Feb 8, 2014

Persepsi kuasa dalam organisasi

Persepsi kuasa ialah pandangan orang bawahan mengenai sejauh manakah besarnya kuasa orang atasan berbanding mereka.

Dalam satu-satu organisasi, sama ada politik ataupun syarikat, terdapat beberapa jenis persepsi kuasa:

Teokrasi (English-theocracy): tidak tahu baik-buruk arahan pihak atasan, menganggap bahawa semua arahan pihak atasan baik-baik belaka (omnibenevolence). Ini sama seperti mengganggap bahawa orang atas ialah dewa. (dalam bahasa Greek, dewa ialah theos, maka theocracy bermaksud ‘pemerintahan dewa’ )
Autokrasi (English-autocracy): tahu baik-buruk arahan pihak atasan, tidak berani bertindak
Demokrasi (English-democracy): tahu baik-buruk arahan pihak atasan, berani bertindak
*Ignokrasi (English-ignocracy): tidak tahu baik-buruk arahan pihak atasan, berani/tidak berani bertindak

*Ignokrasi ialah perkataan baru yang dicipta bagi menggambarkan idea tersebut, maka ia tidak wujud dalam kamus arus perdana bahasa Inggeris seperti Cambridge. Ignokrasi ialah gabungan dua perkataan Inggeris, ignorance (tidak ambil peduli) dan democracy (demokrasi)

Indeks Pen-jarak-an Kuasa (Power Distance Index)

Power Distance Index (Indeks Penjarakan Kuasa) atau PDI mengukur jarak kuasa antara orang bawahan (inferior) dengan orang atasan (superior) seperti yang dipercayai dan diyakini (English-perceived) oleh ORANG BAWAHAN dalam sesebuah organisasi atau negara.

Jika PDI sesebuah negara itu tinggi, maka orang bawahan memiliki persepsi bahawa orang atasan memiliki kuasa yang besar berbanding mereka dan wajib dihormati dan dilebihkan dalam banyak hal cthnya; diberikan kemudahan VIP seperti lif, kenderaan,pejabat etc, dipanggil dengan gelaran seperti Dato, Tn. Haji, Datin, Puan, Encik.

Dengan kata lain, PDI yang tinggi menyebabkan sebuah negara itu lebih feudal dan orang atasan lebih dianggap berkuasa dan sangat perlu dihormati oleh orang bawahan.

Jika PDI sesebuah negara itu rendah, maka orang bawahan memiliki persepsi bahawa orang atasan memiliki kuasa yang rendah dan penghormatan adalah terhad kepada menghormati ketua dalam hal-hal berkaitan organisasi dan tugas sahaja dan tidak lebih dari itu.

Dalam sebuah negara atau syarikat sebegini, seorang staf bawahan hanya memanggil CEOnya dengan nama sahaja. Tidak ada kemudahan VIP yang disediakan kepada pengarah-pengarah dan pengurus-pengurus besar mahupun CEO. Seorang presiden daripada negara berPDI rendah juga digelar dengan namanya sahaja, atau paling tidakpun dengan gelaran Mr. atau Encik. Malah orang bawahan boleh berbincang masalah syarikat yang penting langsung dengan presiden atau CEO. Juga tidak ada kubikel khas antara CEO dengan pegawainya, malah CEO boleh berkongsi meja dengan pegawainya!

PDI memiliki kesan buruknya yang tersendiri. Seorang staf bawahan dari negara yang tinggi PDI memiliki kesukaran melaporkan masalah kecemasan kepada pihak atasan dan terpaksa berfikir dua tiga kali sebelum melakukannya (seperti mencari idea untuk membina ayat yang sesuai) kerana takut dimarahi oleh orang atasan, atau dilabel ‘kurang ajar’, atau dimarah dengan kata-kata seperti ini ‘ini bukan kerja saya, ini kerja kamu, kamu yang sepatutnya selesaikan’.

Sebuah negara yang berPDI tinggi tidak semestinya memiliki organisasi yang berPDI tinggi juga. Ia bergantung kepada pengurusan organisasi tersebut. Sebagai contoh, sebuah negara berPDI tinggi seperti Malaysia, boleh memiliki organisasi seperti sebuah kilang yang mana pekerjanya hanya memanggil pengurus dengan nama sahaja dan boleh berbual-bual di warung tanpa sebarang halangan.


Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh IChemE (The Chemical Engineers, May 2013, isu 863), Malaysia menunjukkan PDI tertinggi berbanding negara-negara lain di dunia. Malaysia memiliki gelaran-gelaran pihak atasan yang pelbagai seperti Tn Haji, YB, YAB, Dato, Datin, Tun, Tan Sri, dan sebagainya. Kemudahan VIP juga terdapat di mana-mana. Malaysia juga masih memiliki raja yang ramai berbanding negara-negara lain di dunia. 



