Jul 12, 2009

Sorbitol

Sorbitol, juga dikenali dengan nama glusitol (English- glucitol), merupakan alkohol gula yang ditukar kepada tenaga (English-metabolised) oleh badan secara perlahan-lahan. Ia diperolehi dengan menurunkan (English- reducing) glukosa , di mana dalam proses penurunan ini, kumpulan berfungsi aldehid (English- aldehyde) dalam glukosa akan ditukarkan kepada kumpulan berfungsi hidroksil (English-hydroxyl) bagi membentuk sebatian baru iaitu sorbitol.



Sorbitol ialah pengganti gula yang biasa ditemui dalam makanan gizi (English- diet foods), termasuk aiskrim dan gula-gula getah tanpa gula, pudina dan sirap ubat batuk. Sorbitol disenaraikan dalam ramuan tidak aktif. Bahan ini juga dihasilkan secara semulajadi dalam buahan pepauh dan beri dari genus Sorbus. Sorbitol dikatakan pemanis berkhasiat kerana memberikan tenaga bergizi (tenaga atau kalori rendah), iaitu 2.6 kilokalori per gram berbanding 4 kilokalori per gram untuk karbohidrat.


Gula-gula getah

Sorbitol boleh digunakan sebagai julap dalam bentuk ampaian oral (English- oral suspension) atau pil suppositori (English- suppository). Ia menjalankan aktivitinya dengan menyerap air dari usus besar, kemudian merangsang pergerakan usus. Sorbitol telah dibuktikan selamat untuk kegunaan dewasa walaupun ia tidak disyorkan tanpa kebenaran ahli perubatan.

Sorbitol digunakan sebagai pengantara kultur bakteria bagi memisahkan Escherichia coli 0154:H7 daripada ahli lain E. coli.

Sorbitol yang dicampurkan dengan kayeksalat (English-kayexalate), membantu menyingkirkan ion-ion kalium ketika berlaku hiperkalaemik (English- hyperkalaemic*). Kayeksalat menggantikan ion-ion kalium dengan ion-ion natrium di dalam perut, manakala sorbitol menyingkirkan ion-ion kalium tersebut.

Sorbitol biasa digunakan sebagai humektan (bahan untuk mengekalkan kelembapan- English- humectant) dan pemekat dalam barangan solek moden. Ia juga digunakan dalam pembersih mulut (seperti Lysterine ) dan ubat gigi.

Gel-gel lutsinar hanya boleh dibuat daripada sorbitol kerana ia memiliki indeks pembiasan yang cukup tinggi untuk menghasilkan kelutsinaran.

Sorbitol juga digunakan sebagai bahan tambah dalam kryoprotektan (English- cryoprotectant) bersama-sama dengan sukrosa dan natrium polifosfat dalam proses pembuatan surimi, pes ikan yang ditapis rapi, yang biasa dikeluarkan dari Alaska. Sorbitol juga digunakan dalam rokok sebagai humektan.

Campuran sorbitol dan kalium nitrat dibuktikan berjaya digunakan sebagai bahan api pejal untuk model roket.

Sorbitol dikenalpasti berupaya menjadi pengantara dalam proses kimia utama daripada sumber-sumber biomas. Penurunan lengkap sorbitol menghasilkan alkana seperti heksana, di mana ia boleh digunakan sebagai biofuel. Sorbitol sendiri menyediakan hydrogen yang banyak yang diperlukan dalam penukaran ini.

19 C6O6H14 → 13 C6H14 + 36 CO2 + 42 H2O

Tindak balas kimia di atas adalah tindak balas eksotermik; 1.5 mol sorbitol menghasilkan kira-kira 1 mol heksana. Apabila hidrogen ditambah, pengeluaran karbon dioksida dihentikan.

Walaupun tanpa kehadiran sorbitol dalam gizi, sel menghasilkannya secara semulajadi. Penghasilan sorbitol yang terlalu banyak boleh menyebabkan kerosakan sistem tubuh. Neuropati dan retinopati dalam penyakit kencing manis dikaitkan dengan kuantiti sorbitol yang berlebihan dalam sel saraf dan mata. Sumber sorbitol ini ialah glukosa yang berlebihan dalam darah.

Masalah kekurangan enzim seperti galaktosemia (English- galactosemia) akan menyebabkan peningkatan paras sorbitol dalam darah dan mengakibatkan kerosakan pada tubuh. Dalam diabetis mellitus,kekurangan enzim dalam kanta mata boleh menyebabkan pengumpulan sorbitol dan menyebabkan katarak mata.

Memakan sorbitol dalam kuantiti yang banyak mengakibatkan sakit abdomen, dan cirit-birit. Pengambilan sorbitol sebanyak 20 gram sehari dalam bentuk gula-gula getah boleh mengakibatkan cirit-birit yang teruk, boleh membawa kepada kehilangan berat badan sebanyak 24 paun bagi wanita yang memiliki berat 114 paun. Ada pesakit lain yang memerlukan rawatan hospital selepas kerapkali mengambilnya sebanyak 30 gram sehari.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Sorbitol

*Dalam perubatan, hiperkalaemik ialah suatu keadaan di mana kandungan ion kalium dalam darah meningkat secara mendadak. Hiperkalaemik yang teruk berlaku akibat denyutan jantung yang tidak sekata.

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...