Semua manusia, tanpa mengira warna kulit, agama, keturunan,
pangkat dan kekayaan harta benda, berhak mendapatkan pendidikan. Ini kerana
pendidikan ialah hak asasi manusia, sama seperti makanan, tempat tinggal dan
pakaian. Adalah menjadi satu keperluan untuk manusia tahu hal-hal di
sekelilingnya, yang mana untuk ini berlaku, dia perlu menuntut ilmu.
Pendidikan
hak semua dan pendidikan percuma
Walaupun pendidikan ialah hak semua, pendidikan tidak semestinya
percuma. Jangan kerana memperjuangkan slogan ‘pendidikan ialah hak semua’, maka
slogan ‘pendidikan percuma’ dicanangkan bagi membolehkan pendidikan menjadi hak
semua. Pendidikan percuma hanyalah jalan terakhir bagi merealisasikan slogan
‘pendidikan ialah hak semua’, sepertimana yang akan diterangkan kemudian.
Di sepanjang sejarah, pendidikan tidak pernah menjadi percuma. Hatta
ilmuwan islam terkenal Ibnu Sina pun MEMBELI kitab Al-Farabi di kedai buku
jalanan untuk menelaah ulasannya mengenai karya Aristotle. Penulis tidak
mengetahui jika benar terdapat guru-guru yang mengajar secara percuma pada
zaman tersebut, akan tetapi penulis maklum gajinya dibayar oleh khalifah
menggunakan wang baitulmal dan cukai. Siapa di dunia ini yang mahu mengajar
secara percuma ?
Jika adapun yang mengajar secara percuma (sebagai contoh, guru
seni mempertahankan diri yang mengajar murid-muridnya di gua-gua seperti dalam
filem-filem zaman dahulu, atau ketua-ketua tarikat dan ahli sufi), mereka tidak
perlu bimbang dengan sumber makanan dan pakaian kerana segalanya mudah
diperolehi pada zaman tersebut tanpa memerlukan wang. Tetapi untuk mendapatkan
makanan, mereka masih mengeluarkan tenaga seperti pergi memburu, bercucuk tanam
atau menangkap ikan dan menjerat haiwan, meskipun mungkin wang tidak
dikeluarkan. Tenaga tidak percuma (rujuk Prinsip Keabadian Tenaga dan Hukum Termodinamik Pertama) dan merupakan satu bentuk ‘bayaran’ selain dari wang.
Cuma bezanya, di zaman dahulu manusia banyak ‘membayar’ untuk hak asasi mereka
menggunakan tenaga berbanding wang, dan manusia pada zaman sekarang banyak
menggunakan wang sebagai bayaran berbanding tenaga.
Percuma
sebagai ikhtiar
Apabila orang miskin gagal mendapatkan pendidikan kerana
kemiskinan yang bukan disebabkan olehnya
malas bekerja (tetapi disebabkan kekurangan dirinya yakni mungkin cacat,
tidak berupaya bekerja, dll) atau dikenali sebagai ‘miskin tegar’,maka dia
berhak mendapatkan pendidikan percuma. Ini kerana dalam kes ini, pendidikan
percuma ialah satu-satunya jalan yang tinggal bagi merealisasikan slogan
‘pendidikan ialah hak semua’ di mana orang miskin tegar juga boleh ditunaikan
haknya dalam menerima pendidikan.
Begitu juga dengan keperluan asasi yg lain seperti makanan, tempat
tinggal dan pakaian. Semuanya adalah hak semua manusia. Tetapi ia bukan
percuma. Percuma, seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian percuma adalah
jalan terakhir bagi mereka yang tidak mampu (bukan malas) untuk berusaha
mendapatkannya. Inilah yang mungkin tersirat di sebalik mengapa Islam mewajibkan
zakat. Kutipan zakat adalah untuk diberikan secara percuma kepada asnaf lapan,
demi memenuhi keperluan asasi yang merupakan hak semua dan bukan hanya menjadi
milik orang berada sahaja.
