Jan 31, 2012

Mekanisme belajar

Penulis suka mengkaji dan belajar, dan blog ini sememangnya diasaskan untuk menghimpunkan fakta-fakta sains dan bukan sains melalui cara penulis memahaminya. Oleh itu, kandungan blog ini meski memuatkan fakta-fakta mentah seperti di Wikipedia dan laman-laman web yang lain di internet, ia mungkin berbeza dari segi cara penerangannya, kerana penulis menulis mengikut cara penulis memahami. Sebagai contoh, entri ‘Tiub Magnetron’. Jika pembaca merujuk kepada laman-laman web lain, penerangannya ada melibatkan konsep ‘cas ruang’ atau ‘space charge’. Namun ketika penulis menulis tentangnya di blog ini, penulis menggunakan konsep ‘pusaran elektron’. Itu ialah cara penulis memahami bagaimana tiub magnetron bekerja, yang mungkin juga pada sesetengah orang konsep ini tampak lebih mudah dan kemas terutama kepada orang di luar bidang sains (yang tidak terlibat secara khusus dalam bidang sains sama ada dari segi pekerjaan mahupun belajar) atau ‘layman’.

Penulis tidak belajar dari membaca sahaja, bahkan juga dari memerhatikan keadaan dan orang-orang di sekitar penulis. Setelah lebih dua dekad menjengah alam dunia, dan lebih dua dekad berada di alam pengajian dari tadika sehingga alam pengajian tinggi, penulis rasa sudah tiba masanya untuk merumuskan apa dan bagaimana mekanisme belajar yang betul pada pandangan penulis. Lagipun menurut fakta sains, ‘prefrontal cortex’ atau bahagian analisis di dalam otak manusia akan matang dan berhenti bertumbuh selepas melepasi dua dekad hayat di dunia. Maka otak penulis mungkin tidak lagi bertumbuh dan mungkin juga sudah cukup ‘matang’ untuk membuat kesimpulan dari pengalaman-pengalaman lepas.

Dahulu, ketika kecil penulis hanya belajar kerana minat. Disebabkan minat, setiap apa yang diajar kepada penulis dan dibaca akan diingat dengan mudah. Penulis tidak menyedari ‘kewujudan’ minat, sehinggalah berada di bangku sekolah menengah, di mana pengkhususan dalam subjek yang diambil menyebabkan penulis menyedari bahawa apa yang menolak penulis untuk belajar selama ini ialah MINAT.

Kewujudan MINAT juga disedari penulis ketika ditugaskan oleh guru untuk menjadi pembimbing rakan sebaya (PRS). Penulis mengajarkan matematik tambahan kepada pelajar yang paling corot dalam kelas dan juga tingkatan (Pelajar Corot, PC), tetapi apa yang penulis nampak, PC masih bermasalah dalam menjawab soalan-soalan yang sama bentuk. Sedangkan jika PC menggunakan sedikit bahagian otaknya sahaja untuk BERFIKIR, mungkin sudah tidak lagi menjadi masalah jika terjumpa soalan-soalan yang sama bentuk. Dari situ, penulis mula membuat kesimpulan: tanpa MINAT, seseorang tidak akan BERFIKIR dan tidak akan terdorong untuk BERFIKIR. Tanpa BERFIKIR, seseorang tidak akan BELAJAR.

Penulis telah menemukan BELAJAR dengan MINAT menggunakan ‘jambatan’ BERFIKIR, tetapi definisi BELAJAR masih kabur. Penulis memerlukan pengalaman tambahan untuk mendapat definisi BELAJAR yang lebih luas. Selain itu, penulis tidak tahu apa yang boleh mendatangkan MINAT. Disebabkan itu, penulis berputus asa sekiranya orang yang diajar tidak mempunyai MINAT terhadap apa yang penulis ajar. Ini berlaku, di mana PC yang diceritakan tadi ditolak mentah-mentah oleh penulis ketika dia menanyakan soalan matematik tambahan (setelah diajarkan soalan lain yang sama bentuk), lalu penulis digelar KEDEKUT ILMU. Mengapa penulis menolak? Kerana penulis jemu mengajar benda yang SAMA, sedangkan orang yang diajar tiada MINAT. Kalau tiada minat, ajarlah soalan yang sama berulang kali, memang takkan ada kesan, dan juga membuang MASA yang sepatutnya penulis tumpukan untuk diri sendiri. Dari itu, penulis berputus asa kepada sesiapa yang mahu belajar dari penulis tetapi tiada MINAT.

