Jun 10, 2009

Menyerang orang kafir dengan bom nuklear?

Ada orang Islam yang bercita-cita mencipta bom nuklear dan bom anti-jirim untuk memusnahkan orang kafir. Alasannya mudah, kerana orang kafir menyerang kita, maka kita WAJIB mempertahankan diri.

Namun tahukah anda betapa besarnya kesan dan betapa seksanya azab serangan nuklear ini?

Kita lihat sahaja kesan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki. Sehingga sekarang, mangsa-mangsanya masih hidup menderita. Ada yang menderita kanser, ada yang menderita tekanan psikologi kerana kehilangan orang tersayang, ada yang menderita kecacatan anggota badan. Padahal, mereka tidak terlibat pun dalam Perang Dunia Kedua. Yang terlibat hanyalah tentera mereka. Mereka yang diserang ini kebanyakan sedang bekerja, sedang mengajar dan sedang melakukan kerja-kerja harian yang tidak ada langsung kena mengena dengan perang.

Cuba bayangkan sekiranya mereka yang menggugurkan bom atom itu bukan Amerika sebaliknya tentera Islam. Apakah pandangan orang-orang Jepun terhadap Islam dan tenteranya? Sudah tentu mereka mencemik muka dengan penuh jijik terhadap pandangan peperangan dalam Islam. Salah faham terhadap Islam mula membiak subur di kalangan mereka. Mereka menganggap bahawa orang Islam ini sangat kejam, tidak berperikemanusiaan, membunuh orang tua, kanak-kanak dan wanita . Lalu mereka menolak Islam sehingga sekarang. Mungkin kesannya lebih buruk dari serangan 11 September. Ini kerana orang kafir menilai Islam dari penganutnya, bukan dari teras agamanya (melainkan mereka yang mengkaji al-Quran).

Islam tidak mengajar umatnya bersikap kejam terhadap makhluk lain. Perbuatan menggugurkan seketul bom atom yang akhirnya mengewapkan tulang dan daging menjadi awan hitam yang gugur sebagai hujan yang busuk, amatlah tidak dapat diterima oleh akal manusia yang waras. Jika sekiranya orang-orang kafir itu menyerang orang Islam dengan hanya berperang menggunakan senapang, kereta kebal dan mortar, wajarkah kita menggugurkan bom yang menghancurkan tubuh dan jasad rakyatnya yang langsung tidak kenal erti peperangan? Bukankah kita diwajibkan berperang ketika kita diperangi? Dan kita hanya dibenarkan membunuh orang yang terlibat menyerang kita, bukannya wanita, kanak-kanak dan orang tua, serta haiwan ternakan dan tumbuh-tumbuhan. Jika kita melakukan selain itu, maka kita termasuk dalam golongan orang-orang yang melampaui batas dan kejam terhadap makhluk, lalu memburukkan nama Islam di mata orang kafir dan seterusnya mendapat laknat dan kemurkaan Allah.

Ini bermakna bukanlah kita tidak boleh langsung membangunkan teknologi nuklear dan persenjataan anti-jirim seperti yang diminati kebanyakan anak muda yang belajar fizik dan kimia. Kita boleh membangunkannya untuk menunjukkan kekuatan umat Islam. Dengan ini, orang kafir akan berasa kagum dengan umat Islam, dan ini mungkin boleh dijadikan salah satu faktor untuk mereka mendalami agama ini dan seterusnya menerima. Dengan menerima agama Islam, mereka akan menjadi sebahagian dari kita. Maka apabila mereka sudah menerima Islam dan menjadi sebahagian daripada kita, apa faedahnya lagi untuk kita bermusuhan?

Kita juga boleh membangunkannya dengan tujuan meneroka kaedah baru dalam menghasilkan bekalan tenaga elektrik. Bekalan tenaga elektrik dapat digunakan untuk menyalakan lampu, kipas dan komputer untuk memudahkan ibadat.

Ambillah contoh teladan yang baik dari Sultan Muhammad alfatih. Adakah beliau membunuh tawanan perangnya yang kafir? Tidak sekali-kali. Malah tawanannya memeluk Islam kerana tertarik dengan kemuliaan budi pekerti tentera Islam.

Kita lihat pula orang-orang Islam di Palestin pada masa sekarang. Adakah mereka membunuh wanita dan kanak-kanak Yahudi meskipun kanak-kanak dan wanita mereka dibunuh? Tidak sekali-kali! Mereka yakin balasan Allah di akhirat nanti. Mereka tidak berdendam. Berperang di jalan Allah, maka kenalah ikut garis panduannya.

