May 2, 2012

Menilai berita

Di era internet sekarang, tidak sedikit individu yang mendengar berita dari dua sumber condong (English-bias) ataupun mungkin lebih dari dua.

Sebagai contoh, berita dapat diperolehi dari dua akhbar condong (umpamanya Utusan yang condong kepada parti pemerintah, dan Harakah yang condong kepada parti pembangkang) dan juga media bebas seperti Malaysiakini.

Dengan mendengar berita dari sumber yang berbeza-beza, seseorang dapat mengelak dari tersalah tanggap (English-misinterpret) dengan mengimbangi berita yang diterima dari satu pihak dengan mengambil kira pandangan-pandangan yang pelbagai tentang berita tersebut dari pihak lain yang mungkin dia terlepas pandang. Selain itu, telinga penerima dapat dibuka bukan hanya kepada pihak pemerintah, tetapi juga kepada suara-suara dari pihak pembangkang. Ini ialah asas kepada demokrasi yang sihat.

Namun, mendengar berita dari dua atau lebih sumber berbeza sahaja tidak cukup utk melahirkan seorang penerima berita yang intelek. Apa yang lebih penting yang perlu ada pada seorang penerima berita yang intelek ialah satu kualiti yang dinamakan KEADILAN DALAM MENILAI dari sumber-sumber yang berbeza-beza.

Keadilan dalam menilai ialah salah satu ciri pemikiran intelektual, dan lahir daripada penapis pemikiran yang tidak condong kepada mana-mana pihak. Ia salah satu cara bersikap yang baik dalam menerima satu-satu berita.

Penerima berita yang tidak memiliki kualiti ini, meskipun mendengar berita dua sumber yang berbeza, akan berfikir dan berhujah secara kritikal apabila membahaskan berita dari pihak yang tidak disukainya tetapi menerima bulat-bulat atau berhujah secara ringan apabila membahaskan berita dari pihak yang satu lagi yang disukainya.

Penulis ambil satu contoh. Katakan sebuah parti politik A mendedahkan keburukan moral pemimpin parti politik B. Kemudian parti politik B mendedahkan pula keburukan moral parti politik A.

Seseorang penerima berita yang tidak intelek dan (katakan ) condong kepada parti politik A, setelah menerima berita dari kedua-dua belah pihak, akan bersikap kritikal terhadap berita dari parti politik B namun akan bersikap sebaliknya (bersikap lebih ringan) dengan berita dari parti politik A. Dia akan bertanya soalan-soalan kritikal kepada dirinya seperti ‘Dari mana parti B dapat berita itu?’, ‘Apa sumbernya?’, ‘Benarkah berita ini?’, ‘Sahihkah?’ dan sebagainya, tetapi soalan-soalan sebegini tidak pula diajukan kepada dirinya semasa menerima berita dari parti A yang disukainya. Ini adalah salah satu contoh penilaian yang tidak adil dan berat sebelah.

Seorang penerima berita yang adil dan intelek akan bertanya soalan-soalan sebegitu kepada dirinya apabila menerima apa-apa berita , tidak kira dari parti atau pihak mana sekalipun. Penerima berita yang adil dan intelek akan bertanya dan menyelidik sama teliti dan setara tanpa mengira sama ada pihak itu digemarinya ataupun tidak. Penapis pemikirannya mesti bebas daripada dipengaruhi oleh sama ada parti A mahupun B.

Menilai secara tidak adil (zalim) merupakan petanda bahawa penapis otak telah diracuni oleh pihak yang disukainya. Sangkaan-sangkaan seperti pihak yang tidak disukainya suka menipu, dan memporak-perandakan negara, adalah kekal sangkaan selagimana dia tidak memiliki rasa adil dalam mendengar dan menilai kata-kata dari pelbagai pihak. Pemikir yang intelek mesti membebaskan diri dari sangkaan buruk dan mesti menerima bahawa kedua-dua pihak adalah sama jujur dan sama pincang, dan merupakan manusia biasa yang tidak lebih dan kurang dari satu sama lain.

Apabila penapis otak diracuni dan pemikiran penerima berita mula condong kepada salah satu dari pihak-pihak pembawa berita, itu petanda bahawa daya pemikiran intelektual penerima sudah lemah.

Kesimpulannya, membaca internet, blog-blog pembangkang dan akhbar-akhbar pembangkang sahaja tidak cukup untuk mengimbangi apa yang anda peroleh dari media-media pro kerajaan. Yang lebih penting ialah SIKAP anda dalam menilai fakta-fakta dan khabar-khabar angin dari dua sumber (atau lebih) yang berbeza-beza.

No comments:

Post a Comment

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...