Di universiti, penulis berkenalan dengan seorang pelajar yang amat bermasalah. Kini sudah dua tahun penulis bekerja dengan pelajar ini sebagai satu kumpulan. Sikap pelajar ini ialah dia suka bertanya soalan-soalan yang tidak menggambarkan kematangannya sebagai pelajar universiti, dan dia tiada MINAT terhadap apa yang dipelajarinya. Ya, penulis bertemu dengan sejenis manusia yang penulis AMAT berputus asa untuk diajarkan. Disebabkan penulis masih belum bertemu dengan definisi BELAJAR, maka penulis ingin tahu bagaimana cara orang yang tiada MINAT seperti pelajar ini BELAJAR.

Begini. Katakan anda ialah ketua kumpulan yang mengandungi pelajar jenis ini. Anda tugaskan dia dengan satu tugasan, sebagai contoh, siapkan satu perenggan untuk laporan projek. Kemudian dia akan bertanya anda beberapa soalan. Dia tidak akan berFIKIR dahulu sebelum bertanya, tetapi dia akan bertanya soalan-soalan untuk diFIKIRkan oleh anda! Anda ber’fungsi’ sebagai ‘OTAK’ orang jenis ini, dan anda juga mungkin, ketika menjawab, secara tidak langsung sudah ‘merangka’ isi-isi perenggan tersebut untuk dia tuliskan! Jadi soalan-soalan tersebut akan berbunyi seperti soalan-soalan budak-budak. Ini kerana budak-budak bertanya soalan bukan untuk JAWAPAN, mereka bertanya untuk mendapatkan PERHATIAN. Jadi andalah jurufikirnya.

Selain itu, pelajar jenis ini juga akan hanya BUAT APA YANG DISURUH SAHAJA. Jika kita memberikan tugasan dengan arahan yang salah, maka KESALAHAN tersebut akan kekal sehinggalah kita menyedarinya apabila pelajar ini menghantar tugasan tersebut yang telah ‘disiapkan’ kepada kita. Mengapa? Kerana ‘otak’ pelajar ini ialah kita, maka dia tidak akan berfikir ketika menyelesaikan tugasan tersebut menyebabkan kesalahan dalam arahannya tidak dapat dikesan. Akhirnya, kita terpaksa menyelesaikan semula tugasan tersebut sendiri dan ini membuang masa. Dari itu juga, memberi tugasan kepada orang jenis ini memerlukan kita untuk berfikir dua tiga kali kerana jika berada dalam organisasi yang besar, risikonya juga BESAR. Arahan-arahan yang diberikan kepada orang jenis ini mesti juga sempurna, ‘perfect’, tiada cacat cela, agar nanti tiada loji penapisan minyak dan kilang kimia yang meletup mahupun terbakar. Ini amat menyeksakan.

Terima kasih kepada pelajar tersebut, kini penulis lebih memahami definisi BELAJAR dan beza definisi BELAJAR antara orang yang ada MINAT dan tiada MINAT. Rugilah kepada mereka yang menarik dari dari berkumpulan dengan pelajar ini!

Belajar, secara umumnya, ialah proses memadankan gaya pemikiran kita dengan gaya pemikiran orang lain, untuk mencapai tahap yang jika diterjemah dari istilah sains, ialah tahap resonans atau ‘gema’. Dengan bersepadannya gaya pemikiran kita dan orang lain, maka pemindahan ‘tenaga’ atau ‘ilmu’ dapat dilakukan dengan mudah dan lancar sebagaimana radio yang berada dalam keadaan resonans dengan stesen pemancar, di mana pemindahan isyarat bunyi dapat dilakukan dengan mudah kerana ketika resonans, berlaku kesepadanan ‘impedans’ radio dan impedans pemancar. Kita akan mendapat ‘tenaga maksimum’ dari ‘sumber’, di mana kita akan faham dengan semaksimum mungkin dari orang yang mengajar.