Adab berperang dalam Islam: Berperang hanya kerana diperangi, dan kita tidak BOLEH SEKALI-KALI MENYERANG WANITA,KANAK-KANAK DAN ORANG TUA, TUMBUHAN DAN HAIWAN!! Ya, walaupun sang musuh menggunakan bom sekuat nuklear untuk menghancurkan kita. Kita tidak boleh sekali-kali membalas dengan nuklear. Kerana nuklear itu kesannya terlalu besar sehingga melibatkan manusia yang tidak bersalah dan makhluk lain. Ini bermakna bukanlah kita tidak boleh membalas langsung serangan mereka DENGAN NIAT UNTUK MEMPERTAHANKAN DIRI. Kita boleh mempertahankan diri, dengan syarat kita menyerang ORANG-ORANG YANG MENYERANG ITU SAHAJA,bukannya orang tua, wanita dan kanak-kanak.

Sebelum kita sibuk berfikir bagaimana mahu mencipta senjata nuklear tercanggih bagi memusnahkan musuh-musuh Islam, baik kita fikirkan dahulu BAGAIMANA CARANYA AGAR SENJATA ITU HANYA MEMBUNUH TENTERANYA SAHAJA DAN BUKANNYA RAKYAT MEREKA YANG TIDAK BERDOSA. Namun, bunyinya agak mustahil. Kerana uranium sebesar bola golf pun sudah mampu menghasilkan tenaga yang sangat tinggi. Sangat mustahil, melainkan jika kebijaksanaan para cendekiawan sudah sampai ke suatu tahap, di mana kita mampu mengawal proses nuklear pada peringkat nano dan mikro. Saya bukanlah seorang ahli fizik mahupun seorang saintis nuklear, namun dari pengamatan saya secara logiknya, adalah mustahil untuk kita sampai ke tahap itu. Ya, mustahil BUAT MASA SEKARANG UNTUK KITA MENGAWAL DAN MENGHADKAN SEBUAH KEKUATAN SENJATA NUKLEAR AGAR IA HANYA MEMUSNAHKAN SEBILANGAN KECIL MUSUH SAHAJA. Kalaupun tidak mustahil, mungkin harga senjata tersebut sangat mahal di pasaran, kerana mungkin ia melibatkan nanoteknologi . Kesannya sama sahaja, kerana tujuan kita ialah untuk membunuh musuh demi mempertahankan diri. Buat apa beli senjata mahal-mahal, sedangkan kita masih boleh membunuh musuh menggunakan senapang biasa. Ini membazir namanya.

Namun yang peliknya mengenai kita ialah, mengapa apabila kuffar mahu menyerang kita dengan senjata nuklear, kita mesti memikirkan bagaimana menyerang balas mereka dengan senjata nuklear kembali, malah dengan lebih kuat? Kita himpunkan para saintis untuk mencipta senjata yang lebih kuat bagi melawan mereka. Mengapa api mesti dibalas api? Padahal kita boleh sahaja memikirkan cara lain yang tidak berbahaya. Contohnya, kita boleh menghimpunkan para saintis bagi mencipta kaedah bagi merencatkan bom nuklear itu, atau menghentikannya terus. Jika kuffar melancarkan peluru berpandu, kita fikirkan pula cara bagaimana mencipta penangkis peluru berpandu, bukannya membalas serangan mereka. Bukankah ini dikatakan mempertahankan diri? Api sememangnya hanya boleh dipadamkan dengan air. Jika ditambah api, maka semakin maraklah ia menyala. Manusia akan terus berbunuh-bunuhan sepanjang zaman tanpa kesudahan.

“Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta-merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” (Fusshilat/ Haa Miim Sajdah:34)

Yang lebih utama ialah, lebih baik kita fikirkan BAGAIMANA CARA BERDAMAI DENGAN ORANG KAFIR DAN SETERUSNYA MEMBAWA MEREKA MENGENAL ISLAM dan BAGAIMANA MENJADI ORANG ISLAM YANG DAPAT MENJADI CONTOH KEPADA MEREKA, daripada sibuk memikirkan bagaimana meneruskan pergaduhan dengan mereka dengan senjata nuklear, anti-jirim dan sebagainya, dan berlumba–lumba siapa yang akan menjadi hero atau jagoan di dunia yang seumpama bangkai kambing bertelinga cacat ini.

