Sep 15, 2011

Mohamad Sabu, komunisme dan Bukit Kepong.

Baru-baru ini Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS mengeluarkan kenyataan bahawa pengganas komunis yang menyerang Bukit Kepong pada tragedi berdarah 23 Februari 1950 sebagai hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Video klip ucapan beliau boleh dilihat di sini.

Saya tidak berniat untuk memanjangkan isu ini, tetapi saya cukup ‘tertarik’ dengan kenyataan seorang pemimpin parti Islam yang mengatakan bahawa pengganas komunis adalah ‘hero’ sebenar dalam memperjuangkan kemerdekaan Negara dan berasa terpanggil untuk mengulas menurut pandangan saya sendiri.

Isu kenyataan ini sebenarnya kecil saja jika nak dibandingkan dengan isu-isu lain yang lebih besar (atau isu berat) seperti kemalangan jalan raya yang semakin meningkat, kadar jenayah yang semakin tinggi seperti buang bayi, culik kanak-kanak, rogol, samun, rompak, bunuh, harga barang keperluan yang semakin tinggi, dan sikap isteri perdana menteri atau ‘wanita pertama Malaysia’ yang membaham wang pembayar cukai sesuka hati untuk keperluan nafsu sendiri, dan isu gejala sosial, dan juga isu pemastautin yang kehilangan tanah gara-gara tanah tempat yang mereka diami dijual kepada cukong-cukong yang tamak.

Isu kenyataan mat sabu ini sama ringan sahaja dengan isu JAKIM halal-haram dan isu serbuan2 JAIS, serta isu kalimah Allah oleh orang Kristian.


Isu yang patut diberi perhatian lebih.

Yang menjadikan isu-isu ringan ini menjadi lebih berat dari isu-isu berat ialah MEDIA-MEDIA ARUS PERDANA, serta pembaca-pembaca yang hanya MEMBACA MEDIA SATU BELAH PIHAK SAHAJA KEMUDIAN TIDAK TAHU BAGAIMANA UNTUK TUTUP MULUT DAN DIAM dan MENAHAN DIRI DARI MEMBUKA MULUT.

Media, khususnya media ARUS PERDANA, sangat suka menggunakan isu-isu ringan ini bagi menutup isu-isu berat yang terhasil daripada kepincangan kerajaan yang memerintah. Dengan menutup isu-isu berat ini, kerajaan memerintah akan sentiasa TAMPAK SEMPURNA, tanpa cacat-cela, dan seolah-olah perlu sentiasa DIMALAIKATKAN.

Saya secara peribadi TIDAK SETUJU dengan kenyataan Mat Sabu tersebut. Jika isu ini kekal sebagai isu ringan, maka saya tidak akan mengulas kenapa sebab saya tidak setuju, kerana mengikut ‘common sense’, anda memang patut untuk tidak setuju dengan segala kenyataan yang MENYOKONG PENGGANAS. Namun, disebabkan isu ‘ringan’ ini telah menjadi ISU BESAR, dan tambahan pula ramai yang menyokong kenyataan beliau, maka saya ‘terpaksa’ memberitahu mengapa saya tidak setuju, agar sekurang-kurangnya ada orang yang sependapat dengan saya dalam ramai-ramai yang menyokong itu.

Sebab utama cukup ‘simple’. Kerana kenyataan tersebut mendakwa PENGGANAS komunis, diulang, PENGGANAS komunis sebagai hero sebenar yang memperjuangkan kemerdekaan. Tersedak pak-pak peneroka yang sedang enak menghirup kopi di warung warung mendengarkan kenyataan ini.

Kita diberi pilihan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Begitu juga, kita diberi pilihan tentang bagaimana cara untuk capai kemerdekaan; cara lembut atau cara keras. Cara lembut ialah dengan berunding, manakala cara keras ialah dengan revolusi dan demonstrasi. Tiada cara ganas yang menyerang orang awam yang mana penyerang tidak pula menyerang penjajah secara langsung. Cara ganas ini cara penakut, cara orang nak minta perhatian dan kurang kasih sayang. Mesir baru-baru ini merdeka dari diktator bernama Hosni Mubarak tanpa perlu mengganas terhadap bangsa mereka sendiri. Maka, teladani mereka.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan Mat Sabu SEKIRANYA sejarah benar mengatakan bahawa pengganas komunis bangkit mengangkat senjata MENENTANG BRITISH SECARA BERDEPAN-DEPAN kerana mungkin itu sahaja cara yang tinggal selepas gagal ikhtiar lain seperti rundingan dan sebagainya. Tapi masalahnya, mereka main ‘cucuk2 belakang’ minta perhatian sepertimana yang telah mereka lakukan ketika dua minggu ‘power vacuum’ selepas Perang Dunia Kedua, dan juga keganasan di Bukit Kepong. Mereka terbalikkan kereta api, membunuh wanita dan kanak-kanak serta orang tua. Dan yang paling sadis, mereka menyerang hendap Bukit Kepong.

