Aug 21, 2009

20 sumbangan utama sarjana Muslim.(Bahagian 1)

Dari kopi kepada cek kewangan dan hidangan ‘three-course’ atau tiga peringkat, dunia Islam telah menyumbang pelbagai inovasi teknologi yang dipandang mudah dalam kehidupan masa kini. Paul Vallely menyenaraikan 20 tokoh genius dan paling berpengaruh di sebalik kemajuan yang disumbangkan oleh tamadun unik ini.

1) Suatu ketika dahulu, ketika seorang pengembala Arab bernama Khalid sedang menjaga kambing-kambingnya di suatu kawasan bernama Kaffa di selatan Habsyah, beliau mendapati ternakannya itu lebih cergas dan bertenaga selepas memakan sejenis beri. Beliau kemudian merebus beri tersebut, seterusnya menghasilkan minuman yang diberi nama kopi pada hari ini. Rekod pertama mengenai minuman ini mencatatkan bahawa ia didagangkan dalam bentuk bijian dari Habsyah ke Yaman dan menjadi minuman para Sufi untuk membolehkan mereka berjaga malam untuk beribadat dan bersolat. Pada lewat kurun ke 15 bijian ini sampai ke Makkah dan Turki dan dari situ, ia diperkenalkan di Venice pada 1645. Ia kemudiannya diperkenalkan di England pada 1650 oleh seorang Turki bernama Pasqua Rosee yang membuka kedai kopi pertama di Lombart Street di Bandaraya London. Perkataan Arab ‘qahwa’ menjadi perkataan Turki ‘kahve’ , kemudian kepada perkataan Itali ‘caffe’ dan seterusnya kepada bahasa Inggeris ‘coffee’.

2) Orang-orang Yunani kuno berpendapat bahawa mata kita memancarkan cahaya seperti laser dan membolehkan kita melihat. Orang pertama yang menyedari bahawa cahaya memasuki mata berbanding dipancarkan oleh mata ialah seorang ahli matematik, ahli astronomi dan fizik Muslim abad ke 10 iaitu Ibnu al-Haitham. Beliau mencipta kamera lubang jarum yang pertama selepas menemui bagaimana cahaya melalui sebuah lubang kecil pada penutup tingkap. Semakin kecil lubang tersebut, semakin jelas gambar yang terhasil. Beliau melakukan penyelidikan ke atas fenomena ini dan berjaya menghasilkan Camera Obscura (daripada perkataan Arab ‘qamara’ bermaksud gelap atau bilik peribadi). Beliau juga dikatakan sebagai orang pertama yang memisahkan fizik daripada falsafah kepada bidang eksperimental berasaskan kajian empirikal.


Rajah sinar Camera Obscura

3) Sejenis permainan catur pernah dimainkan di India pada suatu ketika dahulu, namun permainan tersebut dibangunkan kepada bentuk yang dikenali kita pada hari ini di Parsi. Dari situ, ia dikembangkan ke Barat yakni Eropah- di mana ia diperkenalkan oleh orang-orang Moor di Sepanyol pada kurun ke 10 – dan juga disebarkan ke Timur sehingga sejauh-jauh Jepun. Perkataan ‘rook’ berasal dari bahasa Parsi ‘rukh’, bermaksud pedati (English-chariot).