Untuk pendidikan percuma, penulis fikir berdasarkan pengalaman,
kerajaan telah melakukan perkara yang sedemikian. Di waktu penulis bersekolah
menengah, pelajar-pelajar yang ibu bapanya berpendapatan kurang dari 1000
ringgit (seingat penulis) akan menerima tanggungan yuran, elaun alat tulis
sepenuhnya oleh kerajaan. Di zaman sekolah rendah juga begitu.
Pendidikan percuma di Malaysia juga sudah lama wujud dengan
pemberian biasiswa-biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak. Pinjaman untuk
pengajian tinggi juga diberikan, malah akan ditukarkan juga kepada biasiswa
jika pelajar tersebut berjaya menamatkan pengajian dan memperolehi Ijazah Kelas
Pertama. Kerajaan mana di dunia ini yang sanggup menghabiskan wang ringgit bagi
menaja pelajar yang bakal gagal dan tidak memiliki minat untuk belajar?
Apa yang
wajib ditentang mengenai PTPTN?
Falsafah utama di sebalik penubuhan PTPTN ialah bagi membolehkan
golongan pelajar miskin melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi
dengan memberikan mereka pinjaman kewangan.
Dengan kata mudah, PTPTN diasaskan bagi membantu orang miskin,
supaya pendidikan dapat menjadi ‘hak semua’.
Apa yang wajib ditentang dalam PTPTN bukanlah pemansuhan pinjaman
tersebut, tetapi pemansuhan riba’ atau tambahan kepada jumlah yang perlu
dibayar oleh pelajar. Jika sebagai contoh dia meminjam sebanyak RM 12000, maka
RM 12000 jugalah yang perlu dibayar. Bukannya ditambah lagi sebanyak RM12000
menyebabkan pelajar tersebut terpaksa membayar RM 24000, di mana nilai yang
sekali ganda itu tidak pernah dipinjamnya pula. Pinjaman tetap pinjaman, jadi
mengapa pula pinjaman mesti diurusniagakan seperti ‘pinjaman’ bank yang
mengenakan faedah sebagai urusniaga mengaut keuntungan?
Jika mahu menolong rakyat yang miskin, mengapa pula berurusniaga
dengan rakyat dengan menindas mereka?
Antara kepincangan
kerajaan dengan pendidikan percuma; dua isu berbeza
Ada yang menuntut pendidikan percuma ini beranggapan kerajaan
sudah tentu mampu membiayai pendidikan percuma kerana jika berjuta-juta wang
rakyat boleh dibazirkan sesuka hati, mengapa pula hutang PTPTN pelajar yang
jumlahnya kurang dari jumlah wang pembayar cukai yang dibazirkan kerajaan itu
tidak boleh dilangsaikan? Penulis fikir alasan inilah yang menggerakkan
pelajar-pelajar untuk berhimpun mendesak agar pendidikan percuma dilaksanakan.
Secara peribadi, penulis fikir terdapat kecelaruan dalam
membezakan isu di sini. Pendidikan percuma adalah pendidikan percuma, ia adalah
isu yang tersendiri. Rasuah dan
penyelewengan wang pembayar cukai pula isu lain dan ia adalah isu yang juga
tersendiri. Jika rasuah berlaku, itu tidak bermakna wang rasuah yang dibazirkan
yang jika dapat dirampas kembali dari perasuah, boleh digunakan untuk
pendidikan percuma. Ia akan tetap digunakan kembali untuk tujuan asalnya.
Sebagai contoh, jika wang jutaan ringgit yang sepatutnya digunakan
untuk projek ternakan lembu dibazirkan dan diseleweng oleh menteri yang
bertanggungjawab, andainya wang tersebut berjaya dirampas kembali dari tangan
kotor menteri ini (dan inilah yang mahu kita lihat), ia akan tetap digunakan semula
untuk projek ternakan lembu dan tidak akan digunakan untuk membayar hutang
PTPTN.