Disebabkan Mat Sabu mengkhususnya ucapannya pada peristiwa Bukit Kepong dari banyak2 keganasan yang telah dilakukan oleh pengganas komunis, maka saya juga akan menggunakan peristiwa yang sama bagi membuktikan ketidakmunasabahan kenyataan bahawa komunis sebagai ‘hero’ pejuang kemerdekaan negara.

Dalam peristiwa tersebut, 200 pengganas komunis, cukup bersenjata dan bersedia, telah mengepung sebuah balai polis kecil berhampiran kampong Bukit Kepong yang dihuni oleh 25 orang anggota polis termasuk ahli keluarga mereka yang tidak tahu menahu bahawa mereka akan diserang secara zalim, dan tidak pula bersedia dengan bekalan senjata yang cukup. Mereka tidur dengan nyenyak pada pagi subuh hari serangan, sedangkan pada masa yang sama, pengganas komunis yang celik terjaga sedang mengepung dan bersedia untuk ‘membaham’ mangsa yang lemah yang telah DIKEPUNG di depan mata mereka. Bayangkan musuh lapan kali ganda bilangan anda menyerang anda dan anda tidak ada jalan keluar. Maut sedang menunggu anda di depan mata.

Situasi polis-polis di sana digambarkan sebagai ‘helpless’. Bantuan dari orang kampung juga lambat sampai disebabkan teknologi komunikasi yang sangat terhad pada ketika itu. Mereka polis-polis hanya ada dua pilihan; sama ada ‘fight’ atau ‘freeze’, tetapi tidak ‘flight’ ( kerana mereka telah dikepung). Situasi tersebut juga memaksa isteri2 anggota polis mengangkat senjata. Jika anda dapat bayangkan situasi sebegini, maka jangan begitu mudah menerima kenyataan dari Mat sabu tersebut.

Saya juga hairan mengapa polis-polis di Bukit Kepong menjadi mangsa serangan? Kalau betul pengganas komunis ini memperjuangkan kemerdekaan, mengapa tidak sahaja mereka menyerang terus British sebagaimana yang telah dilakukan oleh tentera Jepun? Mengapa begitu penakut menyerang polis dan orang-orang awam? Kalau betulpun polis itu berkhidmat untuk British, percayalah bahawa mereka hanya BERKERJA untuk menyara hidup dan keluarga mereka. Yang patut diserang ialah BRITISH, BUKAN MEREKA. Serangan sebegini bukanlah perjuangan kemerdekaan sebaliknya perjuangan golongan pengecut yang hanya tahu menyerang orang-orang yang lemah.

Saya juga ragu-ragu sama ada komunis benar-benar memperjuangkan kemerdekaan atau tidak, kerana setahu saya menurut pembacaan dan perkaitan yang saya lakukan sendiri mengenai tingkah laku manusia, komunis mula memberontak kerana mereka tidak diiktiraf sebagai parti politik yang sah. Dengan kata lain, keganasan yang mereka lakukan hanya untuk MENGUGUT BRITISH supaya mengiktiraf mereka ( maka mereka boleh mendapat kuasa politik), bukannya untuk memerdekakan Tanah Melayu. Dengan kata lain juga, perjuangan komunis ini hanyalah PERJUANGAN MEREBUT KUASA POLITIK oleh Chin Peng dan konco-konconya, sebagaimana yang telah dilakukan pengganas-pengganas komunis seperti Khmer Rouge di Kemboja, Nazi di Jerman dan militan di Korea yang memihak kepada Kim Il-Seong sewaktu Perang Korea. Chin Peng hanya mahukan kuasa sebagaimana yang telah diperolehi Tunku Abdul Rahman.

Meskipun Mat Indera ketua penyerang tersebut telah dihukum gantung pada 1953, kesengsaraan yang dialami oleh waris-waris mangsa tragedi tidak akan dapat dilupakan. Sesungguhnya perbuatan zalim sebegini tidak boleh dimaafkan begitu mudah dan pelakunya memang sepatutnya dijatuhi hukuman yang berat.

‘Sedangkan parut lukapun belum tentu hilang, inikan pula parut kezaliman dari orang-orang yang berlaku zalim’

Jul 21, 2011

Frekuensi radio.

