Jul 12, 2009

Sorbitol

Sorbitol, juga dikenali dengan nama glusitol (English- glucitol), merupakan alkohol gula yang ditukar kepada tenaga (English-metabolised) oleh badan secara perlahan-lahan. Ia diperolehi dengan menurunkan (English- reducing) glukosa , di mana dalam proses penurunan ini, kumpulan berfungsi aldehid (English- aldehyde) dalam glukosa akan ditukarkan kepada kumpulan berfungsi hidroksil (English-hydroxyl) bagi membentuk sebatian baru iaitu sorbitol.



Sorbitol ialah pengganti gula yang biasa ditemui dalam makanan gizi (English- diet foods), termasuk aiskrim dan gula-gula getah tanpa gula, pudina dan sirap ubat batuk. Sorbitol disenaraikan dalam ramuan tidak aktif. Bahan ini juga dihasilkan secara semulajadi dalam buahan pepauh dan beri dari genus Sorbus. Sorbitol dikatakan pemanis berkhasiat kerana memberikan tenaga bergizi (tenaga atau kalori rendah), iaitu 2.6 kilokalori per gram berbanding 4 kilokalori per gram untuk karbohidrat.


Gula-gula getah

Sorbitol boleh digunakan sebagai julap dalam bentuk ampaian oral (English- oral suspension) atau pil suppositori (English- suppository). Ia menjalankan aktivitinya dengan menyerap air dari usus besar, kemudian merangsang pergerakan usus. Sorbitol telah dibuktikan selamat untuk kegunaan dewasa walaupun ia tidak disyorkan tanpa kebenaran ahli perubatan.

Sorbitol digunakan sebagai pengantara kultur bakteria bagi memisahkan Escherichia coli 0154:H7 daripada ahli lain E. coli.

Sorbitol yang dicampurkan dengan kayeksalat (English-kayexalate), membantu menyingkirkan ion-ion kalium ketika berlaku hiperkalaemik (English- hyperkalaemic*). Kayeksalat menggantikan ion-ion kalium dengan ion-ion natrium di dalam perut, manakala sorbitol menyingkirkan ion-ion kalium tersebut.

Sorbitol biasa digunakan sebagai humektan (bahan untuk mengekalkan kelembapan- English- humectant) dan pemekat dalam barangan solek moden. Ia juga digunakan dalam pembersih mulut (seperti Lysterine ) dan ubat gigi.

Gel-gel lutsinar hanya boleh dibuat daripada sorbitol kerana ia memiliki indeks pembiasan yang cukup tinggi untuk menghasilkan kelutsinaran.

Sorbitol juga digunakan sebagai bahan tambah dalam kryoprotektan (English- cryoprotectant) bersama-sama dengan sukrosa dan natrium polifosfat dalam proses pembuatan surimi, pes ikan yang ditapis rapi, yang biasa dikeluarkan dari Alaska. Sorbitol juga digunakan dalam rokok sebagai humektan.

Campuran sorbitol dan kalium nitrat dibuktikan berjaya digunakan sebagai bahan api pejal untuk model roket.

Sorbitol dikenalpasti berupaya menjadi pengantara dalam proses kimia utama daripada sumber-sumber biomas. Penurunan lengkap sorbitol menghasilkan alkana seperti heksana, di mana ia boleh digunakan sebagai biofuel. Sorbitol sendiri menyediakan hydrogen yang banyak yang diperlukan dalam penukaran ini.

19 C6O6H14 → 13 C6H14 + 36 CO2 + 42 H2O

Tindak balas kimia di atas adalah tindak balas eksotermik; 1.5 mol sorbitol menghasilkan kira-kira 1 mol heksana. Apabila hidrogen ditambah, pengeluaran karbon dioksida dihentikan.

Walaupun tanpa kehadiran sorbitol dalam gizi, sel menghasilkannya secara semulajadi. Penghasilan sorbitol yang terlalu banyak boleh menyebabkan kerosakan sistem tubuh. Neuropati dan retinopati dalam penyakit kencing manis dikaitkan dengan kuantiti sorbitol yang berlebihan dalam sel saraf dan mata. Sumber sorbitol ini ialah glukosa yang berlebihan dalam darah.

Masalah kekurangan enzim seperti galaktosemia (English- galactosemia) akan menyebabkan peningkatan paras sorbitol dalam darah dan mengakibatkan kerosakan pada tubuh. Dalam diabetis mellitus,kekurangan enzim dalam kanta mata boleh menyebabkan pengumpulan sorbitol dan menyebabkan katarak mata.