Maka apa pula kena-mengena dengan isu pendidikan percuma? Jika
kerajaan menggunakan wang pembayar cukai dengan baik, adakah isu pendidikan
percuma ini akan dibangkitkan? Mengapa pula pendidikan percuma menjadi slogan
menentang rasuah dan penyelewengan wang pembayar cukai? Mengapa pelajar-pelajar
ini tidak menukar matlamat perhimpunan mereka dari memperjuangkan ‘pendidikan
percuma’ kepada memperjuangkan ‘pemerintah yang bebas rasuah’?
Tidak lain para pelajar yang berhimpun di Dataran Merdeka tersebut
MUNGKIN telah dipengaruhi pembangkang, atau mungkin terlalu berkobar-kobar
menyahut seruan ‘Anak Muda Harus Bangkit’ yang disuarakan oleh aktivis-aktivis
anak muda, tanpa fokus yang jelas
mengenai apa yang sepatutnya mereka perjuangkan. Berjuang tanpa fokus sama
seperti berlayar di lautan pada malam yang mendung tanpa panduan arah dari
buruj, iaitu tanpa panduan yang jelas.
Wujudkah
pendidikan percuma secara realiti?
Setakat ini terdapat beberapa negara di dunia yang sedang
melaksanakan pendidikan percuma seperti Norway, Finland, Cuba dan Chile. Pendidikan percuma di negara-negara ini bukanlah benar-benar percuma. Ia dinamakan 'percuma' kerana rakyat tidak perlu membayar apa-apa untuk memperolehinya, namun secara hakikatnya, rakyat 'membayar' kos pendidikan melalui pelbagai jenis cukai yang dikenakan, yang kebanyakannya lebih tinggi dari negara-negara yang tidak mengamalkan pendidikan percuma. Selain dari faktor cukai, faktor lain seperti negara yang kaya umpamanya Norway dan Finland yang kaya dengan hasil laut, produk elektronik, petroleum dan pelancongan (negara tundra memiliki landskap yang cantik maka menjadi tarikan utama pelancong), juga membolehkan pendidikan percuma dilaksanakan kerana hutang negara sentiasa berada di bawah paras selamat.
Perdana Menteri ada membuat perbandingan bahawa terdapat negara di
dunia yang melaksanakan pendidikan percuma namun mengenakan kadar cukai yang
tinggi, iaitu Norway. Ada pula dari kalangan blogger yang menentang dengan
menggunakan fakta bahawa cukai kenderaan di Malaysia adalah kedua tertinggi di
dunia selepas Norway, maka Malaysia sepatutnya layak melaksanakan pendidikan
percuma kerana tahap cukai kenderaannya yang tinggi. Tetapi kenapa mengambil
kira hanya cukai kenderaan? Bagaimana dengan pendapatan per kapita? Bagaimana
pula dengan membandingkan kadar import-eksport. Norway dan Finland adalah negara maju dan
matawangnya juga mahal (mahu fakta, boleh rujuk Wikipedia dan Google). Kadar
jenayahnya juga rendah dibandingkan dengan Malaysia, dan kadar penganggurannya
juga rendah.
Persoalan ini tidak semudah mengambil kira hanya satu dua
statistik terpilih meskipun ia nampak munasabah, bahkan ia harus melibatkan
pelbagai perkara yang merangkumi aspek ekonomi dan sosial negara. Bahkan ia harus dibincangkan
oleh pakar dan bukannya ‘layman’. Ekonomi negara bergantung kepada banyak
faktor yang saling berkait, dan penilaian mesti dilakukan dari pelbagai aspek,
bukan hanya dari cukai kenderaan sahaja. Seperti yang dijelaskan, cukai Norway mungkin tinggi tetapi hutangnya rendah. Cukai di Malaysia tinggi tetapi hutangnya juga mungkin tinggi.