Getaran

Getaran (English-vibration) boleh diertikan sebagai pergerakan berulang alik suatu jasad, bermula dari satu kedudukan, kemudian beranjak dari kedudukan tersebut pada suatu jarak, dan kembali semula ke kedudukan asalnya. Jika ia bergetar namun tidak kembali kepada kedudukan asalnya, maka ia hanya bergetar secara biasa. Akan tetapi jika ia bergetar dan kembali kepada kedudukan asalnya, maka ia melakukan satu getaran lengkap.


sumber: http://www.education.com/science-fair/article/sound-longitudinal-waves/

Katakan kita mengapit pembaris kenyal (English-elastic ruler) pada permukaan sebuah meja, dengan sebahagian darinya mengunjur keluar dari meja tersebut (sepertimana dalam gambar di atas). Kita tarik hujung pembaris yang mengunjur keluar itu ke bawah, kemudian melepaskannya. Pembaris akan bergetar ke atas dan ke bawah, dan seterusnya menghasilkan bunyi. Jika kedudukan asal pembaris ialah aras permukaan meja, maka apabila ia bergerak ke bawah, kemudian ke atas dan kembali semula ke kedudukan asalnya iaitu pada aras permukaan meja, maka pembaris dikatakan telah selesai melakukan SATU getaran lengkap.

Getaran lengkap sebuah pembaris boleh dipersembahkan dalam bentuk graf, di mana paksi Y mencatatkan jarak anjakan pembaris dari kedudukan asalnya pada aras meja, dan paksi X ialah masa di mana pembaris berada pada satu-satu jarak pada paksi Y. Jika nilai pada paksi Y ialah negatif, maka pembaris berada di bawah aras meja, dan jika ia positif, maka pembaris sedang berada di kedudukan yang lebih tinggi dari aras meja. Getaran pembaris mengikut bentuk graf sinus seperti di bawah:


sumber: http://www.intmath.com/trigonometric-graphs/1-graphs-sine-cosine-amplitude.php


Frekuensi

Frekuensi atau kekerapan (English-frequency) ialah ukuran berapa banyakkah getaran lengkap yang boleh dilakukan suatu objek atau sistem dalam tempoh satu saat. Dengan kata lain, ia adalah ukuran berapa kerapkah objek atau sistem tersebut bergetar secara lengkap dalam tempoh satu saat.

Frekuensi diukur dalam unit Hertz atau ringkasnya Hz. Sebagai contoh, jika suatu objek bergetar dengan 20Hz, bererti ia melakukan 20 kali getaran lengkap dalam masa satu saat.

Manusia hanya boleh mendengar getaran yang berlaku di antara 20Hz hingga 20000Hz sahaja. Oleh itu, bunyi yang dihasilkan oleh objek yang bergetar dalam julat ini akan dapat didengari oleh manusia. Jika suatu objek itu bergetar pada frekuensi yang lebih dari 20000Hz, maka ia digelar objek lampau bunyi (English-ultrasonic object) dan tidak dapat didengari manusia. Objek yang dapat menghasilkan bunyi lampau digunakan dalam perubatan, di mana ia dimanfaatkan dalam mesin pengimbas bunyi lampau (English- ultrasound scanner) untuk mengesan pergerakan dan perkembangan janin dalam kandungan ibu.

Getaran arus elektrik

Arus elektrik 'bergetar' dengan cara menukar arah pengalirannya. (lihat rajah di bawah)

Satu getaran arus elektrik disimpulkan sebagai pergerakan arus elektrik dari sumber (English-source) menuju ke beban (English-load) dan kembali ke sumber, kemudian dari sumber, pada arah yang berlawanan, menuju ke beban dan kembali semula ke sumber. Ini ialah satu getaran lengkap arus elektrik.


Beza antara arus ulang-alik (English-alternating current) dan arus terus (English-direct current). Dalam rajah di atas, sumber ialah bulatan sementara beban ialah simbol bergerigi.
sumber: http://www.cybermike.net/reference/liec_book/AC/AC_1.html

Jika arus elektrik melakukan 50 kali getaran lengkap seperti yang diterangkan di atas, maka arus elektrik dikatakan 'bergetar' dengan frekuensi 50Hz ( atau 100 kali bertukar arah dalam masa sesaat). Ini ialah frekuensi yang digunakan di Malaysia dalam sistem pembekalan tenaga elektrik pada soket-soket bangunan dan rumah-rumah.

Para pembaca yang bijak akan mula mempersoalkan, adakah wayar penyalur elektrik mampu bertahan dalam sistem bergetar yang sangat tinggi ini? Tidakkah mereka terdedah kepada kerosakan, kerana sifat arus yang sentiasa berubah-ubah arah? Ini kerana getaran berulang-ulang boleh dianalogikan sebagai melakukan pergerakan yang sama ( contohnya berlari) menggunakan kasut sukan yang sama. Apabila kerap berlari, maka tapak kasut sukan akan makin haus akibat geseran dengan permukaan bumi. Begitu juga wayar elektrik.