Memakan sorbitol dalam kuantiti yang banyak mengakibatkan sakit abdomen, dan cirit-birit. Pengambilan sorbitol sebanyak 20 gram sehari dalam bentuk gula-gula getah boleh mengakibatkan cirit-birit yang teruk, boleh membawa kepada kehilangan berat badan sebanyak 24 paun bagi wanita yang memiliki berat 114 paun. Ada pesakit lain yang memerlukan rawatan hospital selepas kerapkali mengambilnya sebanyak 30 gram sehari.

Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Sorbitol

*Dalam perubatan, hiperkalaemik ialah suatu keadaan di mana kandungan ion kalium dalam darah meningkat secara mendadak. Hiperkalaemik yang teruk berlaku akibat denyutan jantung yang tidak sekata.

Jul 9, 2009

Nuklear; satu pandangan.

Apabila melihat bangsa lain berlumba-lumba membangunkan teknologi nuklear, umat Islam turut tidak mahu ketinggalan. Negara Islam seperti Pakistan dan Iran telah bertungkus-lumus mengerah para cendekiawan mereka bagi menggembleng buah akal dan tenaga untuk membina loji-loji nuklear dan melakukan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan. Melihat kepada usaha mereka ini, timbul satu persoalan. Wajarkah pembangunan teknologi nuklear dibangunkan oleh umat Islam? Apakah kebaikan yang tersirat di sebaliknya? Atau ia hanya sekadar satu usaha sia-sia yang bertujuan untuk berlumba-lumba namun tidak dapat memberikan kesejahteraan di alam akhirat kelak?

Nuklear adalah kuasa terpendam yang amat besar yang dilepaskan sewaktu proses perlakuran dan peleraian atom-atom bahan radioaktif berlaku. Kuasa ini sekiranya dapat dikawal dengan baik akan memberikan kebaikan, umpamanya dapat dimanfaatkan untuk menjana kuasa elektrik. Namun jika ia tidak dikawal, akan mengundang kesan buruk baik jangka pendek mahupun jangka panjang.

Firman Allah dalam surah Al-Hadid:
“…dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Al-Hadid:25)

Jika usaha pembangunan teknologi nuklear bertujuan memberikan manfaat dan kebaikan kepada kehidupan manusia umpamanya untuk menjana tenaga elektrik, maka ia perlu diteruskan. Tambahan pula, sumber bahan api fosil yang semakin berkurangan mendesak kita mencari sumber-sumber tenaga alternatif. Namun jika ia mendatangkan mudarat, umpamanya sisa bahan radioaktif yang mencemarkan sistem saliran air bawah tanah , dan asap radioaktif yang mencemarkan udara, maka langkah-langkah pencegahan dan pemulihan harus dikaji semula sebelum memikirkan sama ada perlu menghentikan usaha ini atau sebaliknya. Jika lebih ramai orang menderita kanser akibat dari udara dan air yang tercemar, maka usaha ini perlu dihentikan kerana jelas keburukannya mengatasi kebaikan.

Jika usaha pembangunan teknologi nuklear bertujuan membina senjata pemusnah besar-besaran, sisi negatif dan positifnya perlu diambil kira terlebih dahulu. Nuklear adalah kuasa berketumpatan tinggi. Bahan radioaktif sebesar bola golf sahaja sudah mampu menghasilkan kekuatan berkilo-kilo tan TNT. Ini bererti kemusnahan yang bakal diakibatkan olehnya bukanlah sekadar kemusnahan tentera musuh. Ia kemusnahan haiwan, tumbuh-tumbuhan, udara, air, dan segala-galanya. Kemusnahan nuklear adalah suatu ‘pembersihan’ alam sekitar yang tidak terbanding. Kesannya bukan sementara, bahkan memakan masa beberapa tahun untuk kembali normal. Kita rujuk kembali kisah letupan loji nuklear di Chernobyl. Penduduk sekitarnya telah ramai menderita akibat kanser. Di Hiroshima dan Nagasaki, di sebalik padang jarak padang tekukur yang terhasil, ramai manusia yang terkorban. Yang masih bernyawa mungkin hidup menderita sehingga kini akibat kanser, atau mungkin melahirkan zuriat yang tidak cukup sifat.

Apakah kebaikan yang diperolehi dengan membangunkan senjata nuklear? Kita mungkin berjaya melakar gerun di mata bangsa lain. Kita mungkin berjaya membuktikan bahawa orang Islam juga setanding dengan mereka dalam bidang pertahanan. Kita mungkin berjaya mengagumkan mereka. Dan jika kita berperang dengan mereka, kita mungkin menang besar. Mereka menggunakan mesingan, meriam, bom, grenad dan warhead, sedangkan kita mampu menghancurkan mereka sekaligus dengan hanya menggugurkan sebutir ‘Little Boy’ dari langit. Inilah ‘faedah’ yang mungkin kita perolehi dengan membangunkan senjata nuklear.