Terima kasih dengan pembangunan teknologi internet, kini masyarakat lebih terbuka dan persepsi terhadap orang atasan kini dapat dikurangkan sedikit demi sedikit. Sudah kedapatan terutama dari kalangan generasi Y yang boleh berfikiran bebas tanpa dikongkong oleh orang atasan.

Negara teokrasi masih lagi wujud pada hari ini meskipun tidak sebanyak pada era kuno dan sebelum abad ke 19. Contoh paling jelas ialah Korea Utara yang mana pemimpinnya menekankan keagungan personaliti (English-personality cult) dirinya ke atas rakyat. Maka segala apa yang diucapkan akan diikut secara membuta tuli oleh rakyatnya kerana semua yang diucap atau disampaikan dianggap baik-baik belaka.

Umar al-khattab

Zaman pemerintahn Umar al-khattab merupakan zaman yang penuh dengan kisah-kisah teladan yang boleh dijadikan contoh sebuah negara berPDI rendah. Umar al-khattab telah banyak kali dikritik secara terbuka oleh rakyatnya meskipun beliau seorang pemimpin tertinggi empayar Islam. Tidak perlu ada hijab atau halangan; rakyat boleh mengkritik secara terbuka akan kesilapannya.

Sebuah organisasi boleh beralih daripada demokrasi kepada autokrasi jika orang bawahan takut kepada orang atasan. Ketakutan boleh timbul daripada tanggungjawab seperti keluarga dan tanggungan lain.

Takut ini boleh dihilangkan tanpa disedari; apabila harapan untuk meneruskan kehidupan hilang. Ketika ini orang bawahan akan memberontak dan ini yang telah berlaku di Mesir.

Peranan orang bawahan dalam sebuah organisasi

Jenis-jenis persepsi kuasa yang didukung dalam sebuah organisasi ditentukan sebahagian besarnya oleh orang bawahan. Ini kerana orang bawahan adalah golongan paling ramai berbanding orang atasan, meskipun orang atasan memegang peratusan peruntukan kuasa yang lebih besar. Maka peranan orang bawahan amat penting. Merekalah yang menentukan sama ada organisasi yang mereka tempati itu teokrasi, demokrasi, autokrasi atau ignokrasi.

Jalan ke arah sebuah negara demokrasi bermula daripada sekecil-kecil organisasi; seperti sebuah syarikat. Jika dalam sebuah syarikat pun masih gagal menyerapkan unsur demokrasi melalui persepsi kuasa yang betul, maka janganlah diharapkan demokrasi dapat ditegakkan dengan mudah sehingga ke peringkat yang lebih tinggi seperti pentadbiran politik sebuah negara.

Ini kerana persepsi kuasa ialah petunjuk secara kuantitatif akan sikap masyarakat untuk kelompok yang kecil. Jika sikap dalam kelompok kecil masih feudalistik dan berPDI tinggi, tidak mustahil ia menjadi sukar untuk diubah dalam kelompok yang lebih besar seperti sebuah negara. 



Kartun yang menyindir sikap feudalistik dan mengampu dalam sebuah masyarakat berPDI tinggi. Gelang di atas kepala individu paling besar dalam gambar tersebut menggambarkan bahawa orang paling atas dalam hierarki itu didewakan.
Sumber: World Wide Web






Jan 1, 2014

Kekayaan

Ramai di antara kita bercita-cita untuk menjadi kaya, sehingga begitu banyak sekali dewasa ini lagu-lagu berkenaan impian untuk menjadi kaya dicipta dan didendangkan oleh artis-artis, baik di Malaysia mahupun di Nusantara.

Jika disebut tentang kaya, sudah tentu terbayang di fikiran kita bahawa kaya itu ialah keadaan di mana kita berharta dan banyak wang.

Namun tahukah anda, dari perspektif lain, dengan wang yang sedikit sahaja, kita sudah boleh menjadi kaya? Bayangkan anda hanya ada RM10 dalam tangan, tetapi KAYA.

Bagaimana jika saya katakan bahawa banyak wang atau harta tidak semestinya kaya? Setujukah anda?

Apa yang saya ingin maksudkan ialah erti kaya sebenarnya tidak tertakluk kepada kuantiti wang ringgit dalam simpanan dan harta benda yang kita miliki, tetapi sebenarnya bergantung kepada KUASA BELI (purchasing power).

Kuasa beli ialah berapakah nilai seunit matawang yang anda miliki. Dengan kata lain, berapa banyakkah keperluan dan kehendak yang anda boleh beli dan perolehi dengan RM1 jika anda seorang warga Malaysia, atau 1 pound sterling jika anda seorang warga England.