Untuk mengatasi hal ini dan bagi membolehkan wayar penghantar salur elektrik mampu membawa arus berfrekuensi tinggi, ia diperbuat daripada tembaga (English-copper) yang memiliki rintangan elektrik yang amat rendah. Langkah ini boleh dianalogikan sebagai menggunakan kasut sukan yang lebih kuat (English-robust) daya cengkaman (English-grip force) dan tapaknya bagi mengurangkan kesan geseran (rintangan) dengan permukaan jalanraya atau permukaan tanah.

Antara elektrik dan kemagnetan

Sebelum pergi dengan lebih jauh, pembaca semua diminta mengamati terlebih dahulu rajah juzuk gelombang elektromagnet (English: electromagnetic waves spectra diagram) di bawah:


sumber: http://mynasadata.larc.nasa.gov/ElectroMag.html

Perhatikan frekuensi dari yang paling rendah sehingga ke yang paling tinggi. Frekuensi paling rendah (10 kuasa 4 atau 10000 atau 10kHz) ialah frekuensi gelombang radio, dan lebih tinggi sedikit (10 kuasa 8 atau 100000000 atau 100MHz) ialah frekuensi gelombang mikro. Ketika frekuensi gelombang elektromagnet ditingkatkan lagi ke 10 kuasa 15, maka cahaya nampak akan terhasil. Frekuensi tertinggi dicatatkan oleh gelombang dari reputan radioaktif, iaitu sinar gamma. (English-gamma ray). Menurut James Clerk Maxwell, kesemua gelombang elektromagnet dalam alam ini (termasuk cahaya biasa) bergerak pada laju cahaya, c = 300000000 meter per saat.

James Clerk Maxwell juga, setelah melakukan analisa ke atas Hukum Faraday dan Hukum Lenz, beliau menemui perkaitan antara medan elektrik dan medan magnet. Menggunakan himpunan persamaan-persamaan elektromagnetik yang dinamakan sekarang sebagai Persamaan Maxwell (English- Maxwell equations), beliau merumuskan dua fakta paling penting yang menjadi asas kepada pembangunan bidang elektromagnetik iaitu:

"Perubahan arah arus elektrik akan menghasilkan medan magnetik yang berubah-ubah pada sudut tegak dari arah pengaliran tersebut"

"Perubahan medan magnetik akan menghasilkan medan elektrik (atau arus elektrik jika ia melalui bahan pengalir arus) yang berubah-ubah arah dan pada sudut tegak dari arah medan magnetik"

Dengan menggabungkan kedua-dua fakta di atas, apakah yang dapat kita simpulkan?

Jawapannya cukup mudah: sebuah sistem yang memiliki medan magnetik dan medan elektrik yang saling berubah-ubah arah akan terhasil.

Bagaimana sistem ini boleh muncul? Medan magnetik yang berubah-ubah akan menghasilkan medan elektrik yang berubah-ubah, yang mana medan elektrik ini yang juga berubah-ubah akan menghasilkan medan magnetik yang berubah-ubah. Proses ini berulang-ulang dan membentuk apa yang dikenali sebagai gelombang elektromagnet (English-elektromagnetic wave).


sumber: http://taksreview.wikispaces.com/
Medan magnetik dan medan elektrik saling berubah-ubah dalam gelombang elektromagnet.

Gelombang elektromagnetik muncul dalam bentuk yang berlainan dalam alam ini, namun kesemuanya memiliki ciri yang sama; bergerak pada laju cahaya, c = 300000000 meter per saat, dan memiliki medan elektrik dan medan magnet yang saling berubah-ubah dan bertukar arah. Jenis gelombang elektromagnet dipengaruhi oleh frekuensi atau kekerapannya mengubah bentuk medan ( dari medan elektrik ke medan magnet dan sebaliknya) dalam masa sesaat). Gelombang radio, gelombang cahaya biasa, gelombang mikro (English-microwave) yang digunakan dalam ketuhar gelombang mikro, gelombang sinar X dan sinar gamma, kesemuanya merupakan gelombang elektromagnet yang diasingkan mengikut frekuensi getaran yang berbeza-beza, dan dihimpunkan di dalam sebuah rajah yang dikenali sebagai rajah juzuk gelombang elektromagnet sepertimana yang telah penulis utarakan kepada para pembaca pada awal bahagian ini.

Getaran arus elektrik pada frekuensi tinggi.

Adakah mustahil untuk kita meningkatkan lagi getaran arus elektrik kepada frekuensi yang lebih tinggi dari 50Hz? Tidak. Bahkan ia diaplikasikan secara meluas dalam kehidupan kita. Buat pengetahuan pembaca, dengan getaran yang lebih tinggi inilah, maka teknologi radio dan teknologi perhubungan tanpa wayar dapat dilakukan!

