Jika kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah didalangi Mustafa Kemal, kejatuhan kerajaan Abbasiyyah pula didalangi oleh lelaki ini.
Siapakah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami? Beliau ialah menteri berbangsa Parsi yang berkhidmat untuk khalifah terakhir kerajaan Abbasiyyah, iaitu Khalifah Al-Musta’shim Billah. Beliau ditugaskan menguruskan perbendaharaan negara, umpamanya menguruskan baitulmal, zakat, dan menggaji tentera.
Suatu ketika, berlaku pembunuhan ketua tentera yang bernama Hurnain. Dalam memilih bakal pengganti ketua tentera tersebut, berlaku perbalahan antara menteri-menteri yang berbangsa Turki, Parsi dan Arab. Masing-masing berkeras mahu melantik pengganti dari kalangan kaum yang diwakili mereka. Bagi mengelakkan persengketaan daripada berlarutan, maka Khalifah telah melantik rakan kepada puteranya, iaitu Rukunuddin Ad-Daudar sebagai ketua tentera yang baru.
Rukunuddin Ad-Daudar seorang Arab yang membenci golongan Syiah. Dalam empayar Abbasiyyah, golongan Syiah kebanyakannya berbangsa Parsi. Ketika berlaku rusuhan kaum antara Syiah dan Sunni di Kirkuk, dia telah mengarahkan tentera kerajaan membunuh golongan Syiah. Tentera beliau bukan sahaja membunuh orang-orang Syiah, bahkan merampas harta benda mereka serta melakukan perkosaan ke atas perempuan-perempuan mereka.
Apabila berita pembunuhan beramai-ramai golongan Syiah sampai ke telinga Umayiduddin Muhammad Al-Aqami yang merupakan menteri berbangsa Parsi, beliau berasa amat marah lalu mengadukan perkara tersebut kepada khalifah. Namun khalifah menegaskan bahawa pembunuhan itu wajar dilakukan demi menjaga keamanan negara, tanpa menyedari bahawa pembunuhan itu turut melibatkan pembunuhan orang-orang yang tidak berdosa dan perkosaan ke atas kaum wanita. Meskipun Umayiduddin memiliki bukti, namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan khalifah terlalu meyakini bahawa Rukunuddin menjalankan tugas tersebut semata-mata demi menyelamatkan negara daripada pemberontakan.
Atas rasa tidak puas hati dan dikuasai oleh dendam yang membara, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami merancang mahu menjatuhkan khalifah. Beliau pada mulanya bercadang untuk membina pakatan dengan kerajaan Parsi, namun utusan yang dihantar olehnya telah ditahan oleh tentera Monggol dan suratnya kepada kerajaan Parsi telah dirampas oleh mereka. Demi mengelakkan surat tersebut diserahkan oleh orang Monggol kepada khalifah dan seterusnya menyebabkan rancangan belotnya terbongkar, maka dia beralih arah dan bercadang berpakat dengan tentera Monggol. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tentera Monggol sememangnya sedang menanti masa untuk menakluk kota Baghdad. Pada masa itu tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan sedang berkhemah dan melakukan latihan perang di pinggir kota Baghdad. Setelah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami berpakat dengan tentera Monggol, maka bermulalah episod pengkhianatannya terhadap Khalifah Al-Musta’shim.