Jadi dalam proses belajar, proses BERTANYA ialah proses yang amat penting. Bertanya, ialah proses ‘memberitahu’ si pengajar bagaimana cara kita berfikir tentang perkara yang diajarkan, di mana pengajar setelah dimaklumkannya, akan cuba menyelaraskan cara pengajarannya sehingga benar-benar terselaras, resonans dengan cara berfikir orang yang diajar. Ini sama seperti menyelaraskan radio dengan stesen pemancar sehingga isyarat bunyi benar-benar jelas.Ketika mencari isyarat radio, kita memadankan impedans radio dengan impedans pemancar. Proses ini akan berlarutan dan berulang-ulang sehingga pelajar benar-benar faham, maka disebabkan itu, soalan yang banyak biasa diajukan dalam proses pembelajaran yang aktif. Akan tetapi soalan-soalan yang banyak juga mesti diselang-seli dengan FIKIR, kerana bertanya tanpa berfikir itu samalah seperti pelajar yang tiada minat atau seorang budak yang mungkin mahu si pengajar menjadi jurufikirnya.

Sekarang telah jelas pada penulis apa itu BELAJAR. Tetapi bagaimana mahu menimbulkan MINAT? Memang penulis telah berputus asa dengan orang yang tiada minat, tetapi kadangkala terdetik juga untuk memahami bagaimana minat boleh wujud. Guru penulis pernah menyatakan bahawa MINAT boleh dipupuk (nampak ada sedikit harapan di situ). Dari pengalaman juga penulis berpendapat MINAT boleh lahir dari faktor tekanan sekeliling, kekangan fizikal sebagai contoh kecacatan menghadkan pergerakan seseorang dan akhirnya mungkin dia meminati kerja-kerja seni sebagai contoh melukis, genetik, dan mungkin juga kerana seseorang itu SENANG dengan perkara yang diminatinya. Apapun, dalam kebanyakan kes yang penulis temui, rasa SENANG dengan apa yang diminati mewujudkan MINAT. Dan dari mana pula datang rasa senang tersebut? Ia datang dari dalam diri sendiri. Maka tepuk dada dan tanya diri sendiri.

Jadi jika anda seorang pelajar, tanyalah pada diri anda semula, adakah aku benar-benar SENANG dengan apa yang aku pelajari? Adakah aku memaksa diri sendiri supaya SENANG berada di sini? Kerana ketiadaan rasa SENANG ialah petanda bahawa anda tiada MINAT dengan apa yang dipelajari. Anda mungkin berada di situ, di institusi pengajian tinggi atas tekanan keluarga, atas tekanan hidup yang memandang tinggi segulung ijazah. Jika tiada MINAT, maka tiadalah dorongan untuk BERFIKIR. Jika tidak BERFIKIR, bagaimana mahu BELAJAR dengan berkesan? Maka semuanya bermula dari dalam diri sendiri.

2 comments:

  1. Entri yang bernas. Belajar mempunyai definisi yang berbeza untuk setiap manusia. Belajar sebab minat. Setuju. Namun, belajar dengan berkesan apabila seseorang itu tahu tujuan, matlamat pembelajaran. ie: tujuan: ambil SPM, tamatlah sekolah untuk kerja. Mereka yang kurang berminat ini akan belajarnuntuk tamatkan persekolahan kerana kemahuan yang akan datang. Seseorang itu akan belajar apabila dia benar2 mahu mengejar cita2nya...matlamat sentiasa memainkan peranan dalam proses pembelajaran...dan Minat akan apa yang dipelajari merupakan bonus.

    ReplyDelete
  2. Ijinkan Saya Berbagi bisnis kuliner.
    Silahkan Mampir ya...

    ReplyDelete

Kini, Anon dan Anonimah pun boleh mengomen...