Sebelum ini kita telahpun membincangkan mengenai arus elektrik yang bergetar pada frekuensi 50Hz. Apakah yang akan berlaku jika kita tingkatkan lagi frekuensi ini, sebagai contoh, kepada 1000Hz atau 1kHz (atau 1000 kali getaran lengkap sesaat, atau juga 2000 kali bertukar arah sesaat!)?

Seorang saintis Inggeris bernama Oliver Heaviside yang mengkaji sifat arus ulang alik telah menjelaskan dalam kertas kerjanya bahawa arus elektrik yang ditingkatkan frekuensinya ini akan mengalir PADA PERMUKAAN BAHAN PENGALIR. Beliau menjelaskan bahawa semakin tinggi frekuensi arus elektrik (semakin kerap arus elektrik mengubah arah pengaliran dalam masa sesaat), semakin banyak arus akan mengalir PADA PERMUKAAN LUAR BAHAN PENGALIR. Fenomena ini dikenali sebagai Kesan Permukaan (English- skin effect)


sumber: http://www.audiosold.com/theorydesign.htm
Dua gambar dalam rajah di atas menerangkan fenomena kesan permukaan pada wayar penghantar arus.
(terjemahan)
Rajah 1 (atas): keratan rentas selembar wayar yang menunjukkan bahawa isyarat audio (arus elektrik) berfrekuensi rendah berkecenderungan untuk mengalir pada bahagian tengah wayar (kawasan yang digelapkan ialah kawasan di mana arus sedang mengalir) sebagaimana arus elektrik biasa.
Rajah 2 (bawah): keratan rentas wayar yang sama yang menunjukkan bahawa isyarat audio ( arus elektrik ) berfrekuensi tinggi berkecenderungan untuk mengalir menjauhi bahagian tengah ( atau berkecenderungan mengalir pada permukaan luar) wayar. Juga kawasan yang digelapkan ialah kawasan di mana arus sedang mengalir.

Ini bermakna, ruang di dalam wayar tembaga tidak digunakan sepenuhnya oleh arus elektrik ketika ia mengalir pada frekuensi yang amat tinggi. Para pembaca sekalian boleh menggunakan sebuah analogi bagi memahami fenomena ini: apabila semakin kerap arus terpaksa berulang-alik atau bertukar arah, maka semakin cenderung ia untuk keluar daripada bahan pengalir atau wayar tembaga, dengan harapan untuk mencari sebuah jalan pintas agar ia dapat mengalir dengan lancar. Ia sama seperti sifat manusia yang gemar menghindari kawasan sibuk dan hiruk pikuk (diterjemah pada wayar elektrik sebagai kawasan di mana arus berubah-ubah arah) untuk sampai ke destinasinya, dengan menggunakan jalan pintas.

Apabila ditingkatkan lagi frekuensi arus elektrik SEHINGGA SAMA DENGAN FREKUENSI RADIO (rujuk rajah juzuk gelombang elektromagnet di atas) iaitu 10kHz atau 10000Hz, maka arus tidak lagi mengalir dalam wayar elektrik. Ia keluar dari wayar sebagai apa yang kita kenali sebagai GELOMBANG RADIO.

Ini kerana pada tahap frekuensi yang amat tinggi ini, medan elektrik yang berubah-ubah (dari arus yang berubah-ubah arah) memiliki TENAGA YANG CUKUP untuk menghasilkan medan magnet yang berubah-ubah yang tidak lenyap begitu sahaja atau pegun ( tidak bergerak), sebaliknya medan magnet yang memiliki tenaga yang cukup untuk menghasilkan kembali medan elektrik dan seterusnya medan magnetik yang berubah-ubah. Atau dengan kata lain, pada frekuensi yang amat tinggi ini, proses penghasilan gelombang elektromagnet dapat dimulakan dan diteruskan. Semakin tinggi arus yang dibekalkan, semakin lama medan elektrik dan medan magnet dapat saling dihasilkan oleh satu sama lain dan bertahan dalam proses tersebut tanpa terhenti atau mati (English-die away) dan semakin jauh gelombang elektromagnet dapat bergerak meninggalkan wayar pembawa arus, merentasi ruang udara, sehingga sampai kepada sistem penerima (English-receiver).

Ini ialah prinsip asas kepada penghasilan gelombang radio. Arus ulang alik pada frekuensi radio atau kependekannya RF (English-radio frequency) dialirkan kepada bahan pengalir yang dikenali sebagai antena (English-antenna). Proses penukaran arus ini kepada gelombang radio berlaku dengan berkesan dalam antena dan dipancarkan ke udara untuk ke sistem penerima radio.