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami telah menipu Khalifah dengan mengatakan bahawa perbendaharaan negara tidak cukup untuk menampung gaji tentera dan menyarankan kepada baginda agar memberhentikan 90 000 tentera daripada 100 000 jumlah keseluruhannya. Alasannya lagi, tentera-tentera tersebut kebanyakkannya telah tua. Di sebalik saranan tersebut, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami sebenarnya memiliki muslihat tersendiri. Beliau sebenarnya mahu agar tentera-tentera berpengalaman (kebanyakannya dari golongan tua) dilenyapkan dari pasukan tentera, dan beliau juga sebenarnya mahu mengurangkan bilangan tentera. Ini kerana beliau telah bersepakat dengan tentera Monggol untuk melemahkan angkatan tentera Bani Abbasiyyah. Hasilnya, tentera Abbasiyyah yang berjumlah 100 000 pada asalnya hanya tinggal 10 000 orang sahaja, dan kebanyakan anggotanya terdiri daripada golongan muda yang kurang berpengalaman. Khalifah Al-Musta’shim begitu mudah menerima cadangan tersebut kerana Umayiduddin Muhammad Al-Aqami adalah menteri yang paling dipercayainya.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami juga telah melarang Khalifah dari menyiapkan pasukan tentera ketika Baghdad sedang dikepung tentera Monggol. Beliau mahu Khalifah menganjurkan perdamaian antara kerajaan Abbasiyyah dengan orang Monggol. Sedangkan mereka sendiri sudah sedia maklum, tentera Monggol bukanlah manusia yang boleh menerima perdamaian. Pada mereka (tentera Monggol), musuh hanya diberikan dua pilihan sahaja, menyerah atau berperang. Sekiranya musuh memilih untuk berdamai, bererti mereka menyerah diri kepadanya. Oleh itu, perdamaian dengan orang Monggol merupakan perkara yang amat mustahil untuk dilakukan. Namun, oleh kerana Khalifah begitu mempercayai kata-kata Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, maka beliau bercadang untuk berdamai. Di sini satu kesilapan yang amat besar telah dilakukan oleh Khalifah Al-Musta’shim Billah.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami telah mengaturkan satu pertemuan antara Hulagu Khan dengan Khalifah Abbasiyyah. Dalam pertemuan tersebut, lebih 700 pengiring Khalifah Al-Musta’shim Billah telah dibunuh oleh tentera Monggol. Orang Monggol sememangnya berniat untuk membunuh pengiring Khalifah yang terdiri daripada golongan agama awal-awal lagi, disebabkan itu mereka merancang mengasingkan khemah yang menempatkan Khalifah Al-Musta’shim dengan khemah yang menempatkan para pengiringnya. Setelah semua pengiring dibunuh, Hulagu Khan memberitahu perkara tersebut kepada Khalifah Al-Musta’shim dan memberikan alasan tenteranya membunuh mereka akibat perselisihan faham antara tenteranya dengan mereka. Sebelum Khalifah Al-Musta’shim dilepaskan pulang ke istana, beliau diberi amaran oleh Hulagu Khan agar tidak mengumpulkan bala tenteranya untuk berperang dengan mereka. Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, demi mengelakkan dirinya daripada dicurigai oleh Khalifah Al-Musta’shim, telah berpura-pura kononnya menyelamatkan nyawa khalifah ketika khalifah diugut hukum bunuh oleh Hulagu Khan yang juga berpura-pura ketika Khalifah Al-Musta’shim Billah berada di dalam khemah tersebut. Kesemua ini dirancang dengan rapi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami dan Hulagu Khan.
Anda bolehlah membayangkan rupa orang Monggol seperti ini. (Ehsan: Disney Mulan)
Khalifah Al-Musta’shim Billah sering murung selepas kejadian itu. Rakyat-rakyatnya yang kematian ahli keluarga telah datang ke istana. Mereka mahu Khalifah Al-Musta’shim Billah mengeluarkan perintah memerangi orang Monggol. Mereka mahu menuntut bela di atas kematian ahli keluarga mereka yang telah dibunuh dengan kejam oleh tentera Monggol. Namun Khalifah Al-Musta’shim Billah masih kebingungan dan beliau tidak mampu berbuat apa-apa kerana masih sedih dan terkejut dengan kejadian itu. Tambahan pula, beliau telah diugut sendiri oleh Hulagu Khan agar mendiamkan diri. Dalam hati beliau, Hulagu Khan lebih ditakuti berbanding Allah S.W.T. (sebagaimana kata puteranya Abu Bakar).