Matlamat peperangan dalam Islam adalah untuk mempertahankan diri. Islam menekankan pendekatan ‘defensif’ bukan ‘ofensif’. Bahkan jika musuh mengajak kepada perdamaian kita wajib berdamai. Bagaimanakah kita dapat menggunakan alasan ‘mempertahankan diri’ sedangkan orang lain yang tidak berperang turut sama terkorban? Bagaimanakah kita dapat menggunakan alasan ‘mempertahankan diri’ sedangkan kita juga memusnahkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang tidak turut serta dalam peperangan?

Jika dilihat sekali imbas, berperang menggunakan nuklear merupakan kaedah perang paling penakut. Membawa ‘Little Boy’ di atas jet, kemudian menggugurkannya, selepas selesai ‘kerja’ lalu pulang dengan ‘gembira’. Betul-betul seperti serangan ‘Yahudi’ ke atas Palestin. Serangan sejenis yang datang dari musuh yang sejenis yang ‘cinta dunia dan takut mati’. Pada saya, mereka mencipta kaedah-kaedah seperti nuklear ini kerana mereka takut berhadapan dengan musuh. Mereka bangsa yang takut mati. Persis seorang budak kecil bergaduh dengan seorang budak besar, namun si budak kecil telah bersiap-sedia dengan kaki pukul upahan yang sedang mengepung si budak besar di segenap sudut, kerana si budak kecil kecut perut untuk berperang satu lawan satu dengan si budak besar.

Muslim tidak perlu menjadi penakut. Bukankah balasan terhadap jihad qital itu besar?

"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."(Ali-Imran-169)

“menyambut baik usaha Najib membangunkan loji nuklear berskala kecil”

p/s: sekarang ni ada pula orang yang mahu bangunkan senjata ‘anti-matter’ untuk serang orang kafir. Haish, tak boleh nuklear, 'anti-matter' pula. Lepas ni entah apa lagi…

Jul 4, 2009

Rumusan : Jun 2009

Catitan dimulakan dengan sebuah karangan bebas bukan puisi yang diilhamkan dari seorang penulis lain di blog lain. Sengaja ia diolah semula kemudian diletakkan di sini. Mudah-mudahan memberi kesan. Rencana-rencana renungan seperti ‘kawakib’ , ‘medang’, ‘menyerang orang kafir dengan bom nuklear’, dan ‘anak biasiswa’ mengajak berfikir sambil membaca. Penulis turut meletakkan sebuah nasyid terkutip dari sebuah blog. Tertarik bukan sahaja pada melodinya, namun juga pada lirik. Bagi menutup tirai Jun, BUAH AKAL kembali semula dengan rencana sainsnya yang mengembangkan minda dan akal, iaitu keretapi apungan magnetic atau MAGLEV.

Secara kesimpulannya, tidak banyak yang dapat penulis kongsikan pada bulan ini. Ini kerana sesetengah subjek yang ingin dikeutarakan masih belum siap dan masih dalam simpanan (English-draft). Mungkin disebabkan virus kemalasan yang sedang menjalari arteri dan vena kava. InsyaAllah, penulis akan kembali dengan rencana yang lebih banyak dalam bulan-bulan mendatang.

Sekian.

Jul 3, 2009

Pepauh.

Pepauh-

Dalam botani, drup atau pepauh ialah kumpulan buah yang memiliki isi luaran yang tebal (eksokarp (kulit) dan mesokarp (isi)) yang melitupi kulit keras (endocarp) yang memegang biji benih. Buahan jenis ini bertumbuh dari satu karpel, dan kebanyakkannya dari bungaan yang memiliki ovari yang kuat. Ciri-ciri pengenalan pepauh ialah biji benih ‘batu’ dihasilkan daripada dinding ovary bunga.



Contoh tumbuhan berbunga yang menghasilkan buah jenis pepauh ialah kopi, jujub, mangga, zaitun, kebanyakan palma ( kurma, kelapa dan sawit), pistachio, dan semua ahli dalam genus Prunus, termasuk badam (di mana mesokarpnya agak liat dan keras), apricot, ceri, damson, nektarina, peach dan pelam.


Peach


Mangga

Dengan isinya yang mengkal (English-fleshy) dan manis, pepauh menarik perhatian haiwan sebagai makanan, dan pembiakannya dibantu dengan penyebaran biji benih yang dilakukan oleh haiwan-haiwan tersebut. Endokarp atau biji benih tadi biasanya akan ditelan, dan melepasi sistem pencernaan dan kembali ke tanah melalui najis tanpa ia terhancur. Kadangkala ia dijatuhkan setelah isinya dimakan.

‘Corking’ ialah kecelaruan gizi (English- nutritional disorder) yang biasa berlaku setelah memakan buahan pepauh disebabkan kekurangan boron dan / atau kalsium.

Kebanyakan pepauh mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai sorbitol.