Gelombang radio membolehkan komunikasi tanpa wayar dilakukan, dengan cara mengubah bentuk gelombang tersebut mengikut isyarat bunyi dan gambar yang ingin dihantar menerusi sistem tanpa wayar menggunakan kaedah yang dikenali sebagai modulasi (English-modulation) atau 'pengubahsuaian'.

Apr 18, 2011

Teknologi dan termodinamik.

Teknologi diertikan sebagai kaedah atau peralatan khas yang diciptakan menggunakan pengetahuan berkenaan bagaimana alam bekerja, bagi memudahkan manusia menyelesaikan satu-satu tugasan atau kerja.

Teknologi dicipta bagi membolehkan manusia melakukan kerja yang tidak mampu dilakukan oleh mereka menggunakan pancaindera dan keupayaan fizikalnya yang terhad. Sebagai contoh, penglihatan manusia tidak mampu untuk memerhatikan kuman, virus, serta zarah, maka teknologi mikroskop dicipta bagi membolehkan manusia melakukannya. Manusia juga tidak mampu bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam masa yang singkat, sebagai contoh, melalui jarak 200 km dalam masa 2 jam. Maka, teknologi pengangkutan seperti kereta dan kapal terbang dicipta bagi mengangkut manusia melalui jarak dan tempoh masa tersebut.

Dari kebolehan-kebolehan teknologi ini, dengan sekali pandang kita akan membina tanggapan bahawa teknologi mampu MEMBESARKAN TENAGA yang diperolehinya. Ini kerana teknologi mampu melakukan perkara yang tidak mampu kita lakukan, maka sudah pasti teknologi berperanan membesarkan tenaga yang dibekalkan kepadanya.

Namun, tanggapan ini sama sekali bertentangan dengan prinsip keabadian tenaga yang menyatakan bahawa tenaga tidak boleh dicipta atau dimusnahkan, tetapi tenaga boleh diubah dari satu bentuk ke satu bentuk yang lain. Jika kita cuba mengatakan bahawa teknologi membesarkan tenaga, maka menurut prinsip keabadian tenaga sudah pasti terdapat tenaga yang dicipta oleh teknologi (lihat rajah di bawah).


Rajah 1

Sebenarnya, teknologi TIDAK mencipta sebarang tenagapun. Tanggapan di atas adalah SALAH dan bertentangan dengan prinsip keabadian tenaga. Peranan teknologi hanyalah MENUKARKAN TENAGA dari satu bentuk ke bentuk yang lain; atau dengan kata lain, dari satu bentuk tenaga yang tidak bermanfaat kepada manusia kepada bentuk tenaga yang memberikan manfaat.

Sebagai contoh, teknologi laser. Laser terdiri daripada pembekal tenaga iaitu cahaya dari lampu pendafluor, pam laser yang terdiri daripada hablur khusus untuk laser seperti hablur Yitrium-alumina. Rajah mudah mengenai laser ditunjukkan di bawah:


Rajah 2

Hablur laser atau pam laser dalam rajah di atas bukan pembesar tenaga, tetapi ia berperanan menukarkan tenaga cahaya dari lampu pendafluor kepada cahaya laser. Sekali pandang, sifat tenaga cahaya laser yang lebih kuat berbanding cahaya dari lampu pendafluor menyebabkan kita bertanggapan bahawa berlaku pembesaran tenaga cahaya di dalam hablur laser.

Sebenarnya TIDAK. Apa yang berlaku ialah tenaga cahaya dari lampu pendafluor DITUKAR BENTUK kepada cahaya yang lebih kuat, lurus dan tidak mencapah menggunakan hablur laser. Dengan kata lain, cahaya yang lemah dari lampu pendafluor DITUMPUKAN menjadi cahaya yang kuat iaitu laser. Jika pembaca inginkan bayangan, ia seolah-olah sama seperti menumpukan cahaya matahari menggunakan kanta pembesar agar ia boleh membakar kertas, dan kanta pembesar bertindak seolah-olah seperti hablur laser dalam contoh di atas.


Rajah 3
sumber: http://www.upscale.utoronto.ca/IYearLab/Intros/LensOptics/LensOptics.html

Oleh itu, dengan mematuhi prinsip keabadian tenaga, maka tenaga yang dibekalkan dari lampu pendafluor mestilah SAMA JUMLAHNYA dengan tenaga yang dibebaskan keluar dalam bentuk cahaya laser. Bagaimana cahaya laser boleh menjadi lebih kuat dari cahaya lampu pendafluor dengan tenaga yang sama ialah akibat daripada PERUBAHAN BENTUK TENAGA, bukannya PERTAMBAHAN JUMLAH TENAGA. Cahaya laser yang kuat dihasilkan dengan ‘menumpukan’ cahaya lampu pendafluor yang lemah, oleh tindak balas antara atom-atom dalam hablur laser.