Ketua tentera Abbasiyyah yang baru beberapa bulan dilantik, iaitu Rukunuddin Ad-Daudar telah banyak kali menggesa Khalifah Al-Musta’shim Billah agar membenarkan beliau mengumpulkan bala tentera untuk memerangi orang Monggol, sejak dari mula beliau dilantik lagi. Namun gesaan itu tidak diendahkan Khalifah Al-Musta’shim Billah, malah dipandang remeh kerana dipengaruhi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Namun Rukunuddin Ad-Daudar tidak berdiam diri, lebih-lebih lagi selepas berlakunya peristiwa pembunuhan 700 orang pengiring khalifah itu. Beliau telah mengumpulkan rakyat jelata yang terdiri daripada anak-anak muda yang sanggup berjihad demi Islam. Beliau juga menyebarkan arahan berjihad ke setiap masjid di Baghdad. Akhirnya beliau berjaya mengumpulkan 20 000 tenteranya. Bilangan ini memang jauh lebih sedikit berbanding bilangan tentera Monggol (200 000), namun itu tidak mematahkan semangat mereka. Bilangan mereka yang sedikit itu bukanlah kerana rakyatnya tidak berani dan takut mati. Bahkan seruan jihad itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perbuatan Umayiduddin Muhammad Al-Aqami menyuruh khalifah memecat sebahagian besar tentera Abbasiyyah sebelum ini menyebabkan bilangan mereka menjadi amat sedikit, dan kebanyakan ahlinya adalah anak muda yang bersemangat tetapi kurang pengalaman. Tentera-tentera yang telah dipecat oleh Khalifah Al-Musta’shim yang terdiri daripada bangsa Parsi dan Turki pula enggan kembali memberikan khidmat mereka kerana berasa marah dengan Khalifah. Mereka mahu agar khalifah digulingkan. Mereka juga telah pulang ke tanah air masing-masing kerana tidak mahu menjadi mangsa serangan tentera Monggol.
Rukunuddin Ad-Daudar berjaya mendapatkan kebenaran khalifah untuk memerangi tentera Monggol. Itupun selepas Khalifah Al-Musta’shim Billah puas dipujuk oleh puteranya iaitu Abu Bakar. Khalifah sememangnya benar-benar tertekan selepas peristiwa pembunuhan pengiringnya itu, maka beliau pun bercadang menyerahkan isu tersebut kepada Rukunuddin dan bala tenteranya. Rukunuddin telah melancarkan serangan ke atas tentera Monggol. Serangan mereka tidak kurang hebatnya kerana tidak kurang tentera Monggol yang terkorban. Namun disebabkan tentera mereka turut sama terkorban dan bilangan mereka semakin berkurangan, Rukunuddin Ad-Daudar menamatkan serangan (mengambil teladan Khalid Al-Walid R.A. dalam peristiwa di Yarmuk) dan membawa mereka semua lari ke Mesir untuk bergabung dengan tentera Mamalik Mesir dan tentera Berke Khan (orang Monggol yang memeluk Islam). Mereka kembali berperang dengan tentera Monggol di ‘Ain Jalut di Palestin kira-kira dua tahun kemudian dalam Pertempuran Ain Jalut.
Tentera Monggol berasa amat gembira setelah berjaya mengalahkan tentera Rukunuddin Ad-Daudar. Mereka bercadang untuk menakluk Baghdad secepat mungkin. Mereka berasa amat marah kerana ramai tenteranya gugur dibunuh tentera Rukunuddin Ad-Daudar. Sementara itu, rakyat Baghdad berada dalam keadaan bimbang kerana tentera Rukunuddin telah melarikan diri ke Mesir dan tidak ada sesiapa lagi yang mempertahankan kota Baghdad. Namun mereka telah berkumpul dan bercadang untuk berjihad menentang tentera Monggol sehingga ke titisan darah yang terakhir. Oleh itu, mereka telah menyuarakan hasrat mereka itu kepada Khalifah Al-Musta’shim Billah. Mereka benar-benar mahu berjihad mempertahankan agama dan tanah air mereka.
......................................................................................
Bersambung di bahagian kedua.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...