Seorang jutawan boleh jatuh miskin jika kesemua wang simpanannya yang berjuta-juta ringgit atau dolar hanya boleh membeli sekilo beras, seperti kes di Zimbabwe, di mana setroli wang hanya mampu membeli tiga biji telur ayam. Seorang pengemis yang punya 10 ringgit di dalam tangan boleh menjadi jutawan jika sekilo beras hanya berharga 10 sen di dalam negaranya.

Semuanya bergantung kepada kuasa beli.

Dan bagaimana kuasa beli ditentukan?

Kuasa beli ditentukan oleh kita semua. Ya, kita semua!

Mengapa saya katakan begitu? Ini kerana semua daripada kita adalah ‘warga’ dalam sebuah sistem ekonomi dunia. Sistem ini terdiri daripada dua golongan; PENJUAL dan PEMBELI.

Semua daripada kita adalah secara zahirnya manusia biasa yang bernafsu untuk menjadi kaya dan mengumpul harta. Manusia ini sifatnya mudah lupa. Apabila keinginan mengumpul harta menjadi tidak terkawal, maka manusia akan menjadi tamak. Dia akan sebagai contoh, menaikkan harga sesuka hati bagi produk yang dikeluarkannya, atau dalam kes lain, menaikkan sewa rumah yang dikenakan kepada orang ramai.

Dari itu, kesan berantai berlaku. Sebagai contoh, seorang pemilik rumah telah menaikkan sewa rumah kepada penghuninya. Penghuninya yang cuma menampung sara hidup dengan meniaga kedai runcit, terpaksa menaikkan harga barangan di kedainya. Peniaga nasi lemak yang mendapatkan barangan mentah dari kedai runcit, terpaksa menaikkan harga nasi lemaknya. Pembeli nasi lemak yang bekerja pejabat mengalami kesukaran memperoleh nasi lemak sebagai sarapan pagi akibat gaji yang kecil lantas mengikat perut atau mengurangkan peruntukan untuk sarapan.

Kes di atas hanyalah sebagai contoh bagi menggambarkan idea saya. Secara kesimpulannya, kesan berantai ini bermula daripada seorang dua manusia yang tamak, yang berada di tingkat teratas hierarki ekonomi dan kemudian berjangkit kepada manusia yang lainnya yang berada di tingkat terbawah hierarki. Secara kesimpulannya juga, kesan kenaikan harga barangan bukanlah TIDAK BERPUNCA, tetapi ia berpunca daripada sumber yang sama dan tunggal, sama ada punca tersebut sebuah ORGANISASI seperti sebuah syarikat pengeluar produk atau sebuah negara kaya, atau seorang individu kapitalis yang kaya-raya. Mustahil dalam dunia yang menempatkan manusia yang saling memerlukan untuk hidup ini, tiada seorang pemula kepada rantaian kenaikan harga ini.

Kesan daripada kenaikan harga ini, maka seunit matawang kita menjadi semakin kecil nilainya. Jika beberapa tahun lepas kita boleh membeli 10kg beras dengan harga 10 ringgit (contohnya), kini 10 ringgit hanya boleh membeli 2kg beras.

Dengan kata lain, ekonomi telah menjadi satu alat untuk menindas SECARA HALUS. Penindasannya tidak nampak dalam bentuk fizikal seperti kecederaan dan luka akibat tembakan dan sebagainya sebagaimana yang berlaku dalam peperangan, tetapi berlaku dalam bentuk kepayahan hidup dan kebuluran.

Oleh itu, semuanya adalah berkenaan sikap kita. Jika kita ingin mengubah sistem ekonomi yang menindas ini, permulaannya datang daripada diri kita dahulu, kemudian barulah orang lain. Jika kita mengutamakan kebajikan orang lain berbanding keuntungan tanpa batasan sebagaimana kapitalis, sistem ekonomi tidaklah menjadi alat penindasan, bahkan menjadi satu sistem yang membantu orang ramai.

Sikap kita bermula daripada seremeh-remeh cita-cita; iaitu hanya untuk menjadi kaya sekaya-kayanya. Jika kita seorang yang miskin dan memiliki bercita-cita sebegini, ia adalah satu perkara yang berbahaya. Bukanlah saya ingin menghalang anda bercita-cita, tidak. Sebaliknya perbetulkanlah cita-cita anda iaitu untuk membantu orang lain. Menjadi kaya-raya tidak akan membawa anda ke mana-mana, ia akan menjadikan anda semakin tamak. Cita-cita menjadi kaya adalah cita-cita dari pemikiran yang singkat, sedangkan cita-cita untuk membantu orang lain lebih besar dan luas maknanya.