Dari itu, teknologi secara umumnya dimaksudkan sebagai ‘penukar bentuk tenaga’, di mana ia berperanan menukarkan bentuk tenaga dari bentuk yang tidak boleh dimanfaatkan kepada bentuk yang dimahukan dan boleh dimanfaatkan oleh manusia.

Secara kesimpulannya, bukan sahaja teknologi laser, malah untuk semua teknologi, prinsip keabadian tenaga di bawah mesti dipatuhi:
Jumlah keseluruhan tenaga yang dibekalkan kepada teknologi = jumlah tenaga yang dihasilkan oleh teknologi

Prinsip keabadian tenaga di atas juga dikenali sebagai hukum termodinamik pertama (English-first law of thermodynamics)

Hukum termodinamik kedua dan tenaga maksimum yang terhasil dari teknologi

Hukum termodinamik kedua (English-second law of thermodynamics) menjelaskan bahawa dalam dunia sebenar tenaga yang dibekalkan kepada teknologi atau sebarang alatan penukar tenaga MESTI terbahagi dua selepas ia dikeluarkan dari teknologi tersebut; satu kepada TENAGA YANG BERMANFAAT dan satu lagi TENAGA YANG TIDAK BERMANFAAT.


Rajah 4

Tenaga yang bermanfaat ialah tenaga yang menjadi tujuan utama mengapa teknologi tersebut diciptakan. Sebagai contoh tujuan utama kita mencipta kereta ialah untuk mengangkut kita ke mana-mana tempat, maka tenaga yang dihasilkan kereta untuk tujuan utama tersebut ialah tenaga bermanfaat yang dihasilkannya.

Tenaga yang tidak bermanfaat pula ialah tenaga yang bukan merupakan tujuan utama mengapa satu-satu teknologi diciptakan, Tenaga tidak bermanfaat boleh wujud dalam lebih dari satu bentuk tenaga untuk satu-satu teknologi. Menggunakan contoh kereta di atas, maka tenaga yang tidak bermanfaat ialah tenaga yang hilang akibat geseran tayar dengan permukaan jalan, dan tenaga haba akibat geseran dalam silinder bongkah enjin.

Semakin besar tenaga bermanfaat yang dihasilkan sesuatu teknologi, semakin tinggi keberkesanan teknologi tersebut. Semakin tinggi keberkesanannya, maka peratusan tenaga yang dibekalkan kepadanya yang berjaya ditukarkan kepada tenaga bermanfaat akan meningkat, seterusnya mengurangkan pembaziran tenaga dan menjimatkan kos tenaga umpamanya bahan api galian dan sel basah.

Kesemua usaha penambahbaikan (English-improvement) mana-mana teknologi adalah berkisar mengenai isu ini, iaitu bagaimana mengubah seberapa banyak yang mungkin dari tenaga yang tidak bermanfaat ini kepada tenaga yang bermanfaat. Teknologi ramuan (English-formulation) minyak pelincir yang unik dan kompleks telah dihasilkan oleh banyak syarikat petroleum di seluruh dunia bagi mengurangkan pembentukan tenaga tidak bermanfaat disebabkan oleh geseran dalam silinder bongkah enjin. Selain itu, kereta hidrogen yang menggunakan sel bahan api hidrogen (English-hydrogen fuel cell) juga telah dihasilkan kerana didapati sel bahan api hidrogen mampu menghasilkan jumlah tenaga bermanfaat yang lebih tinggi berbanding bahan api galian biasa.

Jika kita berbalik kepada contoh laser yang digunakan sebelum ini, tenaga tidak bermanfaat yang terhasil pada teknologi ini ialah tenaga haba. Sebahagian dari tenaga cahaya lampu pendafluor yang dibekalkan akan ditukarkan kepada tenaga haba oleh hablur laser, dan akan disingkirkan menggunakan kemudahan penyejuk seperti pemeluwap Liebig (English-Liebig condenser) dan sebagainya.


Rajah 5

Dari gabungan pemahaman mengenai hukum pertama dan kedua termodinamik ini, kita dapat menyimpulkan bahawa untuk setiap teknologi atau alatan penukar tenaga, tenaga bermanfaat yang terhasil adalah sentiasa TIDAK MELEBIHI DARI dan TIDAK SAMA DENGAN tenaga yang dibekalkan kepadanya dan ia akan SENTIASA KURANG dari tenaga yang dibekalkan. Dari itu menurut hukum termodinamik kedua secara khususnya, tidak ada sebarang teknologi atau alatan penukar tenaga yang benar-benar sempurna, iaitu teknologi yang mampu menukarkan 100 peratus tenaga yang dibekalkan kepada tenaga bermanfaat.

