Jul 9, 2009

Nuklear; satu pandangan.

Apabila melihat bangsa lain berlumba-lumba membangunkan teknologi nuklear, umat Islam turut tidak mahu ketinggalan. Negara Islam seperti Pakistan dan Iran telah bertungkus-lumus mengerah para cendekiawan mereka bagi menggembleng buah akal dan tenaga untuk membina loji-loji nuklear dan melakukan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan. Melihat kepada usaha mereka ini, timbul satu persoalan. Wajarkah pembangunan teknologi nuklear dibangunkan oleh umat Islam? Apakah kebaikan yang tersirat di sebaliknya? Atau ia hanya sekadar satu usaha sia-sia yang bertujuan untuk berlumba-lumba namun tidak dapat memberikan kesejahteraan di alam akhirat kelak?

Nuklear adalah kuasa terpendam yang amat besar yang dilepaskan sewaktu proses perlakuran dan peleraian atom-atom bahan radioaktif berlaku. Kuasa ini sekiranya dapat dikawal dengan baik akan memberikan kebaikan, umpamanya dapat dimanfaatkan untuk menjana kuasa elektrik. Namun jika ia tidak dikawal, akan mengundang kesan buruk baik jangka pendek mahupun jangka panjang.

Firman Allah dalam surah Al-Hadid:
“…dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hadid:25)

Jika usaha pembangunan teknologi nuklear bertujuan memberikan manfaat dan kebaikan kepada kehidupan manusia umpamanya untuk menjana tenaga elektrik, maka ia perlu diteruskan. Tambahan pula, sumber bahan api fosil yang semakin berkurangan mendesak kita mencari sumber-sumber tenaga alternatif. Namun jika ia mendatangkan mudarat, umpamanya sisa bahan radioaktif yang mencemarkan sistem saliran air bawah tanah , dan asap radioaktif yang mencemarkan udara, maka langkah-langkah pencegahan dan pemulihan harus dikaji semula sebelum memikirkan sama ada perlu menghentikan usaha ini atau sebaliknya. Jika lebih ramai orang menderita kanser akibat dari udara dan air yang tercemar, maka usaha ini perlu dihentikan kerana jelas keburukannya mengatasi kebaikan.

Jika usaha pembangunan teknologi nuklear bertujuan membina senjata pemusnah besar-besaran, sisi negatif dan positifnya perlu diambil kira terlebih dahulu. Nuklear adalah kuasa berketumpatan tinggi. Bahan radioaktif sebesar bola golf sahaja sudah mampu menghasilkan kekuatan berkilo-kilo tan TNT. Ini bererti kemusnahan yang bakal diakibatkan olehnya bukanlah sekadar kemusnahan tentera musuh. Ia kemusnahan haiwan, tumbuh-tumbuhan, udara, air, dan segala-galanya. Kemusnahan nuklear adalah suatu ‘pembersihan’ alam sekitar yang tidak terbanding. Kesannya bukan sementara, bahkan memakan masa beberapa tahun untuk kembali normal. Kita rujuk kembali kisah letupan loji nuklear di Chernobyl. Penduduk sekitarnya telah ramai menderita akibat kanser. Di Hiroshima dan Nagasaki, di sebalik padang jarak padang tekukur yang terhasil, ramai manusia yang terkorban. Yang masih bernyawa mungkin hidup menderita sehingga kini akibat kanser, atau mungkin melahirkan zuriat yang tidak cukup sifat.

Apakah kebaikan yang diperolehi dengan membangunkan senjata nuklear? Kita mungkin berjaya melakar gerun di mata bangsa lain. Kita mungkin berjaya membuktikan bahawa orang Islam juga setanding dengan mereka dalam bidang pertahanan. Kita mungkin berjaya mengagumkan mereka. Dan jika kita berperang dengan mereka, kita mungkin menang besar. Mereka menggunakan mesingan, meriam, bom, grenad dan warhead, sedangkan kita mampu menghancurkan mereka sekaligus dengan hanya menggugurkan sebutir ‘Little Boy’ dari langit. Inilah ‘faedah’ yang mungkin kita perolehi dengan membangunkan senjata nuklear.

Matlamat peperangan dalam Islam adalah untuk mempertahankan diri. Islam menekankan pendekatan ‘defensif’ bukan ‘ofensif’. Bahkan jika musuh mengajak kepada perdamaian kita wajib berdamai. Bagaimanakah kita dapat menggunakan alasan ‘mempertahankan diri’ sedangkan orang lain yang tidak berperang turut sama terkorban? Bagaimanakah kita dapat menggunakan alasan ‘mempertahankan diri’ sedangkan kita juga memusnahkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang tidak turut serta dalam peperangan?

Jika dilihat sekali imbas, berperang menggunakan nuklear merupakan kaedah perang paling penakut. Membawa ‘Little Boy’ di atas jet, kemudian menggugurkannya, selepas selesai ‘kerja’ lalu pulang dengan ‘gembira’. Betul-betul seperti serangan ‘Yahudi’ ke atas Palestin. Serangan sejenis yang datang dari musuh yang sejenis yang ‘cinta dunia dan takut mati’. Pada saya, mereka mencipta kaedah-kaedah seperti nuklear ini kerana mereka takut berhadapan dengan musuh. Mereka bangsa yang takut mati. Persis seorang budak kecil bergaduh dengan seorang budak besar, namun si budak kecil telah bersiap-sedia dengan kaki pukul upahan yang sedang mengepung si budak besar di segenap sudut, kerana si budak kecil kecut perut untuk berperang satu lawan satu dengan si budak besar.

Muslim tidak perlu menjadi penakut. Bukankah balasan terhadap jihad qital itu besar?

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."(Ali-Imran-169)

“menyambut baik usaha Najib membangunkan loji nuklear berskala kecil”

p/s: sekarang ni ada pula orang yang mahu bangunkan senjata ‘anti-matter’ untuk serang orang kafir. Haish, tak boleh nuklear, 'anti-matter' pula. Lepas ni entah apa lagi…

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...