Ramai di antara kita bercita-cita untuk
menjadi kaya, sehingga begitu banyak sekali dewasa ini lagu-lagu berkenaan impian untuk menjadi kaya dicipta dan didendangkan oleh artis-artis, baik di Malaysia mahupun di Nusantara.
Jika disebut tentang kaya, sudah tentu terbayang di fikiran kita bahawa kaya itu ialah keadaan di mana kita berharta dan banyak wang.
Namun tahukah anda, dari perspektif lain,
dengan wang yang sedikit sahaja, kita sudah boleh menjadi kaya? Bayangkan anda
hanya ada RM10 dalam tangan, tetapi KAYA.
Bagaimana jika saya katakan bahawa
banyak wang atau harta tidak semestinya kaya? Setujukah anda?
Apa yang saya ingin maksudkan ialah erti kaya sebenarnya tidak tertakluk kepada
kuantiti wang ringgit dalam simpanan dan harta benda yang kita miliki, tetapi
sebenarnya bergantung kepada KUASA BELI (purchasing power).
Kuasa beli ialah berapakah nilai seunit
matawang yang anda miliki. Dengan kata lain, berapa banyakkah keperluan dan
kehendak yang anda boleh beli dan perolehi dengan RM1 jika anda seorang warga
Malaysia, atau 1 pound sterling jika anda seorang warga England.
Seorang jutawan boleh jatuh miskin jika
kesemua wang simpanannya yang berjuta-juta ringgit atau dolar hanya boleh
membeli sekilo beras, seperti kes di Zimbabwe, di mana setroli wang hanya mampu
membeli tiga biji telur ayam. Seorang pengemis yang punya 10 ringgit di dalam
tangan boleh menjadi jutawan jika sekilo beras hanya berharga 10 sen di dalam
negaranya.
Semuanya bergantung kepada kuasa beli.
Dan bagaimana kuasa beli ditentukan?
Kuasa beli ditentukan oleh kita semua. Ya,
kita semua!
Mengapa saya katakan begitu? Ini kerana
semua daripada kita adalah ‘warga’ dalam sebuah sistem ekonomi dunia. Sistem
ini terdiri daripada dua golongan; PENJUAL dan PEMBELI.
Semua daripada kita adalah secara zahirnya
manusia biasa yang bernafsu untuk menjadi kaya dan mengumpul harta. Manusia ini
sifatnya mudah lupa. Apabila keinginan mengumpul harta menjadi tidak terkawal, maka
manusia akan menjadi tamak. Dia akan sebagai contoh, menaikkan harga sesuka
hati bagi produk yang dikeluarkannya, atau dalam kes lain, menaikkan sewa rumah
yang dikenakan kepada orang ramai.
Dari itu, kesan berantai berlaku. Sebagai
contoh, seorang pemilik rumah telah menaikkan sewa rumah kepada penghuninya.
Penghuninya yang cuma menampung sara hidup dengan meniaga kedai runcit,
terpaksa menaikkan harga barangan di kedainya. Peniaga nasi lemak yang
mendapatkan barangan mentah dari kedai runcit, terpaksa menaikkan harga nasi
lemaknya. Pembeli nasi lemak yang bekerja pejabat mengalami kesukaran
memperoleh nasi lemak sebagai sarapan pagi akibat gaji yang kecil lantas
mengikat perut atau mengurangkan peruntukan untuk sarapan.
Kes di atas hanyalah sebagai contoh bagi
menggambarkan idea saya. Secara kesimpulannya, kesan berantai ini bermula
daripada seorang dua manusia yang tamak, yang berada di tingkat teratas
hierarki ekonomi dan kemudian berjangkit kepada manusia yang lainnya yang
berada di tingkat terbawah hierarki. Secara kesimpulannya juga, kesan kenaikan
harga barangan bukanlah TIDAK BERPUNCA, tetapi ia berpunca daripada sumber yang
sama dan tunggal, sama ada punca tersebut sebuah ORGANISASI seperti sebuah
syarikat pengeluar produk atau sebuah negara kaya, atau seorang individu kapitalis
yang kaya-raya. Mustahil dalam dunia yang menempatkan manusia yang saling
memerlukan untuk hidup ini, tiada seorang pemula kepada rantaian kenaikan harga
ini.
Kesan daripada kenaikan harga ini, maka
seunit matawang kita menjadi semakin kecil nilainya. Jika beberapa tahun lepas
kita boleh membeli 10kg beras dengan harga 10 ringgit (contohnya), kini 10
ringgit hanya boleh membeli 2kg beras.
Dengan kata lain, ekonomi telah menjadi satu
alat untuk menindas SECARA HALUS. Penindasannya tidak nampak dalam bentuk
fizikal seperti kecederaan dan luka akibat tembakan dan sebagainya sebagaimana
yang berlaku dalam peperangan, tetapi berlaku dalam bentuk kepayahan hidup dan
kebuluran.
Oleh itu, semuanya adalah berkenaan sikap
kita. Jika kita ingin mengubah sistem ekonomi yang menindas ini, permulaannya
datang daripada diri kita dahulu, kemudian barulah orang lain. Jika kita
mengutamakan kebajikan orang lain berbanding keuntungan tanpa batasan
sebagaimana kapitalis, sistem ekonomi tidaklah menjadi alat penindasan, bahkan
menjadi satu sistem yang membantu orang ramai.
Sikap kita bermula daripada seremeh-remeh
cita-cita; iaitu hanya untuk menjadi kaya sekaya-kayanya. Jika kita seorang
yang miskin dan memiliki bercita-cita sebegini, ia adalah satu perkara yang
berbahaya. Bukanlah saya ingin menghalang anda bercita-cita, tidak. Sebaliknya
perbetulkanlah cita-cita anda iaitu untuk membantu orang lain. Menjadi
kaya-raya tidak akan membawa anda ke mana-mana, ia akan menjadikan anda semakin
tamak. Cita-cita menjadi kaya adalah cita-cita dari pemikiran yang singkat,
sedangkan cita-cita untuk membantu orang lain lebih besar dan luas maknanya.