Dunia atau akhirat?

Tidak dinafikan, ramai di antara kita yang bercita-cita ingin mengatasi orang kafir dalam segala bidang di dunia ini. Ada yang bercita-cita mencipta bom nuklear, bom anti-jirim, pelancar roket, meneroka angkasaraya, mencipta teknologi baru, mikrocip baru, motosikal dan kereta model terbaru, enjin tercanggih, dan segala-galanya yang canggih. Ada juga yang bercita-cita mahu menang anugerah Nobel, anugerah itu dan anugerah ini. Tujuannya mungkin salah satu daripada di bawah:

a) Akhirat
b) Dunia

Orang yang cita-citanya di atas adalah bertujuan untuk mendapat kebahagian akhirat, maka dia beruntung. Mereka mencipta teknologi bukanlah untuk berlumba-lumba dengan orang kafir mahupun menyerang mereka sesuka hati. Mereka mahu orang Islam beribadat dengan mudah. Mereka mencipta mikrocip dan perisian al-Quran dan Hadis bagi menghimpunkannya dalam satu gajet yang mudah dibawa ke mana-mana dan mudah dihafal. Mereka meneroka bidang nuklear bagi menghasilkan tenaga elektrik yang lebih berfaedah, bukannya tenaga bom yang menyebabkan kemusnahan di muka bumi Allah. Mereka meneroka angkasaraya dan bidang astronomi bagi memudahkan proses penentuan waktu-waktu ibadat seperti waktu solat,puasa dan sebagainya. Segala-galanya bertujuan kepada memudahkan pengabdian kepada Allah. Mereka bukan sahaja mendapat pengiktirafan dari manusia di dunia,bahkan dianugerahkan pahala.

Orang yang cita-citanya di atas adalah bertujuan untuk mendapat kebahagian dunia, maka rugilah dia. Mereka mencipta teknologi sekadar untuk berlumba-lumba, dan mahu mendapat pujian manusia. Kononnya mereka dewa, merekalah manusia yang paling cerdik dan merekalah kononnya mengetahui apa yang manusia lain tidak tahu. Mereka riak dengan ilmu mereka, padahal nanti mereka akan mati dikambus tanah dan dimakan ulat jua. Mereka mencipta bom nuklear dan bom anti-jirim untuk memusnahkan orang lain. Pada mereka, orang-orang ini tidak layak untuk hidup di dunia ini. Mereka sahajalah yang layak. Padahal, mereka akan mati jua satu hari nanti. Yang membezakan cuma tempoh masanya sahaja. Mereka merasakan bahawa mereka memiliki segala-galanya, kekuatan dan kebijaksanaan, padahal milik Allah jualah segala perbendaharaan langit dan Bumi.

“Merekalah (orang2 munafik) yang mengatakan (kepada orang-orang Islam di Madinah yang menolong Rasulullah dan orang-orang Muhajirin): Janganlah kamu membelanjakan harta kamu kepada orang-orang yang ada bersama-sama Rasulullah supaya mereka bersurai (meninggalkannya). Padahal bagi Allah jualah perbendaharaan langit dan bumi, (tiada sesiapapun yang dapat memberi atau menyekat sebarang pemberian melainkan dengan kehendakNya); akan tetapi orang-orang yang munafik itu tidak memahami (hakikat yang sebenarnya).” (Munafiqun: 7)

Semoga mendapat pengajaran berguna dari rencana ini walaupun sedikit.

2 comments:

  1. " dan perangilah di jalan Allah mereka yg memerangi kamu,dan janganlah melampaui batas..ssungguhnya Allah tidak suka org yg melampaui batas" (2:190). teknik berda'wah tidak berdasarkan logik akal, ttp berdasarkan manhaj jelas al quran & sunnah yg diaplikasikan menurut masa,keadaan dan tempat.dlm byk keadaan, dakwah dgn hujjah al quran adalah plg utama, kerana haq akan melenyapkan yg batil, kemudian diiringi dgn akhlak yg mulia, qudwah yg baik. cahaya kata2 hanya terpancar daripada hati yg ikhlas dan mulia yg berasal oleh amal yg sahih beradasarkan pemhaman yg jelas terhadap al quran & sunnah..wallahua'lam

    ReplyDelete
  2. tp kita tidak boleh menolak langsung peranan akal. Peranan akal perlu utk mmemahami isi alquran dan sunnah.

    tq komen. :)

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...