'Rook' dalam catur

4) Seribu tahun sebelum Wright bersaudara dilahirkan, seorang pemuisi, ahli astronomi, ahli muzik, dan jurutera bernama Abbas Qasim Ibn Firnas melakukan beberapa percubaan bagi menghasilkan mesin terbang. Pada tahun 852 beliau terjun dari menara Masjid Utama di Cordoba menggunakan jubah (English-cloak) yang ditegangkan oleh topang-topang kayu. Beliau berharap dapat meluncur seperti burung, namun perkara sebaliknya berlaku. Kain tersebut memperlahankan jatuhnya, menjadi payung terjun pertama ciptaannya dan beliau kembali dari percubaan tersebut dengan kecederaan ringan. Dalam tahun 875, ketika beliau berusia 70 tahun, setelah selesai menambahbaiki sebuah mesin dari sutera dan bulu burung helang beliau mencuba sekali lagi, dengan terjun dari puncak sebuah gunung. Beliau terbang pada ketinggian yang ketara dari bumi dan kekal di atas selama 10 minit namun akhirnya terhempas ketika mendarat- kerana beliau tidak memasang ekor pada mesinnya supaya ia dapat mendarat dengan betul. Akibat kemalangan tersebut, beliau menderita kecederaan di bahagian punggung. Namun, penderitaan itu tidak menghalang beliau untuk terus menyumbang kepada peradaban saintifik apabila beliau berjaya mencipta jam berkuasa air Al-Maqata dan mengkaji fenomena kilat. Beliau meninggal dunia 12 tahun selepas kemalangan itu. Sebagai menghargai pengorbanan saintis agung ini, namanya diabadikan pada sebuah lapangan terbang di utara Baghdad ( Lapangan Terbang Antarabangsa Ibnu Firnas), dan pada setem buatan Libya, dan juga pada sebuah kawah di permukaan bulan.

5) Bersuci dan mandi adalah tuntutan kepada setiap Muslim, dan mungkin inilah penyebab mengapa mereka berjaya menyempurnakan ramuan sabun yang kita gunakan pada hari ini. Orang-orang Mesir purba memiliki sabun mereka yang tersendiri, begitu juga dengan orang-orang Rom yang banyak menggunakannya sebagai minyak rambut pekat (English-pomade). Namun, orang-orang Arab telah menggabungkan minyak sayuran bersama natrium hidroksida dan bahan aromatik seperti minyak ‘thyme’ (minyak dari pokok genus ‘Thymus’ terutama Thymus vulgaris). Salah satu sifat tentera Salib yang ‘merengsakan deria hidu’ orang-orang Arab ialah mereka tidak bersuci. Syampu diperkenalkan di England oleh seorang Muslim yang membuka Mahomed’s Indian Vapour Baths di kawasan pinggir laut di Brighton pada 1759 dan dilantik menjadi juru syampu kepada Raja George IV dan William IV.


Pokok thymus vulgaris

6) Penyulingan, suatu kaedah memisahkan cecair dengan memanfaatkan perbezaan takat didih setiap juzuk yang terkandung dalam campuran cecair itu, dicipta sekitar tahun 800 oleh saintis Islam ulung, Jabir Ibnu Hayyan, seorang saintis yang menukar alkemia karut kepada kimia moden. Beliau juga mencipta kebanyakan proses asas dan radas yang masih digunakan sehingga ke hari ini- peleburan, penghabluran, penyulingan, penulenan, pengoksidaan, penyejatan, dan penurasan. Selain menemui asid sulfurik dan nitrik, beliau turut mencipta radas suling alembik (Arab- al-anbiq), menyumbang kepada dunia bauan harum dari air mawar, wangian lain dan spirit beralkohol. (Perhatian: arak dan sebarang minuman berasaskan alkohol adalah haram di sisi Islam). Ibnu Hayyan menekankan eksperimen bersistematik dan beliau adalah pengasas kimia moden.

7) Aci engkol adalah sejenis alat yang menukarkan gerakan putar kepada gerakan linear (lurus) dan merupakan intipati kepada gerakan dan mekanisme bermesin dalam dunia moden, termasuk dalam enjin pembakaran dalaman. Merupakan salah satu ciptaan mekanikal terpenting dalam sejarah peradaban manusia, ia dicipta oleh seorang jurutera terbilang Muslim bernama al-Jazari bagi membolehkannya mengangkut air untuk aktiviti pengairan tanaman. Bukunya yang ditulis pada 1206, Kitab mengenai Pengetahuan tentang Alat Mekanikal Terpenting (al-Ilm Wal-Amal al-Nafi Fi Sina'at al-Hiyal ) menunjukkan bahawa beliau juga mencipta dan menambahbaikkan penggunaan injap dan omboh, menghasilkan beberapa jam mekanikal berkuasa air dan graviti. Beliau merupakan Bapa Robotik dunia moden. Dalam buku beliau yang terkenal itu juga, terkandung lebih daripada 50 hasil rekacipta beliau dan di antaranya ialah mangga-mangga gabungan. (mangga bernombor seperti yang banyak digunakan hari ini)


