mata yang berbeza dari objek tersebut. Penglihatan dengan kedua-dua belah mata ini dikenali dengan nama penglihatan binokular. Penglihatan ini terdapat juga pada haiwan yang memiliki kedua-dua belah mata pada satu bahagian muka seperti harimau, kucing dan monyet.



Kaedah yang digunakan bagi menganggar jarak menggunakan penglihatan binokular:
a) Stereoskopik- Setiap mata menerima imej yang berbeza pada retina untuk satu-satu objek kerana setiap mata terpisah dengan jarak sekitar 2 inci. Perbezaan imej ini ketara jika objek tersebut dekat dengan mata anda, namun sebaliknya jika objek tersebut jauh. Ini kerana imej-imej dari kedua-dua belah mata hampir serupa jika jarak objek semakin jauh dari mata anda.

Penghasilan imej 3D dalam pawagam 3D
Stereoskopik digunakan dalam penghasilan imej 3D (tiga matra) seperti filem-filem 3D.

Pawagam 3D mempunyai dua buah projektor. Setiap satu projektor akan memancarkan imej (dari filem) yang mewakili penglihatan dari kedua-dua belah mata manusia. Satu projektor akan memancarkan imej suatu objek yang dipandang oleh hanya mata kanan, dan satu lagi projektor akan memancarkan imej objek tersebut yang dipandang oleh hanya mata kiri. Kemudian kedua-dua imej ini akan digabungkan di atas sebuah layar putih. Oleh kerana imej-imej ini berlainan antara satu sama lain, maka penonton yang tidak memakai cermin mata khas akan melihat imej kabur pada layar pawagam.


Contoh imej mata kiri (kiri) dan imej mata kanan (kanan) sebuah piano.

Cermin mata yang dipakai oleh penonton adalah bertujuan memisahkan kembali imej tergabung yang dipantulkan dari layar putih ke mata, supaya imej yang sesuai akan masuk ke dalam mata yang sesuai. (imej mata kanan ke mata kanan, dan seterusnya). Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan dalam memisahkan imej tergabung ini. Dua yang utama ialah sistem merah-biru, dan sistem polaroid.

Sistem merah-biru adalah sistem yang lebih awal digunakan. Setiap satu projektor memancarkan imej setiap mata, namun dalam warna yang berlainan. Jika imej mata kanan dipancarkan dalam bentuk sinaran biru, maka imej mata kiri dipancarkan dalam bentuk sinaran merah. Sinaran-sinaran ini akan ke layar lalu tergabung, dan kemudian dipantulkan ke mata. Di sini, ia akan dipisahkan ke mata yang sesuai. Cermin mata yang digunakan oleh penonton memiliki penapis berwarna. Dalam kes ini, bagi menghantar imej mata kanan(sinaran biru) ke mata kanan, maka penapis biru perlu diletakkan di bahagian kanan cermin mata, dan seterusnya. Setelah setiap mata menerima imej masing-masing, otak akan menggabungkannya dan menafsirkan imej tersebut sebagai imej tiga matra atau 3D.

Sistem polaroid pula lebih kurang sama dengan sistem merah-biru, namun sistem polaroid memanfaatkan pengutuban cahaya, di mana kedua-dua imej dari projektor dikutubkan menggunakan projektor jenis polaroid. Terdapat pelbagai kaedah pengutuban yang digunakan, namun yang biasa digunakan ialah sistem 90 darjah. Dalam sistem ini, satu imej mata dikutubkan pada sudut tegak, manakala satu lagi imej mata dikutubkan 90 darjah dari sudut pengutuban imej yang pertama tadi. Kemudian ia melalui layar, tergabung dan dipantulkan ke mata. Bagi memisahkan imej tergabung kepada mata yang sesuai, maka cermin mata polaroid digunakan. Polaroid yang betul mesti diletakkan pada mata yang sesuai agar imej yang masuk adalah imej yang sesuai. Polaroid berfungsi membenarkan imej dengan kutub yang sesuai melaluinya. Dalam kes ini, jika imej mata kanan dikutubkan melintang dan imej mata kiri dikutubkan menegak oleh projektor, maka polaroid melintang mesti diletakkan pada sebelah kanan cermin mata polaroid, dan polaroid menegak mesti diletakkan pada sebelah kirinya.



Sistem pawagam 3D hanyalah semudah menggabung imej-imej setiap mata dan memisahkannya kembali ke mata penonton. Untuk menghasilkan filem 3D, pengeluar filem mesti mengeluarkan dua imej untuk filem mereka, iaitu imej dari pandangan mata kanan dan imej dari pandangan mata kiri. Ini sahaja bezanya dari filem biasa. Idea ini datang dari semudah-mudah fenomena; iaitu imej 3D terhasil dari perbezaan imej pada setiap mata kanan dan kiri manusia.


Pawagam 3D Imax.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...