Oleh itu, semua teknologi dan alatan penukar haba yang diciptakan manusia sentiasa berfungsi dengan tenaga yang KURANG dari tenaga yang dibekalkan. Semakin hampir nilai tenaga ini dengan tenaga yang dibekalkan, maka semakin tinggilah keberkesanan teknologi tersebut dan semakin tinggi kos yang diperlukan untuk menghasilkannya.

Hukum termodinamik kedua adalah BENAR dan tidak dapat dielakkan dalam dunia sebenar disebabkan wujudnya geseran dan ketidaksempurnaan dalam setiap teknologi yang diciptakan manusia. Jika hukum termodinamik kedua ini tidak dipatuhi, maka akan wujudlah teknologi yang mampu menukarkan KESELURUHAN tenaga yang dibekalkan kepadanya kepada tenaga bermanfaat tanpa sebarang kehilangan tenaga, dan juga mampu MEMBESARKAN tenaga tersebut. Teknologi ini dinamakan teknologi sempurna (English-perfect technology).

Jika sebuah jentera (English-machine) bertindak seperti sebuah teknologi sempurna, maka sejurus dibekalkan dengan tenaga, jentera ini akan bergerak buat selama-lamanya. Jentera sebegini dinamakan jentera pergerakan kekal (English-perpetual motion machine).


Rajah 6.1
Sumber-http://www.rlt.com/14100


Rajah 6.2
Sumber-http://newenergyalternative.com/future-energy/advantages-perpetual-motion-machine-perpetual-generator

Dengan hukum termodinamik kedua, maka tanggapan yang mengatakan bahawa wujud jentera pergerakan kekal (English-perpetual motion machine) tidak sahih dan sewajarnya ditolak.

Namun usaha menghasilkan jentera pergerakan kekal giat dilakukan sejak zaman dahulu lagi. Pada kurun ke 12, seorang perekacipta Barat bernama Peter Peregrinus mencipta jentera berkuasa magnet yang ‘kononnya’ mampu bergerak buat selama-lamanya, namun telah dibuktikan tidak oleh saintis terkemudian. Ramai juga antara saintis barat yang masih berdegil dan tidak berputus asa dalam menghasilkan jentera pergerakan sempurna sebegini.

Pada masa kini pula, muncul seorang perekacipta dari Australia yang mengaku telah berjaya mencipta jentera pergerakan kekal yang mampu menjana tenaga elektrik dalam masa bertahun-tahun selepas ia diputarkan oleh sedikit PUTARAN TANGAN. Jika ditonton temubual dengannya di Youtube, didapati memang jentera ciptaannya itu mampu bergerak tanpa henti setelah menerima tenaga putaran dari tangan, namun ia akan tetap berhenti juga selepas beberapa tempoh masa, disebabkan kehilangan tenaga akibat geseran dalam ciptaan tersebut.

Laman video: http://www.youtube.com/watch?v=5PGUh3SwLrc

Apa yang menarik perhatian ramai ialah, beliau berani mendakwa bahawa ciptaannya ini boleh menjana arus elektrik yang cukup untuk sebuah rumah, dan mampu MEMBESARKAN TENAGA putaran tangan yang dibekalkan kepadanya. Jika difikirkan secara logik, bolehkah tenaga sekecil putaran tangan ditukarkan kepada tenaga elektrik sebesar itu?

Menurut hukum termodinamik pertama, tenaga elektrik yang terhasil sudah tentu kecil dan sama dengan tenaga dari putaran tangan. Tambahan pula, menurut hukum termodinamik kedua, sebahagian dari tenaga putaran tangan akan ditukarkan kepada geseran dan haba oleh rintangan terhadap kipas turbin dan rintangan dalam alatan-alatan sepanjang proses penghantaran ke soket-soket. Diramalkan oleh penulis, sebelum sampai ke soket-soket, tenaga tersebut sudah ‘lenyap’.

Oleh itu, penulis tidak percaya sekiranya ciptaan ini dikatakan mampu MEMBESARKAN TENAGA yang diperolehinya, akan tetapi jika perekacipta tersebut mendakwa bahawa ciptaannya ini mampu menghasilkan tenaga bermanfaat yang HAMPIR sama dengan tenaga putaran tangan yang dibekalkan, atau dengan kata lain, dengan keberkesanan tenaga yang lebih tinggi dari kebanyakan teknologi yang ada setakat ini (katakan 96% daripada sumber tenaga putaran tangan) maka penulis dapat menerimanya. Ini kerana perkataan MEMBESARKAN TENAGA sudah cukup untuk menyahsahih kedua-dua hukum termodinamik. Einstein pun tidak sanggup menyanggah hukum fizik yang dua ini!