Anatomi aci engkol


Aci engkol dalam enjin pembakaran dalaman

8) ‘Quilting’ ialah satu kaedah menjahit atau mengikat bersama-sama dua lapisan kain dengan lapisan tengahnya merupakan bahan penebat haba.(proses ini juga dikenali sebagai proses menjahit ‘duvet’ atau selimut tebal) Tidak dapat dijelaskan sama ada kaedah ini dicipta oleh Muslim atau diimport dari India dan China. Namun ia tiba di Eropah melalui tentera salib. Mereka melihat baju ‘quilt’ ini digunakan oleh pahlawan-pahlawan Saracen, yang memakainya dengan diisikan bahan penebat daripada jerami, berbanding memakai baju perisai biasa. Selain bertujuan melindungi tubuh dari serangan musuh, ia juga melindungi daripada kesan melecet yang diakibatkan oleh perisai besi dan merupakan penebat yang berkesan- sehinggakan ia menjadi asas kepada industri perumahan berpenebat di negara-negara sejuk seperti Britain dan Holland.


Kuda Saracen yang dipakaikan quilt

9) Binaan arca tajam amat biasa dilihat pada gereja Gothic Eropah dan ia merupakan ciptaan yang diilhamkan daripada ilmu senibina Islam. Binaan arca ini lebih kuat daripada arca bulatan yang digunakan oleh orang-orang Rom dan Norman (orang Perancis Utara yang menakluk England pada 1066), lantas membolehkan pembinaan bangunan yang lebih besar, tinggi, kompleks dan luas. Selain itu, antara yang diilhamkan dari ilmu senibina Islam termasuklah kekubah berangkai (English-ribbed vaulting), tetingkap mawar (English-rose windows), dan teknik pembinaan kubah. Istana-istana di Eropah juga meniru dunia Islam- pada binaan celah panah (English-arrow slits), baluarti (English-battlement), gerbang bermenara (English-barbican) dan dinding pada cucur atap (English-parapet). Menara-menara berbentuk segiempat digantikan dengan menara berbentuk bulatan yang lebih mudah dilindungi dan dipertahankan. Buat pengetahuan, arkitek Istana Henry V ialah seorang Muslim.


Baluarti


Celah panah


Kekubah berangkai


Tingkap mawar


Barbican


Parapet

10) Kebanyakan alatan pembedahan moden memiliki rekabentuk yang serupa dengan rekabentuk yang diperkenalkan oleh pakar bedah Muslim bernama al-Zahrawi pada kurun ke 10. Pisau skalpel, gergaji tulang, forsep, gunting kecil untuk pembedahan mata dan kebanyakan daripada 200 alatan bedah yang direkanya digunakan dalam pembedahan moden. Beliaulah juga yang menemui benang jahitan pembedahan (English-catgut) yang digunakan untuk menjahit organ dalaman, melarut secara semulajadi dalam tisu badan. (penemuan ini berlaku ketika monyet peliharaan beliau memakan tali kecapi (English-lute, sejenis alat muzik) kepunyaan beliau. Tali kecapi tersebut diperbuat daripada usus binatang). Bahan tersebut juga digunakan bagi menghasilkan kapsul perubatan. Pada kurun ke 13, seorang ahli perubatan Muslim Ibnu Nafis menerangkan mengenai peredaran darah dalam badan, 300 tahun sebelum William Harvey melakukan perkara yang sama. Doktor Muslim juga mencipta ubat bius daripada candu dan campuran alkohol dan memperkenalkan jarum berongga bagi menyedut katarak dari mata sepertimana teknik yang digunakan pada hari ini.


Peralatan bedah.

...................................................................................

Sekian dahulu untuk kali ini. InsyaAllah (atau ringkasannya iA), saya akan menyambung rencana ini dengan menceritakan 10 lagi sumbangan yang dilakukan oleh sarjana-sarjana Muslim.

Semoga mendapat ilmu berguna daripada pelayaran internet anda walaupun sedikit.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...