Maka jika isu ini hanya berhak dibincangkan oleh pakar-pakar dan
pembuat dasar negara, adakah rakyat tidak berhak untuk meminta kerajaan
melaksanakannya ? Tidak. Rakyat berhak, tetapi mesti memiliki asas yang kukuh
untuk mereka bertindak sedemikian dan benar-benar faham akan situasi semasa
negara. Tuntutan mereka mesti dipimpin dan difikirkan oleh pakar-pakar yang
memiliki pengalaman, bukan hanya melakukan tuntutan disebabkan berpemikiran
bahawa pendidikan percuma itu ‘baik’, memudahkan dan sebagainya, atau lebih
buruk, akibat dipengaruhi oleh orang lain terutamanya pembangkang dan aktivis
anak muda.
Adakah perlu pendidikan percuma dilaksanakan?
Adakah perlu pendidikan percuma dilaksanakan?
Penulis secara peribadinya bersetuju pendidikan percuma dilaksanakan. Siapa tidak suka benda percuma. Dengan pendidikan percuma, rakyat tidak lagi perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan pendidikan. Tetapi seperti penerangan penulis di atas, pendidikan percuma secara realitinya bukanlah benar-benar percuma. Ia masih memerlukan peruntukan kewangan, dan untuk tujuan tersebut, ia secara tidak langsung bergantung kepada keadaan semasa negara dari pelbagai aspek yang saling berkait dan memerlukan penelitian orang-orang yang pakar seperti ahli ekonomi dan ahli statistik. Jadi apa yang penulis cuma boleh rumuskan ialah pendidikan percuma (percuma di mana rakyat tidak perlu membayar apa-apa tetapi kesemua keperluan kewangan untuk ia dilaksanakan dilakukan oleh kerajaan) adalah TIDAK MUSTAHIL dan boleh dilaksanakan sebagaimana yang telah dilakukan di sesetengah negara di dunia.
Kesimpulan
Kesimpulannya, pendidikan tidak pernah percuma, tetapi pendidikan yang 'percuma' dari segi rakyat tidak perlu membayar apa-apa, adalah tidak mustahil untuk boleh dilaksanakan. Namun perjuangan menuntut pendidikan percuma mesti
memiliki sasaran yang jelas dan fakta yang kukuh serta bebas dari pengaruh mana-mana pihak berkepentingan politik. Fakta yang diambil mesti adil
dan bukannya bersikap memilih dalam mengambil fakta dan statistik (rujuk
pemikiran intelektual).
Kerajaan mesti berusaha ke arah menyediakan pendidikan percuma dan berusaha menyediakan ruang bagi membolehkan ia dilaksanakan, atau sekurang-kurang jika ia terlalu sukar dicapai ( secara realiti pendidikan percuma amat sukar dicapai kecuali jika negara benar-benar maju, dan kemajuan negara bergantung kepada pelbagai aspek seperti yang telah dijelaskan di atas), kerajaan boleh menghampirkan pendidikan kepada pendidikan percuma dengan mengurangkan kadar yuran dan gaji pensyarah yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.Dengan kata lain, kerajaan mesti berusaha ke arah pendidikan percuma dan menjadikannya salah satu daripada wawasan negara, jika tidak mampu untuk melaksanakannya sekarang.
Kerajaan mesti berusaha ke arah menyediakan pendidikan percuma dan berusaha menyediakan ruang bagi membolehkan ia dilaksanakan, atau sekurang-kurang jika ia terlalu sukar dicapai ( secara realiti pendidikan percuma amat sukar dicapai kecuali jika negara benar-benar maju, dan kemajuan negara bergantung kepada pelbagai aspek seperti yang telah dijelaskan di atas), kerajaan boleh menghampirkan pendidikan kepada pendidikan percuma dengan mengurangkan kadar yuran dan gaji pensyarah yang mencecah puluhan ribu ringgit sebulan.Dengan kata lain, kerajaan mesti berusaha ke arah pendidikan percuma dan menjadikannya salah satu daripada wawasan negara, jika tidak mampu untuk melaksanakannya sekarang.